Posts

Tolak lah, Benda tu Mudarat

Kenapa ada lagi manusia tidak faham-faham amaran doktor-doktor dan juga Kementerian Kesihatan? Malah di kotak rokok itu sendiri pun terpampang amaran keras dengan pelbagai jenis gambar kesan dari rokok.

.

Apabila KKM mengenakan undang-undang larangan merokok di kedai makan itu bermakna satu mesej jelas bahawa merokok boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. Tetapi ada juga segelintir manusia dalam negara kita masih lagi ketegak memprotes usaha KKM. Alasannya adalah akta belum lengkap. Padahal mereka menegakkan benang basah agar mereka bebas merokok di mana sahaja.

.

Lihat gambar yang saya kongsikan ini. Awal sejarah rokok komersial dalam pasaran amat mengujakan. Sehingga lebih dari 20 ribu doktor mengesyorkan hisap rokok, kerana bukti singkat pada masa itu rokok boleh mengurangkan batuk akibat radang kerongkong. Kempen demi kempen dijalankan oleh syarikat rokok sehingga keluar perkataan masyhur pada masa itu dalam jurnal-jurnal perubatan sendiri:

“cigarettes aren’t harmful and then in other ads they would say our cigarettes are less harmful than the other brands.” [Terjemah: Rokok (jenama mereka) tidak bahaya dan dalam iklan lain mengatakan rokok kurang bahaya dari jenama lain].

Perkataan itu macam senonim pula dengan pro-v4pe mutakhir ini. “V4pe lebih selamat berbanding rokok, hasil kajian bla…bla..bla…”. Hakikatnya v4pe dan rokok adalah sama-sama mudarat. Hanya menunggu masa dan ketika sahaja bukti demi bukti kemudaratan v4pe akan timbul. Buat masa sekarang pun sudah berlaku kematian dan kerosakan paru-paru akibat v4pe.

.

Ambillah kaedah beringat sebelum kena. Ambillah hukum yang ulama serta majlis fatwa tetapkan. Kenapa nak pertikaikan lagi. Jangan sengaja membuka pintu mudarat yang lebih besar. Janganlah tunggu makin ramai lagi yang menderita dan mati. Sedarlah!

.

Sekian kaboroyak dari suhazeli.com

fb.com/Suhazeli.abdullah

15.11.2019

KL Sentral

Jom RESTART NOW

*DG of Health Newsflash*

Tengahari ini, YB Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, YB Zuraida Kamaruddin, iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan YB Dr Lee Boon Chye, Timbalan Menteri Kesihatan telah diiringi oleh barisan kepimpinan tertinggi KKM bagi melawat restoran dan medan selera di Presint 9. Ini bersempena pelancaran Program RESTART iaitu Restoran Tanpa Asap Rokok anjuran bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan kumpulan media sosial seperti MedTweetMy, Persatuan intergrasi Profesional Perubatan Malaysia (MIMPA), Medical Mythbuster Malaysia (M3) dan Public Health Malaysia (PHM).

Program yang menggalakkan penglibatan orang ramai untuk berkongsi maklumat tentang pelaksaan pewartaan ini adalah sangat dialu-alukan agar dapat membantu KKM dalam menguatkuasakan larangan ini melalui pemerkasaan masyarakat. Inisiatif larangan merokok di tempat makan ini memerlukan sokongan dan penglibatan segenap lapisan masyarakat, Kementerian atau Agensi Kerajaan dan Bukan Kerajaan, Badan-badan Bukan Kerajaan, industri, Persatuan-persatuan dan individu agar dapat bersama-sama dalam memastikan larangan merokok di tempat makan dapat dipatuhi sepenuhnya.

*Datuk Dr Noor Hisham Abdullah*

*KP Kesihatan*

Larangan Merokok Di Restoran

Kenapalah para doktor bersungguh sangat larang pesakit dari merokok? Hinggakan Kementerian Kesihatan Malaysia mengadakan satu kempen khusus untuk mengajak keseluruhan rakyat Malaysia agar berhenti merokok. Bukan setakat itu sahaja, banyak kerajaan tempatan seperti Bandaraya Melaka, Bandaraya Islam Kota Bharu, Bandaraya Kuala Terengganu dan beberapa tempat lain mengistiharkan kawasan bebas asap rokok.

Negara Malaysia juga melalui Kementerian Kesihatan dengan nekad menandatangani satu perjanjian yang mengikat kita kepada akta dan pemantauan agar patuh, iaitu Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) sejak 2005 lagi. Artikel 8 dalam perjanjian tersebut membenarkan kerajaan menggazet satu kawasan khusus larangan merokok. Banyak kajian telah dijalankan berkaitan dengan larangan ini boleh menambahkan kesedaran rakyat akan bahaya rokok. Sehingga kini Malaysia masih lagi utuh mempertahankan perjanjian tersebut, setaraf dengan negara-negara maju lain seperti Australia, New Zealand dan lain-lain.

Usaha terbaharu yang akan dilaksanakan sepenuhnya bermula januari 2019 adalah larangan merokok di tempat-tempat awam seperti restoran dan kedai makan. Satu langkah yang bijak oleh KKM agar tidak ramai rakyat diselubung oleh bahaya asap rokok.

Kesan-kesan buruk merokok amatlah banyak. Ianya telah dibuktikan melalui kajian saintifik dan kajian sosial berkaitan dengan tabiat merokok ini. Statistik jelas menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang pada 1998. Jumlah perokok pula meningkat dari 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta dalam tahun 2011. Penyakit berkaitan merokok adalah pembunuh nombor satu di negara ini, yang menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun. Didapati 49 peratus daripada lelaki dewasa di negara ini merokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Sebilangan besar perokok juga dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000. Satu fenomena membimbangkan ialah lebih ramai gadis mulai merokok. Malah remaja perempuan yang merokok, didapati bertambah daripada satu kepada lapan peratus, khususnya di bandar. Dianggarkan setiap hari 50 remaja memulakan tabiat buruk ini. Hasil dari Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS 2015) oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) memberi mesej jelas kepada kita bahawa 1 dari 10 kanak-kanak belasan tahun dalam negara kita terjebak dalam ketagihan merokok. Amat membimbangkan lagi bahawa 71% dikalangan kanak-kanak yang belum mencapai umur 14 tahun berjinak-jinak dengan rokok.

Justeru amat bertepatan dengan sebuah negara yang sayangkan kesejahteraan rakyatnya melakukan sesusatu yang lebih bermanfaat seperti larangan merokok di restoran dan kedai makan. Restoran adalah tempat makan, bukannya kebuk maut menghisap rokok. Perut kita ingin nikmati makanan supaya bertenaga, tetapi malang paru-paru kita pula diserang asap rokok yang dikelauarkan oleh tetamu yang menghisap rokok. Bahaya mendapat asap pinggiran (second hand smoke) dari perokok lebih tinggi dari para perokok itu sendiri dapat.

Saya bersetuju dengan satu jawapan almarhum Ustaz Fadli Al Yamani dalam sebuah YouTube berkaitan isu rokok. Rokok bukan haram secara qatie sebab ianya tidak dinyatakan oleh Al Quran atau Hadis. Akan tetapi saya mengambil kiasan bahawa ianya adalah haram secara mendatang. Bermakna setelah mendapati bukti-bukti nyata mutaakkhir ini bahawa rokok mendatangkan mudarat kepada badan manusia. Ianya bukan lagi hukum makruh seperti pendapat ulama zaman 70-an atau 80-an. Banyak kajian yang mengesahkan merokok itu berbahaya. Merokok penyebab kematian pra matang (umur muda) seluruh dunia sebanyak 10 kali ganda. Terbukti bahawa 90% kanser paru-paru akibat rokok, manakala 80% penyebab kematian akibat penyakit paru-paru kronik (COPD). Risiko perokok dihinggapi serangan sakit jantung dan strok sebanyak 2-4 kali ganda dan banyak lagi komplikasi penyakit akibat rokok. Kajian-kajian ini baru diperolehi dengan jelas pada sekitar 90-an hingga kini. Para pakar bergelut dengan kajadian-kejadian penyakit yang faktor utamanya adalah rokok seperti kanser dan serangan jantung. Sudah tidak dapat dinafikan lagi. Melalui kiasan yang sama juga shisha dan vape diharamkan oleh para ulama agar menutup pintu kerosakan lebih utama dalam masyarakat.

Beberapa hujah yang dikemukakan oleh ulama kini yang mengharamkan rokok, Shisha dan Vape:

1. Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

“Nabi itu menyuruh mereka kepada yang makruf, melarang mereka dari yang mungkar, menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan melarang bagi mereka segala yang buruk.” [QS. al-A’raf: 157]

2. Firman Allah subhanahu wa ta’ala,

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

“Janganlah kamu membazirkan hartamu secara boros. Sesungguhnya orang-orang yang berlaku boros itu adalah saudara saudara syaitan. Dan syaitan itu sangat ingkar terhadap Tuhannya.” [QS. al-Isra’: 26-27]

3. Hadits Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

لا ضرر ولا ضرار

“Tidak boleh membuat mudharat kepada diri sendiri dan tidak boleh membuat mudharat kepada orang lain.”

4. Kaedah Fiqhiyyah

الضرر يدفع بقدر الإمكان

“Bahaya harus ditolak semaksima mungkin.”

5. Kaedah Fiqhiyyah

الضرر يزال

“Yang menimbulkan mudharat harus dihilangkan/dihindarkan.”

6. Kaedah Fiqhiyyah

الحكم يدور مع علته وجودا وعدما

“Penetapan hukum itu tergantung ada atau tidak adanya ‘illat.”

7. Ulama pelbagai negara juga memberi penjelasan yang sama, seperti Ulama Mesir, Jordan, Yaman, dan Syria bahwa hukum merokok di negara-negara tersebut adalah haram.

Untuk pengetahuan umum, kerajaan telah mewujudkan beberapa kawalan undang-undang bagi menyekat rakyat dari merokok. Antara akta yang selalu digunapakai adalah:

1- Akta kawalan kawalan tembakau 1993. Akta ini selari dengan perancangan yang telah disenaraikan dalam Framework Convention on Tobacco Control (FCTC). Pindaan pada tahun 2004 diperketatkan lagi agar semakin sukar rakyat mendapat akses kepada rokok.

2- Akta Makanan 1983 – Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) (Pindaan) 2011. Akta ini mengawal selia rokok di bawah PPKHT selari dengan apa yang diletakkan di dalam kerangka FCTC WHO. Ianya telah membantu kerajaan dalam mengawal rokok tembakau, namun ianya langsung tidak mengawal selia nikotin tulin yang terdapat di dalam cecair e-rokok.

3- Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952, dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Akta ini mengawal selia dan membuat dakwaan jika penjualan rokok termasuk e-rokok yang mengandungi cecair nikotin.

Sememangnya rokok mempunyai banyak mudarat yang tidak dapat disangkal lagi. Langkah yang dijalankan oleh kerajaan dan berapa NGO bagi menyedarkan masyarakat mengenai bahaya rokok patut disokong.

sekian dari Dr Suhazeli Abdullah

suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

1.1.2019

Ketengah Jaya

Pendapat Minoriti

Tepat enam bulan lalu isu vape meletup dipersada media dalam negara. Ketegasan pihak berwajib dalam menegaskan isu vape telah menyebabkan para penyokong tegar melenting. Dikukuhkan lagi dengan para agamawan dan ulama yang turut meranapkan hujah para pencinta vape.
Saya lihat terdapat satu persamaan antara pencinta vape dan penentang vaksin; iaitu mereka suka mengambil fakta terpencil, statistik tidak tepat, dan ulasan yang mengelirukan. Golongan ini bersikap seperti aliran golongan minoriti. Walaupun Keras dengan penentangan, suka membesarkan fahaman minoriti mereka. Sedangkan isu tersebut sudah diterima oleh umum dan para alim ulama muktabar. Penghujahan sudah jelas.
Namun terdapat pengalaman tertentu yang seseorang alami dalam kehidupan yang menyebabkan mereka mengambil sikap yang berlainan dari orang ramai. Ianya mungkin boleh diraikan tetapi bukan boleh dijadikan panduan umum kepada orang awam. Mereka sepatutnya beramal secara terpencil dan peribadi. Tidak sepatutnya mempengaruhi orang lain dengan hujah-hujah yang sudah sedia dijawab oleh pihak berwajib. Tetapi masih juga mengulang-ulang hujah tanpa fakta ampuh.

Dalam satu forum penjelasan fatwa berkaitan dengan vaksin, Ustaz Badlisah Alaudin pernah menyamakan mereka ini sebagai golongan minoriti yang menghasut. Ianya berdasarkan firman Allah swt:
وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا
“Apabila datang kepada mereka suatu berita tentang kemenangan atau ketakutan, mereka menyiarkannya. Kalau saja mereka menyerahkannya kepada Rasul dan ulil amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya akan dapat mengetahuinya dari mereka (Rasul dan ulil amri). Kalau bukan kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kalian, tentu kalian mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil saja (di antara kalian).” (an-Nisa: 83)
Semoga kita semua terhindar dari golongan ini.
Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli
20.3.2017

Kuala Berang