Isu rokok adalah satu isu yang mencengkam masyarakat kita sejak dari dulu lagi. Kita telah bergelut dengan hasilan tembakau ini sejak sekian lama. Beberapa kali cukai telah dinaikkan semata-mata ingin mengurangkan jumlah perokok dalam negara. Bukan setakat itu sahaja, bagi masyarakat Muslim, diperintahkan jangan mengambil rokok serta hasilan tembakau dalam shisya dan vape dengan kenyataan majlis fatwa.
Bahkan sejarah tembakau dalam negara kita begitu nostalgik bagi sesetengah orang kerana tembakau pernah satu ketika dahulu menjadi satu sumber yang besar kepada negara. Penanaman tembakau begitu meluas di negeri-negeri pantai timur Kelantan, Terengganu dan menjadi sumber jelapang tembakau pada masa tersebut. Sehinggalah pada satu ketika Lembaga tembakau telah mula secara berperingkat  digantikan dengan kenaf dan hasilan komoditi lain. Dalam erti kata lain, kerajaan telah berusaha keluar dari bahana tembakau yang meragut nyawa jutaan manusia.
Kerajaan telah pun bersunguh-sungguh untuk membina satu masyarakat yang sihat dan sejahtera, bebas dari asap rokok. Tetapi permainan ini terus berlangsung di antara industri rokok yang ingin mempromosikan rokok dan terus meeraih keuntungan dari penjualan rokok atau hasil dari tembakau. Walaupun vape dicipta bagi menggantikan rokok, tetapi ianya juga menimbulkan bahana yang sama. Masyarakat tidak dapat keluar sepenuhnya dari cengkaman rokok atau hasil tembakau. Lebih menyedihkan promosi yang dilakukan lebih menarik minat golongan remaja untuk terus terikat dengan produk hasilan tembakau. Adalah didapati 95% hasil rampasan cecair vape mengandungi hasilan tembakau seperti nikotin.
Sejarah juga tidak pernah lupa, syarikat-syarikat besar rokok menaja pasukan bola negara atau perlawanan yang berkaitan dengan sukan. Bahkan iklan di dalam TV dan radio menjadi kegilaan masyarakat pada ketika itu. Namun atas kesedaran dan keinsafan bahawa rokok itu banyak membawa mudarat Kementerian Kesihatan mendesak supaya promosi rokok ini dapat dihapuskan bagi mengelakkan makin ramai lagi yang terus terpengaruh. Kita sudah berjaya satu peringkat.
Pendek kata isu rokok ini adalah satu isu yang mencengkam rakyat negara kita sejak berpuluh tahun lamanya. Begitu amat sukar untuk tarik sekaligus dengan sekelip mata. Ianya memerlukan langkah demi langkah untuk menjamin masyarakat kita bebas dari asap rokok ada satu ketika nanti.
Bermula dengan fatwa, cukai-cukai dinaikkan, kaedah melebel kotak rokok diketatkan, mengenakan larangan merokok di premis awam dan kini kita mengesyorkan akta agar pembelian, pemilikan dan pengunaan rokok serta hasilan tembakau tidak dibenarkan kepada individu yang lahir selepas tahun 2005. Langkah demi langkah ini dilakukan supaya menutup pintu-pintu kemusnahan dalam kalangan masyarakat.
Dengan satu harapan, Akta termeterai ini dan terlaksana sepenuhnya nanti kita dapat memutuskan generasi perokok bermula daripada umur 18 tahun dan ke bawah (Generational End Game). Mereka tidak dibenarkan untuk memiliki, membeli menghisap rokok dan ia tidak menjadi satu warisan di dalam keluarga itu kepada kaki rokok. Justeru melalui generasi penamat ini kita mengharapkan generasi akan datang makin sedar tentang kesihatan mereka.
Inilah tekad kita! Adakah anda bersama dengan kami dalam gelombang ini?
Suhazeli Abdullah
22.7.2022
Kuala Lumpur
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleEVALI
Next articleGanggu Gugat dari Industri Rokok
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com