Sunday, April 28, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

GESAAN SEGERAKAN PEMBENTANGAN RUU VAPE DAN GEG

Saya sempat menyerahkan memorandum kepada PMX pada 10 Oktober 2023 untuk menggesa supaya RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan Generasi Penamat Rokok (GEG) itu dibentangkan segera di Parlimen.
Saya ikuti rapat perkembangan penambahbaikan RUU tersebut sejak dari pembantangan pertama oleh Yb Khairy Jamaluddin pada Julai 2022 sehinggalah sekarang. Setelah melalui beberapa perubahan dari syor-syor yang dikemukakan oleh ahli parlimen semasa sesi perbahasan sehinggalah keputusan-keputusan yang dibuat oleh dua Jawatankuasa Khas Parlimen Kesihatan, sudah banyak pemurnian yang telah dibuat bagi memuaskan kesemua pihak yang terlibat.
Berikut adalah 2 pemurnian besar yang boleh dibaca melalui Penyata Jawatankuasa Khas Parlimen Kesihatan:
  1. Cadangan untuk mengekalkan peruntukan fasal 18 dan 19 yang berkaitan dengan kesalahan di bawah undang-undang, dengan kemungkinan menangguhkan tarikh pelaksanaan. Fasal ini adalah mengenai denda kepada individu generasi penamat dari RM500 ke RM250. Bahkan tarikh kuatkuasa kedua-dua fasal ini ditangguhkan kepada satu tempoh masa yang tertentu atau sehingga laporan berkala dibentangkan di bawah fasal 56, melalui kuasa Menteri untuk menetapkan permulaan kuatkuasa peruntukan berkaitan di bawah fasal 1(2). Sehingga itu, pelaksanaan secara pendidikan akan diteruskan. Punyalah syor dari JKPK ini sangat mencerminkan kebijaksanaan dan keprihatinan anggota JKPK dalam menetapkanhukuman yang dikenakan. Malah, perlaksanaan pun bukan sekarang, tetapi 2 tahun akan datang. Ulasan saya: Pengurangan denda yang sebelum ini RM5000 diturunkan kepada RM500, dan turun lagi kepada RM250 itupun bukan berbentuk penalti di bawah kesalahan jenayah. Ianya sama seperti kompaun yang telah dilaksanakan dalam banyak akta lain seperti mengenakan kompaun RM500 kepada rumah yang menyimpan jentik-jentik dalam kawalan denggi. Malah peruntukan kompaun generasi penamat RM250 itu pun atas budi bicara pegawai yang diberi kuasa. Fasal-fasal dalam RUU itu juga turut menggariskan khidmat sosial sebagai salah satu bentuk denda. Apakah itu tidak cukup rahmah dan berhemah?
  2. Cadangan supaya Kementerian Kesihatan mengkaji perlaksnaan GEG termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape sebagai kaedah berhenti merokok, tertakluk hasil kajian yang akan dijalankan. Cadangan ini pun bagi saya sudah sepatutnya melegakan sesetengah pihak yang bermati-matian menyatakan vape itu boleh membantu sebagai alat berhenti merokok (harm reduction). Andaikata betul ada bukti kukuh pada suatu masa hadapan, kuasa penuh diberikan di bawah peruntukan ini bagi melaksanakan konsep tersebut. Bahkan sekang pun mereka yang memperjuangkan harm reduction ini boleh mendaftarkan produk mereka sebagai kaedah berhenti merokok jika mengemukakan bukti kukuh berbentuk kajian-kajian yang dijalankan.
Sebenarnya tiada lagi alasan Perdana Menteri, kabinet dan ahli-ahli parlimen untuk tidak membentangkan RUU tersebut seterusnya meluluskan tanpa bahas. Melengah-lengahkan lagi RUU ini menyebabkan kerosakan makin membarah kepada generasi anak bangsa kita. Adakah kita sedar masalah ini?
Dr Suhazeli Abdullah
Medical Mythbusters Malaysia
11/10/2023
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles