, ,

Lahir Selamat

Kehidupan doktor banyak yang manis. Saat paling manis apabila kita dapat selesaikan suasana cemas pesakit.

Klinik kami memang sediakan khidmat ABC (Alternative Birthing Center). Ianya dikhususkan kepada kes-kes yang berkod putih. Ibu hamil kali ke 2 hingga 5, tiada penyakit lain, kedudukan bayi tidak songsang/senggeng/melintang dan beberapa kriteria lain lagi. Kod ini sesuai untuk lahir di ABC.

Pernah satu ketika pesakit yang dipantau di ABC kami sudah tiba saat bersalin (os fully), tapi agak lama walaupun digalakkan untuk teran. Biasalah bilik ABC itu gamat dengan teriakan bidan supaya si ibu meneran sepenuh hati. Si ibu rileks sahaja, tidak menggerutu dan tidak memandang serong dengan situasi sebegitu. Bagi sesetengah ibu, sensitif dengan keadaan bilik bersalin yang agak rencam. Mereka mahu tenang setenang air di tasik dan alunan merdu musik mengusik jiwa. Kami tidak nafikan. Apakah itu perlu kami tunaikan permintaan si ibu sedemikian?

Si ibu juga tidak merasa jelek atas kehadiran saya sebagai seorang doktor pakar lelaki. Saya dipanggil kerana bayi masih tidak keluar walaupun tempoh os fully sudah berlalu lama. Setelah membuat pemantauan bayi dan ibu, semuanya keadaan stabil. Jantung janin masih sekata, scan juga menunjukkan janin berada di posisi betul. Saya arahkan masuk ubat untuk kuatkan kontraksi peranakan melalui aliran vena.

Alhamdulillah tidak sampai lima minit, dengan semangat kuat si ibu disamping galakan meneran para bidan bayi keluar dengan jayanya. Tangan saya sendiri sambut bayi tersebut tanpa koyakan perineum. Syukur.

Cuma bayi tidak terus menangis, mungkin akibat cekikan dari tali pusat yang terbelit di tengkuknya. Mungkin ini juga punca kenapa bayi lambat keluar. Bilik ABC kami sudah dilengkapi dengan alatan untuk bantu pernafasan bayi jika berlaku. Saya terus bawa bayi ke katil resus dan tepuk tapak kakinya agar sedar dan menangis. Pengetahuan dan pengalaman kami tahu bahawa jika bayi tidak menangis dalam tempoh lima minit, bermakna ruang paru-parunya tidak terbuka. Bayi akan mengalami masalah (Neonatal hypoxia). Dalam masa sama, jururawat yang bantu sedut rongga hidung dan mulut bayi. Banyak keladak air ketuban yang telah ditelan olehnya. Rupanya bayi sudah tertelan air ketuban yang bercampur najis (moderate meconium). Sekali lagi kami bersyukur, bayi dapat dipulihkan sebelum sempat 5 minit. Nyaring sungguh suaranya, sama kuat dengan laungan azan yang saya kumandangkan atas permintaan si ibu.

Apabila teringat kembali kenangan manis ini saya tidak boleh bayangkan bagaimana akan berlaku jika si ibu dibiarkan bersalin di rumah hanya bertemankan suami? Walaupun saya yakin suami itu sudah belajar proses bersalin melalui youtube atau video-video yang dipaparkan dalam kelas doula. Tetapi pengalaman, kemahiran dan kelengkapan di rumah tidak sama dengan hospital atau klinik. Jika sekadar ilmu teori semata-mata dan cuba jaya atas isteri sendiri, tiada jaminan yang boleh dipertahankan. Jika berjaya, Alhamdulillah. Jika sebaliknya nauzubillah.

Kepada ibu-ibu hamil yang pasang niat untuk bersalin di rumah. Tanya diri sendiri. Adakah anda atau peneman anda mampu kendalikan kes bayi songsang/melintang? Adakah anda atau peneman anda mampu kendalikan kes perdarahan bersalin? Adakah anda atau peneman mampu kendalikan bayi henti bernafas? Adakah anda atau peneman anda mampu kendalikan ibu pengsan dan menyetok (sawan) akibat darah tinggi? Adakah anda dan penasihat ada bawa bersama vitamin K dan Vaksin? Dan banyak lagi soalan yang perlu dijawab.

Saya paparkan kisah ini bukan untuk mendabik dada bahawa akulah terhebat dan bukan bermakna kami 100 peratus maksum. Akan tetapi kita merujuk kembali kepada anjuran agama itu sendiri:

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۖ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Bermaksud: Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui.

-Sura Al-Anbiya’, Ayat 7

Rasulullah saw juga menggesa agar kita mengambil pandangan ahlinya dalam urusan keduniaan kita sebagaimana sabda Baginda,

أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ

“Kamu lebih mengetahui urusan duniamu.” (HR. Muslim, no. 2363)

Saya tidak dapat bayangkan juga jika si ibu atau ayah yang kendalikan kelahiran sendirian. Tawakkal mereka teguh, tetapi tidak kena pada tempat berpaut. Tambah pula melakukan konsultasi dengan para doula. Mereka pun tidak pernah hadapi kes-kes kecemasan dan tanda-tanda kecemasan yang memungkinkan kes perlu dibawa segera ke hospital. Lagi parah apabila khidmat nasihat itu melalui wasap!

Kata kunci adalah kelahiran selamat di tangan orang yang mahir, ditempat yang tersedia lengkap, itulah ikhtiar hidup dunia agar kita selamat. Jika mati juga, baharulah kita boleh berlapang dada dan katakan bahawa ianya sudah di takdirkan sejak luh mahfuz lagi.

Sekian kenangan manis suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

19.2.2018

Ketengah Jaya.

#SayNoToUnSafeBirth

P/s: Gambar baby sudah diberi izin untuk paparan internet.Saya lupa bondanya letak nama apa….rasanya suhazeli juga…

,

2 Fakta Silap Mengenai Asid Folik Penyebab Autism

Keratan AkhbarAsid Folik adalah salah satu vitamin yang diberi kepada ibu hamil selain dari zat besi dan vitamin C. Pemberian asid folik kepada ibu-ibu hamil selama ini adalah disahkan selamat dan disyorkan oleh pakar-pakar obstetrik & ginekologi seluruh dunia. Ianya telah terbukti bersandarkan kepada beribu-ribu kajian yang berwibawa. Asid Folik yang diberikan kepada ibu hamil adalah bagi mencegah berlakunya kecacatan saraf tunjang bayi (neural tube defects – Spina bifida).[1] Kajian dari Pusat Kawalan Penyakit (CDC) menyatakan 70% bayi yang berikutnya akan selamat setelah ibu hamil mengambil asid folik dari berlakunya kecacatan saraf tunjang. Kes ini terbukti dikalangan ibu yang sudah terdapat kecacatan saraf tunjang ke atas bayi pertama mereka. Satu peratusan yang cukup membanggakan.

.

Jumlah dos yang diberikan kepada ibu-ibu hamil juga sesuai dan selamat. Adalah dicadangkan pengambilan asid folik sebelum hamil bagi mengurangkan risiko mendapat bayi yang kecil saiznya (small for gestation).

.

Semua wanita digalakkan untuk mengambil 400 mikrogram asid folik setiap hari sebelum hamil sehingga 12 minggu kehamilan.[2] Dos yang sama diteruskan sehingga bersalin. Dos yang lebih tinggi HANYA untuk sesetengah kumpulan ibu hamil seperti ibu ada kencing manis (diabetes). Semasa menyusu bayi pula, sebanyak 500 mikrogram disarankan demi kesinambungan pemulihan si ibu. Cadangan ini tidak tertakluk kepada berapa banyak makanan atau sayuran yang mengandungi asid folik yang boleh diambil oleh ibu hamil dalam tempoh berkenaan.

.

Namun terdapat satu sebaran tular yang mendakwa asid folik boleh menyebab autisma kepada bayi. Saya merujuk kepada satu keratan akhbar yang dikongsikan oleh rakan maya. Akhbar menyiarkan bahawa asid folik boleh penyebab kepada autisma. Tulisan tersebut merujuk kepada kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Northwestern, Illinois yang diketuai oleh Profesor Stephen Levine.[3] Artikel berkenaan termuat dalam Jurnal JAMA Psychiatry.

.

Hasil bacaan saya, ulasan yang dilakukan oleh akhbar berkenaan adalah tidak tepat. Mari kita baca bersama keputusan kajian yang dikeluarkan oleh Prof Stephen Levine tersebut:

“Maternal exposure to FA and/or multivitamin supplements from 4 weeks before to 8 weeks into pregnancy was associated with a statistically significant reduction in the risk of ASD in offspring compared with offspring of mothers with no exposure in that time interval.”

~ Pendedahan ibu hamil kepada asid folik dan/atau multivitamin dari 4 minggu sebelum 8 minggu kehamilan adalah dikaitkan secara signifikan penurunan risiko ASD (autism spectrum disorder) terhadap bayi mereka berbanding dengan ibu hamil yang tidak diberikan (vitamin) dalam sela masa yang sama.

.

Kajian berkenaan juga mendapati:

“maternal exposure during the 2 years before pregnancy was associated with a significant reduction in the risk of ASD in offspring.”

~Pendedahan ibu hamil semasa 2 tahun sebelum hamil juga dikaitkan dengan penurunan yang signifikan risiko bayi mereka mengalami ASD.

.

Saya merasakan tulisan dalam akhbar tempatan berkenaan tersalah membuat interpretasi tulisan dan keputusan kajian yang disiarkan oleh artikel dari Jurnal JAMA Psychiatry itu. Justeru, pemberian asid folik dan beberapa vitamin yang lain semasa ibu hamil adalah penting bagi menjamin tahap kesihatan yang optima. Seterusnya mengurangkan komplikasi-komplikasi yang tidak diingini terhadap ibu dan bayi.

.

Semoga dengan pencerahan ini boleh mengurangkan kerisauan dan ketakutan para ibu untuk terus mengambil apa sahaja nasihat yang dikeluarkan dari masa ke semasa oleh para pakar.

.

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

Fb.com/drsuhazeli

suhazeli.com

Kuala Berang

8.1.2018

.

Pautan:

[1] Manfaat Folic Acid. http://www.webmd.com/baby/folic-acid-and-pregnancy

[2] Asid Folik penyebab Autisma.

http://www.webmd.com/baby/news/20160511/too-much-folic-acid-in-pregnancy-tied-to-raised-autism-risk-in-study

[3] JAMA Psychiatry. Published online January 3, 2018. doi:10.1001/jamapsychiatry.2017.4050. https://jamanetwork.com/journals/jamapsychiatry/fullarticle/2667432

[4] Peer Review. https://media.jamanetwork.com/news-item/vitamin-supplements-used-pregnancy-associated-risk-autism-spectrum-disorder/

, ,

Rahsia Kedudukan Jerawat 

*#Rahsia_Kedudukan_Jerawat*

Saya nak jawab satu sebaran maya berkenaan rahsia kedudukan jerawat. Menurut sebaran tular tersebut, jerawat akan tumbuh dibahagian tertentu muka kerana berkait dengan penyakit badan.

~ Jerawat di dahi kerana peredaran darah bermasalah, stres dan selalu panas baran.

~ Jerawat di batang hidung kerana tulang belakang bermasalah. Manakala di hujung hidung kerana sistem penghadaman tak betul, masalah ovari dan sistem reproduktif tak teratur bagi wanita.

~ Jerawat di dagu kerana sistem endokrin bermasalah. Haid tidak teratur dan alat peranakan rosak.

~ Jerawat di pipi kanan kerana masalah paru-paru. Di pipi kiri pula masalah fungsi hati.

~ Jerawat di badan pula kerana sistem perkumuhan rosak dan akibat sembelit.

.

Sebagai makluman pembaca, tidak pernah dalam mana-mana penemuan ilmiah menyatakan keterkaitan sedemikian. Mungkin ianya pengalaman terpencil sesetengah orang, tetapi tidak dapat dibawa pembuktian secara tuntas. Justeru segala kaitan itu adalah tidak benar.

.

Untuk pengetahuan pembaca, jerawat terjadi akibat kilang sebum (peluh) tersumbat terutama dikawasan muka,  sebahagian atas dada dan belikat.

Apabila tersumbat, akan berlaku radang setempat. Warnanya akan kelihatan merah. Bagi sesetengah orang radang reda dalam tempoh yang sekejap, akhirnya sembuh tetapi meninggalkan kesan parut kecil berwarna hitam.

.

Jika tidak menjaga kebersihan, jerawat yang radang tadi akan merebak sehingga boleh menhadirkan jangkitan kuman. Ia bergantung kepada penjagaan kebersihan. Radang tersebut menjadi lama, resiko untuk jangkitan kuman tinggi. Apabila kuman masuk, jerawat akan kelihatan bernanah. Bagi kes teruk nanah ini besar sehingga nampak kematu yang menyakitkan. Jenis ini diberi nama jerawat batu.

.

Setelah tempoh tertentu, ia akan sembuh, kematu ini akan membentuk parut yang menghodohkan.

.

Suka saya tekankan sekali lagi bahawa sesekali kedudukan jerawat yang sedemikian tiada kaitan dengan sistem usus, sistem peranakan, sistem tulang belakang, paru-paru dan seumpamanya.

.

Sekian.

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

10.6.2017

Kuala Berang

, , ,

Hamil Anak Bunian 

Sekitar sepuluh tahun lalu saya pernah diceritakan oleh staf kesihatan tempat saya bekerja mendakwa salah seorang pesakitnya hamil anak bunian. Cerita yang lebih kurang sama dalam salah satu laman media maya. Ringkasan cerita sebegini:

Pesakit disahkan mengandung oleh klinik kesihatan dan telah berulang untuk check up beberapa kali. Semuanya ok. Pada satu hari si ibu bermimpi bersalin dan bayi keluar berbidankan seseorang. Lepas sedar dari tidur, perutnya kempis dan pergi klinik untuk scan. Didapati bayi sudah tiada.

Si ibu telah dirujuk ke hospital untuk pengesahan doktor pakar. Namun si ibu telah dimarahi doktor pakar kerana tiada bukti mengandung. Hatta buku merah (buku rekod ibu hamil) masa mengandung pun didakwa hilang dalam almari sebaik sahaja bersalin melalui mimpi. Permeriksaan melalui ultrasound juga didapati tiada janin. Oleh yang demikian pihak hospital tidak ada bukti pemeriksaan sebelum, dan semasa pemeriksaan dijalankan. Si ibu dibenarkan pulang.

Tetapi pihak keluarga tidak berpuas hati dengan keterangan dari doktor pakar. Lalu mereka menemui perawat darul Syifa. Pengamal Perubatan Islam mempercayai ia adalah kandungan jin. Menurut cerita lanjut, atuk si ibu beramal dengan pelira jin dan berjanji akan memberikan salah seorang zuriat mereka kepada jin tersebut.

Selepas kejadian bersalin anak jin tersebut, si ibu dikatakan mengalami banyak pengalaman dan perangai ganjil. Selalu bercakap-cakap dengan seseorang dan senyum/ketawa/menangis tanpa sebab. Apabila si ibu dirujuk kepada pakar psikiatri, beliau menceritakan bahawa suara yang berinteraksi selama ini adalah kaum dari jin. Kisah setelah 11 tahun berlalu di mana jin tersebut terus berkomunikasi dengan si ibu, bahawa ‘anak’ beliau itu sekarang ni selamat dalam alam jin dan sudah menjadi hafiz Al Quran. Malah menjadi imam di masjid jin sekitar perumahan tersebut.

Pakar psikiatri mendiagnosa si ibu mempunyai penyakit psikaitri kerana mendengar ucapan di alam ghaib dan beberapa insiden pelik yang lain.

Soalan kepada Ustaz:

1) Adakah terdapat hadis Rasulullah atau seerah para sahabat yang seumpama ini dan dinukilkan oleh para ulama muktabar?

2) Adakah sebarang bahan rujukan kitab atau seumpamanya pernah ditulis oleh para penulis sejarah yang berwibawa.

3) Adakah kejadian ini wujud dalam alam Melayu sahaja? Di timur tengah atau benua Asia lain bagaiamana?

4) Adakah benar manusia boleh bekomunikasi dengan jin dan berlaku perkahwinan sehinggalah boleh menyetubuhi manusia serta beranak pinak?

◾◾◾◾◾◾◾◾◾

*JAWAPAN*

Bagi menjawab senario panjang ini saya akan menjawab soalan yang terakhir dahulu. Kewujudan hubungan manusia dengan jin? Jin berkemampuan jimak manusia. Perkara tersebut bukanlah mustahil pada aqal. Adakah ianya pernah berlaku?

Para ulamak berbeza pendapat berkenaan adakah pernah berlaku persetubuhan antara manusia dan jin. Jumhur ulamak berpendapat ianya pernah berlaku.

Di antara bukti jumhur berpendapat ianya boleh berlaku dan pernah berlaku ialah perbezaan pendapat berkenaan hukum perkahwinan antara manusia dan jin. Di antara catatan yang menunjukkan persetubuhan antara jin dan manusia boleh berlaku ialah catatan ulama tafsir yang menyatakan bahawa ibu kepada Balqis@Bilqis adalah jin.

Al Qurtubi menyatakan:

كَانَتْ أُمُّ بِلْقِيسَ مِنَ الْجِنِّ يُقَالُ لَهَا بَلْعَمَةُ بِنْتُ شَيْصَانَ

Bermaksud: Ibu Bilqis adalah jin yang bernama bal’amah bin Syaishon.

Walaubagaimanapun Syeikh Syanqiti berpendapat hadis yang berkaitan ibu Bilqis itu kaum jin adalah hadis dhoif.

Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat ianya tidak berlaku. Di antara yang berpegang dengan pendapat ini ialah al Mawardi.

A) HUJAH PENDAPAT TIDAK BERLAKU

Di antara mereka yang berpendapat persetubuhan antara jin dan manusia tidak berlaku ialah al Mawardi. Al Qurtubi menaqalkan hujah beliau di dalam tafsirnya dengan catatan berikut:

قَالَ الْمَاوَرْدِيُّ: وَالْقَوْلُ بِأَنَّ أُمَّ بِلْقِيسَ جِنِّيَّةٌ مُسْتَنْكَرٌ مِنَ الْعُقُولِ لِتَبَايُنِ الْجِنْسَيْنِ، وَاخْتِلَافِ الطَّبْعَيْنِ، وَتَفَارُقِ الْحِسَّيْنِ ، لِأَنَّ الْآدَمِيَّ جُسْمَانِيٌّ وَالْجِنَّ رُوحَانِيٌّ، وَخَلَقَ اللَّهُ الْآدَمِيَّ مِنْ صَلْصَالٍ كَالْفَخَّارِ، وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَيُمْنَعُ الِامْتِزَاجُ مَعَ هَذَا التَّبَايُنِ.

Bermaksud: Al Mawardi berkata pendapat yang menyebut ibu Bilqis adalah jin, bertentangan dengan aqal kerana perbezaan antara jin dan manusia dan perbezaan kelakuan. Manusia berjisim manakala jin berbentuk ruh (tidak berjisim), Allah mencipta manusia dari tanah liat (seperti tanah liat yang dibakar), Allah menciptakan jin dari api yang tersangat panas. Oleh itu percampuran (persetubuhan) antara jin dan manusia tidak mungkin berlaku.

B) HUJAH PENDAPAT BERLAKU PERSETUBUHAN

Pendapat Al Mawardi tersebut ditolak dengan beberapa hujah antaranya :

Hadis riwayat al Tabarani dan al Darimi bahawa Abdullah bin Mas’ud RA berkata:

لَقِيَ رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلى الله عَليهِ وسَلم رَجُلاً مِنَ الْجِنِّ فَصَارَعَهُ فَصَرَعَهُ الإِنْسِيُّ، فَقَالَ لَهُ الإِنْسِيُّ: إِنِّي لأَرَاكَ ضَئِيلاً شَخِيتاً كَأَنَّ ذُرَيِّعَتَيْكَ ذُرَيِّعَتَا كَلْبٍ, فَكَذَلِكَ أَنْتُمْ مَعْشَرَ الْجِنِّ, أَمْ أَنْتَ مِنْ بَيْنِهِمْ كَذَلِكَ؟

قَالَ: لَا وَالله إِنِّي مِنْهُمْ لَضَلِيعٌ

Bermaksud: seorang sahabat Nabi SAW bertemu seorang lelaki dari jin, lalu mereka bergelut dan jin tersebut berjaya dikalahkan. Kemudian jin itu berkata, mari kita ulangi pergelutan tersebut, lalu mereka bergelut dan jin tersebut dapat dikalahkan. Lelaki itu berkata aku lihat engkau terlalu kecil dan kurus seolah-olah dua lenganmu seperti lengan anjing. Adakah memang begitu sifat kamu iaitu golongan jin atau engkau sahaja yang lemah? Jin menjawab aku adalah jin yang kuat.

Menurut al Haitami, hadis di atas adalah hadis yang sohih.

Hadis di atas menunjukkan jin ketika menjelma menjadi seorang manusia, sifat-sifat manusia akan wujud pada dirinya.

Oleh itu persetubuhan antara manusia dan jin boleh berlaku kerana apabila jin menjelma seperti manusia, sifat manusia akan wujud pada dirinya.

Dari keterangan di atas dapat disimpulkan bahawa jumhur ulamak berpendapat persetubuhan antara jin dan manusia boleh berlaku.

Dalam dunia rawatan makhluk halus, jin yang jatuh cinta dengan manusia diberi nama jin ASYIQ. Manusia yang terkena gangguan ini kebiasaannya suka bersendirian dan ketika berselimut terasa tenang dan seolah-olah ada sesuatu bersamanya.

Kitab yang bagus dibaca berkenaan jin ialah kitab:

آكام المرجان في أحكام الجان

(Karangan al Syibli)

INTAHA ⏹

WALLAHUA’LAM

Ustaz Ahmad Tarmizi Taha

Penasihat Pusat Talaqqi Batu Rakit

Fb.com/PTBR.Official

, ,

Pad & Bra Wanita Punca Kanser


Kononnya terdapat satu sebaran maya mengenai isu kanser vagina dan payudara yang telah dikeluarkan oleh Tata Cancer Hospital. 

Mesej bahasa inggeris seperti berikut: 

Please let your wife know about this,,This is a serious caution from medical practioners [LUTH] to all female beings be it infant, baby girl, ladies, mothers; cancer of the vagina is all over pls avoid washing your vagina with soap, wash with only water,  there is a particular chemical in soap generally that is very dangerous and possibly causes cancer of the vagina, cases of cancer of the vagina is all over most of the general hospitals so be aware of this important message. If you have feelings for others kindly pass this message to others that are important to you.

⭕ 56  Girls  Died  Because  Of  Using  Whisper,  Stayfree Etc.

⭕ Don’t use One  Single  Pad 4 d Whole  Day  B’coz  Of  The  Chemical  Used  in Ultra Napkins Which  Converts Liquid into  Gel…it  Causes  Cancer in  Bladder & Uterus. So  Plz  Try  To  Use  Cotton  Made  Pads  And  if  You  Are  Using  Ultra  Pads, Plz  Change it Within 5 Hours, Per Day, At least. If  The  Time  is  Prolonged  The  Blood  Becomes  Green &  The  Fungus  Formed  Gets inside  The  Uterus &  Body.

⭕ Plz  don’t  feel  shy  2  forwd  this  msg  2 all  girls  nd  even  boys  so  that  they  can  share  with  their wives  N  friends, whom  they  care  for.

   ⭕ AIMS

Kick Off “Breast Cancer”.

🔺Nurse Ur Baby.

🔺Wash Ur Bra Daily.

🔺Avoid  Black  Bra in  Summer

🔺Do  Not  Wear  A  Bra  While  Sleeping.

🔺Do  Not  Wear  An  Under  Wire  Bra  Very  Often.

🔺Always  Cover  Ur  Chest  Completely  By  Ur  Dupatta  Or  Scarf  When U  Are  Under  The  Sun.

🔺Use  A  Deodrant  Not An  Anti  Perspirant.

🔺This  is  A  Public  Service  Msg  From  Tata Cancer Hospital.

⭕ Pass it 2 All The  Ladies  You  Care  For  Without Hesitating.

⭕ Awareness is important

⭕ I  Care  For  You

⭕ Plzz  Dont  Hesitate  To  inform  Other  Females  Forward  2  Evry Girl  On  Ur  List..!!…

⭕ I’ll  Start with u

❣❣❣Send to at least one group. 

▫▫▫▫▫▫▫

*Ulasan saya*

Beberapa asas perlu difahami oleh orang awam dalam penjagaan kesihatan dan pencegahan. 

1. Kanser adalah pembunuh utama wanita masa kini. Kanser pangkal rahim menduduki tangga pertama, diikuti pula dengan kanser payudara. Sememangnya ia amat digeruni oleh setiap wanita. 

2. Pengesanan awal dan rawatan awal amat penting kerana ia boleh merubah kesengsaraan hidup jika terlewat. Dengan tidak menafikan qodha dan qodar setiap insan, sejarah perubatan telah membuktikan rawatan seawal mungkin boleh memberikan jangkahayat lebih panjang kepada mangsa kanser berkenaan. 

3. Ramai masyarakat melayu masih ada sindrom penafian bahawa mereka telah dihinggapi kanser, mengakibatkan mereka lewat untuk datang merawat. Masuk hospital apabila sudah melepasi tahap lewat yang sekira-kira pakar bedah akan berkata “tidak boleh buat apa-apa”. Ini kerana tahap 3 atau 4 kanser biasanya mempunyai risiko kematian yang sama jika dibedah atau sebaiknya. Berbeza dengan rawatan tahap 1 dan 2 kanser. Ramai dari mereka yang telah berjaya melepasi waktu getir itu seterusnya sembuh setelah dirawat. 

4. Punca kanser bukan akibat coli berwarna-warni atau pad wanita berjenama tertentu. Nasihat yang diberikan oleh “Tata Cancer Hospital” itu menakutkan para wanita untuk terus memakai pad dan coli. Tiada kaitan pun. Malah Tata Cancer Hospital tu entah di mana atas muka bumi ni. 

Suhazeli Abdullah 

_Insan Faqir_

Fb.com/drsuhazeli 

suhazeli.com 

20.1.2017

Rabak, Sudan

, ,

Punca Kanser Rahim dari Perut? 


Isu Penyakit Kanser setakat ini mencapai carta teratas dibincangkan oleh orang ramai. Ini kerana kejadian dan kematian akibat kanser berada di sepuluh tangga teratas kejadiannya seluruh dunia. Apa sahaja nasihat, petua kesihatan atau seumpamanya yang berkait dengan kanser akan terus dikongsi oleh orang ramai tanpa mempastikan maklumat itu sahih atau palsu.
Lihat contoh mesej berikut:
*ASAL USUL KANSER DI RAHIM PERUT!!!*
Kongsikan untuk para wanita (Bila lelaki yang terima tolong di hantar terus kepada wanita di sekitar anda).
*Jangan minum air ais, air soda berkarbonat, dan air kelapa ketika haid kerana pori kepala sedang terbuka pada saat haid dan boleh menyebabkan sakit kepala. Sangat berbahaya kesan ini boleh di rasakan ketika muda dan ketika tua nanti.*
*Jangan makan timun ketika sedang haid kerana getah yang ada pada timun boleh menyebabkan haid tersisa di dinding rahim.*
*Selain itu ketika sedang haid, tubuh tidak boleh terbentur, terjatuh dan terpukul oleh benda keras terutama bahagian perut kerana boleh menyebabkan muntah darah dan rahim boleh terluka.*
*Kajian membuktikan minum ais ketika haid boleh menyebabkan darah haid tersisa di dinding rahim, setelah 5 – 10 tahun dapat menyebabkan “KISTA & KANSER RAHIM”.*
*Tolong sebarkan info ini* kepada wanita sama ada ibu, isteri, anak perempuan kita, mahupun teman wanita, sebagai langkah berjaga-jaga.
Sayangi wanitamu. Indahnya berkongsi ilmu pengetahuan. Jangan putus pada anda sahaja ya. Melalui 1 kiriman saja mungkin anda sudah menyelamatkan seorang wanita, semoga bermanfaat bagi para wanita.
*Sumber : LPK (Lembaga Penyuluhan Kanser).*
◾◾◾◾◾◾
Sayugia saya mengesyorkan kepada penulis artikel dari LPK (Lembaga Penyuluhan Kanser) tersebut supaya membaca kembali sistem badan manusia (anatomi). Entah wujud atau tidak LPK ini? Saya kira pelajaran anatomi manusia ini sudah mula diajar seawal UPSR dalam sukatan pembelajaran negara kita.
Sistem penghadaman manusia tidak ada kaitan terus dengan sistem otak (saraf) mahupun sistem peranakan (rahim). Justeru segala apa yang dimakan oleh kita tidak akan terus melekat ke dalam organ yang lain. Getah timun yang dimakan tidak akan menyebabkan haid seseorang tersisa di dinding rahim samada ketika haid atau sebaliknya.
Begitu juga meminum ais, tidak sesekali menyebabkan penyakit Cyst atau Kanser rahim wanita. Manakala minum air berkarbonat, air kelapa semasa haid bukan penyebab sakit kepala. Pori-pori (bahasa indonesia, Bahasa Melayu adalah liang peluh) tidak terkesan dengan peminuman sedemikian. Jika orang ramai tiada pengetahuan sistem badan ini, mudah terpedaya dengan andaian tidak benar ini.
Dalam bidang perubatan, terdapat empat jenis kanser rahim iaitu selaput dinding rahim dinamakan kanser endometrium, kanser yang berasal daripada otot dinding rahim iaitu liomiosarkoma (Leiomyosarcoma) dan kanser yang berasal daripada kedua-dua komponen selaput dan dinding rahim dinamakan karsinosarkoma. [1] Manakala kanser pangkal rahim pula adalah kanser yang paling kerap berlaku dalam negara kita.
Kanser rahim mudah dikesan disebabkan tanda yang sangat jelas terutama selepas wanita itu menopaus iaitu selepas ketiadaan darah haid. Antaranya, pendarahan yang berlaku selepas menopaus. Kebiasaannya wanita mengambil mudah apabila selepas menopaus, mereka didatangi haid semula.
Pencegahan kanser pangkal rahim adalah melalui saringan kesihatan, pemeriksaan awal pap smear dan pemberian vaksin HPV kepada anak-anak gadis.[2]
Pautan:

[1] Kanser Rahim. https://makna.org.my/2014/12/kanser-rahim-mudah-dikesan/

[2] Pencegahan Kanser Pangkal rahim. http://drrushdanoor.tripod.com/id22.html
Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

suhazeli.com
#MedicalMythBustersMalaysia

#MedTweetMY
12.1.2017

Ketengah Jaya

, , , , , ,

Hamil 4 Tahun dari Perspektif Sains

Berita Sinar Harian hari ni memaparkan seorang wanita Cina hamil 17 bulan.[1] Saya kira sesuatu yang mengejutkan dunia perubatan semasa dan perlu dibuat ‘case report’ agar ia menjadi satu catatan sejarah. Akan tetapi, diteliti dari sumber pemberitaan, sumbernya hanya dari wanita berkenaan, bukan dari pihak berwajib yang merawat beliau. Berat sebelah dan agak sangsi dengan dakwaan tersebut.

Boleh baca dialog ini:
*Ikuti sembang bersama sahabat karib Doktor dan Ustaz*
Ustaz J: السلام عليكم, Nak tanya seperkara. Air mani lelaki lama mana boleh kekal bertahan dlm rahim wanita sehingga membolehkan sampai wanita mengandung?
Dr S: Waalaikumsalam. Dalam ilmu perubatan, Air Mani lelaki boleh survive 72 jam, manakala Telur wanita 24 jam.
Ustaz J: Selepas 72 jam dia akan rosak dan tidak boleh menjadikan wanita hamil?
Dr S: Tidak active dan mati
Ustaz J: Apa pandangan doktor yang Imam Syafie kata selama-lama tempoh mengandung 4 tahun?
Dr S: Adakah sahih dari Imam Syafie? Atau Syafieyyah?
Ustaz J: Ok. Kalu syafiiyah.
Dr S: Ana lama duk cari matan dari Imam Syafie yg kata sedemikian. Ada dalam kitab mana? Mungkin Imam Syafie ada alasan yg dihurai dalam kitab tu. Jika ustaz boleh huraikan lagi baik.
Ustaz J: Ya, Sebab tempoh ni memang ada khilaf, 2, 4, 5 tahun dan 9-10 bulan.
Dr S: Tapi dari segi perubatan, ia diluar bidang perbahasan medik (Jika melebihi 9-10 bulan). Dengan kata lain mustahil. Kecuali…Dizaman yg tiada alat mengesahkan hamil seperti UPT (Ujian Air Kencing) atau ultrasound. Anggapan pakar pada masa tersebut adalah tidak datang haid dikira sebagai hamil. Ada sesetengah wanita (biasanya umur akhir remaja), setelah beberapa kali datang haid normal, kemudian tidak datang haid beberapa bulan hingga bertahun². Ini kerana kilang telur wanita muda berkenaan belum matang sepenuhnya. Justeru telur tidak pecah dan haid tidak terhasil (unovulatory cyle). Jadi mungkin (pada andaian ana) Imam Syafie melihat keadaan ini sebagai hamil bertahun lamanya. Dan malah masa sama wanita berkenaan juga berkahwin. Begitu juga pada keadaan tertentu, wanita mempunyai penyakit seperti ovarian Cyst (atau penyakit kilang telur / rahim) yang mengakibatkan ganguan kepada kitaran haid dan sesetengahnya tidak datang haid pada satu tempoh tertentu. Anggapan pada masa tersebut mengatakan dia hamil. Al Quran menyebut secara kiraan tempoh hamil dan menyusu bagi wanita lepas bersalin. Tetapi tidak dinyatakan secara kias tempoh maksima hamil. Jika kita lihat dalam hukum anak tidak sah taraf pun mengambil tempoh minima 6 bulan. Bermakna disini, kita boleh menolak hujah secara indirect yang mengatakan hamil melebihi 42 minggu. Maaf Ustaz, Ana juga masih kurang ilmu…itu setakat yang ana pelajari. Perbetulkan saya jika silap.

Ustaz J: Ya Dr. Hal ini juga menjadi khilaf yang besar di kalangan fuqaha’ Islam. Perselisihan pendapat dikalangan mereka adalah lebih merumitkan. Sesetengah fuqaha’ seperti Ibnu Hazm (Mazhab Zahiriyyah) dan Syi`ah Jaafari berpendapat satu kehamilan itu tidak boleh melebihi daripada tempoh 9 bulan. Sementara ulama’ yang lain pula seperti Ibn Rushd (Averroes) dan Ibn Abdul Hakam pula menerima 1 tahun (hijrah) sebagai had maksimumnya. Abu Hanifah dan al-Tsauriy pula berpendapat 2 tahun, al-Laith Ibn Saad menerima 3 tahun, manakala Imam Shafie, Hanbali, dan Zaidi mengira 4 tahun sebagai tempoh maksimum kehamilan. Mazhab Malik pula berpendapat 5 tahun, bagi al-Zuhri 7 tahun, manakala Abu Ubaid pula tidak meletakkan sebarang had tempoh. Adapun tujuan dan niat semua perbezaan pendapat dalam menentukan tempoh maksimum bagi kehamilan ini adalah untuk menentukan kejadian sebenar dan untuk mengelakkan ibu tersebut dari tuduhan zina yang boleh membawa kepada hukuman rejam. Undang-undang di negara-negara Islam juga berbeza-beza. Arab Saudi yang bermazhab Hanbali menerima tempoh maksimum kehamilan selama 4 tahun. Ketua Qadhi Makkah, Mustafa bin Abdul Qadir al-Alawi menghukum bahawa Khadijah (seorang wanita yang melahirkan anak selepas empat tahun dari tarikh perceraiannya) sebagai anak yang sah. Berdasarkan hukum Syariah, bekas suaminya yang menafikan nasab anak itu terpaksa menerimanya dan membayar nafkah kepada bekas isterinya itu sepanjang tempoh kehamilan, yang mana dikira masih di dalam `iddah. Allahyarham Sheikh Abdul Aziz bin Baz, bekas Mufti Am Arab Saudi dan Sheikh Bakr Abu Zaid, mantan Timbalan Menteri Kehakiman pula mengumumkan bahawa mereka berpendapat bahawa 7 tahun adalah tempoh maksimum bagi kehamilan.[2]

Dr S: Bagus juga huraian khilaf ini. Ada manfaat juga dari perundangan. Realiti zaman kini, tempoh maksima Hamil adalah 9 bulan (atau maksima 42 minggu). Tiada lagi bukti kajian yang menyatakan lebih dari itu. Bukan ana nak pertikai ulama muktabar, cuma perkiraan Imam Malik dan iman yang menyatakan lebih dari 42 minggu itu pula bersandarkan dari mana? Jika ada hujah kukuh insyaAllah, sains perubatan selari dengan agama. Mungkin pada masa tersebut betul ada pakar yang buat kajian dan imam-imam Imam muktabar mengambil hujah bahwa tempoh maksima ibu hamil itu lebih 4, 5 atau 7 tahun. Cuma pada masa kini tiada bukti itu. Mungkin masa akan datang, dengan kecanggihan teknologi, tidak mustahil kehamilan boleh menjangkau ke 7 tahun. Wallahuaklam.
Ustaz J: Dr, Islam tidak bertembung dengan waqi’ iaitu apa yang benar-benar terjadi. Oleh itu jika terdapat pada zahir pertembungan antara nas dan waqi’
Cara penyelesaiannya ialah tentukan status nas. Ada dua status nas.
1-Status kesohihan
2-Status penunjuk.
Semua ayat quran adalah mutawatir. Oleh itu setiap ayat tidak terlibat dengan proses penentuan status kesohihan. Hadis pula mesti melalui proses penentuan kesohihan. Hadis yang tidak melepasi proses ini tidak boleh dibuat hujjah. Contohnya  hadis  palsu atau terlalu lemah. Nas yang diakui perlu melalui proses kedua iaitu proses penunjuk. Maksud proses penunjuk ialah apa makna yang terkandung di dalam nas. Nas dari sudut status penunjuk ada dua:
A) memberi faham satu makna.
Nas ini tidak menimbulkan kekhilafan dalam memahami makna. Adakah ianya boleh dijadikan hujjah? Ya boleh dijadikan hujjah jika memenuhi syarat berikut;
1-tidak dinasakhkan
2-tidak bertembung dengan nas yang lebih kuat.
Inilah maksud yang disampaikan oleh al Qardowi Nas sohih dan sorih.
B) Memberi faham lebih dari satu makna.
Nas ini menimbulkan perbezaan pendapat. Berkaitan tempoh hamil yang kita bincangkan ini, tempoh sekurang-kurang disepakati oleh fuqaha kerana nas tersebut memenuhi dua ciri sohih dan sorih. Manakala tempoh paling lama berstatus nas yang boleh dipertikaikan. Maka timbul kekhilafan. Sekarang terbukti had maksima tempoh hamil ialah lebih kurang 9 bulan. Maka adakah pendapat ulamak perlu dirombak atau bagaimana? Cumanya untuk lebih mantap hujjah Ibn Hazmin patut diperhalusi. Sandaran pendapatnya berdasarkan perubatan pada zamannya atau ada hujjah dia yang tersendiri. Isu besarnya ialah dia mengganggap semua perkhabaran yang mengatakan tempoh hamil lebih dari 9 bulan adalah tidak boleh dipercayai? Mengapa  Imam Malik boleh menerima cerita yang dilaporkan kepadanya bahawa ada wanita hamil selama 4 tahun? Sedangkan Imam Malik seorang mujtahid dan ahli hadis. Adakah Imam Malik tidak menggunapakai metod tabayyun dalam menerima sesuatu perkhabaran? Kenyataan tempoh hamil 9 bulan oleh ahli perubatan jelas kepada semua pihak dan diterimapakai.
Dr S: Itulah Ustaz, apa yang saya sebut tadi adalah berdasarkan waqi terkini. Bukti tempoh maksima lebih 42 minggu pada zaman dahulu pun tidak disebut dengan jelas, cuma ikut pengalaman semasa tersebut berdasarkan bukti pakar perubatan pada masa itu. Terima lah seadanya.
Ustaz J: Apa maksud kehamilan palsu?
Dr S: Pseudopregnancy?
Ustaz J: Ana x tahu istilah perubatan tu.
Dr S: Ya. Ada istilah tersebut tetapi sepanjang karier sebagai doktor, tak pernah jumpa kes hamil palsu. Mungkin orang lain jumpa. Ada rakan ana yang jumpa.
Ustaz J: Sbb ada satu kes di sabah. Seorang wanita bersalin slps 2 tahun berpisah daripada suami. Mahkamah menetapkan sabit nasab kpd bekas suami atas alasan selama2 tempoh mengandung 4 tahun. Kalau dr segi kehakiman selamat nama baik wanita tersebut dan baby. Baby dpt hak2 dr seorg bapa.
Dr S: Kehamilan palsu / pseudocyesis / Pseudopregnancy biasa berlaku kepada haiwan Mamalia. Manusia jarang berlaku. Penyakit ini akibat dari perubahan horman dalam badan yang seolah-olah seseorang itu hamil. Tetapi secara hakikat sebenar melalui ultrasound, tidak hamil. Ini juga akibat dari kesan psychology bagi wanita yang terlalu mengidam inginkan anak.
Ustaz J: Isunya tulah. Ana ada baca artikel arab yg kaitkan fiqh dgn perubatan.
Dr S: Apa kata dia?
Ustaz J: Artikel tu tolak habis pandngan yg kata ngandung yg mengambil masa bertahun tu. Dia nukil pandngn ibn hazmin yg kata ngandung hanya selama 9 bulan dan sekrgnya 6 bulan. Kenyataan ngandung bertahun mengundang perbuatan keji wanita. Kemudian mendakwa kandungan tersebut drp bekas/arwah suami.
Dr S: Wah.. hampir sama dgn pandangan ana. Tapi dalam bab suami yang hilang, 4 tahun cut point.. Itu guna hujjah mana? Dr Wahbah Zuhaily ada sebut isu tu?
Ustaz J: Yg tu zaman dulu. Skrg dah x sama. Kena ijtihad. Tp ana x berani ijtihad. Kes hilang ni lain sikit ijtihad dia. Sebab undang2 yg terikat dgn satu mazhab sahaja.
Dr S: Ok
Ustaz J: Tkasih dr atas perbincngan
Dr S: Afwan

Semoga Bermanfaat
Dr Suhazeli Abdullah
_Insan Faqir_
Fb.com/drsuhazeli
#MedTweetMY
#MedicalMythBustersMalaysia

17.8.16

Rujuk:

[1] Berita Sinar Harian. http://www.sinarharian.com.my/mobile/global/17-bulan-mengandung-masih-belum-bersalin-1.553052

[2] Persidangan Fiqh Islam, Rabitah. Makkah 16-17 Feb. 1990.