Punca Pesakit Kencing Manis Mandul
Terima kasih atas soalan ini. Satu soalan yang kerap ditanya oleh pesakit. Ubat kencing manis bukanlah punca mandul. Tetapi sebaliknya kencing manis adalah salah satu punca tidak subur samada wanita atau lelaki.
Apa yang pasti penyakit kencing manis itu sendiri boleh menyebabkan ‘erectile dysfunction’ atau mati pucuk. Kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh menyerang saraf. Begitu juga wanita yang mempunyai kencing manis selalunya sukar untuk hamil kerana gangguan hormon kesuburan [1].
Kajian mendapati metformin (ubat kencing manis) boleh digunakan untuk merawat wanita yang mandul. Rawatan metformin ini bagi kes yang khusus dan perlu dibincang dengan pakar [2]. Pendek kata, metformin adalah selamat digunakan untuk salah satu dari rawatan kesuburan wanita dan ianya terjamin tidak mencacatkan janin jika hamil.
Begitulah juga insulin, selamat digunakan. Malah kita menasihati para pesakit kencing manis yang tidak terkawal dan mempunyai masalah kesuburan agar mengambil ubat kencing manis tanpa ingkar. Tujuannya supaya kencing manis mereka terkawal dan peluang untuk hamil adalah tinggi.
Sekian
suhazeli.com
Fb.com/drsuhazeli
1.6.2019
Masjid Ladang
Pautan:
[1] Kencing Manis dan Kesuburan. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/19863473/
[2] Metformin untuk rawat kesuburan. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/23379651/
