Posts

Penyakit Kencing Manis Punca Mati Pucuk

Stamina melakukan hubungan intim bersama pasangan bagi pesakit kencing manis akan berkurangan jika kawalan gula dalam darahnya tidak terkawal. Kenyataan ini adalah realiti bukan lagi fantasi.
Tetapi ramai pesakit malu untuk tampil ke depan dan berbincang dengan doktor secara hati ke hati bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Stigma hubungan kelamin tidak boleh dibincangkan kepada orang lain amat menebal. Sedangkan para doktor sudi menerima keluhan mereka, bahkan doktor adalah tempat terbaik untuk mereka mengadu masalah kesihatan. Bukannya penjual produk penguat tenaga lelaki ataupun perbomohan yang menggunakan kaedah yang menakutkan.
Para pesakit akan bertanyakan doktor mereka dalam bentuk pertanyaan yang berlapik. Mungkin sesuai dengan adat dan susila ketimuran. Ramai di kalangan mereka segan bertanya kerana doktor berlainan jantina atau merasakan doktor terlalu muda untuk bincang soal intimasi kelamin.
Di sinilah perlunya kebijaksanaan doktor untuk mengubah suasana segan semasa sesi konsultasi kepada suasana yang mengujakan.
Antara soalan yang kerap ditanya oleh pesakit, adakah ubat kencing manis punca kepada mandul atau alat kelamin tidak menyeringai?
Baik, mari kita kupas isu ini. Jangan pula anggap artikel ini sebagai artikel porno ye. Penerangan yang akan dibincangkan berkisar mengenai isu mati pucuk, tanpa menyembunyikan fakta yang sudah dan sedang dihadapi oleh para pesakit kencing manis seluruh dunia.
Fakta dari kajian mendapati 35-75% pesakit kencing manis mempunyai masalah mati pucuk berbanding hanya 26% di kalangan masyarakat umum yang tidak berpenyakit. Apabila pesakit kencing manis mula mengadu bahawa mereka bermasalah mengadakan hubungan kelamin, sebenarnya masalah itu sudah lama dipendam hampir 10-15 tahun sebelumnya [1]. Ini kerana masalah hubungan di ranjang agak terlalu sukar untuk diceritakan kepada perawat. Sifat orang Malaysia sebegitu.
Perkataan lemah tenaga batin itu sendiri boleh diketagorikan kepada beberapa keadaan;
  1. Keinginan melakukan senggama (libido) kurang. Berpunca samada stres kehidupan atau kencing manis itu sendiri menjadikan pesakit sentiasa tidak bermaya.
  2. Alat kelamin tidak cukup tegang untuk ‘berjuang’. Salur darah utama yang memberikan sumber tenaga melalui darah kemungkinan tersepit akibat kencing manis dan kolesterol.
  3. Tidak dapat menyudahkan nikmat hubungan kelamin (orgasm) akibat masalah libido dan tidak tegang.
  4. Ejakulasi yang terganggu samada terlalu cepat atau lambat boleh membantutkan keseronokan hubungan kelamin.
  5. Perasaan bersalah kerana tidak dapat memuaskan pasangan akan terus bersahutan setiap kali hubungan intim berlaku. Ini menambahkan lagi tekanan jiwa kepada kedua-dua pasangan. Akhirnya komunikasi dalam keluarga menjadi hambar. Punca berlaku perceraian akibat penyakit kronik seperti kencing manis ini sudah banyak dicatatkan oleh mahkamah syariah.
Apa yang pasti adalah penyakit kencing manis itu sendiri boleh menyebabkan ‘erectile dysfunction’ atau mati pucuk. Kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh menyerang saraf. Apabila saraf rosak signal untuk mendapatkan rangsangan seksual akan teraniaya. Arakian, terjadilah mati pucuk.
Begitu juga wanita yang mempunyai kencing manis selalunya sukar untuk hamil kerana gangguan hormon kesuburan [2]. Paras gula yang tinggi akan menyukarkan tindakbalas hormon ke atas kliang telur wanita.
Selain dari lemah tenaga batin, kencing manis yang tidak terkawal juga adalah salah satu punca ketidaksuburan organ peranakan samada wanita atau lelaki. Ini juga adalah fakta!
Gula penting dalam pembentukan air mani samada air mani lelaki atau wanita (sperma dan ovum). Tetapi kandungan gula yang tidak terkawal boleh merosakkan sistem pembentukan air mani tersebut secara optima [3]. Oleh yang demikian doktor akan selalu menasihati pesakit kencing manis agar mengawal paras gula mereka ke paras yang terbaik sebelum berusaha untuk hamil.
Menjadi dakyah sesetengah pihak yang benci kepada kaedah perawatan moden, menuduh ubat kencing manislah punca utama berlakunya mati pucuk dan mandul.
Padahal mereka lupa, matlamat utama rawatan adalah untuk mengawal kencing manis sekaligus boleh memulihkan semula kekuatan tenaga batin pesakit. Ubat kencing bukan punca masalah mati pucuk.
Malah sebaliknya kajian mendapati metformin (ubat kencing manis) boleh digunakan untuk merawat wanita yang mandul. Rawatan metformin ini bagi kes yang khusus dan perlu dibincang dengan pakar [4]. Pendek kata, metformin adalah selamat digunakan untuk salah satu dari rawatan kesuburan wanita dan ianya terjamin tidak mencacatkan janin jika hamil.
Begitulah juga insulin, selamat digunakan. Doktor  selalu menasihati para pesakit kencing manis yang tidak terkawal dan mempunyai masalah kesuburan agar mengambil ubat kencing manis tanpa ingkar. Tujuannya supaya kencing manis mereka terkawal dan peluang untuk hamil adalah tinggi.
Mati pucuk itu boleh dirawat. Jangan segan untuk berbincang dengan doktor apabila anda mempunyai masalah itu. Doktor tak pernah makan orang!
Sekian
1.6.2019
Masjid Ladang
Pautan:
[1] Kencing manis dan ketidaksuburan. http://clinical.diabetesjournals.org/content/19/1/45
[2] Kencing Manis dan Kesuburan. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/19863473/
[3] Pembentukan Air Mani di kalangan pesakit kencing manis. https://www.medicalnewstoday.com/articles/114472.php
[4] Metformin untuk rawat kesuburan. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/23379651/

Punca Pesakit Kencing Manis Mandul

Terima kasih atas soalan ini. Satu soalan yang kerap ditanya oleh pesakit. Ubat kencing manis bukanlah punca mandul. Tetapi sebaliknya kencing manis adalah salah satu punca tidak subur samada wanita atau lelaki.

Apa yang pasti penyakit kencing manis itu sendiri boleh menyebabkan ‘erectile dysfunction’ atau mati pucuk. Kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh menyerang saraf. Begitu juga wanita yang mempunyai kencing manis selalunya sukar untuk hamil kerana gangguan hormon kesuburan [1].

Kajian mendapati metformin (ubat kencing manis) boleh digunakan untuk merawat wanita yang mandul. Rawatan metformin ini bagi kes yang khusus dan perlu dibincang dengan pakar [2]. Pendek kata, metformin adalah selamat digunakan untuk salah satu dari rawatan kesuburan wanita dan ianya terjamin tidak mencacatkan janin jika hamil.

Begitulah juga insulin, selamat digunakan. Malah kita menasihati para pesakit kencing manis yang tidak terkawal dan mempunyai masalah kesuburan agar mengambil ubat kencing manis tanpa ingkar. Tujuannya supaya kencing manis mereka terkawal dan peluang untuk hamil adalah tinggi.

Sekian

suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

1.6.2019

Masjid Ladang

Pautan:

[1] Kencing Manis dan Kesuburan. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/19863473/

[2] Metformin untuk rawat kesuburan. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/23379651/

Mulberi dan Peria Katak Untuk Kencing Manis?

“Bukan ke ada kajian yang sebut daun Mulberi ini boleh sembuhkan kencing manis? Kenapa doktor hospital tidak gunakan bahan hasil mahsul dari negara sendiri, asyik guna ubatan kimia dari barat?”

Saya kira inilah konsep yang orang awam kurang faham. Kenapa doktor tidak terus menggunakan sesuatu bahan yang dikatakan telah berjaya dibuat ujikaji makmal atau haiwan. Ataupun mungkin kajian-kajian secara hirisan lintang yang tidak menyimpulkan secara tepat ubatan itu boleh digunakan dengan selamat atau tidak.

Zaman telah berubah, dan perubatan juga berevolusi sesuai dengan perubahan zaman. Jika dahulu-kala, semasa zaman tiada teknologi yang membolehkan kajian secara menyeluruh ke atas sesuatu bahan, mungkin kita boleh menggunakan bahan-bahan yang dirasakan sesuai untuk dijadikan ubat. Ianya mungkin hasil dari pengalaman orang tua-tua dalam merawat sesuatu penyakit. Cuba-jaya dijalankan oleh ahli yang mahir pada masa tersebut sehingga menghasilkan keputusan tertentu yang menjadi rujukan kepada perubatan di zaman kini.

Contohnya pokok Galega Officinalis, adalah sejenis pokok herba yang digunakan oleh orang dahulu kala bagi merawat kencing manis. Ianya digunakan secara meluas oleh para tabib pada masa tersebut. Akhirnya dengan evolusi dan teknologi perubatan masa kini, pokok Galega Officinalis itu dikaji terperinci di peringkat makmal, ke atas haiwan, ke atas manusia secara skala yang besar, maka terbentuklah ubat kencing manis moden yang diberi nama Metformin.

Usaha mengkaji ini bukan usaha yang sia-sia. Ulama sepanjang zaman pun menganjurkan kita sebagai seorang muslim yang menjalankan kajian. Jika kita tidak mampu menjalankan kajian, kita perlu menyokong segala bentuk kajian yang telah, sedang dan akan dijalankan oleh ahlinya. Itulah keluasan ilmu dalam tamadun kita.

Atas falsafah ilmu Allah itu luas, para pengkaji telah pun membuat kajian demi kajian. Penemuan demi penemuan diperolehi hasil dari kajian tersebut. Malah majoriti dari ubatan yang wujud dalam perubatan moden sebenarnya berasal dari alam semulajadi. Setelah kajian secara terperinci dijalankan, maka ianya selamat, berkualiti dan tiada kesan yang membahayakan manusia, baharulah ianya digunakan secara meluas kepada masyarakat umum. Inilah kaedah pendisiplinan ilmu yang diajar oleh para cendekiawan kita. Kita sesekali tidak boleh menggunakan sesuatu bahan itu selagi tidak sah selamat digunakan sehingga fasa 3 dan 4 kaedah kajian perubatan.

Saya ambil contoh, pokok Mulberi. Antara bahan aktif dalam ekstrak pokok mulberi yang menunjukkan potensi merawat kencing manis di atas piring petri dan model haiwan adalah 1-deoxynorjirimycin (DNJ) yang banyak didapati dalam daun mulberi. 1-Deoxynorjirimycin mengurangkan paras gula dalam darah haiwan kajian dengan menghalang aktiviti enzim alpha-glucosidase. Enzim ini adalah sejenis enzim yang mencerna struktur disakarida kepada glukosa di dalam usus kecil.[1] Apabila penukaran glukosa tidak terbentuk, maka kuranglah glukosa diserap masuk dalam badan. Secara teori ke atas haiwan, maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa daun Mulberi ini boleh digunakan untuk merawat kencing manis. Tetapi ingat ianya kajian ke atas haiwan.

Kemudian para pengkaji melanjutkan kajian fasa 2 dan 3 iaitu ke atas manusia, terdapat lapuran dari analisa-meta pada 13 kajian klinikal ke atas manusia membabitkan 436 subjek manusia mendapati, pengambilan ekstrak daun mulberi TIDAK memberikan kesan signifikan terhadap paras gula dalam darah (FBS) dan kawalan glukosa (HbA1c) berbanding kumpulan yang tidak mengambil daun mulberi. Maksudnya apa? Sebagai seorang doktor yang merawat pesakit, saya tidak akan menggunakan daun mulberi ini kerana kajian telah pun membuktikan tidak signifikan. Malah, sanggupkah pesakit memakan 3-6 helai daun Mulberi tiga kali sehari sepanjang hayat mereka? Jika dibuat dalam bentuk pil pun pesakit tidak boleh bertahan lama kerana DNJ itu mengganggu percernaan makanan dalam usus. Pesakit akan sakit perut dan kembung. Tidak selesa mengambil daun secara berterusan terutama jika berada dikhalayak ramai– banyak kentut.

Metodologi yang sama juga kepada Peria Katak. Kajian atas peria katak untuk kencing manis hanya terhenti setakat fasa 1 dan gagal di fasa 2 dan 3.[2] Namun ianya tidak menghalang anda untuk menjadikan peria katak sebagai makanan dan ulaman. Jangan salah faham dengan penerangan yang saya berikan ini. Cuma keperihatinan saya adalah bimbang dengan promosi jurujual jus/pil Peria Katak yang membawa pelbagai testimoni. Hakikat sebenar dari kajian, mereka tidak ceriterakan.

Saya melihat perbandingan antara Mulberi/Peria Katak itu dengan ubatan yang sedia ada dalam premis perubatan, seperti ubat kencing manis bernama Acarbose. Acarbose juga bertindak balas sebagai merencat enzim alpha-glucosidase. Acarbose telah pun lulus untuk kegunaan oleh semua doktor seluruh dunia dan lebih menunjukkan kesan yang positif berbanding dengan ekstrak daun Mulberi atau Peria Katak.

Inilah beberapa sebab kenapa saya selalu menerangkan pentingnya disiplin ilmu dalam merawat pesakit. Ianya bukan diambil sewenang-wenangnya atas dasar orang zaman dahulu telah menggunakannya. Tidak bermakna orang terdahulu itu tidak salah, tetapi tahap kesahihan melalui kajian sains itu terhad pada masa itu. Apabila sudah terbukti dengan kajian yang terkini, bermakna kita akan mengambilnya sebagai bukit untuk terus beramal. Mungkin 50 tahun akan datang, kajian-kajian seperti ini boleh berubah. Itulah sains.

Ambillah Kaedah fiqh, yang yakin adalah kajian yang telah dijalankan dan yang syak adalah andaian serta testimoni. Perkara syak itu tidak pernah pun dibuktikan secara objektif, maka tinggalkan ia.

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

“Perkara Yang Yakin Tidak Dihilangkan Oleh Keraguan (Syak)”

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

12.2.2019

Kuala Berang

Pautan:

[1] Mulberry dan khasiatnya. https://www.drcheputeh.com/blog/siri-46-pokok-mulberi-morus-alba-merawat-diabetes-dan-kolesterol-tinggi

[2] Peria Katak Ubat Kencing Manis. https://www.drcheputeh.com/blog/siri-32-momordica-charantia-peria-katak-pengganti-ubat-diabetes

Bolehkah Kencing Manis Sembuh?

Sudah banyak kali para pakar menegaskan bahawa setakat ini dan sehingga kini penyakit kencing manis belum dapat disembuhkan. Ubatan dan gaya hidup sihat yang disyorkan oleh pengamal perubatan seluruh dunia adalah hanya untuk mengawal paras gula dalam badan pesakit.

Justeru, dakwaan pihak-pihak tertentu yang kononnya rawatan mereka lakukan boleh menyembuhkan penyakit kencing manis adalah terpencil, kajian tidak menyeluruh dan tidak tepat. Malah jika diteliti semula dakwaan mereka, terdapat banyak bias, kecenderungan faktor lain dan konflik kepentingan tertentu.

Saya membaca kajian yang dilakukan oleh Prof Madya Dr Nik Rosmawati dan rakan-rakan dari USM berkenaan rawatan bekam yang berjaya menurunkan paras gula dalam darah pesakit kencing manis. Satu kajian yang bagus untuk dinilai dan tahniah atas kejayaan pasukan beliau mengemukakan bukti berkenaan. Namun tidak ada pun satu perkataan yang menyokong bahawa bekam itu satu-satunya kaedah atau rawatan menyembuhkan kencing manis. Bekam adalah rawatan komplimentari, bukannya rawatan utama dalam menurunkan paras gula pesakit kencing manis mahupun merawat pesakit buah pinggang.

Saya menghubungi sendiri Prof Nik Rosmawati untuk pengesahan. Beliau menyatakan bahawa pihak tertentu telah mengambil hasil kajian beliau itu diluar dari konteks yang sebenar. Malah jika dibaca ayat demi ayat laporan kajian yang beliau tulis serta bentangkan semasa konferens, tiada pun menyatakan bahawa bekam itu penyembuh kepada kencing manis, sakit buah pinggang mahupun penyakit kolesterol dalam darah. Begitu juga penulisan yang dibuat oleh Prof Abdul Aziz Al Safi dalam buku beliau bertajuk ‘Sains Bekam’, kaedah bekam yang beliau sarankan itupun adalah komplimentari kepada rawatan moden.

Para pengkaji akan senantiasa mencari jalan ke arah inovasi baru dalam rawatan. Terbaharu, pakar dari Universiti Miami berjaya menemui kaedah merawat kencing manis dengan menyuntik sel islet (sel asas pankreas). Di mana sel ini akan berfungsi menggantikan sel-sel Islet asal dalam pankreas seterusnya mengeluarkan insulin bagi mengurangkan gula dalam darah.[1] Namun rawatan ini masih lagi diperingkat kajian makmal dan tidak boleh lagi diguna pakai kepada seluruh pesakit di dunia secara meluas. Jika fasa kajian telah lengkap, baharulah pesakit-pesakit kencing manis boleh menggunakan kaedah terbaharu ini.

Begitu juga kaedah inovasi para pakar dari Poland yang menemui kaedah merawat kencing manis melalui pembedahan perut.[2] Satu penemuan yang memberangsangkan. Namun berapa ramai pesakit kencing manis yang sanggup dan mampu menjalani kaedah rawatan ini? Bayangkan seramai 3.49 juta pesakit kencing manis dalam negara kita, adakah mereka sanggup mengambil kaedah ini?Berapa banyak kos akan digunakan? Walaupun penemuan terbaharu itu berhasil dalam satu tahap tertentu, tetapi ianya perlu pula dinilai dari sudut praktikaliti dan kemunasabahan. Adakah ianya berbaloi atau tidak dengan kos dan penyakit yang dihadapi!

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

3.1.2019

Ketengah Jaya

Pautan

[1] Suntik sel Islet dari Universiti Miami. https://medicine-today.net/first-patient-in-diabetes-trial-is-now-diabetes-free/

[2] Sleeve Gastrectomy. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5106379/

Rawat Kencing Manis dengan Diet Ketat

Sahabat bertanya, adakah benar kenyataan seperti berikut: kombinasi sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menjadi alternatif menggantikan ubat. Kami dibidang perubatan senantisa dilatih agar mendapatkan sumber sahih sesuatu berita yang meragukan seperti itu. Ini kerana ianya tidak disandarkan kepada mana-mana sumber yang autentik. ia mungkin pengalaman pihak tertentu yang tidak boleh digeneralisasikan kepada umum.

Sebagaimana yang kita ketahui bersama bahawa kencing manis adalah satu penyakit yang kronik. Buat ketika ini tiada satu pun ubat yang meyembuhkan kencing manis sepenuhnya. Segala ubatan yang diberikan di premis perubatan moden adalah bertindak sebagai pengawal kepada kandungan gula dalam darah agar tidak meningkat. Ubat kencing manis atau insulin hanya boleh mengawal supaya gula tidak naik. Tiada ubat setakat ini boleh sembuhkan kencing manis. Mungkin hasil teknologi dan kepesatan perubatan pada masa depan dijumpai ubat untuk sembuhkan kencing manis.

Peranan ubat tersebut boleh berlaku dalam pelbagai mekanisma:

1) Jenis cucuk Insulin: Ianya Bertindak secara terus menggantikan insulin semulajadi yang sudah tiada dalam badan. Bagi individu normal, insuin akan dirembeskan oleh kelenjar pankreas. Kelenjar ini bertindak sebagai kilang pengeluaran insulin. Apabila paras gula dalam badan meningkat, pankreas akan merembeskan insulin bagi tindakbalas untuk mengurangkan gula. Justeru insulin luaran yang dicucuk akan mengambil fungsi yang sama dengan insulin yang dirembeskan oleh pankreas. Terdapat sebaran dari pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh insulin yang berada dalam pasaran negara kita adalah dari kinzir. Suka saya tegaskan di sini bahawa insulin adalah bebas dari sumber kinzir. Kaedah pembuatan secara teknologi kini sudah tidak melibatkan penggunaan unsur kinzir dalam pemprosesannya.

2. Tablet Metformin/gliclazide: Meningkatkan rembesan glukokortikoid, sejenis hormon alternatif bagi insulin untuk mengurangkan paras gula. Ubat metformin ini adalah paling banyak digunakan oleh seluruh doktor yang merawat pesakit kencing manis. Ia adalah ubat utama yang digunakan kerana berbentuk biji dan sesuai kepada semua peringkat manusia.

3. Tablet Acarbose: Menghalang serapan gula dalam salur usus. Mekanisma ubatan jenis ini sesuai kepada individu pesakit yang tertentu sahaja.

4. Tablet DP4 inhibitor: Merencat pencernaan glukosa dalam darah melalui tindakan hormon. Ubat terbaharu jenis ini adalah hasil dari kajian dan perkembangan teknologi.

Terdapat dikalangan pesakit saya yang mempersoalkan kenapa para doktor tidak mengkaji makanan untuk menggantikan ubat-ubatan. Kita lupa sebenaranya perubatan moden ini juga adalah hasil kajian dari herba serta unsur semulajadi yang berada disekeliling kita. Ubat Metformin yang saya sebutkan di atas tadi, adalah asalnya dari sejenis tumbuhan bernama Galega Officinalis. Setelah mendapati orang zaman dahulu mengambil tumbuhan ini bagi mengubati penyakit kencing manis mereka, maka para doktor terus melakukan kajian dan mengekstrak bahan aktif yang terdapat dalam tumbuhan tersebut untuk dijadikan pil. Lebih dari 52% ubat-ubatan dalam senarai ubatan perubatan moden di dunia adalah berasal dari herba. Kajian yang mengikut kaedah dilakukan terhadap tumbuhan tersebut, akhirnya terbentuk ubat yang dijenamakan sebagai ubat moden.

Bagaimana pula dengan pesakit yang hanya ingin mengawal makanan sahaja untuk menyembuhkan kencing manis? Ya, makanan berzat dan baik boleh membantu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Tetapi ianya bukan kaedah yang khusus. Pengawalan makanan ini juga senantiasa dinasihatkan oleh doktor setiap kali sesi rawatan di klinik.

Mungkin sesetengah orang yang mempu menggunakan kaedah paling esktrim pemakanan. Iaitu dengan hadkan mengambil makan sebanyak 600 kcal sehari. Memang paras gula akan berkurangan tanpa mangambil ubat hospital. Tetapi ingat! Tahu tak anda berapa saiz makanan seumpama 600 kcal itu? Anggarannya sebanyak 2 keping roti canai sehari. Boleh tahan tak kita makan roti canai sepanjang hidup sebanyak 2 keping sehari? Pesakit kencing manis dalam negara setakat ini seramai 4.38 juta orang, adakah mereka semua setuju untuk amalkan diet yang ketat? Memang terlalu sukar. Mereka yang menjaga pemakanan ektrim ini boleh mengawal gula tetapi tidak boleh menyembuhkan kencing manis sepenuhnya. Malah kajian terbaharu melarang pemakanan yang ekstrim kerana mudarat lain pula akan timbul.

Bagaimana pula dengan Pemakanan Sunnah? Tidak nafi bahawa makanan sunnah (jika terma itu boleh digunapakai) mempunyai khasiat tertentu seperti antioksida dan sebagainya. Tetapi sehingga kini tiada lagi bukti pemakanan sunnah itu secara spesifik bertindak sepertimana ubatan yang saya sebutkan di atas. Pemakanan yang halal serta baik itu boleh membantu secara umum dan doktor sendiri mengesyorkan. Namun ianya bukan gantian kepada ubatan yang sedia ada.

Ada sesetengah pihak yang mendakwa jus sunnah mereka boleh sembuhkan kencing manis dengan beberapa testimoni tertentu.

Saya pernah mengesyorkan kepada mereka yang membuat dakwaan itu agar buat kumpulan data. Senang sahaja. Hasil dari jualan yang mereka buat itu, kumpulkan 100 orang contohnya yang diberi jus dan buat kiraan statistik ringkas. Berapa % yang berjaya menurunkan kandungan gula dalam tempoh tertentu. Kaedah kajian ini agak terkeluar dari etika kajian saintifik, tetapi setidak-tidaknya kita mempunyai data sokongan yang boleh mendakwa bahawa jus tersebut berkesan, berkualiti dan tiada kesan sampingan (selamat).

Peru diingat rawatan kencing manis ini bukan setakat paras gula semata-mata, tetapi beberapa indikator lain yang perlu diambil seperti paras HBA1c, paras kolesterol, tekanan darah dan pengesanan komplikasi samada serangan jantung, buah pinggang, saraf dan banyak lagi. Tidak semudah kita melihat satu bacaan gula cantik dipagi hari, terus mendakwa bahawa kencing manis sudah sembuh.

Kencing manis adalah penyakit yang progresif. Keseriusan dan keterukan akan berkadar dengan masa. Semakin lama kencing manis, penurunan fungsi badan juga akan berkurangan. Lambat laun komplikasi akan menjegah jua. Samada cepat atau lambat itu bergantung kepada kawalan paras gula kita setiap jam.

sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

16.8.18

Jerangau

Adakah Gula Fruktosa dalam Buah Tidak Bahaya?

Buah-buahan Bahaya tak untuk pesakit Kencing Manis?

.

Sudah menjadi kefahaman umum bahawa doktor akan menasihati untuk makan buah-buahan dengan kadar yang sedikit bagi pesakit kencing manis. Malah pada masa tertentu doktor akan menghalang terus pesakit tidak memakannya kerana paras gula dalam darah mencanak naik. Kandungan fruktosa dalam buah-buahan juga memainkan peranan penting untuk penghasilan bacaan glukosa dalam darah.

.

Akan tetapi, terdapat satu sebaran video seorang penceramah dari India yang membuat ujikaji paras gula dalam darah. Penceramah tersebut membuat pembuktian bahawa fruktosa dalam buah-buahan tidak akan meningkatkan paras gula dalam darah melalui mesin glukometer. Darah yang pertama dicampur dengan glukosa, bacaan glukometer tinggi. Sebaliknya apabila darah dicampur dengan fruktosa, bacaannya turun. Kesimpulan yang beliau buat adalah, makan buah-buahan tidak sesekali akan menaikkan paras gula dalam darah. Kepercayaan yang diberitahu oleh para doktor sejak sekian lama hanyalah tipu. Tuduhan beliau lagi, pihak berkuasa sengaja menutup ‘kebenaran’ ini kerana takut industri perubatan lingkup.

.

Kesian saya tengok para penonton yang dikelentong oleh beliau. Ujikaji sains ini tidak difahami oleh mereka.

.

Glukometer gunanya untuk kesan kehadiran glukosa dalam darah. Strip yang digunakan mengandungi enzim glucose oxidase. Apabila glukosa darah berindakbalas dengan enzim tersebut, bacaan akan boleh dibaca mengikut paras tertentu. Glukometer hanya untuk tindakbalas glukosa (lakaran no 3), maka gula fruktosa tidak sesekali akan bertindakbalas. Oleh yang demikian sudah tentu campur sebakul gula fruktosa pun, bacaan glukometer tidak akan mencanak naik.

.

Bagaimana pula buah-buahan boleh menyebabkan gula dalam darah meningkat? Buah-buahan seperti rambutan, durian, mempelam dan pelbagai lagi mengandungi fruktosa yang tinggi. Apabila kita makan, perut akan memproses dan diserap masuk ke dalam darah. Gula fruktosa itu akan melalui proses penukaran kepada bentuk lain oleh hati (lakaran no 2)

~ 29 – 54% ditukar —> GLUKOSA

~ 25% ditukar—> LAKTAT

(Glukosa dan Laktat inilah akan dijana sebagai tenaga kepada sel-sel badan)

~ 15-18% pula akan disimpan dalam bentuk GLIKOGEN dan kurang dari 1% ditukar kepada TRIGLISERIDA (Sejenis Kolesterol).

.

Justeru, gula fruktosa buah akan tetap ditukar dalam jumlah tertentu dalam badan kita walaupun ianya tidak dapat dikesan melalui glukometer.

.

Beberapa nasihat berikut penting kepada pesakit kencing manis dalam penjagaan makan buah-buahan.

1) Elakkan pengambilan buah-buahan semasa perut kosong. Ini kerana penyerapan gula fruktosa sepenuhnya (setelah ditukar ke glukosa) tidak dapat ditampung oleh insulin yang lemah atau ubat kencing manis.

2) Pengambilan buah disarankan diambil sejurus selepas hidangan utama, dihadkan kepada 1 hidangan sahaja. Pada masa ini tindakan insulin atau ubat kencing manis adalah optima.

3) Maksimum 2 hidangan buah untuk sehari.

Berikut adalah contoh-contoh saiz hidangan buah untuk satu unit karbohidrat. Setiap unit membekalkan 15g karbohidrat:

a) 1 biji sederhana epal/ oren/ belimbing/ pear

b) 1 potong nipis betik/ nenas/ tembikai susu

c) ½ biji jambu batu/ mangga kecil

d) 5 biji sederhana rambutan/ laici

e) 2 biji manggis/ jambu air/ kedondong/ kurma

f) 8-10 biji kecil langsat/ duku/ anggur/ longan

g) 2-3 ulas sederhana cempedak/ durian/ nangka

.

Manakala Makanan berikut ini pula mengandungi karbohidrat ringkas (gula ringkas) yang akan meningkatkan aras glukosa darah dengan kadar yang cepat.

Senarai makanan yang patut dielakkan atau diminimumkan pengambilannya:

1) Gula putih, gula merah, gula melaka, gula batu, gula-gula, glukosa

2) Madu, jem, kaya, susu pekat manis, sirap.

3) Minuman ringan, minuman kordial

4) Biskut manis, roti manis, kuih manis, kek, aiskrim, coklat

5) Air tebu, air kelapa muda, minuman—minuman yang ditambah gula

.

Sekian nasihat pemakanan dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

5.1.2018

Kuala Berang

Kayu Manis dan Kencing Manis?

Orang Melayu memberikan nama kayu manis kerana ianya sejenis rempah ratus yang manis baunya. Kayu manis juga salah satu barang dagangan yang cukup bernilai zaman dahulu kala. Ianya juga menjadi salah satu bahan pengubatan herba sebelum masihi lagi. Popular dikalangan Mesir purba bahawa kayu manis digunakan untuk merawat batuk, sakit sendi dan sakit kerongkong. Bahkan rawatan turun temurun ini dikatakan boleh merawat kekejangan otot, muntah, cirit-birit, demam selsema, kurang selera makan dan mati pucuk.
.
Terdapat kajian bahawa cinnamon (nama saintifik bagi kayu manis) boleh membantu perawatan kencing manis, kurangkan kolesterol, elakkan nyanyuk dan sebagainya lagi. Kajian-kajian tersebut termuat dalam perpustakaan perubatan Amerika Syarikat dan UK. Namun kajian-kajian ini adalah kajian yang agak lama, sekitar tahun 2000 hingga 2006.[1]
.
Tiada halangan menjadikan kayu manis sebagai rempah ratus masakan. Aromanya pun semerbak wangi. Tetapi menjanjikan kayu manis ini sebagai ubat berkesan bagi menyembuhkan penyakit, adalah tidak tepat buat masa ini. Penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang dan beberapa penyakit kronik lain sehingga saat ini belum ditemui lagi ubat penyembuh. Ubat-ubatan moden diberikan bagi mengawal atau mencegah agar penyakit tersebut tidak terus merebak. Walaupun terdapat dakwaan dari pelbagai produk dalam pasaran, samada ianya “saintifik”, tradisional, alami dan seumpamanya, tiada pun satu bukti boleh menyembuhkan. Mungkin kelemahan dipihak pengeluar produk kerana tidak mengambil catatan yang kononnya mereka mendakwa pesakit sembuh dengan produk mereka. Tetapi apabila kita mahukan bukti berapa ramai atau peratusan yang berjaya, mereka tiada jawapan. Asas statistik ini mudah sahaja.
.
Cochrane.org, sebuah perpustakaan yang berstatus tinggi dalam dunia perubatan membuat penyelidikan berkaitan kayu manis (cinnamon). Mereka mendapati cinnamon memberikan kesan positif ke atas haiwan kajian. Akan tetapi kajian ke atas manusia masih lagi belum sahih pembuktiannya. Dalam 10 kajian Kawalan Rawak (Randomised Controlled Trial) seramai 577 pesakit, 2 gram cinnamon diberikan selama 16 minggu ke atas pesakit kencing manis jenis 1 dan 2; secara statistik kajian-kajian tersebut juga masih tidak mencukupi bukti keberkesanannya. Para pengkaji menyimpulkan kajian yang lebih besar perlu dibuat.[2]
.
Dalam satu dimensi lain, cinnamon ini mempunyai kesan negatif yang tersendiri. Sesetengah individu yang sensitif, cinnamon boleh meningkatkan risiko kerosakan hati. Bahan aktif yang terdapat dalam cinnamon adalah Coumarin. Menurut Jurnal Food & Chemical Toxicology, jumlah yang dibenarkan pengambilan seharian (Tolerable daily intake – TDI) coumarin ini sebanyak 0.07 mg/kg setiap individu sehari.[3] Campuran cinnamon ini ke dalam gulai, bubur atau teh dengan mudah boleh melepasi jumlah yang dibenarkan ini.
.
Contohnya; jika berat individu 72.1 kg, jumlah maksima TDI adalah 5 mg coumarin sehari. Sekilogram serbuk cinnamon mengandungi antara 2.1 hingga 4.4 g coumarin. Dengan anggaran sekilogram cinnamon boleh diceduk sebanyak 362.29 sudu teh, bermakna setiap sudu teh terkandung didalamnya antara 5.8 hingga 12.1 mg coumarin. Jumlah ini telah melebihi TDI setiap individu.
.
Kajian dari German mendapati perbezaan besar antara jenis-jenis kayu manis ini. Serbuk Cassia cinnamon lebih 63 kali ganda coumarin berbanding dengan jenis serbuk Ceylon cinnamon. Manakala kayu Cassia cinnamon mengandungi 18 kali ganda coumarin berbanding kayu Ceylon cinnamon.[4]
.
Justeru, berpada-pada lah mengambilnya. Samada semasa kita memasak di dapur rumah kita, ataupun membeli dari para penjual dalam apa bentuk sekalipun.
.
Sekali lagi… makanlah… tiada halangan. Jangan salah faham penulisan ini.
.
Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
19.10.2017
Abu Dhabi
.
Pautan:
[1] Benefit of Cinnamon.
[3] Food and Chemical Toxicology.
[4] Kesan Kesihatan makan Kayu Manis.

Air Kangen

#Mitos_Air_Kangen
Oleh Nazzatush Shimar Jamaluddin
Post ini panjang, melibatkan serba sedikit penjelasan berkenaan kimia. Tolong baca dan fahamkan. Nampak sukar difahami tapi sangat penting dalam aplikasi kehidupan seharian.
Apa itu ASID, BES dan ALKALI?
Di sekolah, kita diajar tentang konsep ASID & BES yang mudah menggunakan konsep Arrhenius. Sebatian itu dikatakan asid apabila ia membebaskan ion hidrogen atau hydrogen ion atau H+. Bes pula adalah apabila sebatian itu membebaskan ion hidroksida atau hydroxide ion atau OH-. Ini akan berlaku apabila sebatian2 tersebut berada dalam keadaan akueus atau berair. Memandangkan OH- dibebaskan atau dihasilkan apabila sebatian bes tersebut berada dalam larutan berair, ini bermakna sebatian bes itu larut air. MAKA, SEBATIAN BES TERSEBUT DIKENALI SEBAGAI SEBATIAN ALKALI.
Di peringkat sekolah, ion logam sentiasa bercas positif dan ion bukan logam sentiasa bercas negatif. Ion logam (daripada kumpulan I sehingga XIII) sentiasa bersifat bes dan tidak akan bersifat asid. Ini adalah konsep mudah di sekolah supaya pelajar faham konsep asas asid bes.
**PERINGATAN: Tanda ‘+’ dan ‘-‘ sepatutnya dalam saiz superscript.
Apabila kita berada di peringkat Form 6 atau Matrikulasi atau Asasi Sains, kita didedahkan dengan konsep asid bes yang lebih advance, iaitu konsep Bronsted-Lowry. Di sini, asid ditakrifkan sebagai sebatian yang kehilangan proton atau menderma proton. Proton, di sini bermaksud H+. Bes pula adalah sebatian yang menerima proton atau menerima H+. Memandangkan tidak semua sebatian bes boleh larut air, maka definisi bes adalah berbeza mengikut sebatian.
Apabila berada di peringkat universiti (khas untuk orang yang mempelajari kimia secara khusus juga untuk bidang sains yang lain), konsep asid bes akan dipelajari dengan lebih advance berbanding Arrhenius dan Bronsted-Lowry. Di sini, konsep Lewis diperkenalkan. Dalam konsep Lewis, asid adalah sebatian yang menerima elektron atau mempunyai ruang kosong yang masih boleh membenarkan elektron ditambah. Bes pula adalah sebatian yang menderma elektron atau mempunyai elektron yang berlebihan yang membenarkan ia mendermakannya pada sebatian lain yang kekurangan elektron. Ion logam bukan lagi sentiasa bersifat bes tapi juga bersifat asid.
Isu Kangen Water adalah isu yang mengaitkan kepentingan alkali dalam tubuh. Ye, tidak dinafikan yang badan kita perlukan alkali dan asid. Kedua-duanya sama penting. Strategi marketing pihak Kangen sangat misleading dan memutar fakta untuk disajikan kepada golongan berikut:
1. terdesak untuk sembuh daripada penyakit kronik

2. tidak pernah belajar sains (melibatkan orang kampung + orang kota metropolitan)

3. golongan pencen dan bakal mendapat durian runtuh dalam bentuk kepingan wang

4. golongan yg dilihat mementingkan agama, dalam hal ini agama Islam (dengan cara menyamakan air kangen dengan air zam-zam)
Persamaan air kangen dan air zam-zam: kedua-duanya bersifat ALKALI. Yeay!!! Marketing Kangen telah berjaya dalam hal ini.
Pihak penjual mengatakan bahawa badan berasid adalah punca kanser. Sebenarnya, sel kanser yang menyebabkan pengumpulan asid laktik di sekeliling sel tersebut. Perlu diingatkan di sini bahawa AIR ALKALI yang diwar-warkan dan dihasilkan oleh mesin Kangen TIDAK MENCEGAH ATAU MERAWAT KANSER DAN PENYAKIT-PENYAKIT LAIN.
Air alkali yang dihasilkan melalui mesin Kangen sebenarnya hanyalah mengandungi ion hidroksida (OH-) yang menyebabkannya bersifat alkali. Apabila diminum, air ini masuk ke dalam perut. Perut kita merembeskan jus gastrik yang mengandungi asid hidroklorik atau hydrochloric acid atau HCl. Apabila OH- memasuki perut, ion ini akan mengalami PROSES PENEUTRALAN dengan H+ daripada HCl dalam perut. Dalam hal ini, konsep asid bes Arrhenius diaplikasikan sebab melibatkan OH- dan H+. Proses peneutralan berlaku apabila bes/alkali bertindak balas dengan asid seperti persamaan di bawah:
                         Asid + Alkali —> Garam + Air
Garam ini bukan semestinya garam yang kita jumpa di dapur. Ada beribu jenis garam akibat tindak balas kimia yang berlaku daripada peneutralan asid dan bes/alkali.
Tindak balas peneutralan yang berlaku antara OH- dan H+ akan menghasilkan AIR. Ya, kawan-kawan sekalian, air yang akan terhasil. Untuk pengetahuan semua, air adalah sebatian neutral, bermakna ia bukanlah bersifat asid atau bes/alkali. Ini bermakna, meminum air Kangen yang alkali (sebab kehadiran OH-) itu samalah seperti meminum air yang bukan mengandungi OH- kerana akhirnya yang diserap oleh badan adalah molekul atau sebatian air.
Soalan: Kalau begitu, apa manfaat yang air alkali boleh beri?

Jawapan: Takda apa-apa manfaat. Minum ke tak minum ke, sama saja……
Untuk pengetahuan semua, molekul air tidak tercerai kepada H+ dan OH- begitu saja. Kalau begitu, bagaimana mesin Kangen menghasilkan air alkali yang mengandungi OH-? Ini terjadi melalui proses ELEKTROLISIS, iaitu perceraian menggunakan tenaga elektrik. Perhatikan bahawa mesin itu berfungsi hanya apabila disambungkan ke plug.
Persoalannya: Apa yang menyebabkan para agen mesin Kangen mencanang keistimewaan air Kangen seolah-olah menyerupai sifat alkali air zam-zam? Memang air zam-zam bersifat alkali. SANGAT BENAR tapi kealkalian air zam-zam tidak sama dengan kealkalian air Kangen. Adalah sangat penting untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di sebalik kedua-dua air ini.
ADAKAH AIR KANGEN SAMA DENGAN AIR ZAM-ZAM?
SAMA DAN TIDAK SAMA. Bagaimana tu?
1. Sama sebab kedua-duanya adalah beralkali.

2. Tidak sama sebab faktor penyumbang pada kealkalian mereka tidak sama menyebabkan manfaatnya juga berbeza.
Kealkalian air Kangen adalah disebabkan oleh penghasilan ion OH- daripada proses elektrolisis. Kealkalian air zam-zam adalah disebabkan kewujudan mineral penting yang terdiri daripada ion logam daripada unsur-unsur kumpulan II pada Jadual Berkala, iaitu;

Ion kalsium atau calcium ion atau Ca2+

Ion magnesium atau magnesium ion atau Mg2+
** ‘2+’ mestilah dalam bentuk superscript.
Agen Kangen mengatakan dalam beberapa video demonstrasi mereka, bahawa kalau takda air zam-zam, boleh gantikan dengan air Kangen. Kononnya sebab air Kangen beralkali seperti air zam-zam. KEKARUTAN MELAMPAU SEDANG MENELUSURI MASYARAKAT KITA. INI BERLAKU BUKAN SAHAJA DI MALAYSIA MALAH DI SELURUH DUNIA.
Mineral dalam air zam-zam adalah berguna pada badan. Ion logam yang terdapat dalam air zam-zam menyebabkan air zam-zam bersifat alkali. Manfaat ion Ca2+ dan Mg2+ adalah penting untuk kesihatan tulang dan otot manakala ion OH- dalam air Kangen adalah TIDAK BERGUNA pada badan, walaupun air Kangen beralkali.
Kealkalian atau keasidan adalah sama penting tapi manfaatnya dalam memberikan kesan terapeutik (kesihatan) bergantung pada kandungan unsur-unsur tertentu dalam air atau makanan tersebut. Apa yang berlaku selepas dimakan atau diminum adalah jauh lebih penting kerana setiap zat atau unsur yang terdapat dalam makanan dan minuman tidak mengekalkan struktur asal apabila masuk ke dalam badan. Zai-zat ini akan digunakan untuk menjalankan fungsi badan tetapi kalau zat itu tidak berguna, sistem badan akan mengeluarkannya.
Dalam hal air Kangen, kealkaliannya TIDAK BERGUNA atau TIDAK MEMBANTU dalam memberikan kesan pada kesihatan. Agen Kangen yang suka membuat kenyataan palsu secara besar-besaran hanyalah untuk menjual mesin. Memang penjualan mesin Kangen mendapat kelulusan KKM tapi itu untuk dijual sebagai penapis air, bukan sebagai alat untuk merawat. Selain itu, agen Kangen memandai-mandai mengatakan tentang pH terbaik untuk kesihatan. pH 11.5 untuk pesakit kanser, pH 5.5 untuk cuci muka dan sebagainya. Apa semua ini?
Kawan-kawan sekalian, pH 11.5 adalah hampir menyamai pH detergent di rumah. Kalau anda biasa cuci baju guna tangan menggunakan detergent seperti Breeze, Fab, Dynamo etc., anda tentu sangat arif yang tangan anda akan rasa panas. Detergent di rumah kita juga bersifat alkali. Kealkalian detergent sangat penting dalam memastikan cucian kita bersih tapi kealkalian air Kangen boleh dicurah ke longkang untuk memastikan longkang rumah anda bersih.
Saya tak terkejut kalau ada golongan yang mindanya tertutup tapi sangat pandai bercakap tentang ilmu Allah itu luas, ubat tidak menyembuhkan tapi Allah yang menyembuhkan dan sebagainya. Kalau begitu,
1. kalau anda rasa panas, jangan buka kipas atau penghawa dingin sebab kipas dan penghawa dingin tidak menyejukkan, Allah yang memberikan kesejukan.

2. lampu tak perlu pasang sebab lampu tidak berkuasa memberikan cahaya tetapi Allah yang beri cahaya.

3. kalau anda takda duit, tak perlu kerja sebab kerja bukan jaminan dapat duit, Allah yang berkuasa bagi duit.

4. kalau berlaku kecurian, jgn laporkan pada pihak berkuasa sebab nanti masuk TV, akan buka aib orang. Biarkan jenayah dia sebab itu antara dia dengan Allah.

5. SILA ISI SENDIRI heheheheh……
Faham tak maksud points di atas? Sila banyakkan bertanya dan berfikir. Kalau anda ditipu sebab pengetahuan anda terbatas berbanding orang lain, anda tak salah sebab bukan semua orang tau tentang semua perkara. Kalau anda dah cuba selidik tapi tidak jumpa jawapan atau dah tanya orang tapi orang tu tipu anda, anda tidak bersalah.
-Sekian-
Tulisan Nazzatush Shimar Jamaluddin
Bahagian 1.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209327363757422&id=1122954457
Bahagian 2.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209327979252809&id=1122954457
Bahagian 3.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10209328273860174&id=1122954457

Pesakit Kencing Manis Ketika Ramadhan

Ramadhan seolah-olah menjadi satu dilema kepada pesakit-pesakit Kencing Manis. Walaupun dari segi hukum keharusan untuk mereka berbuka puasa kerana penyakit yang dialami mereka. Berikut adalah beberapa kriteria yang ketat yang tidak membenarkan pesakit Kencing Manis berpuasa:

  1. Pesakit kencing manis yang tidak terkawal
  2. Pesakit Kencing Manis yang mengalami komplikasi serius seperti serangan jantung dan darah tinggi yang tidak terkawal;
  3. Pesakit yang pernah mengalami koma ketika berlapar;
  4. Pesakit yang sedang mengalami jangkitan kuman;
  5. Pesakit tua yang susah untuk mengenali tanda-tanda hipoglisemia atau hyperglisemia
  6. Pesakit yang pernah mengalami hipoglisemia/hiperglisemia sama berpuasa;
  7. Pesakit yang berumur kurang dari 12 tahun.

Berikut adalah teks asal dari Dr Hanisah Arsyad.

DM and Ramadhan-Dr Hanisah Arsyad