,

Jus Lemon Beralkali Anti Kanser?

Adakah benar jus lemon apabila dimasukkan dalam air panas akan berubah sifat jadi alkali? Sedangkan jus lemon itu masam dan ianya berasid. Kononnya alkali itu adalah ubat paling mujarab untuk pesakit kanser. Kononnya juga barat cuba sembunyikan khasiat lemon ini kerana jika dibongkarkan, maka industri perubatan moden akan bangkrap.

Teori jus lemon yang dicampurkan dalam air panas ini berubah sifat menjadi alkali sangat popular dalam media maya. Ini kerana mereka akan merasa pahitnya air lemon panas, justeru dianggap bahawa lemon panas itu beralkali.[1] Kemudian itu terdapat juga sebaran dari para penjual produk yang berasaskan bahan beralkali seperti air kesihatan dan sebagainya menyelitkan bahawa bahan yang beralkali itu penyembuh banyak penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi, strok, kanser dan banyak lagi. Maka laku keraslah produk kesihatan mereka.

Kita perlu ingat bahawa badan kita mempunyai keseimbangan asid-alkali. Bahasa mudahnya darah kita secara automatik akan menyeimbangkan pH darah. Tidak mudah bahan luar akan menganggu sistem darah kita samada menjadi berasid atau beralkali kecuali kita ditimpa penyakit. Tugasan keseimbangan asid-alkali ini akan dilakukan oleh buah pinggang.[2] Secara seimbang, darah kita akan berada antara pH 7.35 hingga 7.45. Biasanya pH darah kita akan senantiasa kekal di pH 7.40. Sebarang cubaan untuk menurunkan pH berasid atau menaikkan kepada suasana alkali akan terus dineutralkan oleh buah pinggang. Selain dari itu, sistem paru-paru yang membuang karbon dioksida dan beberapa asid bes lemah dalam darah akan terus diregulasi untuk menjadikan pH stabil. Oleh yang demikian, apabila kita memakan makanan yang berasid atau beralkali, sistem badan yang sedia utuh itu akan bertindak agar pH badan sentiasa kekal. Maksudnya keasidan atau kealkalian bahan yang kita ambil tidak akan mempengaruhi pH darah kita. Kajian menyatakan jika kita makan buah lemon sebanyak 8 kilogram sekaligus, pH akan berganjak sebanyak 0.2. Keadaan itupun, badan kita akan tetap stabil dengan jumlah buah lemon atau buah-buahan sitrus yang masam.[3]

Habis tu, kenapa jus lemon yang dimasukkan dalam air panas rasanya pahit? Adakah ianya beralkali. Ramai yang tidak tahu tindakbalas kimia ini. Apabila jus lemon dicampur dengan air, bahan asas yang banyak terdapat dalam kulit buah sitrus itu bernama Limonate A-Ring Lactone (LARL) akan bertukar kepada Limonin yang rasanya pahit (pede). Pahit di sini bukan bermakna jus lemon itu beralkali tetapi hasil kehadiran limonin yang menjadikan rasa pahit.[3] Lidah kita mudah terangsang rasa pahitnya limonin sewaktu air panas, berbeza dengan air sejuk. Deria pahitnya kurang dirasai dalam keadaan sejuk walaupun jumlah limonin tetap sama. Adalah disarankan, kulit lemon dibuang terlebih dahulu bagi mengurang rasa pahit jus.

Kefahaman salah diterapkan ke dalam masyarakat bahawa makanan yang berasid akan menjadi punca berlakuknya penyakit. Manakala makanan pahit atau beralkali itu sebagai penyelamat seperti mengurangkan kereputan tulang, anti kanser, kencing manis dan lain-lain lagi.

Banyak kajian telah dikemukakan berlawanan dengan kefahaman di atas. Sesuatu yang beralkali tidak membantu dalam merawat penyakit. Contohnya kajian dari Fenton TR yang membuat review menyeluruh berkaitan asid-alkali dan keutuhan kalsium dalam tulang manusia.[4] Beliau mendapati tiada kajian kukuh yang menyokong makanan berasid itu penyebab kepada kerosakan tulang akibat kekurangan kalsium badan.

Bahkan terdapat juga beberapa kajian lain yang menunjukkan makanan berasid seperti protin menjadikan tulang yang sihat.[5]

Begitu juga kefahaman salah yang menganggap makanan berasid penyebab kanser. Satu kajian yang komprehensif telah dibuat, mendapati tiada kaitan secara terus makanan berasid dengan kejadian kanser.[6]

Kesimpulannya, bahan berasid atau beralkali tidak memberikan perubahan kepada pH badan, sekaligus bukan menjadi punca kepada penyakit yang digeruni itu.

Sekian dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

5.3.2018

Ketengah Jaya

Pautan;

[1] Shin Hasegawa, Peter Ou, Chi H. Fong, Zareb Herman, Charles W. Coggins Jr., and Darwin R. Atkin. Changes in the limonoate A-ring lactone and limonin 17-.beta.-D-glucopyranoside content of navel oranges during fruit growth and maturation. J. Agric. Food Chem., 1991, 39 (2), pp 262–265. https://pubs.acs.org/doi/abs/10.1021/jf00002a008

[2] Overview Acid Base Balance. http://www.msdmanuals.com/home/hormonal-and-metabolic-disorders/acid-base-balance/overview-of-acid-base-balance

[3] Jus Lemon asid atau alkali. https://www.healthline.com/nutrition/lemon-juice-acidic-or-alkaline#section4

[4] Kajian Fenton TR. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/21529374/

[5] The acid base hypothesis on bone. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/11842948/

[6] Robey IF. Examining the relationship between diet-induced acidosis and cancer. Nutr Metab (Lond). 2012 Aug 1;9(1):72. doi: 10.1186/1743-7075-9-72. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3571898/

, ,

Guna Smartphones Penyebab Kanser?

Dengan nada bergurau seorang pesakit radang mata (conjuntivitis) memuat naik foto mata merah beliau dan menulis bahawa beliau sudah terkena kanser mata kerana bermain telefon pintar dalam gelap sebelum tidur.

Tulisan sinis beliau menjadi viral serius setelah disebar-luaskan oleh beberapa laman maya. Semua menyalahkan punca berlaku kerosakan mata termasuk kanser mata itu akibat dari penggunaan telefon pintar selama 30 minit di dalam gelap sebelum tidur. Amaran amalan berbahaya itu pula disandarkan kepada Profesor Li Li, pakar ofthalmologi dari Singapura yang kononnya tabiat buruk bermain telefon bimbit sebelum tidur boleh menyebabkan degenerasi makula (kerosakan saraf mata) dan ‘contract’ maculopathy – kanser mata (ejaan contract merujuk kepada kanser pun salah).

Isu tersebut mula tersebar tahun 2016 lagi dalam bahasa Cina dan English. Kemudian diterjemah kepada bahasa Indonesia dan Melayu.

Merah mata seperti yang disebarkan itu bukannya berpunca dari kanser mata atau degenerasi makula. Kemerahan seperti itu biasanya adalah radang mata (conjunctivitis). Puncanya pelbagai, termasuk jangkitan virus dan bakteria. Radang seperti itu akan pulih dalam tempoh 72 jam sahaja dan tidak mendatangkan komplikasi besar seperti buta atau kanser.

Bermain telefon dalam gelap tidaklah boleh memudaratkan sehingga terjadinya kanser. Dakwaan yang diviralkan itu adalah sengaja menakut-nakutkan orang ramai di zaman yang serba canggih ini.

Namun perlu juga diingatkan bahawa mata kita perlu rehat. Bila sampai waktu tidur, jangan dipaksa mata itu bersengkang dek kerana terlalu ghairah bermain dengan telefon pintar. Berilah peluang untuk tidur tanpa gangguan yang berlebihan.

Terdapat beberapa kes dilaporkan bahawa pengguna yang terlalu lama mengadap telefon pintar yang tinggi silau cahaya boleh menyebabkan kebutaan sementara (Transient Smartphone Blindness – TSB). Siri kejadian kes telah dicatat dalam beberapa jurnal seperti Canadian Journal of Ophthalmology [1], New England Medical Jurnal [2] dan PubMed National Library [3].

Silau TSB ini bersifat sementara dan tidak juga mendatangkan mudarat besar seperti macula degenerasi mahupun kanser mata. TSB ini seolah-olah kita memandang langsung matahari, pemandangan kita akan menjadi kelam seketika dan pulih semula dalam waktu yang tertentu. Jika anda juga mengalami keadaan ini, silalah ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

Sekian penjelasan dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

26.8.2018

Kuala Berang

Pautan

[1] Case series. https://www.canadianjournalofophthalmology.ca/article/S0008-4182(16)30801-8/pdf

[2] Nejm. https://www.nejm.org/doi/10.1056/NEJMc1514294?url_ver=Z39.88-2003&rfr_id=ori:rid:crossref.org&rfr_dat=cr_pub%3dwww.ncbi.nlm.nih.gov

[3] TSB. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5741272/

, ,

Bahaya Minyak Kitar / Panaskan Semula?

“Bahaya tak doktor kita guna minyak masak berulang² kali seperti menggoreng pisang, cekodok, keropok lekor dan sebagainya?” Satu soalan yang terpacul oleh seorang pesakit semasa sesi klinik.
Tersebar juga tulisan yang kononnya memanaskan semula makanan/lauk yang berminyak menyebabkan kanser kerana minyak tersebut akan bertukar menjadi Hydrogen Peroxide. Hydrogen Peroxide ini adalah sejenis bahan kimia terbitan setelah minyak bertindakbalas dengan hidrogen akibat pemanasan yang berulang². Betul ke? Bahasa yang berbentuk saintifik sebegini menyebabkan masyarakat awam mudah terpengaruh kerana mereka tiada asas dalam sains. Tambahan lagi, tindakbalas kimia yang berlaku apabila makanan bercampur dengan minyak dan haba yang panas, tidak pun dipelajari secara mendalam dikalangan masyarakat. Akhirnya mereka akan menerima bulat² tulisan sebegitu tanpa menyelidik lebih mendalam.
Cerita² sebegini memang sensasi dan seronok disebarkan sehingga menimbulkan rasa takut dalam masyarakat. Negara barat telah lama menanamkan ketakutan kepada rakyat mereka bahawa bahaya penggunaan minyak sawit. Dakwaan mereka bahawa minyak sawit itu mengandungi banyak lemak kolesterol berbanding dengan minyak bijirin lain seperti minyak jagung, minyak Bunga Matahari dan lain². Mereka juga membuat penambahan bahawa pemanasan yang lama serta berulang kali penggunaannya boleh mendatangkan bahaya kepada badan.
Terdapat beberapa kajian tikus makmal yang mengaitkan kemerbahayaan menggunakan minyak yang dikitar semula atau pemanasan berulang² itu. Jumlah kejadian penyakit² seperti serangan jantung, darah tinggi, sakit buah pinggang, hati dan lain² boleh berlaku setelah tikus² makmal berkenaan diberi makan minyak yang dikitar semula dalam tempoh tertentu.[1] Had minyak yang digunakan dalam kajian tersebut adalah melebihi 10 kali kitar semula. Kajian ke atas manusia belum dibuat lagi. Kajian yang berisiko seperti ini tidak perlu dilanjutkan ke atas manusia, kerana manusia mana yang sanggup jadi subjek kajian seperti tikus makmal itu?
Namun kajian dalam bentuk epidemiologi sudah banyak dijalankan. Kajian ini memerhati polar pemakanan sesuatu negara dan dipadukan dengan jumlah kejadian kes² seperti kegemukan, sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan seumpamanya. Secara tidak langsung pemakanan yang mengandungi lemak tepu mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia.[2] Namun, adakah kita terus membuang minyak masak yang digunakan sehari²? Atau terus menukar semua menu masakan kita kepada minyak bijirin yang kurang lemak tepu?
Untuk kefahaman lanjut bagi orang awam, minyak kegunaan seharian kita boleh dibahagikan kepada 3 kategori utama.
1. Lemak Tepu (SF – Saturated Fat) bermaksud komposisi rangkaian panjang Asid Lemak (long chain fatty acid). Contoh: Minyak sawit, santan, minyak kelapa dara.
2. Manakala Lemak Tidak Tepu (USF – unsaturated fat) adalah rangkaian Asid Lemak yang pendek. Terdapat dua jenis
i) Monounsatured (MUFA). Contoh: Minyak zaitun, avocado, kacang.
ii) Polyunsaturated (PUFA). Lemak Omega 3 & Omega 6 adalah dari jenis PUFA. Kedua-duanya adalah Asid Lemak Asas (Essential Fatty Acid). Lemak Omega ini membantu kurangkan risiko sakit jantung. Contoh: Ikan laut dalam, minyak jagung, Minyak soya, minyak bunga matahari dan minyak bijirin. Omega 3: Ikan laut dalam.
3. Transfat adalah lemak terbitan (setelah diproses). Maksudnya lemak yg terhasil selepas proses pengoksidaan. Contohnya minyak sayuran + hydrogen (hydrogenation process) ➡ Transfat (pejal). Kesan transfat dalam darah kita adalah meningkatkan lemak jahat (LDL), menurunkan lemak baik (HDL). Tetapi transfat ni rasanya sedap, sebab tu banyak digunakan. Sejak 2013, Badan Penguasa Pemakanan (FDA) mengistiharkan transfat sebagai tidak Secara Umumnya Selamat (GRAS- Generally Recognized as Safe). Contoh: Marjerin, Pastri, dan makanan proses, makanan segera.[3]
Makanan yang mengandungi MUFA dan PUFA adalah paling baik. Jadi banyakkan ambil jenis MUFA dan PUFA. Manakala makanan yang mengandungi SF dinasihatkan diambil dalam jumlah yang sedikit. Walaubagaimanapun dalam piramid makanan, pengambilan lemak adalah portion yang paling sikit. Mengambil lemak harus berpada-pada.
Baik, berbalik kepada isu panas semula makanan berminyak. Boleh ke? Secara umumnya memanaskan semula makanan di dapur rumah anda adalah selamat. Makanan tersebut tidak akan bertukar menjadi Hydrogen Peroxide seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak. Walaupun terdapat kajian yang menyentuh hal tersebut, tetapi kehadiran Hydrogen Peroxide adalah terlalu sedikit dan selamat dimakan.[4]
Sepatutnya apa yang lebih merungsingkan kita adalah mengkitar semula minyak dan memanaskan kembali melebihi had. Lebih dari 5 kali kitaran penggunaan adalah tidak digalakkan. Jika di rumah kita, mungkin senang untuk dikawal penggunaannya, tetapi jika di kedai² makan, siapa yang kawal? Pembakaran minyak masak berkali² ini akan menyebabkan minyak teroksida dan melepaskan sejenis kimia radikal bebas. Radikal bebas ini boleh mendatangkan risiko kepada tubuh badan. Pembakaran berulang² itu juga akan menghasilkan karbon. Karbon itu juga boleh memberikan risiko negatif kesihatan.[5] Oleh yang demikian kita akan melihat minyak masak berubah warna hitam setelah berkali² digunakan. Jika lihat dalam kuali pekedai minyaknya sama warna dengan kuali, batalkan lah hasrat nak beli. Cari kedai lain.
Sekian
13.7.2018
Gombak
[1] K Ku, S & S Muhamad Ruhaifi, M & S Fatin, S & Saffana, M & Kamarudin, Taty & Das, Srijit & Jaarin, Kamsiah. (2014). The harmful effects of consumption of repeatedly heated edible oils: A short review. La Clinica terapeutica. 165. 217-221. 10.7417/CT.20I4.1737. Online https://www.researchgate.net/profile/Kamsiah_Jaarin/publication/265473746_The_harmful_effects_of_consumption_of_repeatedly_heated_edible_oils_A_short_review/links/544dd7b40cf2d6347f45cfe6/The-harmful-effects-of-consumption-of-repeatedly-heated-edible-oils-A-short-review.pdf
[2] Beth Meertens and Garry Jennings. Sorting Fat From Fiction. 2018. https://www.heartfoundation.org.au/news/sorting-fat-from-fiction
[3] American Heart Association. Transfat. https://healthyforgood.heart.org/eat-smart/articles/trans-fat
[4] Hydrogen peroxide in edible oil danger. https://onlinelibrary.wiley.com/doi/pdf/10.1002/jsfa.2740400410
[5] Effect of repeatedly heat edible oil. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2582674/
,

Bahaya Air di Rebus Semula?

Hari ini disebarkan tulisan yang melarang orang ramai merebus semula air yang sudah dimasak. Kononnya air rebusan semula itu merbahaya kerana mengandungi ARSENIK, NITRAT & FLUORIDA. Penjelasan lanjut yang disebut dalam tulisan itu semacam ada logiknya kerana air yang sudah masak akan menghuraikan beberapa sebatian lain, di mana masakan kali kedua akan menjadi racun sehingga membahayakan kesihatan.

Adakah benar dakwaan itu?

Artikel sebegini sudah berlegar beberapa tahun dalam dunia internet. Pada asasnya artikel itu memberi amaran kepada masyarakat agar tidak meminum air kumbahan atau air yang tidak dirawat. Terdapat sesetengah tempat air takungan atau perigi/bawah tanah yang mempunyai kandungan arsenik, nitrat yang melepasi paras yang dibenarkan oleh pihak berkuasa persekitaran dan mutu air.

ARSENIK: Arsenik dibebaskan ke udara sebagai hasil sampingan dari aktiviti perleburan bijih, proses pengeluaran racun makhluk perosak dan baja. Namun demikian arsenik juga boleh di dapati semulajadi dalam bawah tanah. Ianya adalah sebatian yang boleh menyebabkan merosakkan kulit dan kanser dalam jangkamasa panjang.

Arsenik yang terdapat dalam minuman samaada dari pelbagai sumber tidak dibenarkan melebihi 0.6 microgram/kg tubuh kita sehari oleh pihak berkuasa. Jika berat badan kita 70 kg, pengambilan air yang mengandungi arsenik ini tidak lebih dari 42 microgram sehari. Bagi mendapatkan sejumlah 42 mcg itu, setiap individu dikehendaki meminum air sebanyak 2600 galen atau 10,000 liter air sehari. Dengan maksud, mana-mana air yang terdapat dalam sistem air minum kita (jika wujud arsenik) paras yang boleh menyebabkan keracunan arsenik adalah amat kecil. Merebus semula air tidak mengubah struktur arsenik ini kepada racun yang merbahaya.

NITRAT: Nitrat ini menjadi bahan asas dalam setiap air minuman kita. Ianya wujud kerana air minuman mengandungi klorin. Tetapi nitrat tidak mendatang keracunan atau kemerbahayaan kepada tubuh badan kita. Walaupun air direbus semula, nitrat tersebut tidak akan terurai dengan mudah. Cuma isu yang selalu dibangkitkan adalah kehadiran nitrosamin dalam air boleh menjadi risiko bahaya. Di mana Nitrosamin dipercayai sebagai sumber kejadian kanser kepada manusia (karsinogen). Nitrosamin ini terbentuk apabila ammonia daripada sumber yang tidak diketahui biasanya dari sisa buangan haiwan atau racun serangga, berinteraksi dengan klorin. Ammonia akan bertindakbalas dengan klorin dan terbentuknya nitrosamin. Kepekatan nitrosamin ini makin likat apabila air direbus dalam tempoh yang lama sehingga isipadu air berkurangan. Pun begitu, jumlah klorin dan kehadiran nitrosamin ini dipantau dengan ketat oleh pihak berkuasa. Setakat ini air minuman yang kita ambil tidak mendatangkan bahaya kepada tubuh kerana jumlah yang terlalu kecil.

FLUORIDA: Fluorida penting bagi pertumbuhan gigi yang sihat namun paras yang tinggi akan menyebabkan penyakit fluorosis atau kerapuhan pada gigi dan tulang. Fluorida di dapati secara semulajadi di dalam tanah, air, udara dan tumbuhan. Biasanya kandungan fluorida dalam air perigi, sungai dan tasik adalah di bawah paras 0.5 mg/liter. Paras yang tinggi biasanya dikesan di kaki gunung dan kawasan yang geografinya berasal dari enapan hidupan laut.

Dakwaan menyatakan bahawa florida ini mendatangkan kesan saraf kepada manusia adalah dangkal. Mereka menyamakan kajian ke atas tikus makmal yang menyebabkan tikus menjadi kerosakan otak. Mereka juga mengambil beberapa kajian yang berat sebelah bahwa fluorida ini boleh menyebabkan rendah IQ terhadap kanak-kanak. Sedangkan kajian timbal balik dijalankan menyangkal dakwaan tersebut. Bahkan, kadar yang dibenarkan kehadiran fluorida dalam air minuman adalah 4 mg/L, berbanding dengan kajian ke atas tikus yang didakwa fluorida merosakkan otak sebanyak 100 – 150 mg/L.

Bayangkan berat badan anda 75 kg, bagi mencukupi jumlah 4 mg/L air minum yang mengandungi fluorida, anda memerlukan 15 liter air untuk dimasukkan ke cawan teh, baharulah disamakan dengan julat yang dibenarkan itu. Bermakna, jika segelas teh tarik sepagi, tidak menimbul kerosakan otak anda sehingga dianggap biul.

Sekian jawapan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

19.3.2018

Ketengah Jaya

Pautan

[1] Bahan logam dalam air Malaysia. http://www.prn.usm.my/bulletin_articles_kosmik.php?Id=520

[2] Nitrosamine/NDMA in chlorinated water. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3214982/

[3] WHO statement. http://www.who.int/water_sanitation_health/dwq/chemicals/ndma2ndadd.pdf

[4] Mitos Rebus air dua kali. https://www.snopes.com/fact-check/never-boil-water-twice/

,

Bedah Mayat

Kami sering kali menerima kes kematian di rumah atau di bawa jenazah yang sudah tidak bernyawa ke unit kecemasan klinik. Istilah yang kami sebut adalah Brought In Death (BID).

Jika kes kematian itu boleh ditentukan penyebabnya, kami akan minta pihak keluarga untuk membuat laporan polis dan proses pengurusan jenazah diteruskan seperti biasa. Tiada masalah besar.

Namun terdapat kebanyakan kes yang kami klasifikasikan sebagai medikolegal. Bermaksud kes tersebut dihubungkaitkan dengan undang-undang seperti disyaki kes jenayah, kemalangan jalanraya atau tempat kerja, melibatkan insuran atau tidak dapat ditentukan punca kematian. Kes-kes medikolegal ini perlu dilakukan post mortem atau bedah siasat mayat.

Mayat tersebut wajib juga dibuat laporan polis dan dihantar ke rumah mayat hospital bagi bedah siasat.

Di sinilah bermula konflik antara doktor, polis dan waris si mati. Waris akan cuba menolak post mortem ini dilakukan. Antara alasan yang mereka selalu sebut adalah:

1- Bedah mayat dilarang oleh agama Islam kerana ianya menyiksa mayat. Terdapat beberapa hadis Rasulullah saw yang dinukilkan oleh mereka untuk berhujah.

2- Dakwaan bahawa doktor forensik akan mengambil organ dalaman untuk didermakan kepada orang lain tanpa keizinan waris.

3- Semua waris redha dan tidak akan menuntut apa-apa tuntutan kepada si mayat.

Justeru mereka semua menolaknya. Apabila berlaku sedemikian, kami akan menerangkan kenapa post mortem perlu dijalankan.

Terdapat beberapa isu yang perlu difahami bersama oleh waris.

A. Keizinan dan kebenaran waris untuk menghalang post mortem hanya dalam kes-kes tertentu.

i. Bagi kes-kes bedah siasat kes Polis kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.

ii. Bagi kes-kes bedah siasat klinikal, Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat. Bedah siasat klinikal ini adalah bagi kes yang meninggal dunia ketika dalam rawatan hospital.

iii. Bagi kes BID, doktor akan menilai samada kes tersebut melibatkan perundangan atau seumpamanya sehingga doktor tidak boleh menentukan punca kematian yang tepat. Kes ini perlu dijalankan post mortem.

Post mortem hanya boleh dibatalkan jika:

i. Bagi kes Polis, hanya pihak Polis boleh menarik balik arahan bedah siasat tersebut. Jika pembatalan berlaku, maka pihak Polis bertanggungjawab memberikan sebab kematian, bagaimana dan bila kematian itu berlaku.

ii. Bagi kes bedah siasat klinikal, waris boleh menarik balik kebenaran bedah siasat bila-bila masa sahaja.

B. Jenis post mortem adalah samada luaran atau dalaman:

i. Pemeriksaan Luaran.

Menjalankan pemeriksaan luaran untuk mendokumentasi kecederaan mayat. Pegawai Perubatan Kerajaan akan membuat pemeriksaan terperinci ke atas mayat antaranya pakaian si mati, keadaan mayat secara keseluruhan, perubahan-perubahan luaran yang berkaitan dengan kematian dan penyakit serta tanda-tanda kecederaan. Sekiranya sebab kematian dapat dikenalpasti atau tanpa ragu-ragu maka pembedahan mayat tidak lagi perlu dilaksanakan. Dokumentasi ini penting untuk kegunaan perundangan jika timbul kemudian hari nanti.

ii. Pemeriksaan Dalaman

Sekiranya pemeriksaan luaran masih tidak dapat mengenalpasti punca kematian, maka pemeriksaan dalaman perlu dijalankan. Ini termasuklah membuka tempurung kepala, rongga dada, abdomen, pelvis dan lain-lain anggota badan bila mana perlu.

iii. Pengambilan spesimen

Iaitu mengambil cecair badan untuk analisis toksikologi dan lain-lain ujian seperti pemeriksaan radiologi, kaji kuman, kaji tisu dan fotografi forensik. Adalah tidak benar dakwaan bahawa doktor akan ambil organ untuk didermakan kepada orang lain. Proses mengambil organ untuk derma tidak boleh sewenangnya dibuat kerana ianya terlibat dalam proses perundangan. Malah organ mayat yang sudah mati sudah tidak hidup selnya. Sesekali sel mati tidak boleh digunakan kepada orang yang hidup.

C. Hukum menjalankan post mortem telah dijelaskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan;

“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan;

“Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan . ”

Catatan Suhazeli.Com

Fb.Com/drsuhazeli

18.3.208

Manir

Pautan.

[1] Garis Panduan Bedah Siasat Mayat. http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/53-garis-panduan-bedah-siasat-mayat-menurut-perspektif-islam

[2] Dr Wan Zamri. Maksud Post Mortem. http://hrpz2.moh.gov.my/v3/uploads/FAQ/FAQ%20Forensik.pdf

, ,

BigPharma milik Yahudi? 

Saya termenung kesian apabila membaca tulisan yang bertajuk “BIG PHARMA milik Yahudi akan jatuh bangkrap jika semua pesakit kanser amalkan HABBATUS SAUDA”. Dakwaan tulisan tersebut bahawa Habbatus Sauda ini ajaib kerana kuasa penyembuhannya menandingi ubat kimoterapi yang termahal atas dunia ini. Kemudian beliau meletakkan beberapa kajian saintifik yang menyokong habbatus sauda, kononnya telah terbukti keberkesanannya.

.

Kenapa saya termenung? Pertama, saya kesian pada masyarakat yang masih lagi kongsi dan percayai pelbagai teori dari tulisan sebegini. Tulisan yang menyanggah adat perubatan kini banyak berlegar dalam dunia maya. Antaranya isu minum air sejuk di pagi hari[1], kacang soya[2], makan makanan berprotein[3], stevia[4] dan pelbagai lagi yang sudah banyak diterangkan kembali oleh para pakar yang ahli dalam bidang masing-masing. Sekali lagi saya kesian kepada masyarakat yang dahagakan ilmu, tetapi dihidangkan dengan penulisan berbentuk pseudosains ini. Habbatussauda bukan anti-kanser. Tidak boleh disamakan atau menandingi kimoterapi, kerana tidak pernah dibuktikan pun habbatussauda itu mengalahkan kimoterapi. Kita boleh lihat sendiri dalam sejarah perubatan samada modeb atau silam, tak pernah ada catatan pun habbatussauda itu anti kanser. Jika benar ianya boleh menandingi kimoterapi, sudah tentu banyak pelaporan yang dibuat, ditulis, malah pihak hospital pun akan menggunakannya. Perubatan moden tidak pernah dengki dengan sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada manusia sejagat. Malah kita tidak bangkrap pun jika tidak menggunakan jintan hitam ini.

.

Kedua, tulisan berkenaan selalu momokkan Bigpharma (kilang farmasi gergasi) mempunyai agenda Yahudi. Bigpharma akan membenamkan perubatan timur atau perubatan bergelar sunnah. Perubatan moden yang mengaut keuntungan akan bangkrap jika khasiat habbatussauda ini terbongkar!

.

Mengapa lemahnya kita? Kenapa sanggup mengucapkan ucapan pesimis? Sehingga seolah-olah bigpharma itulah yang terhebat dan kita tidak boleh menandingi. Kita sudah tiada izzah ke?

.

Saya lontarkan soalan sedemikian kerana, kita selalu mempersalahkan orang lain yang menampakkan kelemahan kita. Sedangkan kita muslim. Jika benar habbatussauda atau seumpamanya itu boleh menyembuhkan, bawalah bukti. Lantiklah saintis Islam yang boleh membuktikan, maka buktikan segera. Malah para perawat sendiri yang menDAKWA habbatussauda itu menandingi kimoterapi, buat catatan dan kemukakan berapa peratus pesakit mereka yang sudah berikan rawatan itu sembuh. Zaman kini memerlukan bukti. Jika benar berkesan, KKM pun boleh guna sebagai modul berubat. Jika sekadar dakwa, khasiat itu dan ini tanpa diterjemahkan berapa kes telah sembuh melebihi kimoterapi, maka ianya hanya berlegar diperingkat khayalan, bukannya realiti.

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

.

11.11.2017

Kuala Berang

.

Rujukan

[1] Minum air sejuk sebab buah pinggang. http://suhazeli.com/wp/?p=1601

[2] Cisplatin. Benarkah kacang soya menjahanamkan?. Root Of Science. http://rootofscience.com/blog/2017/kesihatan/nutrisi/benarkah-kacang-soya-menjahanamkan/

[3] Makanan Berprotein penyebab sakit buah pinggang. http://suhazeli.com/wp/?p=2000

[4] Cisplatin. Stevia – Pemanis atau Racun. Root Of Science.

http://rootofscience.com/blog/2017/kesihatan/stevia-pemanis-atau-racun/

, ,

Kepak Ayam Cucuk Hormon & Vaksin 

​KEPAK AYAM CUCUK VAKSIN

.

“Doktor, ada orang duk sebar makan chicken wing dan tengkoknya bahaya. Kata depa, boleh menyebabkan kanser dan sista kepada wanita.” Tanya seorang pesakit semasa sesi klinik.

.

“Apasal pulak kak? Jika tak mboh kepak ayam tu, bawa mari ssini lah, saya nak makan. Ruginya rezeki Allah beri.. ” Jawabku ringkas.

.

“Depa kata ayam leni semua cucuk hormon dan cucuk vaksin. Sebab tu ayam-ayam gemuk montel dan dipelihara sebulan lebih sahaja, beza dengan ayam kampung dan ayam organik.” Jelasnya panjang lebar sambil baca tulisan tular melalui wasap.

Isu ayam cucuk hormon atau vaksin seperti ini tular sejak 1999 lagi. Tidak diketahui punca sebenar tularan dibuat. Antara tulisan yang disebarkan adalah nasihat dari seorang

Jururawat senior dari London bernama Mr. Khalid Javed Alkhaili. Nasihat beliau berdasarkan pengalaman doktor yang merawat seorang perempuan yang mengalami penyakit sista (ovarian cyst). Kononya penyakit sista perempuan tersebut berpunca dari terlalu banyak memakan kepak dan tengkok ayam. Kepak dan tengkok ayam dikatakan adalah tempat tusukan jarum bagi hormon steroid. Hormon inilah yang menyebabkan sista, mahupun boleh penyebab masalah kepada wanita.

.

Maklumat yang saya perolehi, ayam-ayam semua tidak pun dicucuk hormon, ataupun vaksin. Malah ianya melanggar Akta Makanan 1983 dan Akta Akta Makanan Haiwan 2009. Begitu juga Badan Berkuasa Kawalan Makanan dan Dadah (FDA) melarang penggunaan hormon ke atas ayam ternakan sejak 1960 lagi.

.

Teknologi penternakan hari ini menyaksikan ayam diternak dalam tempoh masa yang singkat, iaitu dlm tempoh 40-45 hari. Apa yang menyebabkan ianya cepat membesar ialah jenis makanan yang diberikan. Terdapat dua jenis makanan yang diberikan kepada ayam iaitu makanan permulaan (starter) bagi ayam yang berumur 1-21 hari dan makanan penggemukan atau pertumbuhan (grower) pada umur 15-39 hari. Jika pasaran memerlukan ayam bersaiz besar maka makanan penghabisan (finisher) perlu diberikan ketika umur 40 hari hingga dijual.

Makanan diberi tanpa had (ad libitum) atau tidak dicatu. Makanan ayam tersebut mengandungi protein yang tinggi. Selalunya dari sumber soya yang kaya dengan asid amino.[1]

.

Ayam pedaging di Malaysia adalah majoriti daripada baka ayam Ross atau Cobb. Ia adalah baka ayam pedaging berasal daripada Amerika Syarikat dengan kebolehan tumbesaran yang pantas.[2] Adalah tidak benar tuduhan yang mangatakan ayam-ayam dicucuk hormon untuk menggemukkan mereka dalam tempoh yang singkat.
.

Ayam-ayam dicucuk hormon atau vaksin adalah fitnah dan keterlaluan. Cuba bayangkan satu reban ayam sebanyak 15,000 hingga 20,000 ekor ayam. Lenguh tangan tauke dan pekerja reban ayam nak cucuk vaksin dan hormon tu. Jika 10 reban, pendeknya lelah berjelirlah semua pekerja nak kerjun ayam-ayam tersebut.😓

.

Ayam-ayam pedaging sememangnya diberi vaksin. Tetapi bukan dengan kaedah cucuk seperti manusia. Ayam-ayam ternakan di dalam reban yang banyak itu diberi vaksin melalui campuran makanan dan air. Bagi kes-kes khas vaksin diberikan melalui titisan ke dalam mata atau mulut ayam.[3] Kemudian, geng antivaksin akan pertikai, vaksin tu halal ke haram? Di sini tidak timbul samada vaksin haram atau halal. Makanan atau bahan yang masuk ke dalam badan ayam dimaafkan dari sudut hukum. Andai makanan haram sekalipun, ayam-ayam tersebut dari segi hukumnya adalah binatang jalallah. Ibarat contoh, ayam kampung yang makan tahi, dan kita memakan ayam tersebut. Kita bukan makan tahi tetapi memakan daging ayamnya yang enak sehingga menjilat jari.

.

Kejadian kanser terhadap manusia bukan akibat makan ayam pedaging. Punca kanser adalah pelbagai. Merokok adalah satu-satunya punca jelas penyebab kanser. Jauhilah rokok bukannya ayam.

.

Dr Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

.

26.8.17

Kuantan
Pautan

[1] Akta Haiwan.

http://www.fao.org/docrep/013/al705e/al705e00.pdf

[2] Strain Ayam Broiler.

[3] Vaksin Ayam. https://www.merckvetmanual.com/poultry/nutrition-and-management-poultry/vaccination-programs-in-poultry

, ,

​Kanser: Perubatan Moden vs Sunnah

Oleh Istisyhad Eliyana | Pengidap Kanser dalam rawatan 
Beberapa kali saya menulis dan memadam tulisan ini kerana saya bimbang lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.  Namun setelah melihat kesedihan, harapan dan tekanan oleh pesakit lain,  saya rasa saya mahu teruskan. Sebelum itu saya meminta maaf sekiranya tulisan kali ini bukan apa yang anda mahu baca, atau bukan apa yang anda suka dengar. Saya juga berharap sebarang komen negatif (kalau ada) didatangkan dengan hikmah agar kita dengan lapang dada boleh menerima. Tulisan ini ditujukan bagi mereka yang menolak perubatan hospital secara total dan menyatakan orang yang memilih perubatan sebegini adalah islam yang tidak soleh. 
Islam adalah agama logik. Orang islam wajib percaya kepada perkara ghaib (yang tak nampak dengan mata, seperti tuhan, malaikat, syaitan, hari pembalasan). Bukankah untuk mempercayai perkara ghaib adalah bertentangan dengan logik? Tak nampak maknanya tiada? Mungkin ada benarnya tapi perkara ghaib ini tidak melawan fitrah kebanyakan manusia. Ianya logik. Tak nampak tapi ada. Kita tak nampak otak kita, tapi kita ada otak. Kita tak nanpak akal kita,  tapi kita berakal. Apa pun agama, pasti percaya pada adanya Pencipta mahupun hari pembalasan atau pun kuasa jahat. 

Begitulah dengan kanser. Mempercayai wujudnya kanser dan cuba mengubatinya dengan kaedah perubatan bukanlah satu perkara yang melanggar fitrah dan logik. Sebaliknya mempercayai kanser datang daripada syaitan dan mempercayai hanya ruqyah dan doa yang boleh mengubatinya adalah kepercayaan yang rapuh (bagi mereka yang tidak berilmu atau lebih tepat mereka yang mengikut tanpa ilmu dan kefahaman.
Saya tidak menafikan kanser berpunca daripada syaitan kerana kita semua tahu, syaitan dan jin atau apa sahaja makhluk lain mampu memudaratkan kita dengan izin dan kuasa Allah. 
Malah saya tertarik dengan pandangan guru saya yang menyatakan, kalau itulah kata orang (kanser daripada syaitan) itu lebih baik kerana lebih mudah untuk mengubatinya. Berdoa dan meningkatkan ibadah insyaAllah boleh merawatnya. 

Namun kanser bukan semudah yang disangka. Puncanya tidak diketahui dengan jelas, malah apa sahaja boleh jadi puncanya. Pengubatannya juga tidak mudah. Kalau kecacatan organ contohnya jantung,  sekurang-kurangnya boleh dibedah dan dibuat pembetulan. Tetapi kanser melibatkan sel, yang kecil.. Yang tidak nampak dengan mata kasar. 
Sudah tentu yang menyembuh itu adalah Allah dan kejayaan sebarang pengubatan itu juga datangnya daripada Allah. Bukan bermakna orang yang memilih doktor itu bertuhankan doktor sebaliknya mereka mengikut fitrah.  
Daripada Jabir bin Abdullah dari Nabi s.a.w sabdanya:
“Tiap-tiap penyakit itu (ada) ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit tersebut, maka sembuhlah dengan izin Allah”

(Riwayat Muslim dan Ahmad)
Adakah TG Nik Aziz dan juga TG Haron Din itu tidak soleh apabila membenarkan para doktor merawat mereka ketika hayat sehingga ke hujung nyawanya? 
Ketika perang Badar, Rufaydah ditugaskan merawat tentera islam yang cedera.  Kenapa tidak tentera itu bergantung dengan ruqyah semata dalam mengubati kecederaan mereka?

Madinah dan Mekah kaya dengan makanan sunnah. Namun adakah negaranya bebas penyakit? 
Melabel mereka yang menerima rawatan hospital sebagai orang yang syirik,  tidak soleh dan bertuhankan doktor adalah satu gambaran pemikiran jumud dan cetek. 
Kalau pesakit mempercayai ubat itu sebab penyembuh dah tentu boleh jatuh syirik. Sama juga seperti mereka yang mempercayai quran itu menyembuhkan atau makanan sunnah itu yang menyembuhkan. Itu juga adalah syirik. Kerana yang menyembuhkan itu adalah Allah dan ubat itu adalah asbab. 
Dalam kisah Maryam melahirkan Isa,  Allah memerintahkan Maryam menggoncang pohon tamar, maka gugurlah tamar ke bumi. Logiknya, adakah goncangan maryam itu mampu menggerakkan pohon tamar yang teguh berdiri? Kenapa tidak Allah menjawab sahaja doa maryam dengan menggugurkan terus buah tamar tanpa menggoyangkannya? Bukankah ini gambaran untuk kita berusaha? Gambaran bahawa doa itu perlu disertai usaha (dalam kisah ini usahanya berbentuk perbuatan fizikal: menggoyangkan)
Apakah anda fikir pesakit kanser ini tidak solat dan tidak berdoa kepada Allah? 
Tahukah anda yang pesakit berharap pada Allah dengan berendam air mata meminta agar menyembuhkan mereka. Mengamalkan doa dan tilawah quran kerana itulah jalan kedamaian kerana kami sedar yang menyembuhkan itu Allah dan pada Allah lah tempat bergantung. 
Manakala perubatan hospital itu dipilih kerana ianya sesuai dengan fitrah dan logik. Adakah dengan berjumpa para ustaz* anda dapat mengetahui tahap sakit anda, sejauh mana keseriusannya dan apa yang terjadi dalam badan anda? Adakah ustaz mempunyai superpower seperti mata xray yang boleh meramal apa yang berlaku dalam badan anda? 
*bukan merendahkan ustaz sebaliknya yakin doa orang soleh seperti mereka didengar Allah 

 

Allah tidak menjadikan doktor itu tuhan kerana tuhan tidak memerlukan alat untuk mengetahui sesuatu. Tetapi Allah kurniakan kepandaian dan kecerdasan akal buat manusia agar boleh memanipulasikan dan mencipta teknologi sesuai dengan peredaran zaman. Adakah wajar kita mensia-siakan kepandaian kita kalau itu boleh menyelamatkan nyawa ramai manusia?
Kalau begitu kenapa Allah jadikan engineer, doktor, guru dan peranan lain? Kenapa tidak Allah menghidupkan manusia dengan satu peranan yang sama?
Kalau sudah ada alat dan teknologi, apakah wajar disia-siakan? Maka janganlah para ustaz menggunakan microphone untuk mengajar kerana itu bukan sunnah Rasulullah. 
Tulisan ini boleh berlanjutan kalau tidak dihentikan. Oleh itu mahu saya simpulkan, kita bukan ulama mahupun hakim untuk menghukum manusia lain. Ulama pun tidak mengkafirkan orang yang berjumpa doktor,  siapa kita untuk mengkafirkan orang lain? 
Usaha datang dengan pelbagai jalan.  Jalan kebatilan pun boleh jadi usaha. Namun sebaik usaha adalah yang Allah redha dan prinsip saya rawatan utama adalah dari Allah.. Rawatan alternatif saya adalah perubatan hospital. 
Maaf andai terkasar bahasa.Baca dengan tone lembut seperti mana ketika saya menulis catatan ini.
Salam rahmah dari saya

Istisyhad Eliyana

Pesakit kanser tahap empat yang optimis

InsyaAllah

, ,

Budu dan Pegaga Ubat Kanser?

*#Budu_dan_Pegaga_Ubat_Kanser*
Budu adalah salah satu makanan rakyat Kelantan sejak turun temurun. Ia diperbuat dari pemeraman ikan dalam satu tempoh tertentu dan menghasilkan cairan seakan-akan sos, samada ianya sos bilis atau sos ikan-ikan tempatan seperti ikan tamban, ikan parang dan sebagainya. Rakyat kelantan amat bangga dengan penemuan kajian yang dijalankan oleh Dr Lee YY dan rakan-rakan mereka dari USM Kubang Kerian.[1] Mereka mendapati bahawa tradisi memakan budu dan pegaga dikalangan penduduk Kelantan secara tidak langsung mengurangkan jangkitan kuman H. Pylori.
.
Kuman H. Pylori adalah sejenis kuman yang paling banyak didapati dalam perut sebahagian besar manusia di dunia. Dicatatkan sebanyak 50 – 70% penduduk dunia dijangkiti dengan kuman H. Pylori ini.[2] Jangkitan kuman H. Pylori ini mengakibatkan perut akan menjadi nipis atau “luka” (Peptic Ulcer). Wujudnya kuman ini dalam perut kita boleh menyebabkan gejala sakit perut terutama ketika perut kosong, loya, kurang selera makan, selalu sendawa, perut sebu dan kurang berat badan mendadak.[3] Istilah yang biasa digunakan oleh orang ramai adalah penyakit gastrik. Pengesahan hanya boleh dibuat dengan beberapa ujian khusus yang akan dilakukan oleh doktor pakar.
.
Kuman H. pylori ini merebak apabila makanan tercemar dengan najis. Bawaannya adalah sumber air serta makanan yang tidak bersih. Kaedah pembuangan najis juga amat penting. Bagi pengguna tandas lubang, risiko untuk jangkitan kuman HP ini amat tinggi. Kanak-kana mudah dijangkiti terutama apabila berada dalam masyarakat yang miskin, kepadatan penduduk yang tinggi disesatu kawasan seperti setinggan, kaedah pengurusan kumbahan dan najis yang tidak teratur dan seumpamanya.
.
Bagaimana Ulser Perut ini boleh menyebabkan kanser? Pada tahun 1994, Agensi Kajian Kanser Antarabangsa mengklasifikasikan kuman H. pylori sebagai karsinogen atau bahan penyebab kanser.[4] Pengkelasan dalam kumpulan 1 karsinogen ini sama taraf dengan bahan-bahan lain seperti rokok, daging proses, arak dan radiasi matahari.
.
Berbalik kepada kajian yang dilakukan oleh pengkaji dari USM itu, kajian yang mereka lakukan adalah mengenai sosiobudaya dan amalan pemakanan dikalangan penduduk Kelantan. Menurut mereka Kelantan adalah salah satu negeri yang terendah jangkitan kuman H. Pylori. Mereka bukan mengkaji kejadian kanser dikalangan rakyat Kelantan. Penemuan utama mereka adalah mengenalpasti lima amalan yang tidak menjaga kebersihan boleh menyebabkan jangkitan kuman HP ini; penggunaan perigi, penggunaan tandas lubang, tidak memasak air minuman, tidak membasuh tangan selepas buang air besar dan sebelum makan. Manakala dalam kajian itu secara tidak langsung pengamalan seperti minum teh, memakan budu serta pegaga mengurangkan risiko jangkitan HP.
.
Kajian yang hampir sama dengan beberapa orang pengkaji China, mendapati amalan memakan makanan organ dalamam haiwan, darah, ikan, makanan laut dan ayam ternak menyebabkan kurang jangkitan kuman HP.[2] Asas kepada semua pencegahan jangkitan kuman HP adalah amalan pemakan yang baik dan bersih.
.
Kesimpulannya, adakah budu dan pegaga ubat kanser? Tidak secara terus. Ibarat seperti tulisan sinis yang mengatakan memakai coli di kalangan wanita adalah penyebab kanser payudara. Bukan akibat coli itu yang sebenarnya penyebab kanser, tetapi amalan lain seperti merokok, mimum arak dan seumpamnya lah yang menjadi punca risiko. Dengan kata lain, gaya hidup sihat, penjagaan kesihatan dan amalan makanan yang sihat secara terus boleh mencegah kanser dikalangan manusia. Elakkan mengambil bahan-bahan karsinogenik.
.
Semoga bermafaat
.
Suhazeli Abdullah
fb.com/drsuhazeli
5.7.2017
Kuala Berang
Pautan
[1] Lee Y. Y. et al. Sociocultural and dietary practices among Malay subjects in the north-eastern region of Peninsular Malaysia: a region of low prevalence of Helicobacter pylori infection. Helicobacter 17, 54–61 (2012). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/22221617
[2] Kajian Kuman H Pylori di China. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5004161/
,

Rice Cooker Penyebab Diabetes dan Kanser

​#Rice_Cooker_Penyebab_Diabetes_dan_Kanser

Saya membaca satu tulisan seorang ibu yang mengulas lanjut satu ceramah yang dihadiri beliau anjuran sekolah anaknya. Ceramah yang disampaikan oleh Pak Anto dari Lembaga Konsultan Kanker Indonesia. Ulasan tersebut berkisar mengenai bahaya menggunakan/menghangatkan kembali nasi dalam “Rice Cooker” melebihi 12 jam. Dakwaan dari penceramah tersebut bahawa amalan sedemikain boleh menyebabkan diabetis dan cancer. Diakhir tulisan berkenaan, terdapat beberapa senarai sayur-sayuran anti cancer yang disarankan oleh institut pencegahan cancer. Begitu juga dimuatkan tulisan bahawa penemuan resepi baru dari Negeri China dengan blender 12 batang kacang bersama 1 buah tomato adalah ubat paling mujarab bagi penyakit diabetes.[1]

Sekali baca saya sudah tahu bahawa artikel berkenaan adalah copy paste dari laman web Indonesia, yang mungkin udah berlegar sejak tahun lepas. Cuma sedikit ubahsuaian ayat supaya nampak keMelayuan. Seperti kanker==>Cancer,  Magic Com==>Rice Cooker dan beberapa perkataan lagi. Begitu juga tulisan yang mengaitkan pesanan dari doktor China berkenaan, juga telah di copy paste dari laman sosial lain supaya cerita nampak gempar.[2]
Artikel berkenaan sudah banyak disanggah oleh beberapa doktor pakar dari Indonesia sendiri.[3,4] Malah Pak Anto yang disebut-sebutkan itu tak diketahui siapa dalam Lembaga Konsultan Kanker Indonesia.
Nasi adalah sejenis karbohidrat kompleks. Bagi individu yang berpenyakit diabetes, dinasihatkan mengambil karbohidrat secara sederhana. Karbohidrat dalam nasi ini akan dicernkan dalam perut menjadikan gula yang lebih ringkas. Terdapat kajian mengatakan nasi yang disimpan lama akan sedikit tinggi kandungan gula (indeks glisemik). Ini kerana karbohidrat yang lama tersimpan akan mula terurai dengan pengoksidaan. Tetapi tidak sesekali akan bertukar menjadi bahan karsinogeik (pencetus kanser). Makan ajelah, jangan basi sudah.
Beberapa artikel dari barat cuba mengaitkan memakan nasi penyebab kanser kerana kulit nipis beras mengandungi arsenik, yang akhirnya mendatangkan risiko kanser. Tetapi Badan Berkuasa Makanan dan Ubatan (FDA) telah menjamin bahawa paras arsenik dalam bijirin yang bersumberkan dari tanah seperti beras adalah selamat dimakan.[5] Ironinya pihak barat yang ingin memburukkan nasi sebagai makanan ruji Asia dan menaikkan produk gandum mereka.

Tulisan berkaitan dengan sayuran anti kanser itu, tidak perlu saya ulas lanjut, kerana tiada pun pembuktian secara saintifik. Dengan tidak menafikan bahawa sayuran berkenaan berkhasiat untuk dimakan. Kebanyakan sayuran adalah anti oksida, baik untuk kesihatan secara umum. Saya pun selalu menggalakan kepada pesakit saya untuk mengambil sayur sebanyak-banyaknya. Konsep pinggan Suku-suku-separuh yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia patut diamalkan.
Suhazeli Abdullah

fb.com/drsuhazeli

suhazeli.com
4.6.2017

Ketengah Jaya
Pautan

[1] 5 kebiasaan menyebabkan diabetes dan kanker. http://www.netralitas.com/kesehatan/read/11480/awas-5-kebiasaan-ini-memicu-anak-menderita-kanker-dan-diabetes

[2] Sayuran anti kanker. https://web.facebook.com/KebajikanDe/posts/652526714810884?refid=18&__tn__=R&_rdc=1&_rdr

[3] Benarkah dilarang memakan nasi hangat? https://health.detik.com/read/2016/10/19/143134/3324409/1410/benarkah-dilarang-makan-nasi-yang-dihangatkan-selama-12-jam-di-magic-jar

[4] Nasi hangat beracun. http://health.liputan6.com/read/2631482/makan-nasi-yang-dihangatkan-bisa-beracun

[5] Beras mengandungi arsenik. https://www.fda.gov/food/foodborneillnesscontaminants/metals/ucm319870.htm

, ,

Pokok Ulam Raja Sembuh Kanser?

Saya selalunya melihat sebaran media sosial boleh mendatangkan harapan yang tidak tepat apabila isu ubatan/bahan yang belum sahih dibuktikan menjadi viral.

Ini kerana corak penceritaan mereka seolah sahih dari sudut perubatan tetapi ianya berlaku sebaliknya.

Diperhatikan kebanyakan jurujual menggunakan tektik sama bagi info perubatan herba yang dipromosikan itu. Antaranya:
1) Sandarkan bahan/ubat tersebut ciptaan Allah. {Guna agama}.
2) Beri testimoni tertentu. Biasanya kawan kepada kawan beliau. Jika ditanya balik siapa kawan kepada kawan beliau tu, dia pun tak pasti. {Guna testimoni}.
3) Sebut kajian lebih hebat berkali ganda merawat penyakit. Biasanya penyakit kanser jadi sasaran utama. {Guna dakwaan menyembuh tanpa rujukan sahih}.
4) Doktor pakar yang merawat kawan kepada kawan beliau terkejut dengan perubahan diri secara ajaib itu. {Guna reverse psycho}
5) Menyeru pembaca sebarkan ke seluruh pelusuk dunia, kerana Nabi suruh sebarkan ilmu walau sebaris ayat. {Guna agama}

*Nasihat saya*: Boleh dimakan ulaman ni (sedap perghh), tetapi jangan dakwa yang bukan-bukan boleh sembuh penyakit. Terutamanya dakwaan boleh menyembuh penyakit² kronik seperti kanser, kencing manis, darah tinggi dan lain².[1] Hingga kini tiada terdapat satu pun kajian ke atas manusia ulam raja ini boleh menyembuhkan kanser. Ianya hanya testimoni pelaris kepada jurujual jus ulam.

Dr Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
30.9.2016

Bukit Gambang
Pautan:
,

Makanan Sejuk Beku Sebabkan Kanser? 

Oleh Puan Ruqayyah Muhd | Dietitian HUSM 


“ Puan, betul ke makanan yang dah disejuk bekukan boleh menyebabkan kanser? Bagaimana saya nak sediakan makanan setiap hari. Adakah saya perlu beli lauk di pasar segar setiap hari? Ikan , ayam di pasar pun biasanya dah disejuk bekukan. Tolong bagi pencerahan Puan.” Mesej seorang Ibu muda kepada saya di awal pagi. 
“oooo..betul la..makan makanan sejuk beku ni boleh sebab kanser. Jiran saya bagitau, dia selalu makan makanan sejuk beku ni. Sebab tu kena kanser.”
“ Kawan saya beritahu, anak dia kena kanser sebab suka makan makanan yang dah disejuk beku ni. Habis susu ibu yang dibekukan semua tu macamana. Boleh ke nak bagi anak minum? Macamana dengan makanan puri yang disejuk bekukan. Habis la anak saya ken kanser pula nanti.” Tanya pula seorang lagi sahabat saya. 
Penyakit kanser adalah sesuatu yang sangat ditakuti oleh setiap individu. Rawatan kanser dan kesan daripada kanser sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pesakit dan juga keluarga. 10 tahun di dalam pediatrik Onkologi, sudah banyak pesakit yang saya lihat dan ikuti perjalanan mereka.  
Penyakit kanser disebabkan pelbagai faktor luaran seperti, merokok,  jangkitan oragnisma seperti bacteria H.Pylori, diet yang tidak sihat dan gaya hidup yang tidak sihat. 

Selain faktor dalaman seperti mutasi genetik, hormone dan imuniti tubuh. 

Saya hanya mahu sentuh topik diet sahaja hari ni. Diet dikaitkan dengan beberapa jenis kanser seperti kanser perut, kanser mulut, kanser paru-paru, dan kanser usus. 


Apakah contoh diet yang menyebabkan ia boleh membawa kepada kanser?
• Makanan terproses :
Roti, biskut, bijirin sarapan segera, produk kentang (potato chips, fries, hasbrowns ), kopi adalah antara makanan yang mengandungi acrylamide. 
Apa itu acrylamide? 
Ia merupakan bahan kimia yang  terbentuk daripada asid amino(aspargine) dan gula asli yang terkandung di dalam  makanan yang berkanji dimasak dengan suhu yang tinggi semasa menggoreng, membakar dan memanggang.  Ia didapati juga di dalam makanan mentah di dalam jumlah yang rendah. Namun apa bila didedahkan dengan suhu yang tinggi, ia akan meningkatkan arasnya di dalam makanan itu. 
Senang cerita, apabila kita membakar jagung, atau kentang atau roti atau mengubahsuai tepung menjadi roti dan kek contohnya, ia akan menyebabkan penghasilan acrylamide. Sama juga apabila kita mengubahsuai ubi-ubian kita menjadi kerepek dan kudap- kudapan, ia akan membentuk juga acrylamide. 
Bagaimanapun cara masak seperti merebus, mengukus dan masak menggunakan ketuhar gelombang mikro tidak menghasilkannya. Tempoh memasak yang lama dan suhu yang tinggi melebihi 120C meningkatkan penghasilannya di dalam makanan. 
Selain itu, lemak atau minyak yang digunakan apabila kita memasak akan teroksida dan membentuk acrolein atau asid acrylic. Kanji daripada kentang contohnya akan ditukarkan menjadi gula ringkas dan boleh juga membentuk acrylamide di dalam makanan, 
Acrylamide banyak di dapati daripada sumber tumbuhan seperti ubi-ubian (kentang dan produknya), makanan bjiirin. 
Namun ia tidak didapati daripada makanan daging dan ikan, susu dan produk tenusu dan juga sayur-sayuran berdaun. Apatah lagi susu ibu. Menyejuk bekukan makanan ini tidak akan meningkatkan risiko mendapat kanser. 
 Namun begitu, ROKOK mempunyai aras acrylamide yang tinggi biar kepada perokok atau orang di sekelilingnya. Merokok bukan sahaja membawa kemudaratan kepada perokok malah kepada anak kecil yang masih lemah imunitinya. Jauhi perokok dan berada di persekitaran yang toksik ini. 
Acrylamide juga boleh didapati dalam kehidupan seharian hasil pendedahan kepada bahan ini di dalam bahan kosmetik, pemprosesan makanan, pengilangan produk kertas, industri pembinaan dan pelbagai lagi yang boleh meningkatkan risiko kanser. 
Diet sahaja bukan menjadi faktor utama mendapat kanser. 
Bagaiamana untuk mengurangkan acrylamide?
Acrylamide boleh didapati samada di dalam masakan di rumah, atau di dalam makanan terproses. 
Langkah awal adalah elakkan makanan terproses yang telah dinyatakan untuk mengurangkan pendedahan kepada bahan ini. 
Simpan kentang  dan sayuran berubi di luar peti sejuk kerana acrylamide meningkat apabila disimpan di dalam peti sejuk. 
Rendam kentang di dalam air dalam tempoh 15minit sebelum menggoreng atau memanggang untuk mengurangkan acrylamide. 
Lebihkan cara masak merebus dan memasak  sayuran berubi menggunakan ketuhar gelombang mikro berbanding memanggang, menggoreng dan membakar  di atas api dalam suhu yang tinggi. 
Elakkan menggoreng kentang sehingga bertukar warna coklat gelap. Ini akan meningkatkan aras acrylamide. 
Apabila membakar roti, hanya bakar sebentar sahaja sehingga ia bertukar warna coklat cair sahaja. 
Bahagian yang berwarna coklat gelap mempunyai kandungan acrylamide  yang lebih tinggi. 
• Daging terproses
Sosej, nugget, burger, daging cincang  dan pelbagai lagi jenis makanan yang terproses dikaitkan dengan risiko kanser yang tinggi. 

Ini adalah disebabkan oleh kandungan sodium nitrat dan nitrit yang tinggi digunakan untuk mengawet daging bagi mengekalkan warna merah pada daging dan mengelakkan makanan itu cepat rosak. Bahan ini kemudiannya akan ditukarkan kepada bahan kimia yang dipanggil N-nitroso di dalam badan yang boleh menyebabkan kanser. 
Makanan ini juga mengandungi kandungan garam dan lemak yang tinggi apabila bahan yang digunakan di dalamnya termasuklah orgam, lemak dan lebihan daging . 
Memasak daging dalam suhu yang tinggi seperti membakar atau barbeku juga boleh menghasilkan bahan kimia heterocyclic amines (HCAs) and polycyclic amines (PCAs).
Hasilkan nuget dan sosej yang segar di rumah berbanding makanan yang terproses. Pasti lebih selamat. Pasti lebih baik berbanding makanan di luar.  Bagaimana membuatnya? Banyak resepi yang telah dikongsikan masa kini mengenai cara penghasilan nuget dan sosej yang mudah. Tuan Puan boleh buat carian di internet dan mengaplikasikannya di rumah. 
Suka saya bawakan petikan daripada buku saya, “ Apabila Dietitian Bercerita” buat kita fikirkan bersama. 
“ Tak bahayakah beri makanan yang sudah masak dan disejukbekukan macam tu kepada anak?” tanya seorang ibu muda. 
“ Pernahkan puan terfikir soalan yang sama tentang makanan yang disediakan sebelum anak lahir lagi dan boleh bertahan sehingga sambutan hari lahir anak yang kedua?”
Ruqayyah Muhd

Dietitian

#medicalmythbuster

#kakakdietgojes

,

Bahaya Air Botol Plastik dalam Kereta

Mengaitkan perkara rutin dalam amalan kita dengan kanser banyak disebarkan dalam media sosial. Salah satu darinya adalah; air dalam botol plastik yang terjemur dalam panas kereta boleh menyebabkan kanser. Lantas diberi contoh selebriti TV yang menghidap kanser akibat meminum air dalam botol plastik yang sudah lama berada dalam kereta.

Berikut adalah sebaran maya yang sudah menjadi tular:

Air dalam botol plastik di dalam kereta anda, sangatlah merbahaya!!!! Dengan cara inilah Sheryl Crow mengalami kanser payudara. Dia tampil di acara Ellen Show dan mengatakan perkara yang sama. Perkara ini telah diidentifikasikan sebagai penyebab paling utama pada kanser payudara, terutamanya di Australia.Doktor berkata : wanita tidak boleh meminum minuman yang sudah lama berada di dalam kereta. Hawa panas yang memanaskan bahan plastik dalam botol memiliki bahan kimia tertentu yang boleh menyebabkan kanser payudara.Jadi sila berhati-hati dan jangan minum air dalam botol plastik yang sudah ditinggalkan di dalam kereta, dan share perkara ini untuk pengetahuan rakan-rakan anda. Maklumat seperti ini sangatlah kita perlukan dan kita harus berhati-hati, dan mungkin akan menyelamatkan hidup kita. Hawa panas dapat menyebabkan toksin/racun dari plastik menjadi bocor dan bercampur dengan air dan mereka telah menemukan racun ini pada jaringan payudara. Sebaik mungkin gunakan gelas stainless steel atau botol kaca. Biarlah semua orang yang mempunyai isteri atau teman wanita atau anak perempuan mengetahui ini semua. Seperti yg kita sedia maklum, ada menyatakan air terbahagi kpd bbrp bhgn dan salah satunya ialah air musyammas iaitu air yang terdedah kepada matahari sememangnya tidak elok di minum kerana kebarangkalian blh bertukar kepada racun..

Sebarkan untuk kebaikan ahli keluarga dan rakan2 kita yg disayangi 👍👍👍

◾◾◾◾◾◾◾◾◾

*Ulasan Saya*

Penafian telah dibuat sejak 2009 lagi bahawa selebriti Sheryl Crow tidak menghidap kanser payudara akibat dari meminum air dari botol plastik.[1] Malah sebaran maya yang tidak bertanggungjawab itu cuba mengaitkan penggunaan botol plastik kitar semula mengandungi dioxin. Dioxin adalah salah satu bahan kimia yang dilepaskan dari botol plastik apabila mengalami perubahan suhu ektrim samada terlalu panas atau sejuk, dan ia dikaitkan sebagai agen kanser (carcinogen).

Selain tokoh selebriti, terdapat juga sebaran maya yang cuba memalitkan universiti tersohor seperti Johns Hopkin yang kononnya mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan kanser dan penyebabnya. Penafian juga dibuat oleh Johns Hopkin.[2] Banyak lagi sebaran berita palsu lain yang disebarkan tanpa sebarang objektif dari para penyebar maklumat.

Botol plastik yang dijual biasanya dibuat dari plastik bernama polyethylene terephthalate (PET atau PETE). Ia senang digunakan kerana ringan, senang buang, boleh kitar semula walau digunakan berkali-kali.

Dua bahan yang kononnya dilepaskan dari PET ini jika berada dalam suhu sejuk; iaitu dioxin dan DEHA (diethylhydroxylamine). Namun dakwaan mengatakan DEHA ini dilepaskan dari PET adalah tidak benar, kerana DEHA tidak terlibat pun dalam campuran proses pembuatan botol plastik. Pun begitu pada June 2003, Makmal Pusat Swiss telah mengesahkan dalam kajian mereka bahawa DEHA tidak dijumpai dalam mana-mana botol plastik yang dikitar semula. Dengan itu WHO juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa kandungan DEHA (jika wujud) adalah terlalu kecil dan selamat diguanakan botol plastik.[3] Isu ini juga disokong oleh Persatuan Kanser Amerika dan International Agency for Research on Cancer (IARC). Mereka menegaskan sekali lagi lagi bahawa DEHA bukan agen kanser.

Bagi dioxin pula, Majlis Kimia Amerika mengesahkan tiada kajian yang mengaitkan dioxin dalam botol plastik penyebab kanser. Malahan, dakwaan dioxin sebagai agen kanser juga tiada asas saintifik. Ini kerana dioxin adalah satu bahan kimia yang hanya terurai dalam suhu yang terlalu ekstrim melebihi 700 F (371 C). Terlalu amat sukar keadaan suhu yang ektrim itu berlaku dalam sinaran panas dalam kereta.[3] Sudah tentu kereta itu sendiri sudah terbakar dan meletup.

[1] Penafian berkaitan Sheryl Crow hidap kanser. https://www.youtube.com/watch?v=YHKeRjoKMBI
[2] Penafian dari Johns Hopkin. http://www.hopkinsmedicine.org/kimmel_cancer_center/news_events/featured/cancer_update_email_it_is_a_hoax.html
[3] Isu botol plastik yang dikitar semula. http://www.snopes.com/medical/toxins/plasticbottles.asp

Suhazeli Abdullah
fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com

10.2.2017
Kuala Berang

,

Vitamin B17 dan Kanser 

KANSER HANYALAH SATU PERNIAGAAN?
ISU 1: Buku “World Without Cancer” dihalang untuk di terjemah kepada bahasa-bahasa lain.
😓😓😓
Saya melakukan sedikit carian berkenaan buku ini. Penulis buku ini bernama G. Edward Griffin. Beliau merupakan seorang PENULIS dan PENERBIT FILEM. Beliau memperolehi sarjana muda dalam bidang KOMUNIKASI. (1)
Saya kurang faham. Bukankah Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa dan proses penyampaian ilmu akan menjadi lebih luas dengan Bahasa Inggeris. Kebanyakan penyelidik kebiasaannya berupaya berbahasa Inggeris dengan baik dan mampu menilai teks dalam Bahasa Inggeris. Sepatutnya sekiranya ada pihak yang ingin menghalang penyebarannya, adalah lebih berkesan sekiranya menghalang penerbitannya atau cetakan semula.
Atau mungkin, tiada yang berminat untuk menterjemah buku tersebut kerana penulisnya bukanlah merupakan seorang ahli dalam bidang SAINS, apatah lagi dalam bidang PERUBATAN.
ISU 2: Kanser hanya ditemui setelah World War II
😓😓😓
Rekod perubatan pertama tentang kanser ditulis oleh Edwin Smith Papyrus pada tahun 3000 sebelum Masihi. Masyarakat Mesir purba telah menggunakan pisau, garam dan arsenik untuk merawat ketumbuhan sejak dari kurun ke 19. Rekod perubatan Greek telah membincangkan tentang kanser sejak 400 tahun sebelum Masihi. Para pengkaji merumuskan kanser rektal tidak boleh dirawat pada tahun 1390. (2)
Perang dunia ke 2 berakhir pada tahun 1945. Masih percaya ‘fakta’ tersebut?
ISU3: Kanser disebabkan oleh kekurangan Vitamin B17. Hanya cukup untuk makan biji aprikot setiap hari.
😓😓😓
Bahan aktif dalam aprikot dikenali sebagai laetrile dan amygdalin. Ia dipopularkan oleh ‘Dr.’ Ernst. T. Krebs Jr. ‘Dr.’ Krebs tidak berjaya menghabiskan pengajian sebagai seorang doktor namun masih dipanggil sebagai ‘Dr. Krebs’ oleh penyokongnya. Beliau beraya memiliki sarjana muda dalam bidang seni (3).
Satu kajian menunjukkan rawatan dengan laetrile tidak memberikan sebarang kesan dari segi penyembuhan, pengecilan saiz tumor, penstabilan kanser dan simptom kanser dan peningkatan jangka hayat pesakit. Selain itu, pesakit mengalami keracunan cyanide menghampiri paras berbahaya yang boleh membawa maut. (4)
Kajian yang menunjukkan keupayaan laetrile untuk membunuh kanser hanyalah pada tahap kajian di makmal menggunakan haiwan (5). Namun begitu, keputusan kajian-kajian makmal tidak semuanya menunjukkan kesan yang positif (6-8) Oleh itu, tidak dapat dibuktikan ia berupaya merawat kanser.
RUMUSAN
Kanser merupakan sejenis penyakit yang kompleks. Ia dipengaruhi oleh berbagai faktor dan rawatan kanser masih dikaji dan berkembang dari masa ke semasa. Rawatan moden telah terbukti dapat merawat beberapa jenis kanser. Para pesakit kanser perlu menilai kesahihan sesuatu rawatan yang ditawarkan dan bertanya kepada mereka yang arif dan pakar dalam bidang tersebut.
Rujukan:
(1)http://www.journeytoforever.org/bflpics/WorldWithoutCancer.pdf
(2)Hajdu, Si. A note from history: landmarks in history of cancer, part 1. Cancer. 2011 Mar 1;117(5):1097-102.
(3)Bruzelius, NJ. The merchants of Laetrile. Boston Sunday Globe, June 17, 1979.
(4)Moertel CG, Fleming TR, Rubin J, et al.: A clinical trial of amygdalin (Laetrile) in the treatment of human cancer. N Engl J Med 306 (4): 201-6, 1982
(5)Chen Y, Ma J, Wang F, et al.: Amygdalin induces apoptosis in human cervical cancer cell line HeLa cells. Immunopharmacol Immunotoxicol 35 (1): 43-51, 2013.
(6)Laster WR Jr, Schabel FM Jr: Experimental studies of the antitumor activity of amygdalin MF (NSC-15780) alone and in combination with beta-glucosidase (NSC-128056). Cancer Chemother Rep 59 (5): 951-65, 1975 Sep-Oct
(7)Wodinsky I, Swiniarski JK: Antitumor activity of amygdalin MF (NSC-15780) as a single agent and with beta-glucosidase (NSC-128056) on a spectrum of transplantable rodent tumors. Cancer Chemother Rep 59 (5): 939-50, 1975 Sep-Oct.
(8)Hill GJ 2nd, Shine TE, Hill HZ, et al.: Failure of amygdalin to arrest B16 melanoma and BW5147 AKR leukemia. Cancer Res 36 (6): 2102-7, 1976.
Disediakan oleh:
Fahmi Hassan (F. H. Abad)
fb.me/fahmiabad
Pegawai Farmasi
Medical Mythbusters Malaysia

, ,

Petai, Jering, Lemon ubat Kanser?


Sekali lagi tersebar dilaman maya tulisan yang mengatakan Petai, Jering dan lemon ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan pelbagai lagi khasiat yang ditokok tambah. Tulisan yang tular itu mengambil kata-kata tokoh hebat / institusi tertentu yang mengesahkan pemakanan berkenaan boleh mengubati kanser atau sebagainya. Antaranya laporan dari Johns Hopkin yang mengesyorkan nutrisi tertentu setelah kajian terbaharu mereka mengenai sifat-sifat kanser. Tulisan yang agak saintifik dan semuanya mempunyai niat untuk menidakkan kaedah perubatan yang sedia ada dari jurusan perubatan moden. Cancer Research UK telah mengeluarkan kenyataan penafian sebaran maya tersebut.[1] Begitu juga sebaran yang memetik tokoh selebriti terkenal Prof Muhaya Muhammad mengenai tips mengatasi kanser dengan singkatan GBOMS (G – Greens, B – Berries, O – Onion, M – Mushrom, S – Seeds).
Kesemua ini bukan tulisan asal dari mereka, tetapi ia ditulis oleh pengusaha produk tertentu demi melariskan jualan. Bagi orang awam yang sukar menyelidiki samada fakta berkaitan itu benar atau palsu, akan terus menyebarkan mesej tersebut. Akhirnya salah faham masyarakat dalam mendapatkan ketepatan maklumat kesihatan dan mendapat rawatan yang sewajarnya (Health seeking behaviour) akan menjadi berkecamuk. Perubatan “hospital” kah atau mengamalkan sahaja petua yang “ajaib” ini?

Saya bukan menolak pengambilan pemakanan yang berkenaan. Malah petai dan jering juga menjadi kegemaran saya sekali sekala apabila berpalut dengan budu dan cabai. Tetapi yang menjadi ketegasan saya menulis ini adalah supaya tiada dakwaan yang sebegitu ajaib sehinggakan petai dan jering lebih berkesan 10,000 kali ganda dari kemoterapi. Mana asasnya? Mana sumber kajiannya? Sudah berjaya berapa ramai pesakit kanser dengan ulaman tersebut? Ianya tidak menjanjikan jawapan yang enak. Kerana tiada satu pun kajian mengesahkan ulaman berkenaan mengatasi perawatan kanser.

Ada pesakit saya disahkan kanser payudara tahap 1, dinasihatkan oleh pakar bedah agar melakukan pembedahan. Beliau memilih untuk bertangguh kerana mendapat harapan palsu dari pelbagai dimensi termasuklah pengambilan ulaman seperti petai, jering dan lemon panas. Akhirnya beliau menjejaki kaki semula ke hospital kerana sel kanser sudah merebak tahap 4 enam bulan kemudian. Beliau sekarang sudah menjadi arwah. Semoga Allah mencucuri rahmat atas ruh beliau.

Ada yang bertanya, takkan tak boleh mencuba langsung ulaman tersebut? Sekali lagi sila dengar nasihat saya, makan boleh, cuba boleh tetapi jangan sesekali menolak kaedah perubatan terkini. Kami sudah melihat ramai yang berjaya bebas dari kanser setelah mendapat rawatan.

Adakah petai, jering ini tiada kajian langsung yang menyokong sebagai ubat anti kanser atau seumpamanya? Ada. Pernah Universiti tempatan kita melakukan kajian atas ulaman ini. Sebagai contoh, ujikaji ekstrak petai ke atas tikus makmal bagi merawat stres.[2] Ekstrak petai yang diberikan itu berkesan mengurangkan stres kepada tikus-tikus berkenaan. Namun, sejauh mana kesan pada manusia? Kebanyakan kajian bagi mengetahui kesan phyto-nutrient (ulaman) ini semuanya peringkat ujian makmal sahaja. Setakat ini ujikaji ke atas manusia bagi menentukan keberkesanan, keselamatan, kualiti dan kos rawatan belum diadakan. Kenapa? Antara sebab yang sesama kita boleh fikirkan adalah tak berbaloi. Sedangkan ubat kemoterapi yang sedia adalah lebih menjimatkan dan telah terbukti dari sudut kajian sejak sekian lama.

Cuba kita bayangkan kesan anti stres bagi petai sahaja, sebanyak ekstrak 10 kg petai digunakan bagi menghasilkan kesan reaktiviti ke atas 5 ekor tikus (kajian melihat anti stress).[3] Berat tikus sekitar 350 mg menggunakan 10 kilogram petai! Jika ujikaji atas manusia berapa kilogram petai akan digunakan? Itupun secara ekstrak. Jika kaedah makan secara mentah, kena makan berapa lori pula baru menandingi kemoterapi?

Makin stres ada la….

Pautan:
[1] Penafian Cancer Research UK berkaitan artikel Johns Hopkin. http://scienceblog.cancerresearchuk.org/2015/05/08/johns-hopkins-cancer-update-emails-are-a-hoax/

[2] Ektrak petai untuk kajian anti stress atas tikus. http://www.academia.edu/29916542/EVALUATION_OF_ANTI_STRESS_ACTIVITY_OF_Parkia_speciosa_SEEDS_EXTRACTS_ON_STRESS_INDUCED_MICE

[3] Phyto-nutrient petai.
https://www.researchgate.net/publication/255977052_Parkia_speciosa_Hassk_A_Potential_Phytomedicine

[4] Petai dan kajian berkaitan. https://www.hindawi.com/journals/ecam/2013/709028/

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
Suhazeli.com

6.2.2017
Bukit Besi

, ,

Manfaat dan Hukum Ganja

Ramai yang akan melenting apabila isu pengharaman ganja ditulis dalam media massa mahupun media sosial. Para penyokong ganja akan bermati-matian mempertahankan kewajaran penggunaan ganja dalam hidup seharian terutama sekali sebagai rawatan penyakit. Kata mereka, ganja ini adalah ubat-ubatan dari para alim ulama terdahulu dan para saintis sejak berabad lamanya. Cuma, hasil konspirasi barat dan Israel yang cuba melenyapkan keistimewaan ganja ini kerana ingin menaikkan ubat-ubatan moden yang berpaksikan syarikat farmasi kapitalis.

Ada juga mendakwa ganja wujud sebelum datangnya Rasulullah SAW lagi. Andainya ganja haram, kenapa tiada hadis nabi yang melarangnya? Ganja juga bukan punca ketagihan. Ketagihan rokok lebih parah dari ganja. Begitulah beberapa hujah para penyokong tegar bagi membolehkan ganja dihalalkan dalam negara.

Mari kita melihat asas kepada pengharaman sesuatu yang memabukkan termasuk ganja:

«نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ وَمُفَتِّرٍ»

Nabi SAW melarang setiap yang memabukkan dan yang mengkhayalkan/melemahkan badan. [Hadis Abu Dawud]

قَالَ الطِّيبِيُّ لَا يَبْعُدُ أَنْ يُسْتَدَلَّ بِهِ عَلَى تَحْرِيمِ الْبَنْجِ وَالشَّعْثَاءِ وَنَحْوِهِمَا مِمَّا يُفْتِرُ وَيُزِيلُ الْعَقْلَ لِأَنَّ الْعِلَّةَ وَهِيَ إِزَالَةُ الْعَقْلِ مُطَّرِدَةٌ فيها

Menurut al Tiibi, tidak jauh dari kebenaran jika hadis di atas dijadikan dalil haramnya ganja dan sya’tha dan seumpamanya iaitu setiap apa yang boleh melemah dan menghilangkan akal kerana berpotensi menghilangkan akal secara konsisten. [Dari Aun al Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud]

Fatwa Saudi pula menyatakan dalil pengharaman ganja ialah diqiaskan kepada arak iaitu menghilangkan akal.

Manakala dalam Mausu’ah Kuwait dinyatakan ganja adalah halal jika digunakan dengan betul seperti dijadikan. Ganja haram bukan kerana daunnya tetapi kerana kesan penyalahgunaannya. Pengharaman ganja adalah haram lighairih. Haram setelah datang suatu mudarat kepada manusia.

Ibnu Hajar Al-Asqalani menukil ijma` (kesepakatan alim ulama) tentang haramnya ganja dengan dengan berkata: barangsiapa yang menghalalkannya, niscaya dia telah kafir. [kitab Az- Zawajir `an Iqtiraf al-abair 1/213]. Dan dalam kitab Fathul bari, beliau berkata: Hukumnya haram berdasarkan maksud hadis Nabi SAW yang berbunyi: setiap yang memabukkan hukumnya haram.

Ibnul Qoyyim pula berkata: Sesungguhnya setiap yang memabukkan masuk ke dalam kategori arak, baik berupa cairan maupun pepejal, yang diperas maupun yang dimasak. Termasuk di dalamnya yang digunakan oleh orang-orang fasik dan pendosa, iaitu ganja (dan seumpamanya). Seluruhnya termasuk arak yang diharamkan secara jelas berdasarkan hadis sahih dari Rasulullah SAW yang tiada cacat pada sannadnya, setiap yang memabukkan hukumnya haram.”…. sekalipun ganja tidak termasuk dalam sabda Nabi SAW, tetapi dia tetap haram berdasarkan qias yang menyamaratakan seluruh perkara yang memabukkan kerana illat (alasan hukum) yang sama. [lihat kitab Zaadul Ma`ad fi Hadyi ` ibaad, 5/ 747, dan kitab Al-Mukh adirat Al-Aqiqir an-Nafsiyah, hal: 18-20].

Penggunaan ganja telah difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang kali Ke-76 pada 21 – 23 Nov 2006. Pengharaman ini sepatutnya menjadi dalil yang kuat bagi masyarakat Islam khususnya untuk menolak sekeras-kerasnya usaha untuk menghalalkan penggunaan ganja di Malaysia.[Fahmi Hassan, 2016]

Terdapat beberapa kajian klinikal dijalankan bagi mengetahui keberkesanan ganja dalam merawat penyakit. Antaranya ganja digunakan dalam melawan muntah yang teruk terhadap pesakit yang sedang menjalani kemoterapi. Tetapi kajian menunjukkan tidak konklusif.

Begitu juga ganja digunakan dalam merawat pesakit kanser terminal. Guna untuk memberi rasa tenang dan kurangkan kesakitan yang amat akibat kanser terminal. Kanser terminal bermaksud pesakit telah melalui fasa-fasa rawatan dan sudah berada dipenghujung usia setelah berubat. Menunggu saat-saat kematian yang menakutkan. Dikala ini mereka memerlukan ketenangan dan pengurangan kesakitan akibat kanser. Setakat ini menggunakan ganja dalam perawatan pesakit terminal bukan mendesak. Ini kerana terdapat ubatan alternatif lain yang boleh digunakan dan diiktiraf melalui kajian.[Fahmi Hassan, 2016]

Andaikata terdapat bukti kukuh kajian santifik yang terkini ganja lebih hebat keberkesanannya dalam merawat pesakit berbanding ubatan dari yang lain, mungkin boleh difikirkan semula dari sudut amalan penggunaannya dalam merawat pesakit. Ilmu perubatan senantiasa berubah berdasarkan dinamika hasil cerapan para pengkaji.

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli
suhazeli.com

24.1.2017
Dungun Terengganu

Pautan
[1] Meta Analysis penggunaan cannabis dalam perubatan. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/26103030
[2] Salah tafsir penggunaan ganja dalam perubatan.http://suhazeli.com/wp/?p=2042
[3] Marijuana boleh merawat kanser?http://suhazeli.com/wp/?p=2117

, ,

Pad & Bra Wanita Punca Kanser


Kononnya terdapat satu sebaran maya mengenai isu kanser vagina dan payudara yang telah dikeluarkan oleh Tata Cancer Hospital. 

Mesej bahasa inggeris seperti berikut: 

Please let your wife know about this,,This is a serious caution from medical practioners [LUTH] to all female beings be it infant, baby girl, ladies, mothers; cancer of the vagina is all over pls avoid washing your vagina with soap, wash with only water,  there is a particular chemical in soap generally that is very dangerous and possibly causes cancer of the vagina, cases of cancer of the vagina is all over most of the general hospitals so be aware of this important message. If you have feelings for others kindly pass this message to others that are important to you.

⭕ 56  Girls  Died  Because  Of  Using  Whisper,  Stayfree Etc.

⭕ Don’t use One  Single  Pad 4 d Whole  Day  B’coz  Of  The  Chemical  Used  in Ultra Napkins Which  Converts Liquid into  Gel…it  Causes  Cancer in  Bladder & Uterus. So  Plz  Try  To  Use  Cotton  Made  Pads  And  if  You  Are  Using  Ultra  Pads, Plz  Change it Within 5 Hours, Per Day, At least. If  The  Time  is  Prolonged  The  Blood  Becomes  Green &  The  Fungus  Formed  Gets inside  The  Uterus &  Body.

⭕ Plz  don’t  feel  shy  2  forwd  this  msg  2 all  girls  nd  even  boys  so  that  they  can  share  with  their wives  N  friends, whom  they  care  for.

   ⭕ AIMS

Kick Off “Breast Cancer”.

🔺Nurse Ur Baby.

🔺Wash Ur Bra Daily.

🔺Avoid  Black  Bra in  Summer

🔺Do  Not  Wear  A  Bra  While  Sleeping.

🔺Do  Not  Wear  An  Under  Wire  Bra  Very  Often.

🔺Always  Cover  Ur  Chest  Completely  By  Ur  Dupatta  Or  Scarf  When U  Are  Under  The  Sun.

🔺Use  A  Deodrant  Not An  Anti  Perspirant.

🔺This  is  A  Public  Service  Msg  From  Tata Cancer Hospital.

⭕ Pass it 2 All The  Ladies  You  Care  For  Without Hesitating.

⭕ Awareness is important

⭕ I  Care  For  You

⭕ Plzz  Dont  Hesitate  To  inform  Other  Females  Forward  2  Evry Girl  On  Ur  List..!!…

⭕ I’ll  Start with u

❣❣❣Send to at least one group. 

▫▫▫▫▫▫▫

*Ulasan saya*

Beberapa asas perlu difahami oleh orang awam dalam penjagaan kesihatan dan pencegahan. 

1. Kanser adalah pembunuh utama wanita masa kini. Kanser pangkal rahim menduduki tangga pertama, diikuti pula dengan kanser payudara. Sememangnya ia amat digeruni oleh setiap wanita. 

2. Pengesanan awal dan rawatan awal amat penting kerana ia boleh merubah kesengsaraan hidup jika terlewat. Dengan tidak menafikan qodha dan qodar setiap insan, sejarah perubatan telah membuktikan rawatan seawal mungkin boleh memberikan jangkahayat lebih panjang kepada mangsa kanser berkenaan. 

3. Ramai masyarakat melayu masih ada sindrom penafian bahawa mereka telah dihinggapi kanser, mengakibatkan mereka lewat untuk datang merawat. Masuk hospital apabila sudah melepasi tahap lewat yang sekira-kira pakar bedah akan berkata “tidak boleh buat apa-apa”. Ini kerana tahap 3 atau 4 kanser biasanya mempunyai risiko kematian yang sama jika dibedah atau sebaiknya. Berbeza dengan rawatan tahap 1 dan 2 kanser. Ramai dari mereka yang telah berjaya melepasi waktu getir itu seterusnya sembuh setelah dirawat. 

4. Punca kanser bukan akibat coli berwarna-warni atau pad wanita berjenama tertentu. Nasihat yang diberikan oleh “Tata Cancer Hospital” itu menakutkan para wanita untuk terus memakai pad dan coli. Tiada kaitan pun. Malah Tata Cancer Hospital tu entah di mana atas muka bumi ni. 

Suhazeli Abdullah 

_Insan Faqir_

Fb.com/drsuhazeli 

suhazeli.com 

20.1.2017

Rabak, Sudan

, , , ,

Adakah Marijuana boleh mengubati kanser?

Oleh: En Fahmi Hasan | Ahli Farmasi

Salah satu tuduhan pejuang-pejuang melegalisasikan ganja adalah ahli profesional kesihatan moden sengaja menyorokkan keberkesanan ganja dalam merawat penyakit kanser.

Saya percaya di kalangan ahli profesional kesihatan sendiri, atau di kalangan keluarga mereka, ada yang diuji dengan penyakit kanser. Dan sekiranya mereka menyorokkan bukti kanser boleh dirawat dengan ganja semata-mata, sudah pasti tiada ahli profesional kesihatan atau keluarga mereka menjadi mangsa penyakit tersebut.

Mengikut kajian yang telah dijalankan setakat ini, berikut adalah kajian penggunaan marijuana dalam rawatan kanser dan yang berkaitan dengannya.

1. Sebagai mengurangkan kesan loya dan muntah akibat kemoterapi.

Terdapat 3 ujian klinikal berbeza terhadap penggunaan marijuana untuk mengurangkan rasa loya dan muntah akibat kemoterapi. 1 kajian menunjukkan kesan positif, 1 kajian menunjukkan tiada perbezaan antara marijuana dan placebo manakala 1 lagi kajian tidak dapat memberikan informasi yang lengkap [1].

Sesetengah pesakit memilih untuk menyedut asap marijuana berbanding mengambil secara oral kerana beranggapan ia bertindak lebih cepat dan lebih mudah diambil sewaktu berasa loya [2]. Walaubagaimanapun, tiada sebarang perbezaan apabila perbandingan ujian klinikal dilakukan antara pesakit yang mengambil marijuana secara menyedut dan secara oral [3].

Sekiranya ia diambil dengan tujuan untuk mengurangkan rasa loya akibat kemoterapi, tiada masalah untuk pengambilan secara oral dilakukan sebelum kemoterapi diberikan. Pengambilan marijuana secara menyedutnya dikaitkan dengan kesan khayal, keresahan, kesan psikotik akut dan orthostatic hypotension [4].

Terkini terdapat kajian ubatan baru yang lebih berkesan bagi merawat rasa loya pesakit. Unsur cannabinoids yang tiada kesan psikoaktif juga didapati lebih berkesan untuk merawat kesan loya [5].

Selain itu, sebahagian pesakit menolak untuk mengambil marijuana secara menyedutnya kerana tidak selesa dengan kesan psikoaktif marijuana. Pesakit-pesakit ini terdiri dari mereka yang tidak pernah menggunakan marijuana untuk tujuan rekreasi.

Oleh sebab itu, penggunaan marijuana secara menyedutnya tidak sesuai digunakan untuk tujuan perubatan melainkan untuk mereka yang memang mengambilnya dengan tujuan rekreasi [6].

Selain itu, cannabinoids boleh bertindak sebagai pelega atau penyebab loya. Loya dan muntah merupakan kesan sampingan yang dihadapi oleh mereka yang menyedut marijuana secara rutin [7].

2. Sebagai anti-kanser

Pada masa ini, kajian sedia ada menunjukkan hasil yang tidak seragam dengan keputusan yang berbeza-beza. Kajian-kajian ini merupakan kajian pra klinikal menggunakan sel manusia atau haiwan.

Keputusan yang tidak meyakinkan ini membuatkan ujian di atas manusia tidak dapat dilakukan lagi. THC didapati boleh merangsang, atau merencat pertumbuhan sel kanser [8-9].

Kajian kecil fasa 1 ke atas 9 pesakit kanser glioblastoma menunjukkan rawatan dengan THC tidak memanjangkan jangka hayat pesakit-pesakit tersebut [10].

Secara kesimpulannya, penggunaan marijuana dalam rawatan kanser setakat hari ini adalah sebagai mengurangkan rasa loya akibat kemoterapi. Walaubagiamanapun, penggunaanyya secara menyedut asap dikaitkan dengan pelbagai masalah termasuk kesan sampingan.

Tiada bukti kukuh setakat ini yang menunjukkan marijuana berupaya merencat perkembangan sel kanser di dalam badan manusia.

Fahmi Hassan (F. H. Abad)

Pegawai Farmasi

fb.com/fahmiabad

, ,

Punca Kanser Rahim dari Perut? 


Isu Penyakit Kanser setakat ini mencapai carta teratas dibincangkan oleh orang ramai. Ini kerana kejadian dan kematian akibat kanser berada di sepuluh tangga teratas kejadiannya seluruh dunia. Apa sahaja nasihat, petua kesihatan atau seumpamanya yang berkait dengan kanser akan terus dikongsi oleh orang ramai tanpa mempastikan maklumat itu sahih atau palsu.
Lihat contoh mesej berikut:
*ASAL USUL KANSER DI RAHIM PERUT!!!*
Kongsikan untuk para wanita (Bila lelaki yang terima tolong di hantar terus kepada wanita di sekitar anda).
*Jangan minum air ais, air soda berkarbonat, dan air kelapa ketika haid kerana pori kepala sedang terbuka pada saat haid dan boleh menyebabkan sakit kepala. Sangat berbahaya kesan ini boleh di rasakan ketika muda dan ketika tua nanti.*
*Jangan makan timun ketika sedang haid kerana getah yang ada pada timun boleh menyebabkan haid tersisa di dinding rahim.*
*Selain itu ketika sedang haid, tubuh tidak boleh terbentur, terjatuh dan terpukul oleh benda keras terutama bahagian perut kerana boleh menyebabkan muntah darah dan rahim boleh terluka.*
*Kajian membuktikan minum ais ketika haid boleh menyebabkan darah haid tersisa di dinding rahim, setelah 5 – 10 tahun dapat menyebabkan “KISTA & KANSER RAHIM”.*
*Tolong sebarkan info ini* kepada wanita sama ada ibu, isteri, anak perempuan kita, mahupun teman wanita, sebagai langkah berjaga-jaga.
Sayangi wanitamu. Indahnya berkongsi ilmu pengetahuan. Jangan putus pada anda sahaja ya. Melalui 1 kiriman saja mungkin anda sudah menyelamatkan seorang wanita, semoga bermanfaat bagi para wanita.
*Sumber : LPK (Lembaga Penyuluhan Kanser).*
◾◾◾◾◾◾
Sayugia saya mengesyorkan kepada penulis artikel dari LPK (Lembaga Penyuluhan Kanser) tersebut supaya membaca kembali sistem badan manusia (anatomi). Entah wujud atau tidak LPK ini? Saya kira pelajaran anatomi manusia ini sudah mula diajar seawal UPSR dalam sukatan pembelajaran negara kita.
Sistem penghadaman manusia tidak ada kaitan terus dengan sistem otak (saraf) mahupun sistem peranakan (rahim). Justeru segala apa yang dimakan oleh kita tidak akan terus melekat ke dalam organ yang lain. Getah timun yang dimakan tidak akan menyebabkan haid seseorang tersisa di dinding rahim samada ketika haid atau sebaliknya.
Begitu juga meminum ais, tidak sesekali menyebabkan penyakit Cyst atau Kanser rahim wanita. Manakala minum air berkarbonat, air kelapa semasa haid bukan penyebab sakit kepala. Pori-pori (bahasa indonesia, Bahasa Melayu adalah liang peluh) tidak terkesan dengan peminuman sedemikian. Jika orang ramai tiada pengetahuan sistem badan ini, mudah terpedaya dengan andaian tidak benar ini.
Dalam bidang perubatan, terdapat empat jenis kanser rahim iaitu selaput dinding rahim dinamakan kanser endometrium, kanser yang berasal daripada otot dinding rahim iaitu liomiosarkoma (Leiomyosarcoma) dan kanser yang berasal daripada kedua-dua komponen selaput dan dinding rahim dinamakan karsinosarkoma. [1] Manakala kanser pangkal rahim pula adalah kanser yang paling kerap berlaku dalam negara kita.
Kanser rahim mudah dikesan disebabkan tanda yang sangat jelas terutama selepas wanita itu menopaus iaitu selepas ketiadaan darah haid. Antaranya, pendarahan yang berlaku selepas menopaus. Kebiasaannya wanita mengambil mudah apabila selepas menopaus, mereka didatangi haid semula.
Pencegahan kanser pangkal rahim adalah melalui saringan kesihatan, pemeriksaan awal pap smear dan pemberian vaksin HPV kepada anak-anak gadis.[2]
Pautan:

[1] Kanser Rahim. https://makna.org.my/2014/12/kanser-rahim-mudah-dikesan/

[2] Pencegahan Kanser Pangkal rahim. http://drrushdanoor.tripod.com/id22.html
Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

suhazeli.com
#MedicalMythBustersMalaysia

#MedTweetMY
12.1.2017

Ketengah Jaya

, , , ,

Salah Tafsir Penggunaan Ganja dalam Perubatan

Oleh: En Fahmi Hassan |

Ketua Penolong Pengarah

Bahagian Perkhidmatan Farmasi

Kementerian Kesihatan Malaysia

Penggunaan ganja atau kanabis telah direkodkan dalam sumber-sumber sejarah sejak ribuan tahun yang lampau. Pada zaman dahulu, selain digunakan sebagai ubat pelali, ia juga digunakan dalam ritual-ritual keagamaan dan spiritual. Akibat dari kesan khayal ganja, penggunanya pada zaman kuno dikatakan berupaya “meramal” masa depan dan melihat perkara-perkara ghaib apabila ia digunakan sewaktu bermeditasi.

Kesan khayal ganja berpunca daripada kesan psikoaktif bahan aktif di dalam ganja yang dikenali sebagai tetrahydrocannabinol. Bahan ini boleh mendatangkan kesan yang pelbagai kepada manusia. Pada dos tertentu, ia boleh menyebabkan kesan depresi kepada sistem pemikiran manusia. Kesan depresi ini akan menyebabkan sistem saraf manusia direndahkan. Keadaan ini akan menimbulkan perasaan ‘tenang’ dan mengantuk kepada penggunanya.

Pada dos yang lebih tinggi, bahan aktif tersebut akan menyebabkan halusinasi kepada pengguna. Kesan halusinasi ini akan menyebabkan pengguna terpisah daripada dunia nyata dan menyebabkan mereka terkeliru diantara alam realiti dan alam fantasi yang tercipta akibat kesan khayal. Kesan ini boleh menimbulkan rasa keseronokan atau euphoria yang seterusnya akan menyebabkan ketagihan.

Dewasa ini, terdapat beberapa pihak dalam negara ini telah menyuarakan hasrat mereka supaya penggunaan ganja dibenarkan. Alasan yang diberikan adalah; ganja mempunyai khasiat perubatan yang berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Namun, setelah diperhalusi, didapati terdapat kecelaruan di dalam pemahaman mereka terhadap penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

Terma “medical marijuana” atau ganja bagi tujuan perubatan mempunyai tafsiran berbeza di antara pengkaji sains dan perubatan dan juga orang awam. Dalam dunia saintifik, “medical marijuana” adalah ubat-ubatan yang mengandungi bahan aktif ganja seperti cannabidiol yang dihasilkan setelah terdapat bukti kukuh melalui kajian-kajian makmal dan klinikal yang menunjukkan ia boleh mendatangkan faedah perubatan terhadap pesakit.

Ubat-ubatan tersebut telah diketahui kaedah penggunaan, dos, keselamatan dan kawalan terhadap kesan sampingan. Ubat-ubatan begini perlu dipreskripsikan oleh doktor dan penggunaannya perlu diselia bagi memastikan keberkesanannya terjamin.

Walaubagaimanapun, bagi sesetengah pihak, tafsiran bagi terma tersebut adalah berbeza. Mereka beranggapan, ganja dalam bentuk asal atau ekstraknya yang digunapakai dengan cara sedutan atau dimakan dengan hasrat untuk mendapatkan kesan positif terhadap kesihatan. Namun dakwaan ini belum dapat dibuktikan melalui kajian-kajian makmal dan klinikal.

Selain daripada itu, perkara ini merupakan satu kesalahan jenayah berat seperti yang termaktub bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Penggunaan seperti ini amat mudah disalahguna dan bakal menyebabkan masalah kesihatan dan sosial yang serius.

Sesetengah pihak cuba memperkecilkan kesan sampingan ganja terhadap kesihatan dan kesan ketagihan ganja terhadap pengguna. Mereka berpendapat bahawa faedah perubatan ganja adalah lebih besar daripada risiko penyalahgunaannya. Walaubagaimanapun, mereka lupa bahawa ubat-ubatan berasaskan ganja sebenarnya diiktiraf oleh dunia perubatan sekiranya ia dapat dibuktikan melalui kajian-kajian yang berkualiti. Ubat-ubatan tersebut telah digunakan di hospital-hospital dalam bentuk yang boleh merawat pesakit tanpa mendatangkan kesan khayal yang boleh menyebabkan ketagihan dan kesan sampingan yang lain.

Mengikut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat pada tahun 2013, terdapat lebih 800,000 penduduknya yang berumur 12 tahun dan keatas telah mendapatkan rawatan disebabkan oleh ketagihan terhadap ganja. Didapati 10% daripada mereka yang menyalahguna dadah berunsur ganja mempunyai ketagihan yang teruk ke atas penggunaan tersebut. Kajian tersebut juga menunjukkan daripada 6.9 juta orang yang menyalahgunakan dadah, 4.2 juta daripadanya adalah penyalahgunaan dadah berunsur ganja.

Selain daripada ketagihan, penyalahgunaan ganja juga telah dibuktikan melalui kajian-kajian perubatan berupaya mendatangkan masalah psikologi dan mental terhadap penggunanya. Semakin lama penyalahgunaan itu berlaku, kesan kesihatan mental yang bakal diperolehi juga akan menjadi lebih teruk. Terdapat juga kajian-kajian yang menunjukkan penyalahgunaan tersebut bakal mendatangkan kesan terhadap institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat.

Justeru, keadaan ini menunjukkan masalah ketagihan terhadap ganja merupakan masalah yang serius di peringkat global dan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Desakan dari kumpulan-kumpulan yang ingin menghalalkan penggunaan ganja bakal mendatangkan masalah serius yang akan menyebabkan kerugian terhadap negara. Masyarakat seharusnya menolak dakyah-dakyah begini bagi memastikan taraf kesihatan fizikal dan mental masyarakat dapat dilindungi daripada masalah ketagihan yang baru.

Dari sudut keagamaan, penggunaan ganja telah difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang kali Ke-76 pada 21 – 23 Nov 2006. Pengharaman ini sepatutnya menjadi dalil yang kuat bagi masyarakat Islam khususnya untuk menolak sekeras-kerasnya usaha untuk menghalalkan penggunaan ganja di Malaysia.

Secara kesimpulannya, penggunaan ubat-ubatan berasaskan ganja tidak dinafikan penggunaannya oleh dunia perubatan sekiranya khasiat perubatannya telah dibuktikan melalui kajian-kajian yang berkualiti. Walaubagaimanapun, penggunaannya dalam bentuk asal untuk dihisap atau dimakan yang dikaitkan dengan khasiat perubatan tanpa kajian yang kukuh adalah ditolak kerana ia bakal menyebabkan kesan sampingan yang lebih buruk.

Oleh yang demikian masyarakat seharusnya tidak tertipu dengan mereka yang ingin menggunakan ganja untuk tujuan rekreasi tetapi berselindung di sebalik alasan perubatan. Orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di 1 800 88 6722 sekiranya ingin bertanya mengenai soalan-soalan berkaitan ubat-ubatan.

Fahmi Hassan

Ketua Penolong Pengarah

Bahagian Perkhidmatan Farmasi

Kementerian Kesihatan Malaysia

(Harian Metro, 28 Febuari 2016)