Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Pihak Tertentu Mencetus Kontroversi dengan Menolak Vaksin COVID-19: Apakah yang tersirat?

Dakwaan Pihak Tertentu bahawa vaksin Covid-19 itu bahaya adalah tidak benar. Sudah beberapa kali mereka membuat kenyataan yang tidak berasaskan bukti saintifik. Malah telah disangkal oleh pakar-pakar kesihatan lain. Mereka juga telah menyarankan penggunaan Ivermectin, sebuah ubat antiparasit, sebagai alternatif untuk merawat Covid-19, tetapi tiada kajian klinikal yang kuat yang mengesahkan keberkesanannya.
Dakwaan mereka yang mengatakan bahawa kaedah terbaik mencegah COVID-19 adalah melalui menggunakan ubat semulajadi seperti madu, vitamin C, minyak biji hitam dan seumpamanya juga tidak mempunyai asas klinikal yang mengesahkan keberkesanan bahan-bahan tersebut.
Vaksin Covid-19 yang dibawa masuk oleh kerajaan Malaysia telah melalui ujian-ujian keselamatan dan keberkesanan yang ketat sebelum diluluskan oleh Badan Pengawas Farmasiutikal Nasional (NPRA). Vaksin-vaksin ini juga telah digunakan di negara-negara lain dan telah menunjukkan hasil yang positif dalam mengurangkan jangkitan dan kematian akibat Covid-19.
Oleh itu, saya menasihatkan anda untuk tidak percaya kepada dakwaan mereka itu. Isu yang dibentangkan itu adalah isu sama di kitar-kitar semula. Biasalah tu, apabila ada pihak yang menolak vaksin dan fobia cucuk vaksin, akan putar isu sama lagi dan lagi.
Kalaulah diikutkan dakwaan yang mereka takut-takutkan itu, sudah lama doktor-doktor dan petugas kesihatan serta frontliner mati beramai-ramai dek kerana bahayanya  vaksin COVID-19  atau sekurang-kurangnya  90% anggota KKM sebagai  golongan pertama yang dicucuk vaksin bermula Februari 2021 lalu sudah jadi zombi atau terlantar kat rumah sakit seperti mana yang ditakut-takutkan oleh mereka itu.
Perasan tak kenapa isu viral ini boleh terjadi dan kenapa timbul semula sekarang? Padahal vaksin sudah pun dicucuk kepada lebih 90% rakyat Malaysia dan bukan warganegara. Ianya sudah pun berlalu 2 tahun dah. Sebabnya akhir-akhir ini kes Covid-19 makin meningkat, mereka bimbang kerajaan akan gesa semua rakyat cucuk semula vaksin. Lalu mereka keluarkan semula naratif sama seperti yang mereka laungkan sebelum ni.

Manfaat Vaksin Melebihi Mudarat

Hakikatnya vaksin yang kita terima telah banyak membantu untuk mengurangkan kes-kes  yang teruk dan kita dapat keluar dari pandemik Covid-19 ini secara keseluruhannya.
Boleh baca sendiri data menunjukkan bahawa mereka yang tidak divaksinasi atau hanya menerima sebahagian daripada dos vaksin berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti COVID-19 dengan kesan yang lebih teruk. Berikut adalah beberapa fakta yang telah pun dikaji oleh pakar-pakar:
1. Statistik di Malaysia menunjukkan bahawa hampir 91.5% daripada kes positif COVID-19 adalah terdiri daripada mereka yang tidak divaksinasi atau tidak lengkap divaksinasi. Hanya 8.5% mempunyai sejarah vaksinasi lengkap.
2. Dalam kategori kes harian, 77.6% daripada mereka yang mengalami kesan yang teruk adalah tidak divaksinasi atau tidak lengkap divaksinasi. Hanya 22.4% daripada mereka yang telah lengkap divaksinasi mengalami kesan yang serupa.
3. Vaksinasi lengkap memberikan perlindungan tambahan dan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 yang teruk. Semakin ramai orang divaksinasi, semakin tinggi perlindungan keseluruhan terhadap penyakit ini.
Jadi, pengambilan vaksin COVID-19 adalah penting untuk melindungi diri dan orang di sekeliling kita daripada kemungkinan dijangkiti COVID-19. Selain itu, kita perlu terus mematuhi SOP untuk mengurangkan risiko penularan virus ini.
Seperti biasa, fakta dan data seperti ini tidak diviralkan sebab tidak diucapkan secara sensasi. Kenyataan sensasi akan makin viral bila ditokok tambah dan dimasukkan elemen menakut-nakutkan orang ramai.
Dr Suhazeli Abdullah
31/12/2023
#AdaUdangSebalikMee?
Sumber:
(1) ‘Pastikan ia memang selamat’ | Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/sihat/2021/01/659602/pastikan-ia-memang-selamat.
(2) Kajian dan pengeluaran vaksin selari EBM – HarakahDaily. https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/09/kajian-dan-pengeluaran-vaksin-selari-ebm/.
(3) Vaksinasi Lengkap Memberi Perlindungan Tambahan … – COVID-19 MALAYSIA. https://covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/09/vaksinasi-lengkap-perlindungan-jangkitan-covid19-yang-teruk.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles