Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Apakah Hakikat di Sebalik Dakwaan Penjual Produk Kesihatan? Doktor Mendedahkan Fakta dan Hujah

Saya lihat terdapat 4 Isu berkaitan dengan Penjual Produk vs Doktor.
.
1️⃣ Terdapat penjual produk kesihatan mendakwa produk mereka itu boleh dan mampu merawat PENYAKIT KRONIK. Boleh ke dakwa begitu?
.
Dalam negara kita terdapat beberapa akta yang mengawal supaya tiada dakwaan yang boleh mengelirukan masyarakat. Setiap dakwaan memerlukan bukti dalam perubatan. Kenapa perlukan bukti? Sebab kita ini manusia yang berfikir dan selari dengan saranan agama supaya menggunakan akal fikiran dalam bab keduniaan. Kita bukannya Nabi atau para wali yang diberikan keistimewaan untuk menyembuhkan penyakit. Al Quran juga menyebut, jika kita tidak tahu sesuatu, maka bertanyalah kepada ahlinya. Bukan pakai redah percaya kepada penjual produk yang tiada keahlian pun dalam bab merawat penyakit.
.
Negara kita telah pun menggariskan beberapa akta.
A. Akta Ubat 1956 (iklan dan penjualan)
B. Cosmetic advertising Code
C. Akta makanan 1983
D. Akta peranti perubatan 2012
E. Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2016.
F. Akta Penyakit Berjangkit 1988
G. Akta Racun dan Dadah 1951
Dan beberapa lagi akta.
.
Akta-akta ini dibuat bukan menyekat perniagaan orang kita, tetapi demi menjaga kepentingan kesihatan dan keselamatan masyarakat supaya tidak diputar-belit oleh golongan yang mencari peluang keuntungan perniagaan.
Berniaga tu boleh, tetapi jangan membuat dakwaan yang mengelirukan tanpa bawa bukti yang sahih. Paling menyedihkan berniaga dengan menunggang gelaran doktor, sedangkan mereka bukan doktor perubatan. Ada yang menunggang agama dek kerana mereka ustaz, ada dalil yang difahami secara literal. Sedangkan mereka tidak memahami konsep kajian-kajian perubatan dan bagaimana sesuatu dakwaan ubat itu boleh disahkan.
.
2️⃣ Bagaimana pula dengan penjual produk overclaim yang kata ilmu Allah itu luas dan doktor tidak mengetahui segala-galanya, maka merawatlah dengan apa yang semulajadi diciptakan oleh Allah. Apa salahnya?
.
Saya bersetuju dengan pendapat bahawa ilmu Allah itu luas dan tidak terbatas. Ini sejajar dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya untuk menuntut ilmu dan mengkaji alam semesta. Salah satu bukti ialah firman Allah yang pertama kali diturunkan kepada Rasulullah SAW, iaitu ‘Iqra’ yang bermaksud ‘Bacalah’. Firman ini menunjukkan bahawa Allah mahu manusia membaca dan belajar tentang segala sesuatu yang diciptakan-Nya.
.
Dalam era moden ini, ilmu pengetahuan dan teknologi berkembang dengan pesat. Manusia perlu mengikuti perkembangan ini dan mengadaptasi ilmu yang sesuai dengan zaman. Salah satu bidang ilmu yang penting ialah perubatan. Perubatan adalah ilmu yang berkaitan dengan kesihatan dan kesejahteraan manusia. Oleh itu, perubatan perlu bersandarkan kepada bukti yang sahih dan tepat.
Evidence Based Medicine (EBM) adalah satu pendekatan perubatan yang menggunakan bukti saintifik yang terbaik untuk membuat keputusan klinikal dan merawat pesakit. EBM memerlukan doktor dan pengamal perubatan untuk mengkaji kajian-kajian perubatan yang berkualiti tinggi dan menggunakannya untuk merawat pesakit. EBM juga mengambil kira keadaan pesakit, nilai-nilai, dan kehendak mereka.
.
EBM adalah salah satu contoh ilmu yang luas dan bermanfaat yang diberikan oleh Allah kepada manusia yang berfikir. EBM menunjukkan bahawa Islam menggalakkan umatnya untuk menggunakan akal dan bukti untuk menyelesaikan masalah.
.
Katakan bahan semulajadi, bagaimana nak tahu samada sesuai pada semua orang dengan dos sukatan tertentu? Bahkan makanan sekalipun terdapat alergik pada sesetengah orang, apatah lagi ramuan yang dibancuh dengan beberapa campuran lain. Sudah tentu memerlukan safety profile dan berkualiti sebelum diberikan kepada pesakit. Bagaimana nak tahu? Kajianlah yang menentukan!
.
3️⃣ Dalam negara kita sudah terdapat badan yang berwibawa seperti majlis perubatan, jawatankuasa majlis fatwa, mufti-mufti setiap negeri dan beberapa badan lagi untuk menentusahkan sesuatu bahan perubatan itu boleh dipakai atau tidak. Jika terdapat golongan yang menentang seperti antivaksin, doula ekstrimis apa harus dilakukan?
.
Buat masa ini negara mempunyai kementerian yang menguruskan kesihatan – KKM. Malah isu pengurusan COVID-19 oleh KKM cukup disegani oleh semua pihak. Sudah tentu apa sahaja yang dikemukakan oleh KKM itu memberikan kebaikan kepada masyarakat secara umumnya. Cuma terdapat segelintir kecil masyarakat yang tak puas hati. Bahkan mereka ini membuat persepsi sendiri dalam urusan perubatan mereka. Sehingga timbulnya ketidakharmonian. Walaupun negara kita masih lagi perjuangkan kebebasan bersuara, tetapi terdapat suara-suara yang tak betul, memesongkan fikiran rakyat perlu dibendung segera. Fenomena ini tidak boleh lari dalam sesuatu masyarakat.
.
Justeru buat masa ini penerangan harus diberikan kepada masyarakat melalui kerjasama erat KKM dan ahli agama. Perbanyakkan sesi penerangan, siaran media dan banyak lagi supaya ditonton oleh seluruh rakyat. Andaikata keadaan semakin mendesak, tidak mustahil akta yang sedia ada atau akta baru perlu digubal bagi mengekang fenomena ini.
.
4️⃣ Bagaimana pula dengan adanya doktor-doktor perubatan moden sendiri yang menggunakan testimoni untuk menjual produk yang merawat penyakit kronik. Boleh ke doktor perubatan moden buat ni?
.
Setiap profesyen, termasuk doktor perubatan moden, mempunyai kod amalan dan etika yang perlu dipatuhi. Menurut Akta Perubatan 1971, doktor perubatan moden tidak boleh mengiklankan atau mempromosikan apa-apa produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Jika mereka melanggar akta ini, mereka boleh didenda, dipenjara atau ditarik balik lesen perubatan mereka.
Oleh itu, doktor perubatan moden tidak boleh menggunakan testimoni untuk menjual produk yang merawat penyakit kronik, kerana ianya boleh menyesatkan pengguna dan menjejaskan kredibiliti profesyen perubatan. Produk-produk yang dikatakan boleh merawat penyakit kronik perlu melalui kajian klinikal yang teliti dan sahih sebelum boleh dijual di pasaran. Testimoni semata-mata tidak cukup untuk membuktikan keberkesanan dan keselamatan produk tersebut. Selain itu, testimoni juga boleh dipalsukan atau dibesar-besarkan oleh penjual untuk menarik pelanggan.
.
Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
6/1/2024
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles