,

Khasiat Bone Broth atau Sup GearBox

Musim raya qurban telah berlalu. Banyak lebihan tulang dan sendi lembu/kerbau yang masih tersimpan dalam peti ais di rumah untuk dimasak bila-bila masa sahaja. Tetiba tersebar satu video pendek dari seorang chef terkenal tanah air yang berkongsi cara-cara memanfaatkan tulang lembu/kerbau. Resepi mudah yang beliau kongsikan adalah air sup tulang renehan atau bone broth. Mungkin istilah orang awam adalah sup ‘gearbox’. Kononnya air sup renehan dari sendi tulang haiwan qurban tersebut mempunyai khasiat kesihatan yang tidak diketahui oleh orang ramai. Sesiapa ayng mengamalkan minum secawan air sup gearbox ini setiap pagi, badan akan menjadi bertenaga, kulit tegang dan darah bersih kerana kandungan dari sup gearbox boleh detoks hati.

Dalam masa yang sama juga disebarkan tulisan viral dari seorang doktor perubatan yang menceritakan pengalaman beliau merawat kes kematian akibat makan sup gearbox pagi, petang dan malam. Mungkin pengalaman itu menjadi kes terpencil yang juga boleh dijadikan sempadan bagi kita agar makan berpada-pada.

Setelah berbincang secara ilmiah bersama beberapa sahabat profesion pemakanan (dietitian), mereka menyangkal dakwaan yang dibuat oleh chef tersohor itu. Seseorang itu boleh menjadi cergas dan sihat bukan kerana minum sup gearbox, tetapi amalan kekal aktif seperti bersenam, penjagaan makanan yang berkhasiat, tidak merokok, tidak minum arak dan kesihatan mental yang optima terlebih diutamakan.

Malah terdapat beberapa kajian yang sudah dibuat berkaitan dengan sup gearbox atau bone broth ini. Kajian dari para doktor Taiwan 2017 menaruh kerungsingan bahawa risiko bone borth ini menjadi toksik oleh logam berat seperti plumbum dan kadmium. Renehan yang lama boleh menyebabkan logam-logam berat itu keluar dari tulang dan boleh menjadi sumber toksik.[1]

Pusat Perubatan Havard juga menolak dakwaan sup bone broth ini boleh meningkatkan imuniti badan, melicinkan kulit dan seumpamnya. Semua dakwaan itu adalah fenomena atas sangkaan orang ramai semata-mata, namun ianya tidak terbukti secara kajian terperinci.[2] Memang sup bone broth itu mengandungi asid amino yang tinggi, kolagen dan sebagainya, tetapi mekanisma penyerapan zat makanan tersebut melalui tahap-tahap tertentu dalam badan. Asid amino yang diambil melalui makanan seperti bone broth ini tidak secara langsung sampai ke sendi dan sel tubuh.[3] Asid amino berkenaan akan melalui proses penyerapan di dalam perut, kemudian diangkut dalam darah seterusnya ke hati untuk di proses kepada bentuk protein yang lebih asas lagi. Mekanismanya agak kompleks, tidak semudah seperti yang kita bayangkan.

Semoga anda semua boleh faham dengan pencerahan ini.

suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

28.8.2018

Kuala Dungun

Pautan

[1] Hsu, D., Lee, C., Tsai, W., & Chien, Y. (2017). Essential and toxic metals in animal bone broths. Food & Nutrition Research, 61(1), 1347478. http://doi.org/10.1080/16546628.2017.1347478. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5533136/

[2] What’s the scoop on bone soup? Havard Medical School. https://www.health.harvard.edu/healthy-eating/whats-the-scoop-on-bone-soup

[3] Science Can’t Explain Why Everyone is Drinking Bone Broth. http://time.com/4159156/bone-broth-health-benefits/

,

Aktiviti Seks Selepas Serangan Jantung

Seorang sahabat karib baharu sahaja diserang sakit jantung minggu lepas. Umur beliau baru mencecah 28 tahun, tetapi bentuk badannya gempal dan kuat merokok.

Beliau bertanyakan nasihat kesihatan dari saya sementelah selalu melakukan akitiviti persatuan bersama. Apakah tip-tip kesihatan yang membolehkan beliau kekal sihat dan terhindar dari serangan sakit jantung kali kedua?

Nasihat pemula yang wajib diberikan kepada pesakit serangan jantung adalah jangan bersedih dan murung. Sokongan moral dan kaunseling psikologi perlu diberikan oleh para perawat dan sahabat handai. Ini kerana pelbagai pemikiran bermain dalam benak mereka bahawa mereka sudah menjadi ‘cacat’ kerana sudah tidak dapat menjalankan aktiviti aktif seperti sebelum terkena serangan jantung. Kemurungan selepas terkena serangan jantung adalah lumrah. Satu dari 3 pesakit akan mengalami gangguan kesihatan mental selepas serangan sakit jantung.[1] Ujian saringan perlu dilakukan oleh doktor peribadi anda dan dapatkan nasihat yang berpatutan darinya. Rujukan kepada pakar psikologi akan dilakukan jika sekiranya kemurungan dan/atau penyakit gugup (anxiety) yang teruk. Namun kebiasaannya pesakit akan pulih dari masalah kesihatan mental ini dalam tempoh enam bulan. Jika tanda² kemurungan berlangsung lebih dari enam bulan, pakar akan memberikan rawatan yang spesifik.

Oleh yang demikian sokongan moral dari saudara mara, sahabat handai serta rakan taulan amat diperlukan dalam tempoh sebulan pertama selepas serangan sakit jantung. Jangan biarkan diri mereka terasa asing atau tersisih dari masyarakat. Melepaskan perasaan di ruang maya seperti facebook kekadang bagus untuk luahkan emosi. Namun komen-komen negatif dari rakan-rakan maya terkadang boleh menyusutkan fikiran.

Soalan yang paling kerap ditanya oleh pesakit serangan jantung adalah berkaitan dengan makanan. Apakah pantang larang makanan yang perlu dijaga bagi pesakit jantung? Kita harus kembali menilai semula bentuk jizi makanan yang diambil. Janganlah ambil jalan mudah dan bercakap sedap bahawa tidak perlu berpantang seperti sebelum terkena serangan jantung. Bagi pesakit yang sudah sedia ada penyakit kencing manis atau darah tinggi, kurangkan makanan manis, masin dan lemak. Nasihat secara terperinci sukar disebutkan di sini. Silalah bertemu dengan doktor dan pakar pemakanan untuk dapatkan menu secara tepat. Ini kerana juadah makanan setiap individu berpenyakit perlu disesuaikan dengan keadaan penyakit, umur, berat badan dan beberapa parameter lain lagi.

Asasnya seseorang pesakit jantung perlu mempunyai sasaran untuk turunkan/kekalkan berat badan unggul, tidak merokok dan kekal aktif dengan kadar tertentu. Kawalan tekanan darah dan paras gula juga perlu optimum.

Bagaimana pula dengan aktiviti lasak? Adakah boleh diteruskan seperti biasa seperti mengait buah sawit dan memikulnya ke lori angkut, menebang pokok atau membanting padi atau apa sahaja aktiviti yang kategorikan sebagai guna tenaga yang banyak? Adalah dinasihatkan supaya berehat dari melakukan aktiviti lasak tersebut dalam tempoh empat minggu dari terkena serangan jantung. Berehat bukan bermakna tidur sepanjang masa dan baring atas katil. Tetapi proses aktiviti senaman menguatkan jantung perlu diadakan seawal 10 hari pertama. Rehabilitasi jantung ini penting bagi memastikan otot jantung akan mendapat sumber darah yang secukupnya (revascularisation). Doktor akan merujuk anda kepada pegawai rehabilitasi jantung untuk tujuan itu.

Senaman untuk kuatkan jantung perlu dimulakan secara perlahan. Ia bergantung kepada kapasiti anda dan status serangan jantung anda. Mulakan dahulu dengan berjalan sekitar rumah 10 minit setiap sesi dan kemudian ditingkatkan setiap minggu sehingga kadar minima 150 minit seminggu (purata minima 20 minit setiap hari).[2] Jika semasa senaman ini anda terasa sebak dada, sakit atau sesak nafas, sila berhenti segera dan dapatkan khidmat nasihat doktor keluarga anda.[3]

Pertanyaan yang paling kurang ditanya oleh pesakit jantung adalah aktiviti seksual. Kajian mendapati ramai yang ingin bertanya tetapi segan untuk memulakan persoalan apabila bertemu dengan doktor. Akhirnya mereka mengagak sendiri tempoh yang terbaik untuk bersenggama selepas serangan jantung. Didapati dari kajian 0.6% hingga 1.7% pesakit jantung meninggal dunia semasa melakukan hubungan seks. Majoriti dikalangan mereka adalah melakukan hubungan dengan pasangan luar nikah dan pasangan lebih muda.[4]

Justeru, bagaimana aktiviti seks ini boleh dilakukan selepas terkena serangan jantung? Secara umumnya terdapat 3 kategori pesakit jantung yang meletakkan masa sesuai untuk bersenggama.

1- Serangan jantung yang tidak dirawat melalui intervensi pembedahan angioplasti/stent/pintasan jantung. Kategori ini ‘boleh’ melakukan hubungan intim seawal 10 hari selepas terkena serangan jantung. Saya letakkan ‘boleh’ di sini bagi memberi perhatian bahawa, sila berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu tanpa segan silu. Sudah pasti doktor anda lebih mengetahui status jantung anda.

2- Pesakit jantung yang dirawat melalui angioplasti dan stent, tempoh ‘boleh’ kembali bersenggama adalah antara 4 hingga 6 minggu. Ya, sekali lagi sila bawa berbincang dengan doktor anda.

3- Pesakit yang melakukan pembedahan pintasan jantung pula perlu rehat dari melaksanakan aktiviti berat termasuk aktiviti seksual paling minima 6 minggu. Tempoh enam minggu adalah masa paling sesuai untuk otot jantung anda menjalani pemulihan.

Sifir umum untuk mengetahui samada fungsi jantung anda sesuai atau tidak untuk melakukan aktiviti fizikal adalah; samada anda mampu menapak naik dua tingkat anak tangga bangunan tanpa sakit dada atau sesak nafas. Jika berjaya tanpa tanda-tanda serangan jantung, maka anda lulus untuk bersenggama. Sekali lagi pesanan saya, bertanyalah doktor anda.

Satu pertiga pesakit jantung akan mengalami masalah tidak kuat tenaga seks. Maksud lainnya adalah mati pucuk (erectile dysfunction).[4] Pelbagai faktor mempengaruhi setiap pesakit itu mengalami mati pucuk antaranya gangguan jiwa kemurungan, ubat darah tinggi yang diberikan dan pelbagai lagi. Masalah timbul apabila pesakit mula mencari alternatif untuk menguatkan tenaga. Mereka mencari ubatan/herba luar yang katanya penguat nafsu dan tenaga. Tetapi ubat/ramuan perangsang seks tersebut boleh mendatangkan mudarat kepada mereka. Dibimbangi ubat ajaib perangsang tersebut dicampur dengan ubat terlarang (sildenafil). Ubat sildenafil ini akan bertindakbalas dengan ubat jenis nitrat (ubat sakit jantung) yang menyebabkan tekanan darah turun secara mendadak dan pesakit akan pengsan. Kematian juga boleh berlaku jika tidak dirawat segera. Justeru, berhati-hatilah.

Semoga pesanan ringkas ini boleh menjawab persoalan sahabat saya tadi dan didoakan beliau kekal sihat tanpa sebarang serangan baharu demi kesinambungan perjuangan yang penuh berliku ini. Nasihat akhir: Berhentilah merokok.

Sekian

Suhazeli.Com

Fb.Com/drsuhazeli

25.8.2018

Manila

Pautan

[1] AHA. Depression after Heart Attack. http://www.heart.org/HEARTORG/HealthyLiving/StressManagement/HowDoesStressAffectYou/Depression-After-A-Cardiac-Event-or-Diagnosis_UCM_440444_Article.jsp#.W3yl9KQRWEc

[2] AHA. Exercise after Heart Attack. https://www.heartfoundation.org.au/after-my-heart-attack/heart-attack-recovery/exercise-after-a-heart-attack

[3] NHS. Recovery after Heart Attack. https://www.nhs.uk/conditions/heart-attack/recovery/

[4] Sexual Activity after Heart Attack. Havard University. https://www.health.harvard.edu/heart-health/resuming-sex-after-a-heart-attack

,

Anak Sawan Tarik, Apa Perlu Anda Buat?

Sawan selalu disebut oleh orang awan sebagai satu keadaan penyakit yang boleh menyebabkan mangsa jatuh pengsan serta menggelupur. Pelbagai nama digelarkan oleh mereka. Antara nama yang masyhur adalah sawan demam, sawan tarik dan sawan babi.

Penyakit sawan berlaku tanpa mengira bangsa, tua atau muda, kaya atau miskin, cerdik atau dungu, semuanya mempunyai risiko dihinggapi oleh sawan.

Apakah puncanya? Lebih dari separuh kes tidak mempunyai punca pasti. Namun beberapa perkara boleh dikaitkan dengan punca berlakunya sawan.

1) Pengaruh keturuanan secara genetik. Adakala sesetengah individu terdapat sejarah keluarga, atau keturunan/genetik berlaku sawan.

2) Kecederaan kepala semasa kemalangan atau akibat hentakan lain juga boleh menjadi punca kepada berlaku sawan tarik.

3) Berkait dengan penyakit perubatan lain seperti angin ahmar (strok), serangan jantung, kegagalan buah pinggang juga boleh menjadi pencetus kepada sawan.

4) Proses penuaan yang menyebabkan penyakit nyanyuk (demensia) juga menjadi risiko seseorang itu dihinggapi sawan.

5) Jangkitan kuman ke otat atau selaput otak. Sawan akibat jangkitan sebegini agak kerap berlaku dikalangan indivdu. Serangan kuman seperti meningitis, HIV, virus ensefalitis, kuman tetanus dan banyak lagi boleh menyebabkan sawan ke atas pesakit.

6) Sawan berlaku di awal kelahiran bayi pula biasanya dikaitkan dengan kecederaan atau kerosakan otak bayi semasa dalam kandungan ibu atau kepayahan semasa dilahirkan. Kekurangan oksigen yang menjadi sumber pemakanan utama janin ini, boleh menyebabkan bayi berpenyakit cerebral palsy atau beberapa masalah saraf otak yang lain. Satu dari lima kes bayi yang cacat ini mengalami penyakit sawan yang memerlukan rawatan berpanjangan.

7) Terdapat juga bayi yang terbantut perkembangan fizikal dan mental seperti kes-kes bayi autisma dan down sindrom. Mereka juga mempunyai kecenderungan untuk sawan.

Kita akan rasa kesian melihat anak-anak yang terkena penyakit sawan ini. Otot-otot mereka akan tertarik-tarik tanpa di bawah kawalan sedar mereka. Kekadang mereka tidak ingat apa yang berlaku atas diri semasa tempoh sawan berlaku. Pada keadaan tertentu, kanak-kanak yang diserang sawan ini terpaksa tercungap-cungap menggapai oksigen dek kerana otot-otot mereka kejang terutama otot rongga dada.

Namun terdapat beberapa kesilapan yang disebarkan dikalangan kita melakukan sesuatu tindakan semasa sawan berlaku. Antara petua yang biasa kita dengar adalah, memasukkan sudu atau alatan keras dalam mulut mangsa agar tidak tergigit lidah. Bagi sesetengah orang yang terlalu perihatin, mereka sanggup memasukkan jari mereka dalam mulut mangsa. Adakah benar perlakuan sedemikian?

Berikut adalah beberapa tips yang boleh anda lakukan demi membantu kesengsaraan pesakit sawan.

1) Jauhkan mangsa dari tempat merbahaya. Jika berlaku atas jalanraya/dalam kolam air/di tempat tinggi, bawa mangsa ke tepi atau tempat yang paling selamat.

2) Posisikan mangsa dalam kedudukan mengiring samada kiri atau kanan. Tujuan berbuat demikian bagi mengelakkan air liur atau muntah mangsa masuk ke dalam paru-paru semasa sawan. Jika berlaku kemasukan benda asing dalam paru-paru, mudarat lain akan berlaku.

3) Jangan masukkan jari anda atau benda keras dalam mulut kerana akan mencederakan gigi. Kebanyakan keadaan, lidah mangsa tidak akan terkeluar sehingga boleh tergigit dengan diri sendiri. Jika jari anda yang dijadikan sebagai penyendal, anda pula akan berisiko tercedera putus jari.

4) Dapatkan bantuan klinik atau hospital secepat mungkin.

Sekian nasihat dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

2.8.2018

Ipoh

, ,

Campuran Susu dengan Asam, Ikan Bahaya?

Lewat petang tadi tersebar tulisan yang melarang orang ramai mencampurkan susu dengan buah-buahan masam seperti oren, limau, nanas dan sebagainya. Katanya gabungan susu dengan bahan masam bukan satu makanan sihat dan boleh menyebabkan mudarat kesihatan. Maklumat yang disampaikan itu tiada rujukan jelas dan memberi nasihat bersahaja agar orang ramai tidak makan gabungan tersebut.

Sedikit carian dan bacaan saya buat berkaitan susu yang dicampurkan dengan bahan masam ini. Antara makanan yang agak popular adalah yogurt dan keju. Pembuatan yogurt dan keju ini adalah melalui gabungan susu dan asam seperti perahan limau atau cuka. Protein asas yang terdapat dalam suus bernama kasein akan terbentuk gumpalan (curdle) apabila terdapat asid yang dicampurkan. Kaedah inilah yang menjadikan yogurt dan keju itu unik dan sedap di makan.[1]

Proses yang sama juga dilakukan dalam pembuatan susu masam. Masyarakat arab amat suka meminum susu masam ini (laban). Menurut mereka, meminum susu masam lebih menyenangkan semasa membuang air besar nanti. Petua ringkas orang Arab, minum susu masam akan melembutkan najis dan memudahkan berak, terutamanya sesuai bagi pesakit buasir. Memang pun, bagi pesakit buasir, doktor akan nasihatkan beliau lebih memakan serat supaya najis lembut. Jika dengan kaedah meminum susu masam ini boleh mencairkan najis yang keras, maka ianya tidak mendatangkan mudarat besar untuk di minum.

Begitu juga dengan pembuatan susu yang berasaskan tindakbalas bakteria baik bernama laktobasilus seperti air vitagen dan sebagainya. Kesemua minuman ini mempunyai khasiat tertentu yang saya tidak huraikan secara terperinci di sini.

Sebagai maklumat tambahan, terdapat juga sebaran maya yang menuduh penyakit kulit seperti sopak akan timbul jika susu dicampurkan dengan ikan. Fakta ini adalah tidak benar. Tidak ada kesahihan kajian yang mengaitkan memakan ikan dicicah atau digaul dengan susu akan menyebabkan sopak.[2] Sebaran fakta palsu ini telah menular dalam alam maya dan perbualan dari mulut ke mulut. Sedangkan mereka tidak dapat mengesahkan kesahihan berita itu.

Semoga sebaran tidak benar seperti ini dihentikan dengan segera agar masyarakat tidak sasau-minda (panic).

Sekian jawapan dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

6.4.2018

Kuala Berang

Pautan

[1] How to Make Yogurt. https://www.foodnetwork.com/how-to/photos/how-to-make-yogurt-a-step-by-step-guide

[2] Is Fish & Milk A Dangerous Food Combination That Can Cause White Spots? https://thehealthorange.com/stay-nourished/healthy-food/will-get-white-spots-consume-fish-milk-together/

,

Saringan HIV Bakar Pengantin

Setiap insan yang waras sudah pasti inginkan berkahwin, membina keluarga dan melahirkan zuriat yang soleh. Tetapi sebelum berlangsungnya sesatu ikatan yang sah, pasangan wajib mengetahui hak diri dan kemampuan masing-masing bagi melayari bahtera sehingga akhir hayat. Kemampuan itu terdiri dari kemampuan fizikal, mental dan sosio-ekonomi. Sihat tubuh badan, bebas dari segala penyakit yang boleh membahayakan diri dan pasangan adalah salah satu syarat penting untuk diambil kira. Salah satu syarat yang ditetapkan oleh jabatan agama dan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah mengadakan ujian HIV kepada bakal pengantin. Walaupun penyakit berjangkit seperti HIV ini boleh dikawal penularannya pada masa kini, tetapi kefahaman mantap pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga perlu disalurkan oleh pihak yang berwajib.

Berikut adalah maklumat yang akan diberikan kepada individu yang telah dijangkiti HIV dan pasangan mereka semasa sesi kauseling yang akan dijalankan dalam beberapa peringkat.

1) KEFAHAMAN MENGENAI HIV

Topik-topik yang perlu dihadamkan kepada bakal pengantin adalah: Bagaimana cara jangkitan berlaku; cara mengelakkan jangkitan; cara TIDAK boleh menyebabkan jangkitan; rawatan yang boleh diperolehi; pemantauan semasa rawatan; paras sel pertahanan tubuh (CD4}; jumlah virus ayng terdapat dalam badan (Viral Load); manfaat menggunakan perlindungan (condom) semasa melakukan perhubungan seks; waktu subur wanita; Risiko jangkitan kepada pasangan; risiko jangkitan kepada janin dan anak jika si ibu dijangkiti dan beberapa ilmu lain lagi.

2) POLISI

Di premis KKM, HANYA pasangan sah berkahwin sahaja yang akan dimaklumkan, tetapi digalakkan supaya beritahu juga pasangan seksual yang lain (jika ada atau jika belum berkahwin). Kaunseling akan dijalankan oleh pegawai perubatan atau pakar yang terlibat dengan pengendalian kes.

Polisi Undang-Undang Syariah pula menetapkan Pegawai Agama Islam Daerah (PAID) akan maklumkan kepada bakal isteri/suami (Pasangan yang terlibat) dan wali (mengikut budi bicara PAID). Untuk perhatian, HANYA wali yang sah sahaja yang akan dimaklumkan, BUKAN isteri wali dan/atau ahli keluarga wali.

3- KEPUTUSAN BERKAHWIN

Keputusan samada untuk meneruskan pernikahan atau tidak, bergantung kepada pasangan serta wali. Undang-undang Syariah Negeri serta pihak Jabatan Agama Islam Negeri TIDAK PERNAH serta TIDAK AKAN menghalang pernikahan tersebut TETAPI amat menggalakkan supaya pasangan melakukan apa sahaja demi untuk mengelakkan pasangan yang belum dijangkiti, menjadi mangsa jangkitan baru samada terhadap pasangan mahupun bayi yang akan dilahirkan (jika hamil). Kefahaman ini penting dihadam lumatkan oleh semua pihak yang terlibat.

4- PEMBENTUKAN SIKAP (ATTITUDE)

Individu yang disahkan positif HIV melalui ujian pengesahan MESTI bersikap terbuka, berlapang dada dan pasrah atas ketentuan ke atasnya. Sudah pasti ada hikmah besar yang diletakkan kepadanya demi kehidupan dunia dan akhirat. Beliau tidak boleh bersikap seperti kefahaman jabbariyah yang meletakkan segala sandaran yang berlaku ke atas dirinya itu sebagai qada & Qadar Allah. Sedangkan akidah ahli sunnah wal jamaah juga memberi ruang untuk beliau berikhtiar untuk berubat. Beliau MESTI dapatkan rawatan secepat mungkin dari doktor.

Pasangan yang terbabit juga MESTI ambil peduli rawatan yang diambil oleh individu yang dijangkiti itu. Jika ditakdirkan perkahwinan berlangsung dan rumahtangga terbina, pasangan terbabit juga MESTI mengambil cakna status dan progres rawatan pesakit termasuk jadual lawatan doktor, paras CD4, paras VL dan indikator status darah yang lain. Inilah makna cinta yang dimetrai hasil ijab kabul dihadapan wali.

5- KEMAHIRAN

Kedua-dua mempelai ini wajib mahir dalam mengelakkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku. Terutamanya kemahiran menggunakan kondom; kemahiran waktu makan ubat; di mana nak dapatkan ubat dan sebagainya lagi. Akhir sekali mahir bagaimana nak memberitahu wali mengenai status jangkitan serta rawatan dan/atau memberitahu Qadhi atau Naib Qadhi atau Pendaftar Nikah atau Juru Nikah jika enggan wali dimaklumkan atas sebab yang munasabah.

6- SEMAK SEMULA KEFAHAMAN

Pasangan akan diuji kefahaman dan kemahiran mereka diakhir sesi kaunseling.

7- RAWATAN

Individu yang dijangkiti akan diberikan rawatan segera setelah kaunseling ubatan diberikan.

Penyakit HIV ini terlalu sensitif dikalangan masyarakat. Individu yang terbabit atau pasangannya akan mengalami stigma negatif berterusan. Kerahsian amat penting dalam mengendalikan kes. Janganlah petugas kesihatan sendiri terjebak dalam stigma yang memeritkan ini. Beberapa isu yang perlu di ambil perhatian oleh semua

1- Pihak wali boleh dimaklumkan dengan bantuan Pengamal Perubatan serta diberi kaunseling yang sama samada secara individu atau bersama bakal pengantin. Persetujuan melakukan pemakluman itu tertakluk kepada perbincangan doktor dengan individu yang positif HIV tersebut. Pasangan pengantin WAJIB diberitahu oleh beliau sendiri dalam tempoh 24 jam. Namun bagi mengelakkan kekeliruan, pasangan akan diberi kaunseling oleh doktor.

2- Jika pada pandangan pasangan yang akan berkahwin tersebut pihak wali akan bertindak menghalang perkahwinan, maka pihak doktor akan mengeluarkan surat pengesahan kesihatan/perubatan kepada PAID menyatakan bahawa pasangan ini telah menjalani sesi kaunseling serta faham dengan situasi mereka & Individu HIV positif telah dimulakan rawatan serta berjanji untuk meneruskan rawatan dengan dibantu dan dipantau juga secara bersama oleh bakal isteri/suami. Pasangan akan bawa surat tersebut dan berbincang dengan PAID supaya wali tidak dimaklumkan.

3- Hubungan baik antara doktor yang merawat dan pasangan yang akan berkahwin ini amat penting bagi menjamin kesinambungan rawatan yang berterusan. Bukannya terhenti setakat kaunseling pra perkahwinan.

Sekian

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

Fb.Com/drsuhazeli

2.4.2018

Ajil

Adaptasi penulisan dan rujukan dari Dr Iskandar Firzada Osman, Pakar Perubatan Keluarga Jaya Gading, Pahang.

, ,

Petua Terkena Gigitan dan Tertusuk Paku


Jika digigit binatang berbisa, dapatkan bantuan segera dari klinik atau hospital.
.

1) Jangan bakar kaki dengan minyak masak. Dah lah sakit digigit dan bisa merayap, kaki pulak terbakar. Doktor terpaksa rawat dua penyakit pula.

.

2) Jangan sedut luka gigitan. Kan double kojol sebab sedut bisa binatang.

.

3) Jangan kejar binatang tu semata-mata nak dapatkan ekornya. Siapa pula kata ekor bintang sebagai antidot (ubat lawan bisa)? Jangan mengarut dalam bab berubat saat cemas begini.

.

4) Jangan sapu losyen yang entah tak tahu asalnya, samada ramuan herba atau minyak hitam kereta. Ia akan menambahkan sumber jangkitan kuman. Lagi sukar untuk dirawat. Begitu juga ramuan lain seperti rincihan bawang campur gula, ianya tidak sedikitpun membantu luka tersebut. Bawang dan gula untuk makanan, bukannya untuk terkena tusukan paku!

.

5) Jangan ikat kaki atau tangan yang kena gigit. Jika tak kena cara, kaki anda akan gangren (hitam) sebab tiada saluran darah mengalir. Apa yang perlu, balut dengan kain bersih serta beri tekanan lembut di kawasan luka. Kaedah itu boleh menurangkan perdarahan.

.

Sekian pesanan ringkas dari

Suhazeli.com

.

13.10.2017

Putrajaya.

, , , ,

Kuman Bekam

Sedih dengar cerita seorang pesakit yang pernah dijangkiti virus Hepatitis C akibat berbekam. Mungkin ianya satu kes terpencil, tetapi boleh dijadikan iktibar kepada penggemar bekam seluruh dunia.

.

Kisahnya bermula beliau dihinggapi Hepatitis C. Setelah diselidik tiada sumber lain yang menyebabkan sumber jangkitan kecuali beliau pernah berbekam sebulan sebelum itu. Nasib baik beliau segera dirawat dari doktor pakar. Keputusan akhir darah dapati beliau sudah bebas dari Hepatitis C.

.

Gambar Hiasan


Beliau membayangkan kembali di saat bekam dijalankan, pengamal bekam tersebut tidak mengamalkan konsep kebersihan. Pengusaha bekam itu hanya membasuh ‘cup’ bekam dengan cincai sahaja. Walaupun gunakan sabun dan air, tetapi nampak lagi darah kemerahan melekat di dinding cawan tersebut. Kemudian lap dengan tisu tandas darah yang terkumpul. Cawan bekam itu dikongsi dengan pelanggan lain pulak. Sedangkan kini sudah ada cawan bekam jenis pakai buang. Tapi demi jimatkan kos, cawan yang satu itu dikitar semula.

.

Nasihat saya kepada para pengamal bekam agar menjaga kebersihan semasa menjalani prosedur. Perkara ini selalu patut ditekankan dalam kursus-kursus yang mereka hadiri. Paling minima ‘universal precaution’ perlu diamalkan. Membasuh tangan dengan betul, memakai topeng muka, memakai sarung getah tangan yang nyahkuman dan menyelia semua alatan sebaik sahaja prosedur wajib dilakukan demi mengelak jangkitan kuman.

.

Virus bahaya yang berisiko tinggi untuk dijangkiti seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV. Kajian mendapati peratus risiko jangkitan virus Hepatitis B sebanyak 30%, virus Hepatitis C sebanyak 2% dan virus HIV sebanyak 0.3%. Begitu juga bakteria stafilokokos, streptokokus dan pelbagai lagi boleh mengundang jangkitan yang menyeksakan jika tidak diurus dengan baik.

.


Pihak KKM melalui Unit Perubatan Tradisional & Komplimentari telah mengeluarkan garis panduan bekam. Antaranya:

1) Peralatan untuk berbekam

a. Alat bekam – cawan

Cawan bekam tanpa perlu memanaskan udara sebelum diaplikasikan kepada pelanggan.

Cawan–cawan ini perlu disterilkan selepas setiap sesi rawatan, dan cawan yang sama tidak boleh tidak boleh digunakan pada tempat yang berbeza atau pada pelanggan yang lain.

Pastikan saiz cawan adalah bersesuaian dengan tempat yang akan diaplikasikan.

b. Lanset steril pakai buang

Hanya lanset pakai buang sahaja yang digunakan untuk menoreh kulit semasa prosedur bekam basah dilakukan.

.

2) Amalan baik langkah berjaga-jaga

a. Pengamal dikehendaki memastikan standard langkah berjaga-jaga dalam penjagaan kesihatan sentiasa diikuti pada setiap masa dan semua pengurusan sisa klinikal perlulah mematuhi garis panduan pengurusan sisa klinikal (rujuk pada Garis Panduan Mengurus Sisa Klinikal di Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, 2009)

b. Bagi memastikan bahagian badan yang digunakan untuk rawatan bekam basah tidak
dijangkiti kuman, pengamal perlulah menggunakan lanset steril pakai buang.

c. Permukaan kulit di bahagian badan yang akan digunakan untuk bekam basah perlu
dibersihkan terlebih dahulu dengan 70% isopropyl alcohol dan dibiarkan kering sebelum membuat torehan.

d. Semua peralatan bekam perlu dicuci hama dan disterilkan mengikut kaedah pensterilan dan disinfeksi yang bersesuaian sebelum digunakan pada pesakit.

e. Pengamal dikehendaki menggunakan peralatan perlindungan peribadi terutamanya sarung tangan semasa prosedur rawatan dan mesti memastikan tahap kebersihan diri sentiasa dijaga.

.

Semoga nasihat ini didengari

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

.

5.10.2017

Kuala Berang

.

Pautan

Kecederaan tusukan jarum.

https://www.ccohs.ca/oshanswers/diseases/needlestick_injuries.html

Panduan Bekam dari TCM. http://tcm.moh.gov.my/v4/pdf/guideline/TerjemahanPGBekam.pdf
[Gambar itu sebagai hiasan, bukan gambar sebenar pesakit Hep C yang dinyatakan dalam artikel]

, ,

Bahaya Strok / Angin Ahmar

STROK

Sembang pagi bersama ahli kumpulan wasap pagi ni..

.

“Dinasihatkan sesiapa yang ada Darah Tinggi atau Kencing Manis atau Cholesterol Tinggi atau kesemuanya sekali supaya makan ubat Aspirin atau apa sahaja pencair darah.” Ujar seorang sahabat yang kini menjadi YB di sekitar Selangor. Beliau istiqomah dan terlalu cakna dengan rakyat setempat.

“Kalau tidak…boleh terdedah kpd stroke. Samada mild atau severe stroke.” Tambah beliau lagi. 

“Di DUN saya…ramai yg berumur 25 hingga 38 tahun pun dah mula kena stroke sebab tak mahu atau malas ambil ubat dan melibatkan semua bangsa.” Saya boleh bayangkan memek muka beliau ketika menulis ini. Setiap kali nasihat yang diberikan, beliau serius dan bersungguh-sungguh agar pemabaca ambil perhatian. Kali ini melibatkan pengalaman beliau sendiri setelah berpuluh tahun bersama rakyat jelata.

“Muda lagi tu Dr dah kene stroke.” Sampuk seorang sahabat yang sedar bentuk badannya agak berisi.

“Obesity atau badan gemuk pun satu lagi penyebab utama. Minggu lepas ada 5 orang berbadan gemuk di DUN ana yang kena stroke di pejabat, semasa memandu kereta dan semasa mandi.” Terus Yb mencelah memberikan titipan pengalaman beliau bersama dengan rakyat yang pelbagai.

“Penyakit tak kenal usia dan profession.” Tulis beliau dengan semangat. Biasanya Yb jarang tulis dalam group wasap dek kerana kesibukan masa. Program penuh sepanjang hari. Nak pegang telefon pun susah. Apatah lagi berwasap.

“Mati juga tak kenal usia dan profession …. Ya Allah.” Mencelah sorang sahabat lain yang sudah berusia veteran.

“Betul tu…..DUN ana dua bulan dulu….3 orang berusia 28 hingga 36 tahun mati ketika bermain futsal dan badminton di tiga lokasi berbeza. Yang sedihnya…anak-anak yang ditinggalkan semua masih belajar…Isteri pula jadi janda diusia muda…..” Tulisan nada simpati seorang Yb. 

“Ya ke Dr? Ana insaf Dr. Insyaallah mula hari ni ana diet insyaallah.” Tulisan sahabat obese yang dari tadi duk baca dengan tekun.

Memang benar, strok atau angin ahmar menjadi penyakit yang paling kerap serta banyak diabaikan oleh kebanyakan manusia. Seluruh dunia 90.5% (Kajian 13 tahun dalam jurnal Lancet) punca terjadinya strok akibat dari risiko gaya hidup yang boleh diubah (Modifiable Lifestyle). Gaya hidup tidak sihat seperti merokok, pemakanan tidak sihat, kurang aktiviti fizikal memberi sumbangan statistik sebanyak 74.2%, manakala Darah tinggi, gemuk, kolesterol tinggi dan sakit buah pinggang memberi sumbangan statistik sebanyak 72.4%. Faktor persekitaran yang tidak bersih pula menyumbang sebanyak 33.4%. Ringkasnya kesemua gaya hidup berkenaan mempunyai risiko tinggi menghidapi strok. [http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1474442216300734]

.

Masalah timbul dikalangan kita adalah, tiada kecaknaan dalam menjaga kesihatan. Mengambil makanan yang tinggi kandungan gula, garam dan berlemak. Aktiviti fizikal pun berkurangan dek kerana kekangan kehidupan yang semakin mencabar. Ramai juga dikalangan kita yang tidak mahu mendengar nasihat para doktor jika sudah dihinggapi penyakit darah tinggi, kencing manis atau sebagainya. Mereka masih lagi lagho dengan makan dari makanan yang risiko tinggi. Ubat ditinggalkan atau makan bila perlu sahaja. Terlebih sedih lagi mereka lebih mempercayai para penjual produk yang tiada kajian keberkesanan, keselamatan dan kualiti.

.

Saya pernah menegur seorang kenalan yang ralit menjual produk. Tetapi mereka hanya tunjukkan testimoni. Apabila ditanya, adakah produk itu lulus KKM atau tidak. Beliau menjawab tidak perlu. Malah produk beliau pun spesifik/khas kepada golongan wanita sahaja. Lelaki tidak boleh lihat atau pegang kerana khasiat produk akan hilang jika lelaki pegang.

.

“What? Ada orang boleh percaya?” Saya mula mencari idea bagaimana kaedah pula nak beri nasihat…

Suhazeli Abdullah

fb.com/drsuhazeli

12.8.2017

Tepi Bendang, Alor Setar

, ,

Kita Aidil Fitri, Mereka Aidil Pasrah

​#Kita_Aidil_Fitri_Mereka_Aidil_Pasrah
Dr Maxwell Maltz, seorang pakar bedah hebat sekitar tahun 1950, mendapati pesakit-pesakit yang menjalani pembedahan berperangai pelik selepas sesi bedah. Kebanyakan mereka mengambil masa paling minima 21 hari untuk menyesuaikan diri dalam bentuk imej yang baharu. Contohnya pesakit beliau yang membuat pembedahan hidung, tempoh 21 hari diperlukan untuk melakukan adaptasi kehidupan dengan bentuk hidung yang berlainan dari sebelum ini. 

Dalam kajian lain, ahli psikologi mengesyorkan tempoh 30 hari kepada pesakit untuk melakukan perubahan sikap dan perangai positif seperti yang dikehendaki oleh masyarakat awam. Kemudian, latihan kemantapan perlu diteruskan lagi selepas sebulan tempoh ‘induksi’ tersebut. 

Sebulan Ramadhan yang kita lalui, sebenarnya tempoh induksi untuk kita melakukan perubahan diri ke arah perangai, sikap dan budaya yang lebih baik. Fitrah dan naluri seorang manusia inginkan sesuatu yang positif di dalam diri mereka. Perangai yang disukai oleh ahli keluarga dan masyakarat perlu ditanam sebaik mungkin. Sesuai dengan kaedah psikologi perubatan, sepanjang sebulan kita berpuasa, boleh menghapuskan sikap, perangai dan budaya buruk. 30 hari itu cukup mantap untuk kita tekuni bagi mengelakkan kita masih berbudaya lama yang tidak sihat itu. Kita akan mampu meninggalkan kelaku tidak sihat seperti merokok, lewatkan subuh, tidak tepat waktu, makan berlebihan, leka dari ibadah dan pelbagai lagi. Kemudian sesi pengukuhan perangai dan budaya yang baik dilangsungkan lagi dengan berpuasa 6 di bulan syawal. Enam hari dibulan syawal ini, penting bagi memastikan kita terus mempunyai azam yang tinggi dan istiqomah dalam meneruskan akhlak yang baik. 


Jamuan raya secara besar-besaran sebenarnya tidak elok, kerana kita kembali menjamu nafsu kita yang sudah tertindas sebulan di Ramadhan lepas. Jamuan sana-sini di setiap premis rasmi atau persatuan boleh menyebabkan kita lupa sesi pengukuhan sikap, perangai dan budaya baik yang telah kita latih itu. Justeru berpada-padalah dalam membuat jamuan raya.

.

Saya kira negara kita sahaja bermewah dengan jamuan rumah terbuka ini. Pengalaman saya dibeberapa negara yang saya lawati seperti Filifina, Kemboja, Bangladesh, Mesir, Jordan, Turkey dan Sudan, tiada pun majlis sambutan raya yang melebihi hawa. Mereka melakukan sekadar menyambut kegembiraan menang berpuasa secara biasa. Mereka sambut hanya sehari dua di bulan syawal. Kemudian kembali kepada rutin normal. Amat berbeda dengan kita, sebulan dipulun untuk disajikan dengan jamuan Aidilfitri. 

Saya tidak melarang sambut Aidilfitri, tetapi bersederhana dan berpada-pada lah. Elok kita kenangkan juga sahabat-sahabat semuslim kita dinegara yang dhaif. Mereka hanya makan sekali sehari. Itupun jika ada stok makanan. Jika tidak, mereka akan berlaparlah sepanjang hari. Mengharapkan belas ehsan dari saudara seagama dari negara luar, amat jauh sekali dek kerana kekangan sosiopolitik yang terjadi. Akhirnya mereka hanya mampu menyambut setiap hari Aidilpasrah, manakala kita Aidilfitri… 

Maaf Zahir Batin dari saya. 

Suhazeli Abdullah 

Fb.com/drsuhazeli 
9.7.2017

Ketengah Jaya

,

Penyakit Jamuan Raya 

#Penyakit_Jamuan_Raya

.

Hari ni ramai yang mari klinik minta MC. Katanya sakit muntah dan cirit setelah masuk hari kedua puasa. Berlarutan sampai hari ini.

.

“Doktor kena beri cuti pada saya, jika tidak lagu mana saya nak gi kerja? Terpaksa bertuala sepanjang masa”. Gesa seorang pesakit separuh umur. Nampak kerut muka tu memang sah dia cirit.

“Saya terpaksa ambil MC juga doktor. Walaupun tak cirit-birit, tapi anak saya loya muntah dan berak cair sejak kelmarin lagi. Naik pusing dah kepala ni berjaga malam”. Rungut seorang ibu muda yang bawa anaknya untuk berubat kerana muntah berak.

.

Biasanya kami beri MC kepada yang berindikasi tinggi jika mereka pergi kerja akan menyusahkan kehidupan. Cirit-birit ni tidak dapat disahkan oleh mana² ujikaji darah pun. Ianya hanya melalui penceritaan pesakit dan kaum kerabat yang boleh dipercayai. Jika peringkat teruk baru doktor boleh perhatikan nadi, tekanan darah dan lendur kulit, mengesahkan bahawa pesakit dalam kekeringan. Selain dari itu hanya kepercayaan jalan cerita, lalu doktor memberi rawatan dan keluarkan surat cuti.

.

Kami sudah mengagak kejadian cirit birit ini berlaku setiap kali musim perayaan. Puncanya adalah keracunan makanan.

.

Apa maksud keracunan makanan? Ia bukan bermakna pesakit memakan racun, tetapi makanan yang diambil oleh pesakit itu boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh. Samada ianya baharu dihidangkan atau sudah disediakan sejak sehari berlalu. Namun majoriti keracunan ini berlaku akibat 5 punca utama.

1) Mengambil makanan yang sudah lama disediakan. Makanan tersebut sudah hampir basi atau basi tanpa disedari oleh kita.

2) Memakan makanan dalam bentuk pelbagai. Interaksi sesama bentuk resepi di dalam perut kita menyebabkan cirit birit akan berlaku. Contohnya mengambil kueh raya, minum kopi atau air bergas dan tapai. Interaksi makanan ini boleh menyebabkan perut bergelora. Tapai mempunyai sedikit alkohol didalamnya. Ia bukan arak, tetapi hasil penapaian beras dengan ragi menyebabkan terbentuknya alkohol yang manis itu.

3) Interaksi ubat-ubatan dengan juadah raya juga boleh berlaku. Oleh yang demikian, sila perhatikan masa yang tepat ubat-ubatan anda perlu diambil. Jika arahan menyebut makan semasa perut kosong, makan wajib diambil semasa perut yang belum berisi dengan juadah raya. Kerana interaksi negatif antara ubat dan makanan akan menyebabkan penyerapan ubat terganggu. Jika timbul cirit-birit, lagi menyusahkan diri kita.

4) Meminun air yang tidak dimasak. Tahap suhu apabila anda ingin memasak air adalah paling minima 85 ⁰C. Dipanaskan selama 3 minit. Biasanya dapur gas di rumah kita, tahap mengelegak itu suhu rebusan sudah mencapai 100 ⁰C. Minima 60 saat ketika mengelegak sudah memadai. Tetapi lebih lama lebih baik agar semua bakteria dan virus akan mati. Air tidak dimasak ini dikatakan “racun” apabila mengandungi kuman berbahaya. Dahulu kala wabak taun (kuman kolera) boleh merebak. Tetapi sekarang sudah jarang didengari. Ini kerana sistem kumbahan, kebersihan dan kawalan punca sudah dijaga dengan baik. Namun, ia boleh segera muncul jika kita tidak berhati-hati. Kuman-kuman lain seperti pencemaran e-coli juga boleh menyebabkan kehidupan kita tidak keruan akibat cirit birit. Justeru, minumlah air yang dimasak. Bagaimana pula dengan ais? Ia juga boleh menjadi punca jika sumber pengilang ais tidak menjaga kebersihan dan menggunakan air yang tidak dijamin mutunya. Syarikat pengilang ais wajib mematuhi syarat-syarat yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan.

5) Penggunaan pinggan mangkuk, gelas yang tidak bersih. Biasanya boleh berlaku dalam keadaan sibuk, lupa untuk membersihkan segera pinggan mangkuk setelah digunakan. Kemudian kita membasuh semula dalam keadaan cincai. Makanan basi tidak terhapus seluruhnya. Kuman pun banyak yang melekat di pinggan. Basuh menggunakan sabun sudah memadai, tetapi perlu dilakukan dengan teliti, jangan tergesa-gesa. Kepada ibubapa yang ada anak kecil, basuh botol susu anak anda dengan cara yang betul. Sental baki susu yang ada didalam botol. Kemudian rendam dengan air panas. Tidak perlu direbus botol susu itu.

Apakah rawatan untuk cirit-birit ini? Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil jika anda mengalami cirit-birit:

1) Sila dapatkan pemeriksaan dan rawatan segera diklinik, samada klinik kerajaan atau swasta. Doktor akan menilai sejauh mana keterukan cirit-birit anda melalui pemeriksaan tanda-tanda vital seperti tekanan darah, suhu dan sebagainya.

2) Ambil ubat yang dibekalkan (jika anda tidak dimasukkan ke hospital). Doktor akan membekalkan garam gantian bagi menggantikan semula air serta garam galian setelah cirit-birit.

3) Banyakkan minum air, walaupun anda selalu muntah berak. Setidak-tidaknya sebahagian kecil dapat diganti dengan meminum air tadi.

4) Elakkan memakan makanan yang sudah basi atau tidak diketahui status bila dimasak. Tuan rumah rasanya tidak berkecil hati jika anda tidak makan. Buatlah alasan perut anda sudah penuh. Memang pun, sebelum tengahari perut sudah sendat dengan makanan. Kita makan juga kerana nafsu sahaja.

5) Elakkan memakan juadah berlemak, bergas, berkafein dan pedas. Elakkan juga percampuran makanan seperti yang saya sebut di atas tadi.

6) Jaga dengan teliti kebersihan penyediaan makanan, pinggan mangkuk dan air.

7) Rehat secukupnya. Banyakkan doa, jangan hiraukan kepada segelintir manusia yang anti-doa.

.

Cirit-birit ini biasanya akan hilang dalam tempoh 24 jam sahaja, jika berlarutan, sila kembali semula ke klinik. Kemungkinan besar anda akan dimasukkan ke wad hospital bagi rawatan lanjut.

.

Sekian, semoga bermanfaat.

.

Dr Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

29.6.2017

Ketengah Jaya

,

Persediaan Hari Raya: Bank Kalori

Oleh: Dr Khairul Hafidz Alkhair

Alhamdulillah kita telah hampir ke penghujung bulan Ramadhan, Syawal pula yang akan tiba.
Dan yang pastilah ramai yang ingin meraikan kemenangan setelah mengharungi sebulan Ramadhan, dan cara meraikannya? Pastilah dengan makan.

Siapa yang tidak terliur dengan juadah hari raya, dengan lemang, ketupat, rendang tok apa lagi kalau mendapat kuah kacang hasil air tangan bakal zaujah.
Dan waktu hari raya inilah kadang mereka yang mahu menurunkan berat badan ini dah lupa nak tetap mengira kalori, mana tak nya, jaudah ni bukan boleh dapat waktu lain, ada waktu hari raya je.
Saya tak menghalang untuk mereka yang mahu melepas rindu dendam sebulan berpuasa ini, cuma satu tips yang boleh saya berikan kepada semua. Tips ini selalu saya guna sebagai persediaan menghadapi cheat day akbar.
Apa yang saya buat adalah membuat bank kalori.
Maknanya apa? Saya simpan sebilangan kalori-kalori saya sekarang supaya saya boleh gunakan untuk hari yang perlu saya gunakan.
Seperti yang selalu saya sebut, dalam menurunkan berat badan, untuk lelaki sehari perlu dimakan lebih kurang 1200-1500 Kal dan untuk wanita dalam 1000-1200 Kal.
Jadi, helahnya adalah, bermula dari sekarang, MINIMAL kan pengambilan kalori (tapi jangan sehingga terlalu kurang hingga menyebabkan kita jadi tidak bertenaga dan muscle wasting).
Saya sarankan untuk lelaki, kurangkan pengambilan kalori kepada 1000-1200 Kal dan wanita dalam 1000 Kal.
Contohnya lelaki,
Jika pengambilan kalori dalam 1000 Kalori per hari, kalian telah menjimatkan kalori dalam 500 Kal. Dan 500 Kal inilah yang dimasukkan ke dalam bank kalori kita.
Bayangkan kalian buat selama seminggu, kalian telah pun simpan dalam bank kalori kalian sebanyak 3500 Kal.
Jadi, hari raya nanti, jika kalian ingin cheat day selama dua hari,
3500 dibahagi dua hari, jadi sehari dalam 1700 Kal dan ditambah dengan maksimum 2000 Kal per hari anda, maka untuk hari cheat day tersebut anda boleh mengambil sebanyak 3700 Kal.
Banyak tu 3700 Kal per hari, InsyaAllah puas makan.
InsyaAllah kalian boleh cheat day tanpa rasa risau kenaikan berat badan!
Tapi jika kalian telah buat keputusan untuk berikan peluang badan naik sebanyak 1 kg untuk cheat raya kali ini, ini juga boleh.
Dalam teori, kenaikan 1 kg adalah lebih kurang dalam 7700 Kal.
Jadi, jika anda mahu cheat day selama 3 hari,
7700/3 hari = 2500 Kal per hari
Jadi dalam sehari, pengambilan kalori
2500 + 3700 = 6200 Kal.
Saya fikir 6200 Kal per hari tu dah cukup banyak!
Apapun, yang paling penting, beringatlah dalam mengambil makanan sewaktu raya. Jika banyak rumah yang perlu pergi untuk beraya, ambil secubit sana sini. 
Semoga tips ini bermanfaat, yang penting sewaktu raya nanti jangan lupa diri.
Ingat, merasa, bukan melantak
#healthylifestyle

,

Nafas Baru Menjelang Aidil Fitri 

*#Nafas_Baru_Menjelang_Aidilfitri*

Hampir sebulan kita berpuasa ramadhan. Sesungguhnya ramadhan adalah bulan latihan bagi mendidik nafsu kita. Jika sebelum ini kita banyak melakukan dosa samada kecil atau besar, kehadiran Ramadhan sebagai penghapus dosa-dosa dengan peluang keampunan dari Rabbul Jalil. Berdoalah, beristghfarlah demi meraih taqwa. 

Tarikh hari-hari bulan Ramadhan juga boleh menjadi tarikh-tarikh keramat kepada perokok. Kita boleh menahan nafsu rokok dengan tidak menghisapnya pada siang hari sudah menjadi satu kejayaan hidup. Teruskan dengan mengekalkan momentum tidak merokok ini pada malam hari, seterusnya berhenti terus dari kancah ketagihan nikotin itu. Saya ucapkan syabas kepada anda yang sudah mengambil langkah bijak ini. 

Dari sudut kesihatan dan perubatan, terlalu banyak manfaatny? Berikut beberapa manfaat kesihatan yang boleh diambil perhatian bersama.

1. Manfaat terbaik dari berhenti merokok adalah pencegahan kedut kulit. Tentunya berhenti merokok tidak serta merta menghentikan semua keriput kerana hal ini merupakan bagian alami dari penuaan. Namun, merokok dapat mempercepat perkembangan keriput dan memperdalam keriput yang sudah ada. Hal ini terjadi karena dua faktor: Yang pertama disebabkan oleh bahan kimia dalam rokok yang mempengaruhi kekenyalan kulit Anda. Yang kedua adalah bahwa gerakan yang berulang semasa merokok menciptakan kedutan di sekitar mulut dan hidung.

2.. Masalah yang paling lazim dari merokok adalah menghitamnya bibir. Panas rokok yang menempel langsung pada bibir jadi alasan utama penyebab bibir hitam para perokok. Selain itu, berkurangnya pengaliran darah pada kulit bibir juga menjadi faktor pendukung terjadinya bibir hitam. Dengan tidak merokok tentunya kesempatan untuk mendapat bibir merah secara alami akan menjadi kenyataan.

3..Bintik hitam pada wajah yang seringkali disebut sebagai “age spot” seringkali terjadi karena paparan sinar matahari langsung. Namun, kajian menunjukkan bahawa orang yang merokok lebih rentan terhadap jenis kerosakan ini daripada mereka yang tidak merokok. Itu karena zat kimia dalam rokok mengubah kulit Anda, sehingga tidak sehat dan sulit memerangi masalah ini. Anda dapat menutupi bintik-bintik penuaan dengan make-up, tetapi Anda akan merasa jauh lebih sihat jika anda tidak menambah faktor penuaan awal dengan merokok.

4. Dalam memproses 1 batang rokok, tubuh manusia menggunakan 35 mg vitamin C. Vitamin C adalah vitamin tidak stabil dan mudah terurai. Vitamin ini tidak dapat diproduksi sendiri oleh tubuh, tetapi majoriti diperolehi dari pemakanan. Salah satu fungsi vitamin C adalah mempertahankan mutu dan keutuhan jalinan serat kolagen kulit. Kolagen adalah serat-serat protein kulit yang menentukan tampilan kulit mulus, kencang dan awet muda. Berkurangnya vitamin C, membuat jalinan-jalinan serat kolagen terburai sehingga membuat gambaran kerutan pra matang di beberapa tempat khas seperti di sudut mata dan di sekitar mulut.

5. Kajian menunjukkan bahawa merokok adalah risiko kepada beberapa jenis kanser. Apabila sebut kanser semua akan mengelabah takut, dan sememangya ia telah dibuktikan secara kajian saintifik. Ditambah lagi, kanser juga dapat menyebabkan kematian. Justeru, bertindak sekarang dengan berhenti merokok bermula Ramadhan. Berhenti bermakna anda sudah lepas dari risiko tersebut.

6. Anda mungkin pernah mendengar bahwa minum teh, kopi atau soda dapat menyebabkan gigi menguning. Nah, rokok juga menimbulkan risiko yang sama. Nikotin memberikan untuk gigi menguning dan juga bau nafas busuk. Untungnya, para ahli mengatakan bahawa setelah Ramadhan kali ini Anda berhenti merokok, resiko bau mulut dan gigi kusam juga akan ikut berkurang.

7. Semoga Puasa yang kita jalani ini boleh membuang segala toksid yang terdapat dalam badan kita. Terutamanya kepada perokok. Adalah satu langkah bijak jika anda terus istiqomah bebas dari asap rokok. Ini kerana, Badan anda semakin segar dan bertenaga. Bahan kimia dan racun yang masuk melalui rokok sudah sudah berkurangan apabila anda bebas dari asap rokok. Racun seperti karbon monoksida adalah penyebab utama salur darah anda tersumbat yang boleh menyebabkan strok, serangan sakit jantung dan pelbagai lagi. Jika berhenti, semua resiko ini akan hilang. Tetapkan niat dan terus istiqomah untuk bebas dari cengkaman rokok dibulan mulia ini.

 

7. Ingin saya kongsi tips kekal cantik pada kali ini. Tips yang paling utama adalah bebaskan diri anda dari rokok. Kepada perokok tegar, azam sekarang dan hentikan terus. Kepada individu yang hidup bersama perokok, hindarkan diri anda seboleh mungkin dari terhidu asap rokok. In kerana, Racun Korbon monoksida yang terdapat dalam asap rokok akan berpadu dengan sel darah anda sehingga menyebabkan sel kekurangan oksigen. Ini akan mengakibatkan Kulit anda akan nampak pucat, berkedut dan tidak cantik. Justeru marilah bermula nafas baru pada Ramadhan kali ini dengan berhenti merokok, supaya anda akan kelihatan semakin handsome dan ramai teruja kerana kulit semakin cantik.

8. Ramadhan yang kita sambut saban tahun ini sebenarnya menjadi satu titik azam untuk terus berhenti dari merokok. Banyak nikmatnya jika anda terus bebas dari merokok. Antaranya, Kepala anda tidak berserabut dengan uban atau resiko semakin botak. Saudara, Akibat dari saluran darah tersumbat dek bahan kimia yang disedut melalui rokok, pertumbuhan sel-sel badan kita akan terbantut. Kulit semakin kendur, bulu roma termasuk rambut kepala semakin menua dan gugur lebih awal. Inilah punca kepada rambut cepat beruban atau gugur. Justeru elakkan kesemua itu dengan berhenti merokok. Anda mampu merubahnya.

9. Mahukah anda bebas dari hodoh jerawat? Nah! Petuanya adalah berhenti merokok dari sekarang. Ini kerana, Perokok cenderung berjerawat di seluruh wajah. Puncanya, disebabkan pelbagai racun dan nikotin yang terkandung dalam rokok. Asap rokok juga merosak kekenyalan kulit muka. Akhirmya, Jerawat akan melata dan penyumbatan liang roma di celah ketiak, bawah payudara, dan leher akan muncul. Justeru, Berhentilah dari merokok tarikh Ramadhan kali ini.

10. Bermula sekarang, jika anda berhenti merokok, anda akan merasai kelainan dalam diri anda sendiri. Dalam tempoh seawall 20 minit, suhu badan. Tekanan darah dan nadi kembali kepada normal, tidak resah gelisah seperti biasa. Jika diteruskan bebas dari asap rokok melebihi 8 jam, Paras bahan kimia nikoton badan akan hilang lebih dari 90%. Amat menakjubkan sekali. Bayangkan jika ianya berterusan anda bebas dari asap rokok, pelbagai nikmat kesihatan yang akan diperolehi termasuk resiko kanser, resiko serangan jantung, resiko kencing manis, darah tinggi dan pelbagai lagi.

Keputusan adalah ditangan anda. Ayuh bebaskan diri anda bermula Ramadhan kali ini.

Sekian terima kasih.

Dr Hj Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

suhazeli@gmail.com
fb.com/drsuhazeli

www.suhazeli.com

,

Persiapan Pesakit Diabetes Di Hari Raya

*#Persiapan_Pesakit_Kencing_Manis_di_Pagi_Syawal*
Statistik berikut amat membimbangkan kita. Pada 2006, 11.6 peratus penduduk negara ini menghidap diabetes. Terdapat peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada 2011 menjadikan peratusan pesakit diabetes 15.2 peratus dan seterusnya meningkat kepada 17.5 peratus pada 2015.
.
Peratusan ini sangat tinggi berbanding dengan beberapa negara lain di Asia Timur. Sebagai contoh, walaupun China mempunyai 96 juta pesakit tetapi meliputi hanya 9.2 peratus daripada penduduknya. Begitu juga India, mempunyai 66 juta pesakit, iaitu 8.6 peratus daripada jumlah penduduknya.
.
Data di atas menjadikan seramai 3.5 juta penduduk dewasa di Malaysia menghidap diabetes dan daripada jumlah tersebut, separuh (9.2 peratus) tidak mengetahui bahawa mereka menghidapi penyakit tersebut.[1]
.
Faktor utama penyakit kencing manis yang tidak terkawal adalah tidak patuh arahan makan ubat dan tidak mengawal nafsu makan. Negara kita diibaratkan syurga makanan sehinggakan pesakit kencing manis sukar melakukan adaptasi kehidupan. Akhirnya berlakulah komplikasi-komplikasi yang tidak diinginkan seperti kegagalan buah pinggang, sakit jantung, angin ahmar, penyakit saraf dan sebagainya.
.
Pengawalan makanan pesakit kencing manis amat sukar terutama di musim perayaan. Gian makan siang hari sewaktu sebulan Ramadhan lalu diqoda pada hari raya Syawal. Doktor selalu memberi nasihat agar kedatangan Syawal ini janganlah dicemari dengan gelojoh nafsu makan. Sepatutnya sebulan berpuasa menjadi penampan nafsu kita dari terus bermaharajalela.
.
Tips kesihatan berikut mungkin berguna untuk mengawal kencing manis sewaktu hari raya.
.
1) Ingat betul-betul ubat kencing manis. Masa makan, dos dan berapa kekerapannya. Di pagi raya, ramai antara kita sibuk menyediakan juadah dan layan tetamu sehingga lupa untuk utamakan makan ubat kencing manis. Ahli keluarga terdekat sewajibnya memainkan peranan untuk mengingatkan pesakit kencing manis agar makan ubat ikut panduan yang ditetapkan. Ramai pesakit kencing manis akan terdampar di bilik kecemasan hospital kerana pengsan akibat gula dalam darah yang tinggi. Justeru elakkan kejadian trajis ini dalam keluarga anda dengan mengambil ubat kencing manis tanpa engkar walaupun di hari raya.
.
2) Sekiranya anda merancang untuk balik kampung. Senarai pertama yang patut diletakkan dalam bagasi anda adalah ubat-ubatan kencing manis. Pesakit yang perihatin mengenai kesihatan mereka, sudah pasti ingat jenis ubat, bagaimana cara mengambil dan bila masanya. Bagi memudahkan, beli bekas kedap udara dan dilabelkan khas ubat supaya senang dicapai apabila masanya sampai. Bawa jumlah yang secukupnya mengikut jumlah hari yang anda rancang berada di kampung. Jadikan ubatan kencing manis ini sama penting dengan kad pengenalan anda. Wajib dibawa ke mana-mana sahaja.
.
3) Pesakit yang menggunakan insulin, ingat betul-betul tatacara membawa ubat insulin dalam perjalanan ke kampung. Jangan jadikan alasan susah membawa insulin ini kerana teknologi terkini insulin sudah tersedia-kekal dalam pen. Bukannya lagi dalam botol-botol insulin seperti dahulu kala.
i) Anda boleh membawa pen insulin tersebut tanpa menyimpannya di tempat sejuk. Ia boleh digunakan selama sebulan (30 hari) setelah dimasukkan dalam kelongsong pen insulin. Cuma elakkan ia terdedah secara terus dibawah terik matahari. Selagi berada dalam tas tangan anda, ia selamat digunakan.
ii) Jika anda merasakan insulin tidak mencukupi, anda perlu membawanya lebih. Satu kelongsong insulin biasanya mempunyai 300 unit. Kira secukupnya jumlah unit dos insulin yang akan digunakan sepanjang berhari raya. Jika anda memerlukan cucuk sebanyak 15 unit, 2 kali sehari, bermakna jumlah sehari adalah 30 dos unit. Justeru satu kelongsong akan habis selama sepuluh hari. Andai sekiranya percutian anda selama 2 minggu, maka 2 kelongsong penuh insulin wajib dibawa. Cara bawanya dalam perjalanan juga perlu dengan cermat. Masukkan kelongsong insulin tadi dalam kotak ais yang suhunya sekira-kira 4-8 ⁰C. Kemudian setelah sampai destinasi, alihkan kelongsong insulin tadi ke dalam peti sejuk. Ambil setelah anda memerlukan.
.
4) Kira jumlah kalori makanan anda. Walaupun ramai yang akan memperli anda kerana terlalu tegas dalam bab ini, jangan hiraukan mereka. Yang menderita adalah anda juga, jika pengambilan kalori berlebihan ini boleh menyebabkan anda menjadi koma/hiperglisemia. Anda boleh merujuk contoh pengiraan kalori ini dalam garis panduan yang diberikan oleh KKM (sila lihat pautan rujukan).[2] Jaga-jaga dalam makan berlebihan ini adalah satu sikap berhati-hati. Agar komplikasi yang tidak diingini berlaku ke atas diri. Pesakit Kencing Manis tidak digalakkan mengambil lebih dari 1600 kalori (lelaki) sehari. Manakala pesakit wanita tidak melebihi 1300 kalori sehari. Jika anda mengambil kalori yang berlebihan, ia akan disimpan dalam bentuk lemak, yang akhirnya memudaratkan diri.
.
Semoga ingatan ini menjadi panduan kepada saya dan anda semua. Ajal maut, rezeki, jodoh ditentukan olehNya jua. Tetapi kita sebagai manusia diberi ruang ikhtiar bagi menjadikan kaedah ajal maut itu penyakit diasbabkan kepada kecuaian kita dalam mencegah berlakunya penyakit.
Sekian
Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli
21.6.2017
Kuala Berang
Pautan
[1] Beban Pesakit Diabetes.
,

Air Nyiur Tawarkan Ubat Hospital? 

Oleh: Mohd Dziehan Mustapa

Ramai yang bertanya, betul ke minum air kelapa bersama-sama ubat-ubatan akan mengurangkan keberkesanan sesuatu ubat itu? Soalan ini nampak mudah namun ia sebenarnya bermaksud interaksi antara ubat dengan minuman.Interaksi boleh memberi kesan sama ada meningkatkan kesan ubat dalam tubuh badan atau mengurangkan kesannya. 
Air kelapa
Air yang terkandung di dalam tempurung kelapa muda. Sedang elok jika diambil ketika buah kelapa berumur 5-7 bulan. Secara semula jadi air kelapa berasa manis namun mempunyai nilai kalori yang rendah. Kandungan air kelapa adalah 94% air dan mengandungi karbohidrat ringkas yang mudah dicernakan dalam bentuk gula dan elektrolit. Selain daripada itu ia juga mengandungi pelbagai jenis hormon tumbuh-tumbuhan, enzim, asid amino, vitamin c dan boleh menjadi sumber yang baik untuk garam potasium (k+).  
Khasiat
Air kelapa selalunya diambil sebagai minuman untuk melegakan kehausan atau kekurangan air dalam tubuh yang disebabkan oleh cirit birit atau selepas senaman. Air kelapa juga juga pernah digunakan dalam situasi kecemasan sebagai pengganti kepada air yang digunakan untuk dehidrasi tubuh yang dimasukkan melalui suntikan Intravena (IV). 
Terdapat juga beberapa kajian yang menunjukkan air kelapa boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah tinggi). Walau bagaimanapun lebih banyak kajian pembuktian diperlukan untuk mengesahkan khasiat air kelapa terhadap manfaat kesihatan tubuh.
Interaksi dengan ubat, herba dan suplemen.
Kajian klinikal peringkat awal menunjukkan minum air kelapa mungkin boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah tinggi). Secara teorinya penggunaan bersama-sama air kelapa dengan ubat anti-herpentensi (Ubat mengurangkan tekanan darah) mungkin boleh menyebabkan kesan tambahan terhadap pengurangan tekanan darah seterusnya boleh memberi risiko tekanan darah menjadi rendah.
Begitu juga sekiranya air kelapa diambil dengan herba dan suplemen yang dipercayai mempunyai kesan mengurangkan tekanan darah. Sebagai contoh peptida kasein, cat’s claw, koenzim Q-10, minyak ikan, L-arginine, lycium, stinging nettle, theanine, mengkudu, belimbing buluh dan lain-lain
Interaksi dengan penyakit
Oleh kerana air kelapa mempunyai kandungan garam potasium (k+) yang agak ketara maka ia boleh menerukkan lagi keadaan hiperkalemia seseorang individu. Jika diminum dalam satu jumlah yang banyak mungkin boleh meningkatkan risiko hyperkalemia bagi pesakit yang mempunyai kekurangan fungsi buah pinggang.
Keselamatan
Air kelapa sekiranya diambil secara minuman dengan jumlah yang berpatutan adalah selamat. Tiada kerisauan terhadap faktor keselamatan dalam pengambilan air kelapa. Begitu juga sekiranya air kelapa diambil oleh kanak-kanak. Namun tiada data yang mencukupi untuk keselamatan pengambilan air kelapa dalam kalangan wanita mengandung dan menyusukan anak.  Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih baik tidak mengambilnya semasa mengandung atau menyusukan anak.
Tindakan yang boleh diambil
Air kelapa adalah selamat untuk diminum. Walau bagaimanapun bagi pesakit hipertensi yang sedang menerima ubat-ubatan perlu berhati-hati dalam pengambilan minuman air kelapa ini. Ia berpotensi mempunyai kesan tambahan dalam pengurangan tekanan darah. Begitu juga bagi pesakit yang mempunyai masalah kekurangan fungsi buah pingang.
Perlu sedikit pemantauan jika tekanan darah menjadi rendah (hipotensi). Antara tanda dan gejala tekanan darah rendah adalah pening atau merasa pusing, penglihatan kabur, kekeliruan, kelemahan dan loya (perasaan sakit perut). Jika alami situasi di atas, sahkan dengan mengambil ukuran tekanan darah menggunakan alat pemantauan tekanan darah sendiri di rumah. Tekanan darah dikatakan rendah bila bacaan berada di paras lebih rendah dari 90/60 mmHg.
Rawatan tidak diperlukan sekiranya tidak mempunyai apa-apa tanda dan gejala walaupun tekanan darah adalah rendah. Sekiranya merasa pening atau hampir pitam, ambil tindakan untuk duduk atau baring. Letakkan kaki separas dengan jantung ketika berbaring atau duduk sambil meletak kepala di antara lutut. Jika tanda atau gejala tekanan darah rendah masih berkekalan, segera berjumpa dengan doktor untuk rawatan selanjutnya.
Kesimpulan 
Bukan air kelapa sahaja boleh dibincangkan dalam situasi interaksi ubat dengan minuman. Terdapat beberapa lagi contoh interaksi minuman dengan ubat-ubatan seperti interaksi ferus dengan susu, ubat anti-kolesterol (atorvastatin) dengan jus limau gedang (grapefruite) dan ubat warfarin dengan teh hijau. Justeru rujuk dahulu dengan ahli farmasi atau doktor merawat sebelum mengambil sesuatu bersama-sama ubat-ubatan agar interaksi ubat dapat diteliti terlebih dahulu.
Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkaitan ubat-ubatan, boleh menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722. Kami sedia membantu.
Disediakan Oleh:

Mohd Dziehan Mustapa

Medical Mythbusters Malaysia  (M3)

, , ,

Sakit Kronik dan Ubat Ajaib

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
(5 Februari 2017)

“Kalau buah pinggang kecut masih boleh diubati! Produk kami ni mampu menghidupkan kembali sel-sel buah pinggang awak. Nanti selepas beberapa ketika buah pinggang awak akan kembang balik.”

Itu antara janji seorang penjual produk ajaib kepada saya dahulu. Setahu saya buah pinggang adalah anggota kekal seperti tangan, kaki, telinga dan sebagainya. Adakah tangan yang putus akan tumbuh balik setelah makan produk ajaib itu? Adakah anggota tubuh manusia seperti ekor cicak? Boleh tumbuh semula apabila putus?

Pernah isteri saya bertembung dengan seorang peguam yang turut mempromosi ubat perawat sel yang didakwa sangat ajaib dan mampu mengubati segala penyakit atas “planet bumi.” Isteri saya menolak dengan sopan dan mengatakan tarikh pembedahan buah pinggang sudah ditetapkan pihak Hospital Selayang. Si penjual ubat ajaib dengan yakin berkata:

“JANGAN BUAT PEMBEDAHAN ITU DAHULU! Makan produk ini dahulu! Sebabnya apabila dah buat pembedahan maka tiada harapan lagi untuk sembuh!”

Apabila isteri saya berkeras tak mahu mendengar ceramah ubat ajaibnya, si penjual mula menyerang peribadi setelah melihat wajah isteri saya pada waktu ada sedikit jerawat:

“Kenapa muka awak tu berjerawat? Jerawat pun boleh diubati dengan produk saya ini!”

Pernah seorang kawan Ustaz mencadangkan agar saya mengambil perubatan Sunnah seperti madu dan sebagainya. Saya tolak dan mengatakan fisiologi tubuh pesakit buah pinggang bukan lagi seperti orang normal yang mampu memproses apa sahaja yang masuk ke dalam badan. Kawan saya lantas berkata:

“Itulah masalah anta! Percaya sangat dengan perubatan moden.”

Saya hanya senyum sambil berkata dalam hati:

“Anda boleh cadangkan apa sahaja, tapi tubuh saya yang menanggung derita atau duka atas cadangan spekulasi anda. Bukan saya tidak percaya dengan perubatan nabawi tapi ia masih terbuka untuk perbincangan oleh para ulama’ hadith.”

Lalu pengalaman tahun 2009 menjengah minda. Pada waktu itu saya baru memulakan rawatan Dialisis Air atau dipanggil C.A.P.D. Dalam bulan Ramadhan tahun itu, saya mengimamkan solat terawih di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Ketika dalam solat, “DADA SAYA BERASA SANGAT TIDAK SELESA. JANTUNG BERDEBAR DENGAN TIDAK TERATUR.” Dalam kalangan Jemaah kami ada seorang murid dewasa saya yang juga seorang Doktor pakar. Beliau adalah Mejar Jeneral (b) Datuk Dr. Zin bin Bidin. Selepas solat beliau memeriksa rentak nadi saya dan menasihatkan saya agar mengurangkan pengambilan kurma. Mengapa kurma? Bukankah kurma bagus untuk orang yang berpuasa? Rasulullah SAW sendiri pun berbuka puasa dengan kurma?

Lain halnya dengan pesakit buah pinggang. Kurma, pisang dan beberapa buah-buahan yang lain mempunyai kandungan potassium yang sangat tinggi. Bagi tubuh yang normal, buah pinggang bertindak menstabilkan paras potassium dalam darah. Bagi pesakit buah pinggang, kandungan potassium tidak mampu diimbangi tubuh, lalu potassium berlebihan akan menggangu rentak jantung. Pesakit buah pinggang yang tidak mengawal kandungan potassium boleh mendapat “serangan sakit jantung!”

Pernah seorang penjual ubat ajaib yang lain mengesyorkan saya mengambil produk soya yang dia jual. Apabila saya maklumkan bahawa pesakit buah pinggang kronik tak boleh makan soya kerana ia akan membebankan buah pinggang yang sudah rosak, ini jawapannya dengan penuh yakin mengalahkan para doktor pakar:

“Produk soya kami ni lain! Ia sudah ditapis halus dan tak akan memberi kesan pada buah pinggang awak.”

Alhamdulillah! Allah memberikan saya kesabaran serta kecerdikan untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam “fakta auta” si penjual ubat ajaib.

Setelah lama menderita sakit buah pinggang sejak tahun 2001, saya mulai menghargai kesihatan dan menghormati profesyen perubatan. Pengorbanan mereka selama bertahun mempelajari ilmu perubatan adalah jihad yang sangat hebat. Setelah lama berdamping rapat dengan para doktor sebagai “ahli kelab paksa hospital selayang” dengan rawatan susulan setiap 2 atau 3 bulan, saya semakin memahami firman Allah ini:

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: Dan Kami tidak mengutus para Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); MAKA BERTANYALAH KAMU KEPADA ORANG BERILMU JIKA KAMU TIDAK MENGETAHUI (al-Anbiya’ [21:7]).

Konteks sebenar ayat ini adalah bertanya kepada Ahli kitab tentang “KEMANUSIAAN PARA RASUL.” Ia berpunca daripada sikap penduduk Mekah yang tidak percaya bahawa manusia seperti Rasulullah SAW boleh menjadi utusan Allah. Mereka beranggapan nabi sepatutnya muncul dari spesis malaikat. Ternyata orang Yahudi dan Nasrani mengakui tiada nabi yang pernah diutus dalam kalangan malaikat? Oleh itu mereka sepatutnya menerima Rasulullah SAW sebagai utusan Allah kepada mereka (Tafsir Ibn Kathir).

Perkataan “أهل الذكر” atau orang berilmu dalam ayat ini jika diterjemahkan kepada bahasa moden adalah “PAKAR BIDANG.” Beginilah cara al-Quran mengajar kita untuk hidup selamat di dunia dan di akhirat. Apabila buntu dan perlukan penjelasan, tanya ahlinya dan bukan percaya cakap sebarang orang. Tanyalah orang yang menghabiskan usia mengkaji atau mempelajari sesuatu bidang.

Jangan ditanya cara membuat bangunan dari seorang nelayan, kelak runtuh bangunan kerana kiraan besi dan simen yang tidak cukup. Jangan juga ditanya hukum hakam berkaitan agama dari seorang pakar Matematik, kerana agama bukan subjek berkaitan nombor. Jangan juga ditanya pak ustaz tentang cara memproses petroleum, kelak rosak enjin dan tangki kereta anda. Kesimpulannya, hormatilah pakar bidang!

Usahkan para penjual ubat ajaib, para doktor pun memiliki pengkhususan bidang yang berbeza. Setahu saya, tiada doktor yang serba tahu atau pakar semua bidang perubatan. Jika kita jumpa seorang doktor yang pakar semua aliran dan bidang perubatan (nefrologi, urologi, bedah, radiologi, telinga, mata, hidung, otak, saraf, jiwa dan semuanya), sudah pasti doktor itu adalah jelmaan nabi Isa AS atau berasal dari planet lain.

Malangnya, semua kepakaran para doktor perubatan yang bertahun mengkaji perihal tubuh manusia langsung diatasi oleh para penjual ubat ajaib yang hanya “bermodal air liur, andaian dan spekulasi.” Testimoni mereka pun masih terlalu jauh untuk menyaingi dapatan kajian dalam perubatan moden.

Tambah parah sesetengah penjual ubat ajaib ini berani menunggang agama dengan mendakwa ubat mereka adalah ubat yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Ertinya: Bagi setiap penyakit mempunyai ubatnya. Apabila sesuatu ubat menyentuh sesuatu penyakit, maka ia akan memberikan penyembuhan dengan izin Allah (Sahih Muslim).

Hadith ini bukan semudah itu boleh diambil untuk menjadi “MASKOT ATAU DUTA” ubat ajaib anda. JAUH BEZANYA ANTARA UBAT SEBENAR DENGAN SPEKULASI UBAT TANPA BUKTI YANG CUKUP! Apa yang saya faham dari hadith ini adalah baginda Rasulullah SAW menyarankan kita agar mengkaji dan mencari ubat bagi penyakit yang dihidapi manusia. Tidak cukup hanya dengan mendakwa!

Pesan saya kepada para penjual ubat ajaib. Takutlah Allah! Jangan mencipta fakta palsu serba ajaib untuk ubat anda. Jika ada pesakit yang semakin parah atas auta anda, Allah pasti membalasi dengan setimpal di akhirat kelak. Jangan reka fakta! Ingat amaran Rasulullah SAW ini:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ يَنْزِلُ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

Ertinya: Sesungguhnya seorang hamba (manusia) boleh sahaja bercakap sesuatu perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, lalu (perkara itu) AKAN MENJERUMUSKANNYA SEMAKIN DALAM KE DALAM NERAKA SEJAUH ANTARA TIMUR DAN BARAT (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Itulah nasib kami yang menghidap sakit kronik. Sudah jatuh ditimpa tangga. Sakit kami memang meresahkan jiwa. Ketika para doktor berusaha merawat kami, para penjual ubat ajaib pun muncul kerana melihat kami adalah “LUBUK EMAS” bagi mereka. Kasihanilah kami! Apa yang kami fikirkan hanya kesembuhan! Derita yang kami lalui saban hari sangat memeritkan jiwa. Jika dikata “makanlah tahi lembu yang dicampur dengan tongkat ali dan madu hutan Amazon untuk penyembuhan”, jangan terkejut jika ada yang sanggup buat untuk sebuah ni’mat penyembuhan!

Tidak dinafikan, ada sesetengah penjual ubat ajaib ini ikhlas mahu membantu kami, tapi bantuan yang mahu diberikan biarlah berpada dan ada batasannya. Jika bantuan anda boleh menjadi kapak yang akan membunuh kami, maka simpanlah kapak itu. Fisiologi tubuh kami sudah berbeza daripada orang yang sihat. Biarlah para doktor yang bertauliah merawat kami. Cukuplah kalian sekadar mendoakan kami sahaja.

Jangan pandang kami sebagai lubuk emas, sebaliknya lihatlah kami sebagai manusia yang perlu dikasihani. Hidup ini bak roda! Ada masa kita berada di atas dan ada masa kita berada di bawah. Ada masa kita sihat dan ada masa kita sakit. Apa agaknya perasaan anda wahai penjual ubat ajaib jika anak anda mati akibat salah makan ubat ajaib yang dijual oleh penjual yang lain? Fikirkan!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

, ,

Ubat Durjana Abang Sado 

​Wahai abang sado

Nak “build up muscle” gunalah cara Jantan sejati. Tidak perlu cucuk steroid untuk increase muscle.

Bagi pihak gym pula, sepatutnya gym adalah tempat menjalankan aktiviti sihat. Bukan jadi DURJANA membahayakan pelanggan anda dengan menjual atau membenarkan ahli-ahli menjual Anabolic Steroid seperti Stanozolol ini (nama jenama ; Winstrol)

Kesan sampingan Stanozolol (Winstrol)

Bagi Wanita; kitaran haid terganggu, timbul jerawat dan pengecutan payu dara

Bagi Lelaki; risiko mandul, pengecutan testis, pembesaran prostat

Bagi kedua-dua jantina: Risiko serangan jantung, angin akhmar, rosak hati dan gangguan psychiatric 
Stanazolol telah di “banned” oleh Jawatankuasa Olympic sejak 1974. Steroid jenis ini jugalah yang telah digunakan oleh pelari pecut Ben Johnson yang membawa kepada penarikan semula pingat emas acara lari pecut 100m beliau pada tahun 1988.    
Stanazolol dikira kaedah Doping dalam sukan bawah kategori Anabolic Steroid dan ia diharamkan penggunaannya pada setiap masa. Kenapa ia diharamkan? Sudah tentu kerana kesan bahaya ubat ini terhadap sistem kardiovaskular yang boleh menyebabkan kematian kenapa penggunanya. 
Ubat ini dijual berleluasa oleh pengusaha GYM yang tidak beretika. “Harapkan pagar, Pagar makan padi” begitulah senario masa kini. Atau ia dijual oleh abang-abang sado yang lain di dalam gym. Ada juga jualan atas talian di media sosial.
Mereka-mereka yang tidak beretika Inilah yang menjadi dalang membawa ubat ini secara seludup. Seperti dalam gambar kelihatan ubat ini tidak berdaftar kerana tiada nombor pendaftaran. Melalui semakan di laman sesawang NPRA juga menunjukkan tiada ubat ini berdaftar di Malaysia.
Fikir-fikirkanlah

1. Kenapa sampai Jawatankuasa Olympic ‘Banned’ ubat ini?

2. Jika ubat ini bagus untuk membesarkan otot dan tidak berbahaya kepada kesihatan (boleh dijual sebagai ubat-ubatan am atau OTC) mengapa ia diseludup masuk?

3. Jika ubat ini bagus dan tidak berbahaya kepada kesihatan mengapa pengusaha pusat Gym atau mana-mana syarikat tidak mendaftarkan ubat ini untuk indikasi membesarkan otot bagi “Abang Sado To Be”?
Bagi kaum wanita atau isteri yang mana suami mereka yang berjinak-jinak ke gym dan ingin menjadi “Abang Sado” perlu BERHATI-HATI”. 
Pantau suami anda agar tidak mengambil ubat yang telah disalahgunakan ini. Sayangi suami anda, jauhi kemandulan dan testis kecil dan elakkan menjadi janda kerana kematian suami akibat kesan sampingan ubat ini.   
Nasihat daripada saya

Mohd Dziehan Mustapa 

Pegawai Farmasi

, ,

Panduan Merawat Anak Demam

demam-pada-bayiAda sesetengah ibu-bapa yang punyai bayi berumur 10-12 bulan alami sedikit masalah dalam memberikan ubat demam.
Sering kali ubat demam tersebut disembur keluar semula oleh bayi dan ibu-bapa tidak tahu berapa banyak pula hendak ditambah bagi ubat yang keluar dan tidak ditelan oleh anak mereka. Bagaimana atasi masalah ini?
Ramai ibu-bapa berpendapat jika bagi dengan jumlah isipadu ubat yang sedikit boleh atasi masalah ini kerana bayi mudah telan jumlah isipadu yang kecil.
Suka diingatkan dos kanak-kanak adalah mengikut berat badan mereka. Ubat demam yang biasa digunakan adalah Paracetamol. Bagi dos Paracetamol untuk kanak-kanak, ia diberikan mengikut ukuran 15mg/kg (15mg Paracetamol bagi setiap kilogram berat badan bayi) dan diberikan setiap 6 jam.
Mungkin ramai yang tidak perasan dalam pasaran, ubat Sirap Paracetamol ada dua jenis kepekatan iaitu 1. Paracetamol 120mg/5ml & 2. Paracetamol 250mg/5ml. Maka ibu-bapa boleh membuat pilihan.
Ubat Paracetamol 120mg/5ml memerlukan jumlah isipadu ubat yang lebih besar berbanding ubat Paracetamol 250mg/5ml untuk dos yang sama.
Maka dengan ini masalah awal tadi dapat diatasi. Kaedah perkiraan ditunjukkan mengikut gambar. Oleh itu ibu-bapa perlu berhati-hati kerana terdapat dua jenis kepekatan ubat Paracetamol dalam pasaran. Baca label terlebih dahulu.
Kesilapan boleh berlaku sama ada terbagi kurang dos atau terlebih dos. Elakkan mengambil semua dos pada kebiasaannya. Baca label dan buat perkiraan untuk mendapatkan kepastian jumlah dos dan isipadu ubat Sirap Paracetamol yang diperlukan.
Untuk pemberian ubat sirap kepada bayi menggunakan picagari elakkan daripada terus pancut ke dalam mulut bayi ke bahagian tekaknya. Kaedah ini salah dan boleh menyebabkan bayi tersedak dan keluarkan semula ubat.
Cara yang lebih baik adalah untuk pancutkan ubat pada bahagian pipi bayi. Cara ini tidak menyebabkan bayi tersedak.
Ramai juga yang bertanya berapa lama boleh simpan ubat Sirap Paracetamol ini selepas dibuka? Kebanyakkan ubat-ubat sirap dibotolkan dalam botol 60ml. Jika setiap dos memerlukan 5ml ubat maka jumlah isipadu untuk 1 hari (setiap 6jam) adalah 20ml. Oleh itu ubat paracetamol dalam 60ml botol ini cuma untuk 3 hari sahaja.
Mungkin hari kedua anak telah baik demam. Maka adal lebihan 20ml lagi. Boleh jika mahu disimpan, namun dinasihatkan cuma untuk jangka masa sebulan sahaja.
Elakkan daripada menyimpan ubat berlebihan di dalam peti sejuk kerana apabila botol ubat dikeluarkan daripada peti sejuk kepada suhu bilik, titisan kecil cecair akan terbentuk. Dengan kehadiran titisan halus cecair ini membolehkan bakteria membiak dan merosakkan ubat.
Ubat dalam bentuk sirap kebanyakkan hanya perlu disimpan pada suhu bilik sahaja iaitu 25-30°C. Baca label pada botol ubat untuk mendapatkan kepastian berkaitan suhu simpanan.
Elok juga sekiranya sebelum memberi baki ubat dalam bentuk sirap yang disimpan lihat dan nilai dahulu bentuk fizikalnya seperti :

○ Berlaku perubahan warna atau tidak?

○ Berlaku perubahan kelikatan cecair ubat

○ Mengeluarkan bau seperti telah rosak

 

Sekiranya ada perubahan warna atau bertambah likat atau kandungan ubat terpisah membentuk dua lapisan walaupun digoncang namun tidak bercampur atau sudah ada bau yang busuk maka mungkin baki ubat dalam simpanan itu telah rosak.
Elakkan menggunakan ubat dalam bentuk sirap yang telah rosak atau disimpan melebihi sebulan setelah ia dibuka.
———————————————–

Informasi tambahan berkaitan demam
~Suhu badan normal : 36°c – 37.4°c

~Demam ringan: 37.5°c – 38.4°c

~Demam biasa: 38.4°c – 39.9°c

~Demam tinggi: 40°c – 41.4°c
Apakah penyebab demam yang terjadi pada kanak-kanak ;
✅ Batuk dan selsema disebabkan jangkitan kuman atau virus.
✅ Jangkitan tekak atau telinga
✅ Jangkitan pada paru-paru
✅ Jangkitan pada salur kencing
✅Radang otak
✅Demam denggi
✅Demam campak
Walau bagaimanapun, ada masanya suhu badan kanak-kanak juga boleh meningkat walaupun tanpa sebarang penyakit contohnya selepas mendapat suntikan immunisasi atau dipakaikan terlalu banyak pakaian dan balutan selimut terutama bagi bayi yang kecil.
Selain daripada itu ada juga keadaan seperti bayi mula tumbuh gigi juga boleh meningkatkan suhu badan tetapi selalunya tidak melebihi 37.8°C.
Kebiasaannya demam boleh ditangani tanpa ubat-ubatan, ibu dan bapa dinasihatkan membawa anak-anak berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan sekiranya:
○ Demam mencapai 38°C atau lebih bagi bayi berumur kurang daripada 3 bulan
○ Demam mencapai 39°C atau lebih bagi bayi berumur 3 bulan sehingga 6 bulan
○ Demam dan mempunyai tanda- tanda penyakit yang lain bagi bayi dan kanak – kanak berusia 6 bulan ke atas
Demam yang disebabkan penyakit berbahaya jarang berlaku tetapi tanda- tandanya hendaklah diketahui agar keadaan anak dapat dipantau dan sekiranya terdapat tanda-tanda itu, anak tersebut dapat menerima rawatan awal tanpa berlengah.
Antara tanda tanda yang mungkin menandakan jangkitan atau keadaan yang lebih serius termasuklah;
□ Perubahan dalam kelakuan seperti menangis tanpa henti atau dengan suara yang nyaring dan sukar untuk ‘dipujuk’, tidak memberi tindak balas yang biasanya diberikan apabila berinteraksi
□ Kurang aktif atau terlalu banyak tidur daripada kebiasaannya
□ Sawan
□ Kurang minum dan kurang kencing daripada kebiasaanya (minum adalah lebih penting daripada selera makan)
□ Muntah atau cirit birit yang berterusan
□ Demam yang sangat tinggi tetapi tangan dan kaki kesejukkan atau kebiru – biruan
□ Perubahan warna kulit atau kelihatan ‘berpetak-petak’ (mottling) Terdapat ruam yang berwarna merah pekat / keungguan pada kulit badan
□ Bernafas dengan laju atau kesukaran untuk bernafas
□ Bengkak pada sendi-sendi
□ Demam yang berpanjangan
□ Demam dan tinggal di kawasan wabak denggi
🛇 Walaubagaimanapun, anak anak patut dibawa berjumpa doktor sekiranya ibubapa merasa risau tentang keadaan anak.

 

Peringatan;

Ibubapa digalakkan menyimpan ‘thermometer‘ atau alat penyukat suhu badan yang boleh didapati di farmasi-farmasi komuniti bagi tujuan menyukat suhu anak-anak selain menilai keberkesanan rawatan awal yang telah diberikan.
❗Elakkan ambil suhu bayi sejurus selepas dimandikan/dijelum dan juga jika dibedung / diselimutkan untuk jangka masa yang agak panjang kerana bayi anda sudahpun dalam keadaan hangat, ini boleh menjejaskan bacaan. Tunggulah sekurang-kurang 15 minit sebelum mengambil bacaan suhunya.
❗❗Tidak semua jangkitan yang menyebabkan demam perlu dirawat dengan antibiotik.
❗❗❗Elakkan menggunakan Air Sejuk/Ais –

Air sejuk/ais akan menyebabkan badan menggigil, dan badan akan memberitahu otak, bahawa badan kesejukan. Otak akan bertindakbalas dengan meninggikan suhu lagi, dan demam akan menjadi lebih tinggi.
Moga semua informasi berkaitan ubat demam dan dosnya serta informasi berkaitan demam ini dimanfaatkan oleh semua pihak.
Ditulis bersama-sama

Mohd Dziehan Mustapa

Pegawai Farmasi

Dan

Nur Nabilla Masfuzah Abdullah

Jururawat Terlatih

#Medical_Mythbusters_Malaysia

, , , , , ,

Cocktail Durjana Pemutih Wajah

Pengalaman cemas doktor pakar kecemasan ini memberi peringatan kepada kita bahawa bencana mengambil ubatan suntik semata-mata ingin kecantikan dunia. 

Berikut coretan pengalaman Dr Ahmad Zakimi Abdullah di salah sebuah hospital tersohor negara. 

⚪⚪⚪⚪⚪

“Doktor, patient BP low lah.” jeritan staffnurse yellow zone. “Cepat2 tolak patient masuk resus room.” balas saya. Lantas resusitasi berlangsung.
Pesakit dalam lingkungan umur 20an, wanita, datang dengan masalah loya, muntah2, berpeluh, pening, pitam dan kemudian tidak sedarkan diri dalam beberapa minit. Bacaan tekanan darah 82/38, kadar denyutan jantung 138 denyutan per minit. Wajah pucat, sejuk, berpeluh dan muka merah padam. Bacaan test darah menunjukan hemolytic anemia (Hemoglobin 7.0) dan kegagalan buah pinggang akut. 
Setelah beberapa kali ditanya, akhir pesakit memberitahu dia baru saja mengambil injeksi intravenous (IV) ‘cocktail’ pemutih kulit dari seorang ‘medical personal’. Pesakit memberikan gambar yang diambilnya (seperti gambar pertama dibawah). 

Saya terus menyemak apakah kandungan atau produk ‘cocktail’ yang dikatakan tu. Didapati seperti berikut…

  • Thiotic acid 25mg/5ml
  • Glutathione 600mg
  • Vitamin C 10g/20ml
  • Chondnal/chondroitin sulfate sodium 200mg

Maka ‘Haywire’ lah nak beri rawatan. Apakah masalah sebenar dengan ‘coktail’ ni. Mari kita kupas. 

Vitamin C pemutih muka?

Ingredients di atas seperti thiotic acid, glutatione dan vitamin C khususnya secara intravenous dikatakan untuk memutihkan kulit dan anti aging (anti penuaan) adalah mitos. Ia tidak dibuktikan keberkesanan dan keselamatan secara kajian ‘scientific evidence base’ walaupun secara teori sains boleh diterangkan. Ia hanya dikategorikan sebagai alternative atau naturopath saja sebab tiada bukti secara Klinikal (kalau ada mohon tunjukan saya bukti). Dalam ‘natural medicine comprehensive data base’ adalah itu pun kurang bukti (anda boleh google sendiri). 

Misalnya, glutatione adalah antioxidant dan ia terbukti secara saintifik mengatakan kemungkinan boleh mengurangkan kesan sampingan kanser therapy dan merawat parkinson. IV glutatione tiada bukti secara saintifik untuk memutihkan kulit walaupun ia dikatakan anti-melanogenic (melonin adalah pigmen hitam mewarnakan kulit, rambut dan sebagainya). 

Saya merujuk pada Phillipine Food and Drug administration memberikan maklumat tentang bahayanya IV glutation (seperti gambar 2,3 dibawah). Contoh kesan sampingan yang dilaporkan adalah Johnsons Syndrome, Toxic Epidermal Necrolysis, gangguan fungsi tiroid, kegagalan buah pinggang, sakit perut yang teruk, jangkitan kuman semasa injeksi dan sebagainya.

Sama juga dengan thiotic acid (antioxidant) tidak mempunyai bukti yang jelas lagi kukuh mengatakan ia untuk mengurangkan berat badan dan anti penuaan kulit. Pastinya ada juga kesan sampingannya tetapi maklumat terlalu sedikit.

Yang paling pelik apa gunanya chondroitin sulfate sodium (chondnal) dalam pemutihan kulit ni. Setahu saya chondnal hanya guna untuk osteoarthritis di sesetengah hospital/klinik. Juga ada kesan sampingan seperti asthma attack untuk pesakit asthma, pendarahan (blood clotting disorder) dan sebagainya. 
IV vitamin C ni memang banyak diperkatakan. Saya tegaskan disini pihak kementerian kesihatan Malaysia tidak pernah meluluskan IV Vitamin C untuk kosmetik. Tiada bukti ketara secara klinikal injeksi vitamin C samada secara sendirian atau kombinasi dengan glutatione dan kollagen dapat meningkatkan elastisiti (anti penuaan dan kedutan) dan pemutihan kulit. Boleh rujuk link ni http://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/attach_download/348/199.

Kesan sampingannya sudah tentu ada. Antaranya sakit perut, loga, lesu, hemolytic anemia pada pesakit G6PD deficiency, hyperoxaluria, batu karang, kegagalan fungsi buah pinggang dan sebagainya. 

Saya bukan nak memburukan mana2 pihak tetapi hanya ingin memberi sedikit kesedaran. Setakat ini sudah ada beberapa kes (mungkin akan saya kongsi lain masa). Semua ingredient diatas tiada kelulusan dari KKM. ‘Cocktail’ pemutih kulit korea adalah kombinasi dan jika ada kesan sampingan susah nak pastikan yang mana satu penyebabnya. Setiap satu ada interaksi mungkin. Ia menjadi ‘haywire’ dalam perawatan. Pada ‘medical staff’ yang jual ‘cocktail’ dan perkhidmatan tu, our eyes are on you. 
Jika ingin cantik biarlah secara natural. Tak perlu produk ‘cocktail’ kosmetik durjana. Buang duit untuk cantik yang tiada bukti keberkesanan tapi bahaya mengundang. Tepuk dada, tanya akal.
-Dr Zek
P/s: saya suka wanita natural beauty 😅

, ,

Paksaan di Wad Bersalin 

Tulisan Dr Anna Liza Roslani, Pakar Sakit Puan ini membuka mata golongan yang mementingkan diri untuk bersalin di rumah, tanpa melihat manfaat yang diperolehi apabila bersalin ditangan-tangan insan yang berpengalaman. Ikuti huraian lanjut beliau 

▫▫▫▫▫▫

Menurut kumpulan homebirth / gentlebirth mereka memilih untuk bersalin di rumah kerana kalau bersalin di hospital, terdapat terlalu banyak paksaan yang pada pemikiran mereka, bukan alami dan lebih menyebabkan masalah dari kebaikan.

Memang benar terdapat `intervensi’ dan `standard operative prosedur’ di hospital-hospital. Tetapi ia bertujuan untuk memastikan kelahiran yang selamat di hospital. Kelahiran selamat bermaksud:

1. Ibu tidak meninggal dunia

2. Bayi tidak meninggal dunia

3. Ibu tidak mengalami tumpah darah, atau jika berlaku tumpah darah, boleh ditangani dengan kadar segera.

4. Bayi tidak mengalami `birth asphyxia’ ataupun kekurangan oksigen kepada otak bayi sehingga menyebabkan kerosakkan otak.


Antara prosedur-prosedur yang dilakukan ialah:

1. Wanita berada dalam posisi baring sewaktu bersalin. 

Kelebihan berbaring ialah kebanyakkan wanita akan penat sewaktu proses bersalin (yang mungkin mengambil masa berjam-jam) dan oleh itu dapat berehat antara kontraksi. Posisi baring juga memudahkan proses pemantauan degupan jantung bayi melalui CTG. Jika wanita tersebut diberi ubat tahan sakit seperti Pethidine, dia berkemungkinan merasa mengantuk dan mamai, dan jika dia berdiri atau duduk, dia mungkin rebah ke lantai dan mencederakan diri sendiri. 

Juga, jika wanita melahirkan anaknya dalam keadaan berdiri, mencangkung, meniarap etc etc.. ada kemungkinan yang bayi akan terhempas ke lantai sebelum bidan/doctor sempat sambut bayi. 

Sebagai seorang pakar sakit puan, secara peribadi, saya tidak suka menyambut bayi dalam keadaan ibunya mencangkung atau meniarap kerana saya terpaksa melutut di atas lantai dan meletakkan kepala saya di celah kangkang wanita tersebut, kerana hendak menyokong pembukaan faraj (`guard the perineum’) supaya tidak berlaku koyakkan yang teruk. Muka saya mungkin tersembur dengan air ketuban, najis dan darah. Adakah adil untuk wanita memaksa bidan dan doktor untuk mengotorkan diri sebegini? Sama juga dengan kelahiran `waterbirth’. Adakah adil untuk memaksa bidan dan doktor untuk meredah  diri mereka di dalam kolam air yang dicemari air ketuban, najis, kencing dan darah?

Tambahan pula, di kebanyakkan dewan bersalin di hospital kerajaan yang lama, tiada bilik untuk wanita bersalin. Yang ada cuma cubicle bersalin kerana kekurangan ruang. Cubicle ini adalah kecil. Hanya muat untuk katil bersalin, dan sedikit ruang di tepi katil. Ruang ini tidak cukup luas untuk wanita berjalan-jalan, apatah lagi kalau bersalin mencangkung, celah mana yang doktor nak masuk?

2. Alat CTG diikat pada perut wanita untuk memantau degupan jantung bayi. 

Ada wanita yang ibaratkan seperti dirantai ke mesin CTG. Mana ada rantai? Cuma elastic-band, sama seperti elastic untuk getah seluar. Tak ketat mana pun. Cuma sekadar alat CTG itu tidak bergerak atau jatuh. 

Pemantauan jantung bayi adalah penting untuk mengesan petanda-petanda awal bayi yang `lemas’ ataupun istilahnya `fetal distress’. Memang benar, tidak semua wanita perlu pemantauan melalui CTG. Hanya mereka yang `high-risk’ memerlukan pemantauan CTG. (*Saya akan ulas dengan lebih lanjut tentang high-risk dan low-risk kemudian.) 

Degupan jantung bayi boleh dilakukan menerusi `intermittent auscultation’ ataupun mendengar degupan jantung anak dengan menggunakan pinard stethoscope, setiap 15 minit. Dopppler boleh juga memantau kadar degupan jantung. Tetapi kelemahan cara memantau degupan jantung dengan kaedah `intermittent auscultation’ atau Doppler ialah ia hanya akan memberi maklumat tentang degupan jantung pada beberapa saat yang ia dilakukan. Jika masalah timbul beberapa minit setelah auscultation dilakukan, masalah itu tidak akan dikesan atau dikesan lewat.

3. Air ketuban akan `dipecahkan’ oleh doktor jika  selaput ketuban belum pecah sendiri. 

Secara umumnya, jika wanita dan kandungannya tidak mempunyai apa-apa masalah, memang tidak ada keperluan untuk memecahkan air ketubannya. Keperluan untuk melakukan Amniotomy atau ARM (pecah air ketuban) adalah untuk wanita yang berisiko (*Saya akan ulas dengan lebih lanjut tentang high-risk dan low-risk kemudian.) atau untuk wanita yang mengalami `poor progress’ (kelewatan untuk jalan membuka). 

Kelebihan memecahkan air ketuban ialah – dapat melihat sama ada bayi telah membuang najis dalam perut (meconium stained liquor), yang mungkin suatu petanda bahawa bayi dalam keadaan lemas (fetal distress). Walaupun membuang najis tidak semestinya petanda fetal distress, akan tetapi, perlu ditekankan bahawa jika bayi bergelimpangan dalam air ketuban bernajis untuk waktu yang lama, kemungkinan unutk bayi tersebut `tersedut najis’ (meconium aspiration syndrome) akan meningkat. 

Meconium aspiration syndrome ini boleh menyebabkan masalah pernafasan yang serius kepada bayi yang baru lahir. Dalam kes yang teruk, ia boleh membawa maut. 

Memecahkan air ketuban juga boleh mempercepatkan proses bersalin sebanyak 20 minit (Cochrane review). Mungkin 20 minit tidak begitu signifikan, tetapi di dewan bersalin yang sibuk dengan ramai wanita menunggu untuk bersalin, 20 minit adalah perbezaan yang ketara. Juga, 20 minit boleh membezakan antara bayi yang sihat dan bayi yang mengalami kekurangan oksigen ke otak (birth asphyxia). Memang benar memecahkan air ketuban secara rutin boleh meningkatkan risiko fetal distress dan kelahiran caesarean section sedikit, dan oleh itu, memecahkan air ketuban tidak rutin untuk wanita berisiko rendah.

4. IV drip atau `masuk air’. 

Tidak semua wanita memerlukan branula atau `masuk air’. Cuma wanita yang berisiko tinggi. Tujuan branula di masukkan di tangan adalah untuk mempercepatkan proses pemberian ubat-ubatan/air/darah sekiranya komplikasi seperti tumpah darah berlaku. Ini adalah langkah berjaga-jaga yang boleh membezakan hidup atau mati sekiranya komplikasi tumpah darah berlaku.

5. Episiotomy  atau membuat potongan di pembukaan faraj sewaktu bayi dilahirkan. 

Episiotomy tidak dilakukan secara rutin untuk setiap wanita yang bersalin. Episiotomy bertujuan untuk mengelakkan dari berlakunya koyakkan teruk (3rd or 4th degree perineal tear) pada pembukaan faraj. Oleh itu, wanita yang mempunyai pembukaan faraj yang `ketat’ (contohnya wanita yang bersalin kali pertama), atau saiz bayi yang besar, atau memerlukan bantuan forcep atau vacuum, biasanya doctor akan lakukan episiotomy. Bukan kerana kami `thrill’ atau syok untuk menggunting faraj!

6. Cucuk ubat untuk mengecutkan rahim setelah bayi dilahirkan. 

Ubat syntometrine akan dicucuk oleh staff nurse atau doktor di bahagian peha atau punggung wanita, sejurus selepas bayi dilahirkan. Tujuan ubat ini diberikan ialah untuk mempercepatkan uri tanggal, mengecutkan rahim, dan untuk mengurangkan kehilangan darah (prevention of post partum haemorrhage). Risk ratio of post partum haemorrhage 0.38 (Cochrane review). Perlu difahamkan bahawa post partum haemorrhage adalah masalah yang boleh meragut nyawa, dan perlu dicegah sebelum ia berlaku. `Prevention is better than cure’.

7. Memotong tali pusat dan melahirkan uri secara aktif (controlled cord traction). 

Staff nurse dan doktor yang menyambut kelahiran akan memotong tali pusat 1-2 minit setelah bayi dilahirkan. Kami tidak akan menunggu sehingga uri tersebut lekang sendiri, dan bayi tidak akan diberi kepada ibunya masih bersambung dengan tali pusat dan uri (lotus birth). Tujuan tali pusat dipotong agak awal ialah supaya bayi boleh diperksa dan dirawat (jika perlu) awal. Tujuan uri dilahirkan secara aktif ialah untuk mengurangkan risiko tumpah darah.

Setiap langkah di atas  mempunyai tujuan untuk keselamatan, dan berdasarkan kajian saintifik. Langkah-langkah ini tidak dilakukan sewenang-wenangnya.

_____________________

`Kehamilan berisiko rendah?’

Beberapa bulan lepas, saya telah menjaga seorang wanita yang hamil anak kedua. Sewaktu pemeriksaan rutin dari awal kandungannya, wanita tersebut dan kandungannya didapati sihat dan tiada komplikasi. Dia telah diklasifikasikan sebagai kehamilan `risiko rendah’. 

Semasa kontraksinya kuat dan pintu rahimnya membuka 5cm, saya cadangkan untuk memecahkan air ketubannya. Tetapi wanita tersebut enggan. Saya pun menurut kemahuannya kerana memang benar, tiada sebab yang kukuh untuk saya berbuat demikian kecuali untuk mengetahui sama ada bayinya sudah membuang najis di dalam perut. 

Empat jam berlalu dan pembukaan wanita tersebut hanya meningkat ke 6cm. Saya menasihatinya untuk mengizinkan saya untuk memecahkan air ketuban kerana dia mengalami `poor progress’. Wanita tersebut masih enggan kerana dia inginkan `gentle birth’.  

Setelah 30 minit saya memujuk, barulah dia mengizinkan saya memecahkan air ketuban. Mujur, kerana didapati bayinya sememangnya telah pun membuang najis (thick meconium stained liquor) dan mula menunjukkan tanda-tanda lemas melalui CTG. Kelahiran pembedahan (caesarean) dilakukan. Akan tetapi, bayi tersebut telah tersedut najisnya (meconium aspiration) dan terpaksa diberi rawatan bantuan oksigen di NICU selama 7 hari. Alhamdulillah bayi tersebut selamat. 

Wanita tersebut mengatakan bahawa dia tidak sangka komplikasi meconium aspiration akan berlaku terhadap anaknya kerana kandungannya adalah `risiko rendah’, dan jika dia mengetahui komplikasi ini mungkin berlaku, dia tidak akan menegah saya dari memecahkan air ketubannya.

Walaupun seseorang wanita diklasifikasikan sebagai `risiko rendah’, keadaan boleh berubah dalam sekelip mata. Bayi boleh tiba-tiba lemas, wanita boleh tiba-tiba mengalami pendarahan, wanita boleh mengalami amniotic fluid embolism dan sebagainya. Oleh itu, sebenarnya, tiada wanita yang benar-benar berisiko rendah, kecuali jika dia telahpun bersalin dan tamat tempoh pantangnya tanpa komplikasi.

_____________________

`Bukan anda seorang sahaja yang nak bersalin!!’

Apabila sesuatu kemudahan kesihatan merancang `standard operative procedure’, faktor-faktor yang diambil kira adalah: Berapa orang wanita akan bersalin setiap hari, bilangan staf yang ada untuk menyambut kelahiran, peralatan yang ada untuk memantau/mengendalikan kelahiran, kemudahan untuk melakukan pembedahan kecemasan etc. 

Jika terdapat 20 wanita yang bersalin setiap hari, tetapi hanya seorang doktor pakar, 2 orang medical officer, 6 orang doktor pelatih, 3 orang staff nurse dan 3 orang jururawat masyarakat, pada satu-satu masa, adalah mustahil untuk setiap wanita mendapat rawatan dan pemantauan sepenuhnya oleh doktor pakar. 

Oleh itu, doktor pakar akan mengambil langkah-langkah atau intervensi awal supaya komplikasi awal dapat dikesan. Jika doktor pakar hanya perlu menjaga seorang wanita, bolehlah dia melayan segala kerenah wanita itu. Tetapi apabila ada 40 nyawa (20 wanita + 20 bayi) yang dia perlu jaga, tidak mungkin untuk dia melayan setiap wanita. Jadi, tolonglah jangan banyak sangat kerenah. Walaupun di hospital swasta, dan walaupun hanya ada seorang wanita yang akan bersalin, saya tetap tidak boleh tumpukan 100% pada wanita tersebut, kerana saya masih ada pesakit lain di klinik saya dan di wad saya.

*************************

It is not just about YOU. It is about medical staff having to look after many, many, many women. Melainkan kita nak ikut polisi Negara China dan Singapore dan menghadkan bilangan anak dalam sesuatu keluarga.

Dr Anna Liza Roslani

Pakar Obstetrik & Ginekologi

#MedicalMythbustersMalaysia

, ,

Bahaya Scan Bayi? 

Dr Anna Liza Roslani | Pakar O&G 

Aida tidak sabar menunggu kelahiran anak pertamanya. Dia terbayang dirinya dan suaminya bermain dan memeluk bayinya. Pada suatu pagi, dia ke klinik untuk pemeriksaan rutin kehamilan. Usia kandungannya 8 bulan. Doktor Hafiz mendapati saiz janin kecil sedikit dan terus merujuknya ke klinik pakar O&G. Apabila `detailed scan’ dilakukan oleh pakar O&G, didapati janin mengalami kecacatan di bahagian otak. Sebahagian besar otak bayi tersebut tidak terbentuk, dan kemungkinan besar janinnya tidak dapat hidup lama. Alangkah terkejutnya Aida mendengar penerangan doktor pakar. `Tapi saya dah buat scan 4D doktor. Kenapa scan 4D tak kesan masalah pada bayi saya?’
——————————-

`Doktor, saya nak scan 4D. Saya tak nak scan yang hitam putih tu’

Ini adalah ungkapan yang sering diajukan oleh ibu hamil kepada saya apabila mereka datang ke klinik untuk antenatal check up. Adakah mereka benar-benar faham beza antara scan `hitam-putih’ (2D) dan scan 3D, 4D dan 5D? Benarkah scan 5D scan yang paling canggih dan terbaik untuk mengesan masalah pada janin?
Scan 2D:

Scan 2D ialah scan yang digunakan sejak tahun 70-han. Lazimnya, pesakit akan mengadu bahawa dia tidak faham apa yang ditunjukkan oleh doktor pada scan 2D. Ini ialah disebabkan scan 2D berupaya untuk menembus ke dalam badan janin dan memperlihatkan organ-organ dalaman. Memang agak sukar untuk orang yang tidak biasa melihat imej 2D untuk memahami scan tersebut.
Scan 2D yang dilakukan oleh doktor klinik biasa (bukan pakar O&G) adalah `growth scan’ dimana doktor hanya akan mengukur saiz kepala janin (BPD & HC),  ukurlilit perut janin (AC), ukur panjang tulang peha janin (FL), mengukur air ketuban (AFI) dan melihat posisi uri.

Oleh itu, tidak hairanlah, jika kecacatan pada janin tidak dikesan sewaktu scan itu dilakukan.
Scan 3D dan 4D:

Tidak banyak perbezaan di antara 3D dan 4D, melainkan teknologi yang diguna pakai oleh mesin scan itu. 3D memberi imej yang tidak bergerak (still image) sementara 4D memberi imej yang bergerak (real-time). Imej 3D dan 4D lazimnya berwarna kekuningan atau kuning-merah jambu. Scan 3D/4D secara umumnya memperlihatkan janin dari segi luaran. Oleh itu nampaklah muka janin, atau kemaluannya. Dan imej 3D/4D mudah difahami oleh pesakit. Tetapi imej 3D/4D tidak akan memperlihatkan organ dalaman janin. Oleh itu, kecacatan seperti cacat otak, jantung berlubang, usus tersumbat dan buah pinggang bengkak tidak dapat dikesan.

Andaian yang saya sering gunakan ialah membezakan antara scan 2D dan 3D/4D ialah beza antara kamera (DSLR ke, iPhone 7 ke, Oppo ke…) dan Xray. Jika anda mengadu sesak nafas dan sakit dada, dan anda pergi ke hospital, apa perasaan anda jika doktor mengambil gambar dada anda dengan kamera iPhone, dan tidak melakukan xray dada? Sudah pastinya anda akan mengatakan doktor tersebut tidak betul dan silap-silap gambar doktor itu akan diviralkan di facebook! Kesimpulannya, scan 2D adalah seperti Xray, dan scan 3D/4D adalah seperti kamera iPhone7. Scan 2D jauh lebih berguna daripada scan 3D/4D.
`Detailed Scan’:

Ramai yang menganggap scan 3D/4D adalah detailed scan. Tanggapan ini adalah salah sama sekali. Detailed scan sebenarnya adalah scan 2D yang dilakukan oleh seorang pakar O&G (yang mempunyai latihan khusus) atau sonographer terlatih. Sewaktu pemeriksaan detailed scan, doktor akan membuat ukuran-ukuran biasa saiz janin. Kemudiannya dia akan memeriksa organ-organ dalaman janin seperti otak, muka, jantung, paru-paru, buah pinggang, usus, tulang belakang dan sebagainya. Dengan cara ini, kecacatan pada organ dalaman janin dapat dikesan.
`Apa gunanya scan 3D/4D/5D?’

Scan 3D/4D/5D adalah lebih untuk kepuasan si ibu dan tidak banyak membantu doktor untuk mengesan kecacatan. Scan ini memberi gambar muka yang comel untuk si ibu simpan di dalam album atau untuk dipaparkan di facebook. Saya tidak nafikan ada kelebihan scan 3D/4D/5D tetapi tidak ramai doktor (walaupun pakar O&G) yang terlatih untuk menggunakannya. Biasanya hanya doktor pakar fetomaternal (atau maternal fetal medicine) yang terlatih dalam penggunaannya.
‘Kenapa dah buat detailed scan pun doktor masih tidak kesan masalah janin?’

Keberkesanan scan untuk mengesan masalah pada janin bergantung kepada:

1. Kepakaran doktor/sonographer yang melakukan scan

2. Kecanggihan mesin ultrasound scan

3. Saiz badan si ibu mengandung. Kalau si ibu obes, gelombang ultrasound tidak berupaya untuk menembusi lapisan lemak ibu untuk sampai ke janin. Jangan salahkan doktor!

4. Kedudukan/posisi janin. Kadangkala, janin akan menyorokkan mukanya, tangannya dan sebagainya. Dalam kedudukan janin meniarap, mungkin sukar untuk memeriksa jantungnya. Dalam kedudukan janin terlentang pula, mungkin sukar untuk memeriksa tulang belakang dan buah pinggangnya.

5. Usia kandungan yang terlalu lewat. Pada usia kandungan melebihi 34 minggu, janin sudah besar dan akan berada dalam keadaan ‘terhimpit’ di dalam rahim. Tulang-tulang janin juga mula mengeras (mineralized) dan menyebabkan gelombang ultrasound payah untuk tembus. Usia kandungan yang paling sesuai ialah antara 18-24 minggu.
Jika pemandu formula 1 Louis Hamilton diberi kereta viva dan disuruh memandu di tengah-tengah Kuala Lumpur, beliau tidak akan dapat sampai ke destinasi dengan cepat. Sama juga dengan doktor pakar yang diberi mesin ultrasound kurang canggih dan melakukan scan pada ibu yang gemuk.Disebaliknya, jika cik siti yang baru dapat lesen memandu diberi kereta F1 Ferarri untuk dipandu di litar sepang pun, sudah tentu tidak laju panduannya.
Scan untuk mengesan Sindrom Downs:

Walaupun mungkin ada petanda-petanda yang dapat dikesan, detailed scan tidak semestinya dapat mengesan janin yang mengalami sindrom Downs. Disebaliknya, scan yang terbaik untuk mengesan sindrom Downs ialah `nuchal translucency’ iaitu scan 2D yang hanya boleh dilakukan antara usia kandungan 11 minggu hingga 14 minggu.

——————————–

Kesimpulannya, jika anda hanya mampu melakukan satu scan sewaktu hamil, pilihlah untuk detailed scan. Walaupun mahal sedikit, detailed scan ialah scan yang paling berguna untuk mengetahui tentang kesihatan janin. Tidak salah untuk melakukan scan 3D4D, asalkan faham kekurangan yang ada pada scan tersebut.
Dr Anna Liza Roslani

Pakar O&G

Pakar Maternal Fetal Medicine

#MedicalMythbustersMalaysia