Jangan Dengar Nasihat ini?

Dari segi logik memang tak logik sebab etiologi (punca asal / penyebab) serangan jantung atau stroke adalah saluran darah jantung atau otak tersumbat/pecah.

Mana mungkin tumit kaki dikaitkan untuk merawat? Hatta dalam ilmu refleksologi pun tidak begitu.

Namun bagi pesakit stroke mungkin kaedah jinjit kaki ini salah satu dari fisioterapi. Fisioterapi adalah satu kaedah untuk menguatkan semula otot pesakit stroke yang lemah.

Cuma persoalannya, mampu ke pesakit buat jinjit walau 5 kali sehari? Nak angkat tangan makan nasi pun tak larat, apatah lagi berdiri berjinjit!

Jika benar pun peristiwa Pak Cik Rusdi ini berjaya, sudah pasti juga para pesakit yang dapat mesej ini pun turut berjaya. Boleh siapa beritahu saya siapa orang kampung kita berjaya sembuh sakit jantung dan stroke hasil dari buat aksi sebegini. Kena buat penulisan penemuan terbaharu ni.

Vaksin Punca Ekzema?

Ekzema adalah penyakit hypersensitivity kulit.

Hypersensitivity bermakna kulit seseorang itu terlalu sensitif. Terkena bahan tertentu sedikit je terus bengkak.

Bahan tertentu ini kita panggil trigger. Contoh trigger adalah debu, bahan kimia dan bulu kucing.

Bermakna kalau ada terkena trigger, orang yg ada ekzema itu akan kena serangan ekzema atau kita panggil sebagai flare.

Vaksin, tidak menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit ekzema. Tanpa vaksin pun, kalau seseorang itu memang ada ekzema, dia tetap akan diserang flare bila ada trigger lain.

Namun, vaksin berpotensi menyebabkan flare ekzema sebab ia juga boleh menjadi satu trigger. Ye lah, sebab vaksin menyentuh sistem imuniti badan kan.

Ekzema ni, faktor utamanya adalah genetik. Jika ibu atau bapa atau ahli keluarga lain ada sejarah penyakit atopi yg kuat (asthma, ekzema, resdung dan alahan makanan teruk), anak berisiko menghidap ekzema.

Kalau anda tolak vaksin pun, dia tetap ada ekzema. Dan bila dia kena trigger lain, dia tetap akan kena flare.

Malah, dia berisiko dijangkiti penyakit berjangkit sebab tidak divaksin. Dan kena ingat, penyakit berjangkit akibat tak divaksin ini boleh meragut nyawa atau mengakibatkan kecacatan kekal.

Kajian menunjukkan walaupun anda menolak vaksinasi, risiko anak anda kena ekzema (atopic dermatitis) tetap sama. Kajian ini melibatkan lebih 14 ribu orang kanak-kanak di German pada tahun 2017.

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/28801155

Malah, ada hubungkait kecil menunjukkan jika anda ambil vaksinasi, risiko serangan ekzema pada anak anda kelak dapat diturunkan.

60% kes ekzema bermula sebelum usia 1 tahun. Oleh kerana pada usia itu banyak vaksinasi diberi, ibu bapa sering salah faham vaksin penyebab kepada ekzema.

Ekzema boleh dirawat, tidak semestinya dengan steroid semata-mata. Penggunaan steroid oleh doktor adalah mengikut keperluan. Malah, rawatan utama untuk ekzema adalah mengelakkan allergen, mengekalkan kelembapan kulit dan memperbaiki semula lapisan kulit. Sebab itu kena jumpa doktor kalau ada ekzema.

Nasihat umum buat ibu bapa yang pernah mengalami pengalaman buruk flare ekzema selepas vaksinasi:

1. Jangan panik, dapatkan bantuan doktor. Kembali semula ke klinik yang memberi suntikan. Dapatkan konsultasi dan jika perlu, minta rujukan ke pakar kulit atau pakar kanak-kanak. Ini kerana ekzema memerlukan pemantauan berkala (follow up) dan kadang-kadang ubat di klinik kesihatan tidak cukup untuk membantu.

2. Pastikan kulit anak anda sentiasa lembab dengan krim pelembab.

3. Elakkan terkena cahaya matahari jika tiada keperluan. Jika perlu, pakai krim pelindung cahaya matahari.

4. Pakaikan pakaian dari kain cotton, yang nipis supaya pengudaraan kulit anak anda itu bagus.

5. Ingat 3 P bila anak anda kena ekzema selepas vaksin: Pemantauan doktor, Pelembab dan Pelindung, jangan Panik dan post di Facebook 😁😁😁. Dapatkan bantuan sewajarnya.

Vaksin melindungi anak anda dari jangkitan yang lebih merbahaya dari serangan (flare) ekzema.

Maka jangan lah jadikan pengalaman anak anda ada ekzema selepas suntikan vaksin sebelum ini sebagai alasan menolak vaksin.

Dr Amirul Amzar

#perangigavak

#M3

#antivaksin

5 Pesanan Penting Penghidap Ketuat

Lihat kepada bentuk ketuat ini biasa aje kan? Ada orang yang terlalu risau hingga jelajah seluruh klinik dan hospital kawasan dia. Ada orang yang hanya biarkan sahaja, buat tak kisah. Jika jumpa doktor pun, pelbagai reaksi diberikan. Ada doktor yang hanya rileks, beri nasihat supaya tidak perlu buat apa-apa yang drastik. Tapi ada pulak doktor yang terlalu prihatin pasal ketuat di badan pesakit, siap beri amaran ketuat itu boleh bertukar jadi kanser.

Bahaya ke tidak ketuat sebenarnya?

Saya di klinik, selalu tengok kes ketuat. Terdapat jenis-jenis ketuat yang saya perlu rujuk kepada pakar kulit untuk tindakan lanjut. Ada juga jenis yang saya hanya berikan nasihat, ketuat akan baik sendiri dalam satu tempoh tertentu.

Bagaimana nak beza samada ketuat itu bahaya atau tidak? Jumpa doktor lah baru tahu. Rupa ketuat, besar kecil, lokasi ketuat, warna ketuat dan berapa lama ketuat timbul menjadi indikasi samada ianya bahaya atau tidak.

Statistik menunjukkan kanak-kanak dan umur belasan tahun adalah paling ramai di jangkiti ketuat. Saya sebut ketuat boleh berjangkit antara satu sama lain kerana penyebab Ketuat adalah dari virus bernama Human Papiloma Virus (HPV). Budak remaja dan kanak-kanak yang tidak menjaga kebersihan dan selalu bersentuhan antara satu sama lain berpotensi ketuat merebak. Bagi orang dewasa hanya 3-5% sahaja dijangkiti. Orang dewasa lebih pandai menjaga kebersihan.

Doktor yang melihat kes ketuat akan memberi keyakinan kepada pesakit bahawa ketuat itu akan ambil masa untuk sembuh dengan sendirinya. Kadangkala tidak perlu ubat pun dan tidak perlu dirisaukan sangat. Paling awal, ketuat akan hilang selama setahun. Manakala ada juga ambil masa 5 tahun untuk sembuh. Tetapi ingat! Pastikan doktor yang mahir memeriksa dahulu ketuat anda. Jangan pula pandang ringan ketuat yang tumbuh di badan anda.

Pesakit yang diperiksa oleh doktor perlu dirujuk segera kepada pakar kulit atau sewaktu dengannya jika:

1. Sangsi ketulan seperti ketuat itu bukan ketuat. Bentuk nampak agresif dan lain dari biasa.

2. Ketuat terletak di muka atau kemaluan (genitalia).

3. Anda mungkin pernah dengar HPV, ketuat yang terletak di genitalia dari HPV spesies 6, 11, 16, 18, dan 35 adalah punca kanser. Ianya boleh menjangkiti wanita dan juga perempuan. Terdapat vaksin HPV untuk mencegah virus ini menjangkiti manusia.

4. Terlalu banyak ketuat dan berangkai.

5. Ketuat yang sakit, gatal, rasa panas pedih atau berdarah tanpa sebab.

6. Ketuat bagi pesakit yang sistem imuniti badan rendah seperti pesakit HIV, Kencing Manis dan seumpamanya.

Jika anda dihinggapi ketuat, 5 nasihat berikut amat berguna

1. Jangan cucuk dengan jarum menjahit, korek, cuba potong atau garu dengan kuat.

2. Tidak kongsi alatan awam selipar tandas awam, tuala kolam mandi awam dan kain lap muka. Jika nak guna, pastikan yang bersih.

3. Jangan sesuka picit atau sentuh ketuat orang lain kecuali pakai sarung tangan getah.

4. Ketuat senang berjangkit jika kulit anda basah atau lembab. Kulit kering boleh cegah ketuat merebak.

5. Tanya dulu doktor sepatah dua jika ingin “membunuh” ketuat anda samada nak bakar api, letak asid, letak getah betik, potong sendiri dengan pisau atau jerut dengan benang. Jika tidak kena cara, boleh berlaku jangkitan silang atau perdarahan.

Sekian sedikit infosihat dari suhazeli.com

Kalau silap fakta, sila tegur!

Fb.com/drsuhazeli

22.6.2019

Danang, Vietnam

Pautan

[1] Ketuat. America Academy of Dermatology. https://www.aad.org/public/diseases/contagious-skin-diseases/warts

[2] Virus HPV penyebab Ketuat. http://www.myhealth.gov.my/ketuat-2/

Risô

Benjolan di kaki seperti ini amat jarang berlaku. Pesakit pun tidak kisah sangat kewujudan benjol sebegini kerana tidak sakit dan tidak menjejaskan kecantikan. Lagipun wujudnya benjolan sudah bertahun lamanya. Apabila ditanya, pesakit pun sudah lupa berapa lama dan apa puncanya.

Bahaya ke Risô lagu ni? Orang tua-tua kata tak bahaya pun.

Ya, benar benjolan ini tidaklah bahaya. Ianya bukan kanser. Biasanya ia berpunca dari tusukan kayu atau besi pada satu masa yang lampau. Atau ianya boleh terbentuk dengan sendiri apabila kaki dilanggar dengan sesuatu yang keras. Namun, pengesahan bahaya atau tidak perlu dibuat oleh doktor. Doktor pakar akan meneliti dan mungkin menjalankan ujian tertentu untuk memastikan Risô itu bahaya atau tidak. Jangan kita buat pepandai. Mungkin ianya kanser!

Mekanismanya, apabila sesuatu bendasing tertusuk ke dalam kaki, tisu setempat akan cuba membina satu lapisan fiber. Inilah mekanisma yang berlaku dalam badan kita. Lapisan fiber itu akan bergumpal menyelubungi bendasing yang kecil tadi. Lama-kelamaan terbentuklah benjolan.

Rawatan terbaik untuk benjol adalah bedah. Kaki pun nampak comel. Orang pun tidaklah nak mengumpat kita. Suami/isteri pun tetap sayang. Muah Muah!

Jika Risô kecil, klinik kesihatan boleh sahaja lakukan pembedahan. Prosedurnya sama dengan pembedahan kanak-kanak berkhatan. Senang sahaja. Tetapi bergantung kepada doktor, samada berpengalaman buat atau tidak. Kalau besar dan memerlukan ruang bius yang lebih luas, pembedahan hendaklah dibuat di dewan bedah hospital.

Orang kampung kata, ada bomoh yang boleh jampi untuk hancurkan Risô ni. Wallahuaklam, setakat pengalaman saya, tak berkesan pun kaedah jampian. Malah boleh menambahkan masalah apabila tempat jampian dan urutan yang dibuat oleh bomoh itu pecah.

Apa-apa pun suka saya cadangkan bincanglah lanjut dengan doktor anda. Anda tidak rugi.

Sekian infosihat dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

21.6.2019

Danang, Vietnam

#RISÔ= Bahasa Kelantan memberi makna Ketumbuhan

Cacing Rayap

Cacing Kalau kaki anda nampak berurat sirat seperti rel keretapi seperti ini (gambar), sila jumpa doktor segera. Minyak gamat atau minyak cap kapak tak jalan untuk hapuskan makhluk yang menjalar itu.

Kami sebut penyakit ni Cutaneous Larvae Migran. Di mana, sejenis cacing yang boleh masuk melalui kulit manusia dan bergerak menjalar di bawah kulit. Tempat jangkitan itu boleh jadi kemerahan dan gatal.

Cacing tersebut hidup dalam tanah. Ianya bukan keluar bersama telur lipas. Cacing yang terdapat dalam lipas adalah lain dari yang boleh masuk dalam kulit kita. Ada orang tua kata, cacing boleh naik ke mata. Ya benar, cacing boleh merayap ke dalam bola mata, tetapi bukan jenis cacing CLM ini.

Gejala semacam trek keretapi yang menjalar itu boleh bertahan hingga setahun jika tidak dirawat. Kaedah rawatan di klinik kesihatan senang sahaja sebab ubat cacing senang diperolehi di semua premis kesihatan.

Memakai alas kaki, jaga kebersihan dan kawal diri kita dari bermain tanah adalah penting untuk mencegah kuman CLM seperti ini menjangkiti kita.

Sekian pesanan dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

19.6.2019

Putrajaya

Vitamin A Untuk Pesakit Measles

Berkokok jua akhirnya golongan antivaksin (gavaks) memperli KKM memberikan vitamin A sebagai salah satu rawatan terhadap pesakit Measles orang asli di Kuala Koh, Gua Musang.

Mereka mula mendabik dada bahawa akhirnya doktor-doktor KKM mengakui vitamin penting bagi merawat penyakit-penyakit yang boleh dicegah (Vaccine Preventable Diseases) dengan vaksin seperti Measles. Sebelum ini mereka (gavaks) memang lantang menyuruh pesakit yang dijangkiti penyakit VPD dengan megadosing Vitamin C. Boleh cirit budak tu kalau nak telan pil Vitamin yang terlalu tinggi. Lagipun mahal kalahkan vaksin dari bigpharma! Vaksin KKM free je.

Hello! Pakar-pakar yang buat keputusan untuk berikan Vitamin A untuk merawat orang asli yang dijangkiti Measles tu bukan cedok dari belakang rumah faktanya. Keputusan yang dibuat berdasarkan kajian yang telah pun terbukti [1].

“Vitamin A supplementation is associated with a clinically meaningful reduction in morbidity and mortality in children. Therefore, we suggest maintaining the policy of universal supplementation for children under five years of age in populations at risk of Vitamin A Deficiency (VAD).”

Orang asli didapati ramai yang kurang zat makanan, boleh mendedahkan diri mereka dijangkiti apa jua penyakit. Walaupun kehidupan mereka nampak natural, tetapi dek kerana kemiskinan dan kekurangan zat makanan, mereka seolah-olah terabai. Dianggarkan 30-60% dari orang asli negara kita miskin dan kurang zat makanan [2]. Jika saranan gavaks untuk beli pelbagai jenis suplemen yang mereka jual tu, jauh panggang dari api lah.

Justeru, Vitamin A penting bagi mengelakkan jumlah kematian di kalangan pesakit yang dijangkiti Measles. Vitamin A juga penting bagi mengelakkan kebutaan. Laporan dari WHO menganggarkan antara tahun 2000-2017, vaksin measles mampu mencegah 21.1 juta kematian [3]. Negara kita telah pun mewajibkan pemberian vaksin secara percuma di premis KKM sejak 1982 lagi. Nikmat mana lagi ingin didustakan?

Alahai! sekali lagi gavaks nak tegakkan benang basah dengan terus promosi Vitamin C mereka. Adakah mereka tidak baca kajian yang menyangkal keberkesanan Vitamin C dan E dalam merawat Measles? Nah boleh baca kajian ini [4].

“Vitamin E and C did not beneficially influence the course of illness in children with measles and pneumonia. While the TBARS (special investigation) values, an indicator of oxidative stress, were high antioxidant vitamins did not improve them.”

Cukuplah tegakkan benang basah tu, kesian pesakit yang memerlukan nasihat tepat mengenai penyakit yang mereka alami. Nasihatkan mereka ambil vaksin. Cukup-cukuplah berkelentong atas nama sains!

Sekian nasihat tulus dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

17.6.2019

Putrajaya

Pautan

[1] Vitamin A Untuk Pesakit Measles. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/28282701/?i=4&from=/11869601/related

[2] Laporan sosioekonomi Orang Asli. http://hoag.moh.gov.my/images/pdf_folder/simposium/tujuh.pdf

[3] Vitamin A untuk Elak Buta dan Kematian. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/measles

[4] Vitamin C dan E untuk Measles Tidak Berkesan. https://academic.oup.com/tropej/article/52/4/302/1621727

Etika Perubatan

Dapat berita seorang doktor yang ditangkap kerana membuka premis klinik tetapi tiada lesen amalan tahunan. Doktor itu bukan calang-calang juga masyhur di kalangan masyarakat setempat. Maka timbul persoalan di sini, adakah ilmu doktor itu salah sehinggakan kena tangkap dek kerana tiada sijil amalan atau sijil membuka premis?

Cuba kita bayangkan analogi sebegini, macam saya laksanakan solat, puasa dan lain-lain fardhu ain, sekali sekala saya juga baca kitab dan ajar fardu ain kepada ahli jemaah surau, tetapi saya ditangkap kerana tidak ada tauliah mengajar…maksud saya, adakah ilmu fardhu ain yang saya amalkan itu salah atau saya sendiri salah kerana tidak ada tauliah (lesen)?”

Sebenarnya isu lesen bagi doktor perubatan ini termaktub dalam akta perubatan 1971 lagi. Setiap doktor di Malaysia wajib berdaftar di bawah peruntukan akta ini bagi mengawal selia amalan yang baik di kalangan profesional perubatan.

Perlu diingatkan juga dalam perubatan, terdapat etika berubat yang perlu dipatuhi. Jika seseorang doktor itu pakar yang khusus dalam bidang kulit, secara etikanya beliau tidak dibenarkan menjalankan premis dan merawat ibu hamil & sakit puan. Kecualilah beliau mempunyai sijil kepakaran kedua-duanya. Begitu juga pakar tulang, tidak boleh membedah otak pesakit yang mengalami ketumbuhan. Hanya pakar bedah otak (neuro surgeon) sahaja layak untuk membedah. Pakar Perubatan Keluarga pula berkemahiran dengan perawatan di klinik kesihatan atau klinik swasta, juga tidak layak untuk membedah ibu yang nak bersalin. Tugasan dan batasan peranan masing-masing sudah ada.

Akta Perubatan 1971 amat menitikberatkan amalan seseorang doktor bertauliah supaya tidak lari dari garis panduan yang disepakati bersama oleh para pakar. Garis panduan itu sudah pasti amalan yang paling menepati kajian-kajian berwasit dan terkini. Garis panduan bukan juga kitab suci, ianya boleh berubah dengan perubahan zaman dan teknologi. Jika terdapat bukti baharu yang lebih tinggi mutu pembuktian, maka garis panduan itu juga akan terubah oleh para pakar yang mengkaji dasar. Ianya juga perlu disesuaikan dengan suasana negara dan kemudahcapaian sesuatu kaedah berubat itu.

Masalah besar akan timbul jika terdapat individu yang tiada kena mengena dengan perubatan tetapi mendakwa beliau juga boleh berubat. Kononnya dapat ilmu dari ilham dan mimpi. Walaupun mungkin terdapat kesan penyembuhan akibat dari kaedah pengubatan yang diamalkan, tetapi pihak berwajib perlu menjalankan pemantauan supaya tiada unsur-unsur penipuan ataupun melampaui batas akal, adat serta syarak.

Oleh yang demikian pihak berwajib telah wujudkan satu akta khusus Perubatan Tradisional & Komplimentari tahun 2016 (Akta 775). Akta ini bertujuan mengawal-selia pengamal perubatan komplimentari. Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplimentari (PPTK) yang mendakwa mereka boleh mencegah, merawat dan mengurus penyakit manusia atau sakit atau memelihara kesejahteraan fizikal dan mental individu. Ianya termasuk amalan seperti:

(1) Perubatan tradisional Melayu,

(2) Perubatan tradisional Cina,

(3) Perubatan tradisional India,

(4) Pengubatan Islam,

(5) Homeopati, dan

(6) Terapi komplementari,

Akta ini seolah-olah menyamai akta Perubatan 1971 yang mengawal selia doktor bertauliah.

Justeru, mana-mana individu yang tidak belajar perubatan moden pun, atau setaraf dengannya, tapi menjalankan kaedah perubatan yang langsung beliau tidak belajar mengenainya dari pihak yang diiktiraf, dengan sendiri tertolak amalan mereka tanpa mendapat tauliah seperti yang diperuntukkan dalam akta perubatan 1971 atau akta 775 berkenaan.

Dua bentuk amalan perubatan di atas adalah jelas!

Jika ada perawat yang hanya belajar melalui YouTube atau Doktor Google, sama sekali mereka tidak boleh diiktiraf dan sijil yang mereka perolehi itu sama taraf dengan sijil-sijil beli dari universiti scam sijil.

Cuma masyarakat akan menjadi keliru apabila terdapat individu yang menggunakan kaedah merawat yang kononnya moden, tetapi tiada termaktub dalam amalan yang sah dari badan- adan berwajib. Mereka menggunakan kaedah berubat secara cuba jaya sendiri, malah tiada sandaran hujah kajian yang dilakukan, hanya ujikaji sendirian dan testimoni. Lebih malang lagi mengambil teori karut, membuat protokol sendiri dan membahayakan pesakit sehingga menyebabkan kematian. Beliau sebenarnya sudah tidak beretika dalam mengamalkan perawatan. Ya, ilmunya ada tetapi sudah lari dari amalan yang diiktiraf. Maka wajarlah dikenakan tindakan dan dinilai semula pemberian sijil amalan mereka.

Sudah pasti setiap negara yang ingin menjamin mutu perkhidmatan perawatan terhadap rakyatnya mempunyai klausa undang-undang berkaitan dengan itu. Tujuan akta dan undang-undang adalah bagi memantau salah laku, salah etika, salah amalan yang akhirnya memberikan kesan buruk kepada sistem perawatan pesakit.

Analogi pemberian tauliah untuk ajar fardu ain ini mungkin terpakai jika ilmu dan ajaran dibawa oleh mereka sudah terpesong dari ajaran sebenar.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

9.6.2019

Ketengah Jaya

TB Paru-paru

Heboh dalam media sosial, punca kematian 13 orang asal di Kelantan akibat jangkitan kuman Tb. Kenyataan pihak polis itu masih tidak konkrit kerana siasatan oleh pihak perubatan masih belum selesai. Maka pelbagai andaian telah dilontarkan oleh netizen punca penyakit yang meragut nyawa itu. Apapun tunggu lah dahulu siasatan terperinci dari pihak berwajib. Media sosial bukan tempat untuk buat diagnosis penyakit!

Hari ini mari kita belajar sikit berkaitan dengan penyakit Tb. Boleh lihat gambar xray yang saya tunjuk ini.

Setiap doktor yang jika melihat xray ini, wajib beliau akan letak diagnosis:

1. Pulmonary Tuberculosis

2. Pulmonary Tuberculosis

3. Pulmonary Tuberculosis

Kemudian doktor akan hubungkaitkan pula dari segi klinikal tanda-tanda lain yang akan menyokong diagnosa, seperti batuk melebihi 2 minggu, kurang selera makan, berat badan susut, demam malam dan letih tak bermaya. Doktor akan mengarahkan makmal melakukan ujikaji sapuan kahak, Kadar Sedimen Sel Darah (ESR) dan ujian Mantoux. Ujian ini akan mengukuhkan lagi diagnosa penyakit Tb. Namun jika ujian makmal negatif sekalipun, pakar yang merawat akan berikan ubat anti-tb berdasarkan gambar xray dan tanda-tanda klinikal.

Ini bermakna, penyakit Tb itu senang didiagnos dengan melihat xray dan tanda klinikal. Lihat sekali lagi gambar xray tu, bahagian atas paru-paru kiri terdapat tompokan putih seperti kapas yang ditarik-tarik. Begitu juga bahagian atas paru-paru kanan terdapat setompok putih seperti kapas. Inilah tanda jelas penyakit Tb melalui xray.

Penyakit Tb ini sukar untuk mati kecuali keadaan terlalu teruk atau didiagnos terlalu lambat sehingga pesakit sudah terlalu nazak. Ataupun pesakit mempunyai penyakit sampingan lain seperti HIV atau Kencing Manis, yang menambahkan lagi keterukan serangan kuman Tb.

Penyakit Tb boleh sembuh sepenuhnya dengan rawatan antibiotik khas Tb. Gabungan antibiotik anti-tb telah berjaya dari kajian saintifik mengubati penyakit Tb seluruh dunia.

Berikut adalah beberapa fakta yang perlu anda ketahui:

* Tb adalah salah satu dari 10 punca kematian tertinggi di dunia.

* Tahun 2017, 10 juta kes Tb dicatatkan dan 1.6 juta mati akibat Tb. Seramai 300 ribu kes dari kematian itu adalah pesakit yang juga menghidap HIV.

* TB adalah punca utama kematian terhadap pesakit HIV.

* Tahun 2017, dianggarkan 1 juta kanak-kanak dijangkiti Tb dan 230 ribu kes darinya mati.

* Diagnosis awal dan rawatan segera Tb boleh menghindarkan kematian dengan anggaran 54 juta nyawa antara tahun 2000 hingga 2017.

* Usaha gigih setiap strata masyarakat perlu bagi memastikan Tb terhapus atas mukabumi menjelang tahun 2030.

* Rawatan alternatif atau komplimentari setakat ini tidak terbukti boleh merawat Tb. Kepercayaan dan pegangan bahawa pengubatan alternatif boleh menyembuhkan Tb menimbulkan kecelaruan dalam perawatan sebenar sehingga timbul kerentangan ubat Tb (multi-drug resistant – MDR).

Sekian dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

11.6.2019

Putrajaya

Pautan:

Fakta Penyakit Tuberkulosis. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/tuberculosis

Ubat Darah Tinggi di Tarik Balik

Ramai yang tanya saya, semua ubat darah tinggi yang mengandungi LOSARTAN tu boleh sebabkan kanser ke? Ramai yang baca dalam media sosial dan buat ulasan sendiri. Termasuk golongan yang selama ni memang sudah anti-ubat hospital, terus menuduh bahawa ubat-ubat lain untuk rawat darah tinggi pun penyebab kanser! Tidak kurang juga mereka yang memerli bahawa kononnya ubatan hospital sudah melepasi tahap keselamatan, keberkesanan dan berkualiti itu pun boleh ditarik balik. Justeru kembalilah kepada ubatan sumber alami yang tidak mengandungi bahan kimia – seru mereka!
Saya pohon jangan kelirukan orang ramai isu ubat darah tinggi ini. Sudah jelas apa yang disebut dalam kenyataan akhbar dari Ketua Pengarah KKM dan Pihak Berkuasa Ubat Singapura itu.[1,2] Tolong baca dengan teliti apa isi kenyataan media tersebut dan janganlah guna pukat tunda menuduh semua ubat berjenama LOSARTAN dalam pasaran negara kita penyebab kanser!
Kenyataan itu menyebut bahawa hanya 7 jenis dos ubat darah tinggi berjenama LOSAGEN, LOSARTAS dan TOZAAR keluaran dari TIGA syarikat India di tarik balik. Mana-mana jenama lain yang tidak terkait dengan jenama tersebut boleh digunakan tanpa was-was. Hanya tiga jenama ini sahaja yang ditarik balik. Jelas!
Ubat darah tinggi di premis KKM dan juga swasta dalam negara kita bukan tiga jenama  ini sahaja. Berpuluh-puluh jenama lain lagi dalam pasaran dari pelbagai syarikat pengeluar seluruh dunia.
Masyarakat kena faham, untuk diluluskan sahguna sesuatu ubat dibawah Akta Ubat, ubatan itu wajib melalui proses yang ketat. Sudah tentu ubat itu yang sudah dikemukakan kepada badan berautoriti, setelah disahkan lengkap profil produk dengan maklumat sokongan berdasarkan Evidence Based Medicine. Unit yang bertanggungjawab di KKM adalah Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA). Ubat tidak boleh digunakan atau dipasarkan selagi tidak mendapat kelulusan NPRA. Pakar-pakar yang berbincang dalam kelulusan ubat pun bukan calang-calang, mereka mahir dalam disiplin perubatan yang mereka ceburi.
Setelah diluluskan, baharulah premis KKM dan swasta boleh membeli ubatan tersebut dari syarikat berkaitan. Inilah kaedah yang digunakan, walaupun ubatan yang dibenarkan kegunaannya, KKM tidak biarkan begitu sahaja. Kajian pemantauan dan pengawalan dijalankan dari masa ke semasa. Jika terdapat dalam jangkmasa tertentu hasil kajian memberikan mudarat atas pelbagai sebab, wajib ubat berkenaan diistiharkan tidak boleh guna dan ditarik balik. Proses ini adalah proses ketelitian dan ketelusan.
Berbalik kepada isu produk Losartan yang ditarik dari pasaran ini. Produk losartan seperti yang di tarik ini tidak di pesan oleh KKM untuk kegunaan premisnya. Tetapi pihak swasta bebas untuk beli dan guna kerana diluluskan oleh NPRA sebelum ini.
Kenapa ditarik?
Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat (FDA) membuat penyelidikan bahawa losartan yang ditarik balik itu tidak tulin kerana masih berbaki sedikit bahan peluntur (NMBA) semasa proses pengilangan. Kajian ke atas haiwan mendapati N-Nitroso-N-methyl-4-aminobutyric acid (NMBA), diklasifikasikan sebagai karsinogen.[3] Produk asal sebelum ini tiada pun NMBA didalamnya. Kejadian ini adalah jarang berlaku dalam proses pemprosesan dan pengilangan produk.
Walaupun tiada lagi bukti lanjut kaitan NMBA pencetus kanser terhadap manusia, FDA mengambil sikap berhati-hati dengan membuat kenyataan penarikan balik produk di pasaran. Kajian penentuan keselamatan sedang dijalankan buat masa ini.
Manakala ubat yang mengandungi losartan lain yang bukan dari syarikat berkenaan adalah selamat digunakan. Kenyataan ini perlu difahami oleh semua. Sila bertanyakan doktor anda, apakah jenis ubat yang diberikan selama ini, sama atau tidak?
Kita boleh simpulkan bahawa ubatan yang berdaftar seluruh dunia amat teliti dalam setiap aspek pembuatannya dan juga setelah dipasarkan.
Justeru tidak perlulah penjual supplemen atau pembuat ubat herba memperlekehkan ubatan moden ini. Mereka harus menilai dan mengoreksi diri sendiri, adakah pemprosesan, pengilangan dan pemasaran produk mereka juga melalui proses ketelusan dan ketelitian ini? Jawapannya mereka hanya sembang kosong, terpenting bagi mereka adalah masuk fulus dalam poket. Apa nak jadi kepada pesakit yang diberikan produk? Lantaklah.
Sekian dari suhazeli.com
1.4.2019
Kuala Berang
Pautan:

Belajarlah Buat Website

Saya tidak belajar secara formal untuk buat website. Tetapi mula berkecimpung dengan pembuatan web sejak zaman Blogger.com wujud lagi.

Kemudian NGO yang saya ceburi mengarahkan supaya wujud website khas untuk memberitahu masyarakat peranan dan sumbangan NGO. Maka saya diberi tanggungjawab untuk buat website.

Maka belajarlah saya secara sendiri. Melihat pengalaman website lain yang telah dibina serta lakukan bacaan kendiri di internet.

Sehingga kini sudah beberapa website yang saya tadbir termasuk website sendiri www.suhazeli.com. Antara lain yang saya sedang tadbir adalah

www.fmsconference.net/2019,

www.conference.org.my/nusantara2019,

www.wargacakna.org

www.papisma.org

www.imamalaysia.org

www.fms-malaysia.org

dan beberapa lagi yang saya adalah webmaster.

Website tersebut lebih kepada mempromosi program yang akan berlangsung tahun ini. Ianya dilengkapi dengan pendaftaran dan pembayaran secara online. Memang mudah!

Dua tahun lepas saya bersemangat untuk anjurkan bengkel untuk buat website. Beberapa siri bengkel telah berjalan. Tetapi tahun lepas usaha itu terbantut kerana kekangan kerja yang terlalu sibuk, hinggakan tidak dapat menguruskan satu pun bengkel pembinaan website.

Rasanya pada tahun ini saya nak buat satu sesi bengkel website..nak lihat response. Jika 30 orang sudi daftar, inshaAllah kita akan tetapkan tarikh masa dan tempat. Modul dah ada dan tapak hosting pun dah ada. Cuma tujuan saya adalah nak kongsikan ilmu yang bermanfaat ini. Itu pun jika tuan/puan rasa penting wujudnya website kepada organisasi atau persendirian.

Sekian

Sejarah Perubatan Islam yang Dilupai

Tulisan Prakata dalam buku Historia Perubatan Islam karangan Tok Ilmam

Masyarakat mungkin tidak sedar bahawa Islam adalah pelopor kepada perubatan moden. Kemunculan tokoh-tokoh hebat seperti Ibnu Sina, Al Razi, Al Khawarizmi dan ramai lagi ilmuwan Islam adalah sebagai bukti bahawa Islamlah pencetus kepada kebangkitan sistem perubatan di alaf ini.

Istilah Perubatan samada perubatan Islam atau perubatan moden adalah suatu istilah yang sering dikelirukan. Jika ditanya kepada masyarakat umum apakah yang mereka faham dengan istilah Perubatan Islam? Pasti ramai yang menjawab, Perubatan Islam adalah kaedah rawatan yang menggunakan jampi-jampi untuk menghalau jin-jin, juga kaedah rawatan yang dilakukan oleh Rasulullah Saw seperti berbekam, menggunakan madu, jintan hitam dan sebagainya. Begitu juga jika ditanya, apakah perubatan moden, masyarakat akan memberikan jawapan yang skeptikal bahawa perubatan moden adalah perubatan barat yang menggunakan bahan kimia.

Namun persoalannya apakah itu sahaja yang dikatakan sebagai Perubatan Islam? Bagaimana pula dengan perubatan moden? Apakah rawatan moden yang dipraktikkan oleh doktor-doktor perubatan di hospital-hospital dan klinik-klinik yang mana kaedah rawatan tersebut tidak menyanggahi syariat itu, bukan perubatan Islam? Dikotomi kekeliruan perubatan Islam dan moden ini timbul setelah barat menjajah negara-negara umat Islam. Catatan sejarah kegemilangan kajian (Evidence Based Medicine) yang dilakukan oleh tokoh perubatan muslim telah dihapuskan oleh mereka. Lebih sadis lagi apabila barat menggali semula khazanah berharga itu, kemudian mengembangkannya. Lantas kejayaan baru yang mereka raih berdasarkan asas dari cendekiawan Islam itu tidak diangkat oleh mereka sebagai kegemilangan sejarah Islam.

Konsep yang jelas dalam Islam bahawa kaedah perawatan pesakit mesti berpandukan Al Quran dan Al Sunnah. Kesemuanya bertujuan memberi manfaat kepada manusia sejagat. Apa sahaja kaedah yang digunapakai bagi memberi kesejahteraan fizikal, mental, sosial dan spiritual kepada manusia adalah dibenarkan, dengan syarat ianya tidak melanggari aqidah, syariat dan adat.

Sabda Nabi Saw yang bermaksud: Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri kalian sendiri. (Muttafaqalaihi)

Dan Sabda Nabi Saw lagi yang bermaksud: Siapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari berbagai kesulitan-kesulitan dunia, Allah akan menyelesaikan kesulitan-kesulitannya di hari kiamat. Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya akan Allah mudahkan baginya di dunia dan akhirat. (HR Muslim)

Saya sungguh bertuah kerana diberi peluang untuk meneliti buku yang ditulis oleh Dr Muhammad Ilmam bin Abdul Razak ini. Satu buku yang begitu baik dari sudut penulisannya dan penghuraian yang mendalam dari sudut sejarah perubatan tradisi Islam. Penerangan tiada dikotomi antara perubatan Islam dan Moden juga dikupas dengan jelas dalam buku HISTORIA ini.

Syabas saya ucapkan kepada beliau atas kesungguhan menghasilkan karya yang begitu bermutu ini. Semoga hasil penat lelah dan ketekunan beliau menjadi suri teladan kepada generasi kini serta akan datang dalam menyuburkan budaya menulis. Semoga beliau dan ahli keluarga terus diberi kekuatan untuk terus berkarya dalam penulisan-penulisan topik yang lain pula.

Saya tidak sabar untuk terus membaca.

Dr Suhazeli Abdullah

28.3.2017

Kaedah Perubatan yang Lebih Di Yakini

Kita silap menilai Perubatan Berasaskan Bukti (Evidence Based Medicine) sebagai hak eksklusif perubatan moden semata-mata.

‘Kita’ di sini merujuk kepada semua penggiat bidang perubatan samada perubatan moden itu sendiri mahupun perubatan komplimentari.

EBM adalah kaedah mengambil sesuatu amalan perubatan itu dengan lebih yakin. Walaupun sesetengah kaedah berubat itu masih lagi dalam proses yang belum sempurna, tetapi setidak-tidaknya asas berubat pada masa ini mengambil kira bukti terkini yang telah dicapai sesuai dengan zaman. Kaedah fekah menyebut;

الْيَقِنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

“Perkara Yang Yakin Tidak Dihilangkan Oleh Keraguan (Syak)”.[1]

Bermakna, sesuatu yang lemah/tidak kuat hujah/keraguan fakta itu terhapus setelah datangnya sesuatu yang lebih yakin/sahih.

Andainya terdapat bukti terbaharu yang lebih diyakini melalui kaedah yang absah dalam menentukan sesuatu ubat-ubatan itu selamat, berkesan dan kurang mudarat, maka bukti terbaharu itu pulalah kita perlu ikuti. Perubatan itu dinamik bukannya statik dan jumud.

Tiada sesiapa pun yang berhak untuk menolak kajian dan fakta yang telah ada, kecuali terdapat kajian dan fakta lain yang lebih tepat dari fakta yang dikemukakan [2].

Firman Allah Taala

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya; “Hendaklah kamu bertanya kepada pakarnya (ahlinya), jika kamu tidak mengetahui”. [Surah An Nahl: 43]

Masyarakat Islam perlu dididik untuk mengikuti sesuatu yang bersandar kepada kebenaran fakta dan kajian ilmiah. Menyandarkan sesuatu hujah kepada sangkaan (zann) tanpa kajian ilmiah yang sahih dan fakta tepat merupakan suatu tindakan yang silap.

Firman Allah Taala ;

إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ ۖ وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Ertinya; “Sesungguhnya, mereka tidak mengikut kecuali sangkaan (zann). Sesungguhnya, sangkaan (zann) tidak sedikit pun menandingi kebenaran.” [Surah Yunus: 36]

Terdapat golongan tertentu yang cuba mengunakan agama untuk mempengaruhi masyarakat untuk menolak fakta-fakta ilmiah. Sedangkan teori yang dibawa hanyalah berdasarkan sangkaan (zann) yang tidak dihasilkan melalui kajian ilmiah.

Mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan telah menjadi ahlinya, mestilah terus istiqamah dengan panduan ilmu yang ada padanya. Sesungguhnya, kesungguhan dan jihad yang lakukan untuk memelihara manusia dari kebinasaan serangan penyakit, pasti akan mendapat ganjaran yang melimpah ruah dari Allah swt.

Jika kita yakin berada dipihak yang benar dan apa yang kita sampaikan ini adalah kebenaran, maka kita tidak perlu berundur dan menarik diri.

Bahkan mengalah dan mengundur akan membuka ruang kepada keburukan dan kebinasaan yang lebih besar.

Firman Allah Taala;

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ

Ertinya; “Jika kebenaran mengikuti hawa nafsu mereka, nescaya binasalah langit, bumi dan segala yang ada”. [Surah Al Mukminun: 71]

Ada pihak mencabar, kaedah perubatan tidak perlu kajian dan kesahihan sesuatu sumber yang dipegang. Mereka memberi contoh, air madu yang telah pun dinyatakan dalam Al Qur’an serta hadis Nabi SAW bahawa madu itu ubat segala penyakit kecuali mati. Begitu juga dengan air zamzam, air yang telah dirukyah melalui pengubatan Islam, tidak perlu disahihkan melalui kajian pun, hujah mereka.

Di sinilah perlunya tasawwur yang jelas dalam konsep berubat. Gambaran pemikiran dalam menggunakan kaedah berubat samada menggunakan ubat-ubatan atau air rukyah adalah termaktub dalam wilayah ikhtiar sebagai manusia. Usaha pencegahan, pengubatan samada secara fizikal ataupun spiritual adalah ikhtiar yang dianjurkan oleh Islam.

Tidak kurang dari dua orang ulama yang saya thiqah (percaya dan yakin dengan keilmuan mereka) menyebut hal yang sama, iaitu penggunaan ayat Quran sebagai ruqyah dalam berubat adalah dikira sebagai doa. Ianya adalah salah satu kaedah ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak. Dengan syarat, pengamalnya yakin akan mukjizat al Quran sebagai merawat penyakit batin dan fizikal. Doa adalah juga sebagai ibadah. Justeru memohon doa akan berpahala dan jika salah guna boleh membuahkan dosa.

Diriwayatkan kisah seorang sahabat yang menggunakan surah al fatihah semasa merawat penyakit gigitan binatang [3]. Setelah dilaporkan kejadian itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda mengiyakan bahawa surah al Fatihah itu adalah ayat rukyah, yang sebelum ini mereka tidak mengetahui akan fadhilatnya. Atas keyakinan mereka bahawa ayat Al Fatihah mempunyai fadhilat, digunakan sebagai doa dan dengan izin Allah termakbul.

Amalan bacaan ayat-ayat al Quran yang lain sudah tentu mempunyai fadhilat yang tersendiri, tetapi bacaan tersebut tertakluk kepada meniatkan ianya sebagai kaedah doa dalam berikhtiar merawat. Dalam masa yang sama tidak menafikan kaedah lain boleh digunakan dalam merawat penyakit diri atau orang lain.

Begitu juga doa yang dijampikan ke atas air, ia juga merupakan konsep berdoa. Semoga dengan doa itu dimakbulkan oleh Allah Azzawajalla. Jika bertepatan dengan ketentuan dan iradat Allah maka, sembuhlah ia. Ibnul Qayyim al-Jauziah Rahimahullah menggunakan air zamzam dalam berubat. Namun tidak semua jenis penyakit beliau menggunakan air zamzam. Konsep sebenar yang perlu ada bagi seorang muslim adalah, air zamzam itu adalah salah satu ikhtiar dalam berubat. Cuba perhatikan betul-betul tulisan Ibnul Qayyim:

…Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali……[4]

Maksudnya beliau telah berusaha mencari ubat dan doktor serta sudah tiada ikhtiar lain dalam menyembuhkan penyakit yang dialami. Air Zamzam menjadi alat untuk berubat pada saat itu. Ianya juga perlu di sertai dengan niat dan keyakinan yang tinggi akan janji Rasulullah SAW tersebut [5].

Justeru timbul cadangan di sini, para perawat dari perubatan komplimentari termasuk ruqyah sebaiknya juga membuat catatan dan pelapuran sepertimana amalan EBM yang dilakukan dalam perubatan moden. Contohnya jika perubatan komplimentari mendakwa boleh merawat kes kencing manis, darah tinggi ataupun penyakit fizikal yang lain, seeloknya buat catatan dan pelaporan ilmiah. Dari sejumlah pesakit yang telah dirawat, berapa peratus yang telah berjaya dikawal sebagaimana proses kajian EBM yang dijalankan oleh perubatan moden.

Tidak salahkan buat laporan itu?

Malah ianya akan menambahkan lagi keyakinan masyarakat untuk menggunakan kaedah komplimentari itu. Kaedah cerapan dan pelaporan kes ini adalah langkah paling asas dalam EBM. Sedangkan syariat yang kita beramal dengannya pun memerlukan pengsahihan dari mana punca hadis atau al Quran sebelum kita beramal, adakah ianya sahih atau palsu. Begitulah juga dalam hal keduniaan seperti perubatan ini, perlulah juga mengambil konsep pengsabitan bukti sebelum diambil apa-apa bahan sebagai ubat.

Lihat contoh penggunaan madu dalam membantu merawat sakit kerongkong. Kajian dari Cochrane mendapati madu berguna dalam mengurangkan kesakitan pesakit yang mengalami deman viral dan membantu merawat luka [6]. Tetapi ianya masih tertakluk kepada perawatan sampingan bukannya ubat utama dalam merawat. Walaupun madu telah digunakan sebagai ubat sejak dari 2400 tahun sebelum masihi lagi, namun catatan berkaitan dengannya adalah lemah dalam mengubati penyakit-penyakit fizikal yang serius.

Adakah sabdaan Nabi tidak tepat? Tidak! Rasululullah SAW menyatakan sedemikian di dalam hadis itu adalah berdasarkan kepada kemudahacapaian perubatan pada masa tersebut dan itulah yang terbaik pada zaman itu berdasarkan bukti yang terhad. Rasulullah juga tidak menjadikan madu satu-satu yang mutlak dalam kaedah berubat pada zaman baginda. Rasulullah SAW juga menggunakan kaedah lain seperti ubatan dari doktor Al Harith Ibnu Kaladah yang masyhur dengan kaedah perubatan Yunani. Kesimpulannya kaedah yang diambil oleh Rasulullah SAW itu pelbagai berdasarkan kepada bukti yang termampu sesuai dengan sains teknologi di zaman baginda [7].

Suhazeli Abdullah

Insan Dhaif

Suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

6.6.2019

Kota Bharu

Pautan

[1] Qawaid Fiqhiyyah. http://www.tayibah.com/eIslam/yakin_tidak_dihilangkan_oleh_keraguan.php

[2] Md Shukri Ab Rahman. Kebenaran Berfakta. https://www.facebook.com/546572572048737/posts/2288083491230961?s=1033106371&sfns=mo

[3] Kisah khasiat surah Al fatihah. http://detikislam.blogspot.my/2013/01/kisah-sahabat-nabi-merawat-dengan-surah.html#

[4] Doa Air Zamzam Ibnul Qayyim. Tahzibul Asma Wal~Lughat 3/139

[5] Air Zamzam sebagai Ubat. http://suhazeli.com/wp/?p=722

[6] Madu merawat sakit kerongkong. https://www.evidentlycochrane.net/honey-for-cough/

[7] Mohd Mohiden. Perubatan dan Metode Umum Ibnu Qayyim. http://studentsrepo.um.edu.my/6172/5/BAB_4_22112015.pdf

Resepi Telur Goreng Mata Kerbau

Mai, saya juga nak kongsi resepi telur mata kerbau. Setengah tempat sebut mata lembu. Apa-apa saja la, asal menjadi.

Cara-cara:

1. Sebiji telur, basuhkan dulu sebab kulit luar tu bernajis. Haram makan telur jika bercampur tahi.

2. Panaskan kuali. Tak kisah kuali warna apa, hitam, putih atau merah. Tak kisah juga dapur mana nak guna, dapur gas ke letrik ke atau dapur arang. Yang pasti kuali tu panas!

3. Masukkan sedikit minyak.

4. Apabila minyak panas, masukkan telur yang sudah dipecahkan. Jangan masukkan sekali dengan kulit tau!

5. Perhatikan tahap ke adakan telur. Ikut lah selera anda samada mata kerbau lendir atau mata kerbau pejal, lihat dengan mata anda untuk keseleraan masing-masing.

6. Tadaaa, dah siap dan angkat untuk dimakan.

7. Jangan lupa, tutup api dapur tu, nanti terjadi tragedi lain pulak. Pesanan dari abang bomba.

Nasihat raya:

Persepsi telur itu bahaya. Boleh baca sedikit fakta di bawah ini. Artikel diambil dari Persatuan Jantung Australia:

a) Kefahaman yang menuduh telur banyak kolesterol sudah berubah. Kajian mendapati telur bukanlah semata-mata penyebab cholesterol tinggi dalam badan. Tetapi kebanyakan sumber makanan yang tinggi kolesterol adalah dari jenis lemak tepu dan transfat. Contoh lemak tepu adalah daging lembu, daging kambing, lemak yang diproses seperti keju dan mentega. Transfat pula adalah lemak yang telah mengalami proses pengubahsuaian bentuk seperti lemak yang terdapat pada kebanyakan makanan segera; kentang goreng, burger, pizza, donut dan lain-lain.

b) Kesederhanaan dalam mengambil telur adalah penting. Jangan keterlaluan dalam mengambil telur. Telur selamat diambil 6-7 biji seminggu atau sebiji sehari. Cuma kaedah penyediaan telur memainkan peranan. Jika digoreng, kolesterol telur tidaklah mainkan peranan untuk tingkatkan paras kolesterol darah, tetapi minyak masak yang digunakan! Telur rebus lebih elok sebab air tiada lemak tersembunyi. Pastikan juga memasak telur dicampur dengan sayuran lain seperti kapsicum, bayam, bawang dan seumpamanya.

c) Ibu selepas beranak jangan lah pantang makan telur. Telur adalah sumber protein yang baik untuk pembinaan semula tisu-tisu yang rosak akibat proses bersalin. Telur juga banyak omega 3 yang amat penting kepada badan kita. Persepsi pantang makan telur lepas bersalin/operation sebab takut luka bersalin bernanah adalah kefahaman yang salah. Bahkan ibu lepas bersalin perlukan lebih banyak protein untuk pemulihan luka bersalin. Terlalu ketat dalam berpantang sehingga hanya makan ikan kering sahaja, boleh melambatkan lagi proses pembinaan semula sel-sel badan.

Sekian resepi dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

5.6.2019

2 Syawal 1440

Kuala Berang

Pautan

[1] Telur. Heart Foundation Australia. https://www.heartfoundation.org.au/healthy-eating/food-and-nutrition/protein-foods/eggs

Punca Pesakit Kencing Manis Mandul

Terima kasih atas soalan ini. Satu soalan yang kerap ditanya oleh pesakit. Ubat kencing manis bukanlah punca mandul. Tetapi sebaliknya kencing manis adalah salah satu punca tidak subur samada wanita atau lelaki.

Apa yang pasti penyakit kencing manis itu sendiri boleh menyebabkan ‘erectile dysfunction’ atau mati pucuk. Kandungan gula yang tinggi dalam darah boleh menyerang saraf. Begitu juga wanita yang mempunyai kencing manis selalunya sukar untuk hamil kerana gangguan hormon kesuburan [1].

Kajian mendapati metformin (ubat kencing manis) boleh digunakan untuk merawat wanita yang mandul. Rawatan metformin ini bagi kes yang khusus dan perlu dibincang dengan pakar [2]. Pendek kata, metformin adalah selamat digunakan untuk salah satu dari rawatan kesuburan wanita dan ianya terjamin tidak mencacatkan janin jika hamil.

Begitulah juga insulin, selamat digunakan. Malah kita menasihati para pesakit kencing manis yang tidak terkawal dan mempunyai masalah kesuburan agar mengambil ubat kencing manis tanpa ingkar. Tujuannya supaya kencing manis mereka terkawal dan peluang untuk hamil adalah tinggi.

Sekian

suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

1.6.2019

Masjid Ladang

Pautan:

[1] Kencing Manis dan Kesuburan. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/19863473/

[2] Metformin untuk rawat kesuburan. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/23379651/

7 Tips Pesakit Menghadapi 1 Syawal

Apabila tibanya 1 Syawal, umat Islam diharamkan berpuasa. Hari itu adalah hari gembira kerana meraikan kejayaan kita berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Di sini mulalah kita lupa bahawa kita perlu berhati-hati juga mengambil segala jenis maklika makanan di hari raya. Oleh kerana terlalu ingin qodo makan pada waktu siang hari di bulan ramadhan, kita terus hentam makan tanpa ingat sejak awal bangun tidur hingga malam. Bukannya sehari dua raya tetapi sebulan Syawal!

Tidak dinafikan banyak juadah raya yang perlu dikecapi; rendang, ketupat, lemang, tapai dan banyak lagi. Minuman pun pelbagai jenis dengan warna berbeza-beza; Sirap, bandung, air bergas, air kathira, milo, teh, teh tarik dan banyak lagi. Amat menggamit nafsu makan! Akhirnya kita lupa tunai tanggungjawab kesihatan perut kita sehingga mendatangkan mudarat pula di pagi raya.

Bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang, sakit jantung pula macam ‘hilang ingatan’ bahawa mereka masih berkewajiban lagi memakan ubat-ubatan walaupun berhari raya. Antara alasan mereka adalah raya hanya sekali setahun, takkanlah tinggal ubat-ubatan sehari sudah bawa mudarat? Berilah peluang untuk menikmati hidangan raya yang amat menggiurkan itu.

Artikel kali ini mengesyorkan kita berhati-hati dalam memilih makanan. Tindakbalas sesatu makanan dengan makanan lain boleh berlaku sehingga menyebabkan perut kita berkecamuk. Begitu juga tindakbalas makanan dengan ubat-ubatan yang kita makan boleh juga menyebabkan kesan optima ubat tidak dapat disempurnakan.

Perhatikan jenis makanan yang anda ingin jamah pada hari raya.

1. Makanan yang pedas, boleh mendatangkan ketidak selesaan kepada perut. Ini kerana perut akan mengeluarkan asid yang banyak bagi menghilangkan pedas itu tersisa. Mulalah perut anda akan meragam, loya serta muntah boleh berlaku;

2. Tambahan lagi jika dicampurkan dengan air berkarbonat. Campuran ini akan menambahkan lagi interaksi sesama makanan semasa proses penghadaman. Orang lain sibuk ziarah jiran tetangga, kita pula sibuk ziarah tandas.

3. Makanan yang banyak kandungan tyramin seperti tapai, cokelat dan keju boleh juga mengganggu penghadaman dan interaksi sesama makanan serta ubat-ubatan.

4. Makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula dan lemak yang tinggi juga perlu dielakkan teruatama individu yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

Interaksi makanan dengan ubat boleh berlaku dalam pelbagai bentuk:

1. Makanan atau minuman itu menghalang penyerapan serta tindakbalas ubat di lokasi tertentu badan. Contohnya teh boleh menghalang penyerapan zat besi secara optima bagi ibu-ibu hamil yang mengalami anemia (kurang hemoglobin darah). Begitu juga dengan pengambilan kopi terutama kopi pracampuran yang mengandungi ginseng, tongkat ali dan sebagainya, boleh menyebabkan kesan tindabalas ubat semakin tinggi dari jangkaan yang sepatutnya. Akhirnya kandungan ubat-ubatan dalam badan akan berpanjangan. Sedangkan ubat-ubatan itu mempunyai tempoh tertentu yang sesuai berada dalam darah sebelum dikumuhkan melalui buah pinggang.

2. Makanan tertentu juga mempunyai pengaruh ke atas ubat-ubatan samada mengurangkan kesan tindakbalas yang sepatutnya atau meningkatkan kesan tindakbalas. Contohnya limau gedang, buah sitrus dan makanan berserat tinggi boleh bertindakbalas dengan ubat anti-kolesterol dan banyak lagi ubat-ubatan lain.

3. Sesetengah makanan boleh menggalakkan lagi kesan sampingan ubat. Seperti pesakit yang mengambil ubat cair darah (warfarin) untuk sakit jantung. Apabila pesakit memakan makanan yang tinggi vitamin K seperti brakoli dan beberapa lagi, akan mengganggu sistem pembekuan darah.

Andaikata kita tidak mampu untuk menahan nafsu makan, sehingga terpengaruh dengan keenakan makanan, ikutilah 9 tips untuk mengelakkan interaksi ubat dan makanan:

1. Sentiasa BACA LABEL pada sampul ubat dan sisip bungkusan (arahan pengambilan, peringatan, interaksi, langkah berjaga-jaga) yang dilampirkan bersama-sama bekas ubat.

2. Adalah sangat penting untuk MEMATUHI ARAHAN yang diberikan berkenaan cara pengambilan ubat yang selamat seperti yang telah diterangkan oleh ahli profesional kesihatan.

3. Ambil ubat bersama-sama segelas AIR KOSONG. Jangan campur ubat ke dalam minuman panas kerana suhu yang tinggi boleh mengurangkan keberkesanan sesetengah ubat.

4. JANGAN CAMPUR ubat ke dalam makanan kecuali diarahkan berbuat demikian.

5. JANGAN ambil herba pada MASA YANG SAMA ketika mengambil ubat.

6. JANGAN ambil ubat bersama-sama ALKOHOL/ARAK. Tapai juga mengandungi kandungan alkohol yang bukan bermaksud arak.

7. SENTIASA MAKLUMKAN doktor atau ahli farmasi berkenaan ubat-ubatan serta herba / yang sedang diambil.

8. MAKLUMKAN ahli profesional kesihatan berkenaan sebarang PERUBAHAN dalam rutin harian (senaman, diet, pengambilan alkohol).

9. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan berkenaan interaksi ubat-ubatan yang mungkin berlaku, BERTANYALAH PADA DOKTOR / AHLI FARMASI. Simpanlah nombor penting doktor atau farmasi yang anda sayangi.

Pesanan dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

29.5.2019

Ketengah Jaya

Pautan:

[1] Portal MyHealth. http://www.myhealth.gov.my/interaksi-ubat-dan-makanan/

Bengkak Kelenjar Selepas Vaksin BCG

Kesan yang tidak dijangka selepas suntikan vaksin (AEFI) memang wujud. Dalam sejarah pembangunan vaksin sejak lebih 200 tahun, pemberian vaksin tidak sunyi dari kesan sampingan ini.

Namun seluruh dunia masih terus menggunakan vaksin sebagai langkah pencegahan. Kenapa? Kerana ianya satu kaedah yang ampuh setakat ini bagi mencegah dari penyakit berbahaya. Maksudnya juga vaksin telah menjadi satu titik sejarah dalam merawat penyakit yang penyebab berjuta kematian dan berjaya walaupun terdapat sedikit kesan sampingan.

Adakah kita abaikan kesan sampingan sedikit itu? Tidak, justeru sistem pemantauan wujud untuk melihat sejauh mana keseriusan AEFI. GPFVK adalah sistem pemantauan pemberian vaksin, ianya bukannya kitab untuk menakut-nakutkan orang ramai dengan segala andaian kemungkinan yang akan berlaku!

Para saintis yang mengkaji pembangunan vaksin senantiasa memperbaiki keselamatan dan keberkesanan vaksin. Jika kita perhatikan kajian kejayaan vaksin BCG contohnya pada tahun 1921. Pada peringkat awal kajian BCG diberikan melalui mulut, bukan suntikan bawah kulit seperti zaman kini. Bahan asas vaksin tersebut yang diambil dari pesakit Tunerkulosis (TB). Kanak-kanak tersebut adalah anak kepada si ibu yang mati akibat TB, dan nenek beliau pun sedang dijangkiti TB. Tetapi inilah “risk and benefit” yang ditanggung oleh kanak-kanak tersebut dan pengkaji. Setelah tiga tahun anak itu diberikan vaksin BCG, beliau selamat tidak dijangkiti TB dan tidak mati. Inilah sejarah kejayaan yang perlu kita lihat.

Melihat kepada kejayaan pertama ini, data telah dicerap dari tahun 1921 – 1927. Seramai 969 orang kanak-kanak lagi dijalankan ujikaji yang sama. Didapati jumlah MATI dari ujikaji:

3.9% (Beri Vaksin – mati) berbanding sebanyak 32.6% (Tidak Vaksin – Mati akibat TB).

Walaupun terdapat kesan mudarat seperti kematian, vaksin BCG tetap menjadi pilihan kerana mudarat kematian serangan TB itu sendiri lebih besar.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, pembangunan keberkesanan dan keselamatan vaksin terus pesat dijalankan oleh para pengkaji. Kita boleh melihat sendiri dalam dunia sekarang pun bayi selamat setelah diberikan vaksin BCG. Jumlah serangan TB kanak-kanak juga menurun. Ianya berjaya menyelamatkan jutaan nyawa. Andaikata pihak berkuasa pada ketika itu menghentikan pemberian vaksin BCG dek kerana takutkan AEFI yang rendah risikonya, sehingga sekarang kita akan terus bergelut dengan jangkitan TB kanak-kanak.

Kes Bengkak Kelenjar Selepas Vaksin

Tb Lymphadenitis

Kes bengkak kelenjar bawah ketiak adalah perkara biasa kemungkinan boleh berlaku setelah vaksin BCG. Laporan kejadian antara 100-1000 dalam 1 juta dos vaksin BCG yang diberikan [1]. Tempat yang biasa terbentuk benjolan jangkitan itu adalah di bawah ketiak bayi. Jika terdapat benjolan di bahagian lain, perlu disahkan samada berpunca dari vaksin BCG atau kuman lain yang tiada kaitan dengan vaksin.

Vaksin BCG mengandungi bakteria Mycobacterium Bovis dan telah dilemahkan. Walaupun ianya dari jenis M. Bovis, tetapi antibodi terbentuk boleh melindungi bayi dari bakteria M. Tuberkulosis.

M. Bovis ini tidak bahaya sehingga kematian atau kecacatan. Tetapi ianya boleh memberikan perlindungan dari penyakit TB Meningitis (Selaput Otak) dan TB Miliari (akibat Bakteria M. Tuberkulosis) dikalangan kanak-kanak. Pemberian Vaksin BCG juga boleh melindungi bayi dari penyakit kusta yang berpunca dari jangkitan kuman M. Laprae [2].

Dapatkan khidmat perawatan dengan doktor jika anak anda mengalami benjolan seperti ini. Kes seperti ini akan diberi pilihan oleh pakar samada dilakukan pembedahan atau diberi antibiotik. Setiap rawatan mempunyai manfaat dan risiko tersendiri. Kedua-duanya mempunyai kadar penyembuhan yang tinggi dengan syarat patuhi arahan yang diberikan. Apapun berbincanglah dengan doktor anda secara rundingan terus di klinik.

Parut setelah sembuh [Sumber dari fb Nur Yusof 3]

Bagi merawat bengkak itu, tidak nafi, pesakit akan di’paksa’ makan ubat untuk membunuh kuman. Akan tetapi percayalah beliau sudah mendapat perlindungan yang optimum dari dijangkiti oleh bakteria M. Tuberkulosis yang lebih berbahaya. Sehingga kini tiada lagi kes kematian akibat bengkak kelenjar. Mereka sembuh dan hidup ceria selepas itu.

Jika ingin dibandingkan perjuangan nenek moyang kita terdahulu semasa awal penemuan vaksin BCG, kita hanyalah lebih takut perkara yang boleh dirawat berbanding dengan risiko kematian. Masalahnya adalah, kita tidak meletakkan kepercayaan kepada perawat dengan memberi gambaran negatif setiap kejadian AEFI yang berlaku terhadap anak-anak kita.

Begitu juga kesan tidak dijangka yang tidak bahaya lain seperti ruam, sakit tempat suntikan, parut, kemerah-merahan kulit adalah sesuatu yang boleh berlaku. Namun ianya tidak boleh ditakuti sehingga kita lebih takutkan vaksin berbanding penyakit TB selaput otak itu sendiri akibat kuman tuberkulosis. Umpamanya kita lebih takutkan lipas yang merayap atas jalanraya berbanding dengan lori yang sedang laju ingin melanggar kita.

Suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

13.5.2019

Ketengah Jaya

Pautan:

[1] Kejadian Bengkak Kelenjar Selepas Vaksin BCG.

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3216207/

[2] BCG juga perlindungan dari penyakit kusta. https://www.who.int/immunization/sage/meetings/2017/october/1_BCG_report_revised_version_online.pdf

[3] Perkongsian Nur Yusof. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1045386715516962&id=100001369292100

4 Kesan Negatif Pemakanan Kebulur

“Berat Mak Aji turun 10 kilo dalam 2 bulan? Apa yang dah berlaku ni?” Soalku dalam satu sesi konsultasi klinik Kencing Manis.

“Saya amalkan pantang diet ketat doktor.”, jawab Mak Cik berumur separuh abad itu jujur.

“Saya ubah pemakanan. Banyak makanan yang biasa saya makan saya tinggalkan. Seperti nasi putih, air manis, dari gula putih, tepung putih, makanan segera dan banyak lagi.” Jawabnya dengan yakin.

.

“Saya hanya makan ‘real food’. Banyakkan makan sayur-sayuran. Buah-buahan saya pilih yang rendah glisemik indek seperti jambu batu, oren dan apel hijau.” Tambah beliau lagi macam beri kuliah pemakanan. Fuh, pandai juga sebut GI makanan.

“Satu lagi petua adalah Mak Cik tukar hidangan berat sepanjang 2 bulan ini dengan makanan berasaskan barli. Doktor tau ke, barli adalah makanan sunnah? Ia merupakan antara makanan kegemaran Rasulullah s.a.w.” Ujarnya lagi.

[Selawat atas Nabi]

“Pendek kata selama 2 bulan ini juga saya menjalani sajian 100% vegetarian. Tanpa protin haiwan, tanpa lemak, air kosong dari produk xxxx 4 liter sehari, tanpa susu. Sebab tu kencing manis saya boleh sembuh dan berat badan menyusut banyak. Saya juga berpuasa setiap hari.” Hujahannya saya biarkan diluahkan. Rawatan stres juga tu.

‘Sudah lama beliau menghidapi kencing manis, baru berubah hati nak ikut segala nasihat pakar pemakanan (Dietitian) yang saya rujuk beberapa bulan lepas. Cuma saya kesian kerana beliau mula terpengaruh dengan dakyah penjual produk yang beri nasihat terlampau semata-mata mencari keuntungan.’

~~~~~~~~~~~

Sayang sekali, pesakit yang ingin mengubah gaya pemakanan tidak dipandu dengan betul. Apa yang dianjurkan oleh pakar pemakanan tidak pun diambil sepenuhnya sehingga boleh menyiksakan diri.

Kenapa saya kata menyiksakan diri?

Kaedah pengambilan makanan secara ketat atau ekstrim (Very Low Calorie Diet) boleh mendatangkan bahaya kepada sistem perkembangan tubuh badan kita.

Perlu kita ingat bahawa badan kita memerlukan sumber tenaga minima bagi menjadikan setiap organ berfungsi dengan sempurna. Sumber tenaga minima ini diberi nama Kadar Asas Metabolik (BMR – Basal Metabolic Rate). Kiraan BMR setiap individu bergantung kepada tinggi, berat, umur dan jantina seseorang.

Contohnya seorang lelaki, berumur 30 tahun, berat 70 kg dan tinggi 1.7 meter, BMR beliau adalah 1671 kcal. Ini bermakna kalori makanan seharian beliau paling minima perlu diambil adalah sebanyak 1671 kcal itu, baharulah badannya boleh berfungsi dengan sempurna seperti bernafas, peraliran darah, gerakan jantung, perkumuhan dan aktiviti fisiologi asas lain lagi [1]. Dengan kata lain, jika beliau hanya duduk sahaja tanpa buat apa-apa aktiviti, BMR asas sebanyak itulah diperlukan. Jika beliau ingin berkerja yang menggunakan tenaga seperti kerja pejabat, naik basikal, bersenam dan lain-lain lagi, beliau wajib mengambil kalori yang berlebihan dari BMR tadi. Sekurang-kurangnya tambahan sebanyak 20% lagi.

Andaikata seseorang itu mengambil pemakanan yang kurang dari BMR, secara automatik badan akan membakar sumber lain dari dalam badan kita sendiri. Lemak yang disimpan di peha, perut, pinggul dan beberapa tempat lain lagi akan digunakan sebagai sumber tukaran tenaga. Pun begitu, bakaran tenaga dari sumber lain ini perlu diatur dengan betul supaya fungsi badan kita diseimbangkan mengikut sela waktu tertentu.

Bagi orang gemuk, boleh lah menggunakan kaedah mengambil kalori makanan kurang 5-10% dari BMR. Dengan ini tukaran tenaga dari lemak badan yang berlebihan akan membantu beliau kembali ke berat badan unggul. Jika badan anda sudah kurus melidi, tiada keperluan mendesak untuk mengambil kalori makanan berkurangan dari BMR.

Contohnya jika berat anda 90 kg (BMR untuk lelaki umur 30 tahun adalah 1945 kcal). Letak sasaran untuk turunkan berat badan sebanyak 9 kg (10%) selama 6 bulan. Objektifnya supaya penurunan 0.5 – 1.0 kg dalam seminggu. Penurunan secara sihat untuk 0.5 kg – 1.0 kg selalunya sejumlah 1500-1800 kcal per hari jika disertakan juga dengan senaman untuk lelaki, dan 1200-1500 kcal per hari untuk wanita.

Anda jangan terlalu drastik untuk mengurangkan berat badan. Penurunan 10 kg selama 2 bulan seperti Mak Aji di atas itu adalah keterlaluan, walaupun beliau sanggup melakukannya. Tetapi kesian.

Jangan pula terlalu nak berdiet dengan ambil terlalu sikit kalori sehari, kurang 1000 kcal sehari, akan menyebabkan “muscle wasting” bukannya pembakaran lemak. Jangan hanya fokus kepada “weight loss” sahaja tetapi yang lebih penting adalah “inch loss”.

Terdapat ajaran yang menyuruh pesakit mengambil pemakanan ketat sehingga 600-800 kcal sehari. 600 kcal ini bersamaan 2 biji roti canai kosong. Bayangkan, adakah sanggup setiap kita hanya memakan 2 keping roti canai sehari? Kebulurlah gayanya. Biasanya ‘starvation food’ (VLCD- Very Low Calorie Diet) ini dalam rawatan perubatan hanya dikhususkan kepada pesakit yang akan menjalani pembedahan perut (Bariatric) [2]. Itu pun rawatan VLCD untuk pembedahan perut perlu dipantau rapi oleh doktor pakar.

Walaupun terdapat jurujual yang menjual suplemen untuk menggantikan kalori, tetapi sebanyak mana suplemen tersebut perlu dimakan? Tambahan pula suplemen bukan ‘tidak mahal’ harganya. Lebih baik mengambil makanan asas mengikut panduan yang ditetapkan. Kajian mendapati pesakit tidak berterusan mengamalkan suplemen sebagai pemakanan tambahan bagi pengurusan berat badan. Majoriti dikalangan mereka akan mengambil semula diet normal, maka terjadilah kegemukan kembali secara berganda-ganda (rebound). Kenapa tidak istiqomah? Sebab harga suplemen mahal. Hanya orang betul-betul berada sahaja mampu beli.

Kesan kaedah pemakanan kebulur (VLCD) ini kepada kesihatan tubuh badan adalah:

1- Metabolisma dan keseimbangan badan akan tergangu.

Kajian menyatakan 23% otot-otot akan menyusut. Akhirnya tubuh tak bermaya, tenaga untuk melakukan aktiviti terbantut. Tidak semua pesakit boleh bertahan dengan keadaan pemakanan kebulur seperti ini [3]. Kajian dari National Institute of Health US mendapati pesakit yang pada awal mencuba kaedah pemakanan kebulur, 80% dari mereka akan kembali gemuk dan penyakit tidak dapat dirawat kerana tidak tahan dengan nafsu pemakanan sedemikian [4].

2- Letih lsu dan zat makanan yang berkurangan.

Pengambilan pemakana kebulur ini akan menyebabkan banyak zat-zat pemakanan tidak diambil dengan seimbang. Zat besi, folate, vitamin B12 untuk pembinaan sel darah dan sel otot akan terbantut. Menyebabkan pesakit akan mengalami episod letih lesu sepanjang hari. Zat-zat ini boleh diperolehi dari pemakanan seimbang termasuk karbohidrat dan protein. Jika sayur-sayuran semata-mata, tidak mencukupi jizi zat nutrien sehari-hari. Kekurangan pengambilan protin juga akan menyebabkan sel otot akan menyusut, rambut menjadi nipis dan kuku menjadi lembik. Pembinaan otot, rambut dan kuku bergantung besar kepada pengambilan protin dalam makanan kita. Begitu juga dengan kalsium, magnesium, vitamin A dan vitamin-vitamin lain lagi, terdapat dalam pemakanan lengkap yang terdiri dari karbohidrat, protein, dan sayur-sayuran. Pembinaan dan kesimbangan hormon-hormon badan pula amat memerlukan lemak yang secukupnya.

3- Kesuburan dan sistem imuniti berkurang.

Hormon kesuburan memerlukan lemak asas seperti kolesterol. Walaupun 80% kolesterol dibina sendiri oleh hati, tetapi kelesterol dari makanan juga diperlukan dalam kadar tertentu.

4- Senang berlaku kerapuhan tulang.

Mineral asas seperti kalsium, natrium, potassium dan lain-lain lagi diperlukan untuk keseimbangan struktur tulang-temulang. Justeru, pengambilan kalori ekstrim akan merencat pengukuhan tulang.

Kesimpulannya, pesakit tidak boleh membuat pelan pemakanan tersendiri tanpa panduan dari pakar pemakanan kerana pemakanan yang ekstrim itu akan memunahkan badan kita dalam jangkamasa singkat atau lambat. Jangan takut untuk berhubung dengan pakar pemakanan (dietitan) yang terdapat di seluruh klinik kesihatan dalam negara kita. Bayaran pun percuma.

Apabila melihat kes Mak Aji yang saya jumpa tadi, saya yakin paras gula beliau akan menurun, tetapi tidak bermakna kencing manis beliau sembuh. Cuma saya kesian, beliau mendapat nasihat yang tidak tepat dari jurujual produk. Penjual kaya raya, beliau merana. Saya lihat lemah longlai beliau tadi semasa keluar dari bilik konsultasi. Sehinggakan nak buka daun pintu bilik pun tak bermaya.

“Kesian Mak Aji, nak buka pintu pun dok rok. Mai saya tolong.”

“Gelitik ni doktor!” Ucapnya lemah.

Dalam bab berpuasa setiap hari pun saya berikan nasihat ini supaya mengikut kemampuan kita sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Di antaranya berdasarkan hadis riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Majah dari al-Bahili, dia berkata;

أَتَيْت رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم فَقُلْت يا رَسُولَ اللَّهِ أنا الرَّجُلُ الذي أَتَيْتُك عَامَ الْأَوَّلِ قال فما لي أَرَى جِسْمَك نَاحِلًا قال يا رَسُولَ اللَّهِ ما أَكَلْت طَعَامًا بِالنَّهَارِ ما أَكَلْته إلَّا بِاللَّيْلِ قال من أَمَرَك أَنْ تُعَذِّبَ نَفْسَك قُلْت يا رَسُولَ اللَّهِ إنِّي أَقْوَى قال صُمْ شَهْرَ الصَّبْرِ وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ بَعْدَهُ وَصُمْ من الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ من الحرم وَاتْرُكْ وقال بِأُصْبُعِهِ الثَّلَاثِ يَضُمُّهَا ثُمَّ يُرْسِلُهَا

Maksudnya: “Aku mendatangi Rasulullah Saw, kemudian aku berkata, ‘Ya Rasulullah, aku adalah laki-laki yang mendatangimu di tahun yang lalu.’ Rasul menjawab, ‘Aku lihat badanmu semakin kurus.’ Ia menjawab, ‘Ya Rasul, aku tidak makan di siang hari, aku makan hanya di malam hari.’ Rasul berkata, ‘Siapa yang memerintahmu untuk menyiksa dirimu?’ Aku berkata, ‘Ya Rasul sesungguhnya aku kuat (berpuasa).’ Rasul berkata, ‘Berpuasalah di bulan sabar dan tiga hari setelahnya, berpuasalah di bulan-bulan mulia dan tinggalkanlah dari bulan haram, berpuasalah dari bulan haram dan tinggalkanlah darinya.’ Nabi Saw dengan memberi isyarat dengan ketiga jarinya seraya mengumpulkan dan melepaskannya.”[5]

Janganlah kita terlalu ektrim dalam menjalani kehidupan ini, kerana padahnya kita juga akan menanggungnya dikemudian hari. Maka bersederhanalah.

Sekian nasihat dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

2.5.2019

Jerangau

Pautan:

[1] Kiraan BMR. http://www.bmi-calculator.net/bmr-calculator/metric-bmr-calculator.php

[2] Guideline for Bariatric Surgery. https://www.ucsfhealth.org/education/dietary_guidelines_after_gastric_bypass/

[3] Makanan rendah kalori. https://www.healthline.com/nutrition/calorie-restriction-risks#section3

[4] Kajian dari NIH atas pemakanan kebulur.

https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3673773/

[5] Kuliah Ustaz Shamsuri Ahmad Hadis Al Bahili. https://www.youtube.com/watch?v=fBydRy2OB5E

Bahaya Kulit Ayam Goreng?

Saya kira persoalan ini tak perlu dijawab panjang, anak saya yang kecil pun dah tahu kulit ayam rangup dari pasar malam tu banyak bahaya kepada kesihatan kita.

Saya sempat baca kajian yang dijalankan oleh Havard University berkaitan dengan kulit ayam sepertimana yang dilapurkan dalam akhbar tempatan tempoh hari. Suka dinyatakan bahawa penulisan dalam akhbar itu agak mengelirukan dan maklumat yang diberikan kesimpulan lengkap seperti saranan dari pengkaji Havard tersebut.

Kulit ayam memang mempunyai lemak tepu yang tinggi mengikut peratusan zatnya. Lemak tepu itu adalah lemak yang likat dan jika masuk dalam badan kita agak sukar untuk diuraikan menjadi zat dan akhirnya digunakan sebagai pembinaan badan serta tenaga. Justeru, lemak tepu itu akan berkumpul di dinding-dinding salur darah yang menyebabkan penyumbatan. Akhirnya, telalu banyak lemak yang tidak baik ini menjadikan setiap kita berisiko tinggi menghidapi serangan jantung, darah tinggi, strok dan pelbgai lagi.

Cumanya, pengkaji dari Havard itu menyatakan kulit ayam yang terdapat bersama dengan satu sajian ayam itu tidaklah mendatangkan pengambilan yang melebihi dari keperluan seharian lemak seseorang. Setiap dari kita memerlukan sejumlah kalori lemak untuk pembinaan sel-sel badan, pembinaan sel otak dan fungsinya. Lemak perlu, tetapi ambillah secara sederhana.

Persatuan Jantung Amerika (AHA) mencadangkan pengambilan lemak tepu hanya 5-6% sahaja dari jumlah kalori seharian. Seketul paha ayam yang bersalut kulit atau bahagian dada ayam berkulit masih lagi memenuhi kriteria pengambilan lemak seharian. Itu sahaja yang cuba disampaikan oleh artikel berkenaan. Masalah bagi kita adalah sajian kulit ayam yang tidak menepati resipi sihat. Andai kata kita makan kulit ayam sahaja sepinggan seperti yang dijual di pasar-pasar malam itu, jumlah lemak sudah melebihi keperluan. Apa yang berlebih itu akan akhirnya menjadi mudarat kepada badan.

Oleh demikian, penyajian makanan amat penting. Lemak-lemak tepu seperti kulit ayam, lemak lembu, kambing dan lain-lain lebih murni disajikan secara bakar, panggang atau masakan sup, tanpa gorengan. Ini kerana minyak masak (sawit) dari hasil goreng itu juga dikira lemak yang boleh meningkatkan lagi jumlah keperluan lemak seharian.

Semoga pencerahan dari suhazeli.com ini boleh membantu anda meningkatkan penjagaan kesihatan diri.

fb.com/drsuhazeli

29.4.2019

Putrajaya

Pautan:

[1] Makan kulit ayam bagus. https://www.scmp.com/lifestyle/health-beauty/article/1893758/doctors-got-it-wrong-eating-chicken-skin-now-and-again-good

[2] Kajian Kulit ayam. https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/2012/06/21/ask-the-expert-healthy-fats/

[3] Keperluan lemak seharian. https://foodandnutritionresearch.net/index.php/fnr/article/view/758

[4] Lemak Omega 3 dan 6. https://www.healthline.com/nutrition/omega-3-6-9-overview#section1

[5] Saranan lemak dari AHA. https://www.heart.org/en/healthy-living/healthy-eating/eat-smart/fats/saturated-fats

Herba dan Buah Pinggang

“Produk semulajadi atau makanan je Doktor. Takkan boleh rosak buah pinggang.”
Adakah makanan atau tumbuhan semulajadi tidak beri kesan negatif kepada manusia?
Tidak! Setiap bahan yang masuk dalam badan kita sudah pasti terdapat tindakbalas tertentu, samada manfaat atau mudarat. Jangan terus dakwa kalau ianya makanan alami, selamat untuk dimakan. Lebih-lebih lagi suplemen itu didakwa merawat penyakit. Makmal mana yang pernah sahkan dan kajian atas manusia dan negara mana yang buktikan?
Berikut adalah fakta peringatan dari Yayasan Buah Pinggang Bewibawa (NKF) mengenai kerosakan BUAH PINGGANG akibat HERBA.
Penulisan ini bukan ingin menuding kepada mana-mana produk tertentu, tetapi lebih kepada memberi kefahaman kepada pengguna agar berhati-hati dalam pengambilan suplemen.
Supplemen herba mempunyai bahan aktif tersendiri yang boleh memberikan kesan serta reaksi tubuh.[1] Kesan ini boleh terjadi kepada semua orang samada sudah berpenyakit buah pinggang atau sihat afiat. Berikut adalah fakta yang harus difahami oleh semua
1) Badan Berkuasa Makanan dan Ubat (FDA) tidak mengawal suplemen herba untuk dos, kandungan, atau ketulenan.
2) Beberapa suplemen herba mempunyai asid aristolochic, yang berbahaya kepada buah pinggang.[2]
3) Sesetengah suplemen herba mungkin mempunyai logam berat, seperti  Plumbum, merkuri, kadmium, arsenik, dan chromium. Logam berat tersebut boleh penyebabkan toksid kepada badan.
4) Terlalu sedikit kajian yang menyokong suplemen herba mempunyai manfaat kepada pesakit buah pinggang.
4) Suplemen herba boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan moden samada ianya boleh mengurangkan kesan atau meningkat kesan ubatan tersebut bertindak dalam badan. Contohnya herba dari St. Johns Wort, echinacea, ginkgo, bawang putih, ginseng, halia, dan blue cohosh.
5) Dua jenis mineral yang dinasihatkan bagi pesakit buah pinggang tidak mengambilnya dalam kuantiti yang banyak. Pemakanan yang tinggi POTASSIUM dan FOSFORUS adalah boleh mendatangkan kesan buruk kepada tubuh pesakit kerana mineral ini tidak dapat dikumuhkan sebaiknya melalui buah pinggang yang sudah rosak. Antara makanan yang tinggi Pottasium adalah Peria, Serai, Kunyit, Daun Bawang, Betik dan beberapa lagi.
6) Terdapat sesetengah produk yang dicampur dengan bahan terlarang steroid, sildenafil, sibutramin dan beberapa bahan lain lagi. Bahan tersebut boleh membahayakan jika tiada pemantauan atau diberikan tidak mengikut sukatan dos yang terkhusus.
Satu kajian yang termuat dalam New England Journal of Medicine melaporkan terdapat 23 ribu kes kecemasan setiap tahun akibat kesan sampingan dari suplemen di Amerika Syarikat.[3] Fakta ini amat menakutkan kerana tiada sistem pemantauan khusus dari pihak pengeluar produk mengenai kesalamatan dan kualiti produk mereka. Pengeluar hanya suka menaikkan testimoni yang indah sahaja, tetapi testimoni negatif tidak diambil perhatian.
Di antara produk suplemen herba yang banyak disita adalah ubat rangsangan seksual, ubat tambah tenaga, ubat bina badan supaya nampak sado, ubat kecantikan dan ubat penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis serta sakit jantung.[4] Suplemen herba berkenaan tidak melepasi ujian keselamatan, ujian kualiti dan keberkesanan pun. Pesakit mungkin kelihatan gagah seperti ahli gusti buat seketika tetapi jangkamasa panjang akan merana.
Oleh kerana tiada mekanisma khusus untuk pihak berkenaan membuat pemeriksaan tahap keselamatan, maka kita hanya boleh lihat kerosakan demi kerosakan.
Ianya berbeza dengan ubat-ubatan hospital. Walaupun sudah melepasi tahap kajian atas haiwan dan manusia bahawa selamat disahgunakan, sistem pemantauan dan kajian tetap dilanjutkan. Oleh yang demikian kita akan memerhatikan peristiwa penarikan balik produk-produk tertentu seperti kes produk Losartan untuk darah tinggi baru-baru ini. Inilah ketelitian dan ketelusan yang dibina oleh pihak berwajib bagi memastikan segala ubatan adalah terbaik diberikan kepada rakyat.
Memang terdapat ujian berkala kepada produk-produk herba yang dilakukan oleh pihak berwajib, tetapi ujikaji tersebut tertakluk pula kepada aduan yang dilaporkan atau pengsampelan secara rawak terhadap beribu-ribu produk di pasaran.
Sekali lagi seruan saya agar berhati-hati dengan produk tersebut dan jangan mudah terpengaruh dengan janji manis serta fakta yang tidak tepat dari jurujual.
Sekian peringatan dari suhazeli.com
2.4.2019
Ketengah Jaya
Pautan
[1] Suplemen Herba terhadap Buah Pinggang. https://www.kidney.org/atoz/content/herbalsupp
[3] Kes kecemasan kerana makan suplemen makanan. https://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMsa1504267

Program Soal Rakyat TV3

[Mungkin aturan jawapan berubah dalam bentuk kaedah penyampaian]

.

Q1) Apakah yang dimaksudkan dengan vaksin dan bagaimana fungsinya?

Vaksin adalah satu bahan yang digunakan bagi merangsang sistem imun secara spesifik untuk melindungi diri dari serangan penyakit berjangkit. Penyakit berjangkit yang bahaya tersebut adalah Tb, Hepatitis B, Difteria, Pertusis, Tetanus, Hemofilus Influenza jenis B, Polio, Campak, Beguk, Rubella, Meninggokokal meningitis, JE, HPV dan beberapa lagi.

Q2) Secara umum apakah kandungan yang terdapat dalam sesuatu vaksin dan berapa lamakan tempoh vaksin itu berfungsi?

Empat formulasi utama yang biasa digunakan dalam vaksin

a. Kuman yang telah dilemahkan/dimatikan/diambil sebahagian struktur/toksoid.

b. Air. Seperti Air Nyah-kuman (Sterile Water), Air Salina (Normal Saline) dan Air berprotin.

c. Bahan Pengawet (Preservatives) dan Bahan Tambahan (Additives). Seperti Albumin, Phenols, and Glycine

d. Bahan Pembantu (Adjuvan). Seperti Aluminium, Antibiotik, Protin Telur, Formaldehyde (dibuang sebelum dimasukkan dalam botol pakej), Monosodium glutamate dan Thimerosal (raksa). Thimerosal, telah dikeluarkan dalam senarai adjuvan sejak tahun 2007.

#Nota: Bahan-bahan ini berbeza-beza pada vaksin-vaksin yang tertentu.

.

Tempoh berfungsi vaksin bergantung juga kepada kepada jenis vaksin. Terdapat vaksin yang berfungsi sepanjang hayat.

Q3) Dari segi keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin, bagaimana ia dapat mengelakkan kesan sampingan yang serius atau kesan jangkamasa panjang?

AEFI memang wujud, sejarah pembangunan vaksin sejak 200 tahun tidak sunyi dari kesan sampingan ini. Namun seluruh dunia masih terus menggunakan vaksin sebagai langkah pencegahan. Kenapa? Kerana ianya satu kaedah yang ampuh setakat ini bagi mencegah dari penyakit berbahaya. Maksudnya juga vaksin telah menjadi satu titik sejarah dalam merawat penyakit yang penyebab berjuta kematian dan berjaya walaupun terdapat sedikit kesan sampingan. Para saintis yang mengkaji pembangunan vaksin senantiasa memperbaiki keselamatan dan keberkesanan vaksin. Jika kita perhatikan kajian kejayaan vaksin BCG contohnya pada tahun 1921. Pada peringkat awal kajian BCG diberikan melalui mulut. Asas vaksin tersebut yang diambil dari pesakit TB. Kanak-kanak tersebut adalah anak kepada si ibu yang mati akibat TB, dan nenek beliau pun kena TB. Tetapi inilah “risk and benefit” yang ditanggung oleh kanak-kanak tersebut dan pengkaji. Setelah tiga tahun anak itu diberikan vaksin BCG, beliau selamat tidak dijangkiti TB dan tidak mati.

.

Melihat kepada kejayaan pertama ini, data telah dicerap dari tahun 1921 – 1927, 969 kanak-kanak lagi dijalankan ujikaji. Didapati jumlah MATI dari ujikaji:

3.9% (Beri Vaksin – mati) vs

32.6% (Tidak Vaksin – Mati akibat TB).

Pembangunan keberkesanan dan keselamatan vaksin terus pesat dijalankan. Kita boleh melihat sendiri dalam dunia sekarang pun Bayi selamat setelah diberikan BCG.

.

Kesan sampingan yang tidak bahaya seperti ruam, sakit tempat suntikan, parut, kemerah-merahan kulit adalah sesuatu yang boleh berlaku. Namun ianya tidak boleh ditakuti sehingga kita lebih takutkan vaksin berbanding penyakit TB selaput otak itu sendiri akibat Tb (jika dijangkiti). Umpamanya kita lebih takutkan lipan yang merayap atas jalanraya berbanding dengan lori yang sedang laju igin melanggar kita.

Q4) Mengapakah anak-anak perlu diberi imunisasi sewaktu mereka masih bayi sedangkan badan mereka sedang mencipta system kekebalan imunisasi semulajadi.

Disinilah perlu kita faham konsep pembinaan umuniti kepada manusia. Imuniti terbahagi kepada dua, secara umum dan secara khusus. Imuniti secara umum (Innate) adalah senantiasa wujud melalui pemakanan, susu ibu dan elakkan bayi kita ditempat yang terdedah kepada punca penyakit. Manakala imuniti secara khusus (Adaptive) perlu dirangsang. Ini kerana kanak-kanak amat tinggi terdedah kepada risiko penyakit. Terutama yang berumur kurang dari 7 tahun.

.

Q5) Sejauhmana suntikan sesuatu vaksin itu boleh memberi jaminan untuk mencegah penyakit?

Program imunisasi kebangsaan yang telah diletakkan secara khusu dalam negara kita sejak sebelum merdeka lagi (1956) dengan pemberian vaksin DT.

Kita lihat statistik kejadian penyakit Difteria dan Tetanus turun secara mendadak. Begitu juga kita lihat keajayaan negara menghapuskan penyakit cacar (Small pox) yang amat digeruni pada satu ketika dahulu. Cuba kita bayangkan agaknya apakah ketakutan manusia pada ketika itu. Pada tahun 1967, 2 juta kematian dari 43 buah negara mati akibat penyakit cacar. Alhamdulillah setelah program pemberian cacar secara bersepadu dalam negara kita, Malaysia telah berjaya diisytiharkan hapus cacar tahun 1980. Satu perjuangan yang agak panjang. Begitu juga dengan penyakit-penyakit lain seperti Polio, Campak, Rubella dan penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.

Q6) Wujud golongan yang anti vaksin di Negara kita. Komen Dr tentang golongan ini.

Gerakan anti kepada perubatan moden sebenarnya sudah lama. Konflik antara perubatan emperikal dan moden ini dimulai oleh kumpulan gereja berfahaman ortodoks dengan alasan-alasan tertentu. Kefahaman itu berkembang sehinggalah pada zaman kini. Negara kita juga terpengaruh dengan kefahaman yang tidak berasaskan fakta kukuh itu sekitar 10 tahun lalu. Cuma ianya terus disemarakkan lagi di zaman dunia maya yang tiada sempadan adab. Inilah cabaran besar yang haris kami di KKM untuk terus berjuang agar masyarakat faham konsep, kepentingan dan mashlahat ummah dalam menjaga kesihatan.

Q7) Pejabat mufti Wilayah Persekutuan telah keluarkan fatwa bahawa vaksin adalah halal. Komen Dr.

Saya bersetuju dengan saranan yang telah dikemukakan oleh SS Datuk Seri Mufti Wilayah Persekutuan itu. Usaha padu perlu dilakukan oleh semua pihak dan agensi agar usaha murni ini akan terlaksana. Mungkin proses untuk mewajibkan vaksin itu mengambil masa yang agak lama, tetapi perlaksanaan peringkat demi peringkat harus dijalankan.

Boleh kita lihat contoh perlaksanaan dibeberapa negara jiran seperti di Australia dengan polisi “No Jab, No Pay”. Mereka berjaya menurunkan kejadian campak dan jumlah liputan yang meningkat. Begitu juga dengan negara-negara lain seperti Brunei dan Singapura. Kesungguhan yang dijalankan oleh pihak berkuasa ini dibuat kerana melihat kepada wabak yang melanda negara. Terbaharu, Itali telah juga dengan tegas meneruskan akta yang telah digubal sejak 2018 lagi, iaitu:

1] Kanak-kanak yang berumur kurang dari 6 tahun tidak dibenarkan masuk pra-sekolah jika tidak mengemukakan bukti suntikan imunisasi dalam kad kesihatan masing-masing.

2] Kanak-kanak yang berumur 6 hingga 16 tahun dibenarkan masuk sekolah. Tetapi mana-mana ibubapa yang tidak dapat membuktikan pemberian vaksin anak-anak mereka akan didenda €500.

.

Q8) Ada golongan anti vaksin memilih untuk perubatan homeopati, bagaimana Dr melihat perkara ini.

Kenyataan dari Presiden Homeopati Malaysia, Tuan Haji Zainol Azmi (Sept 2016), bahawa tidak ada vaksin dari globul homeopati. Manakala Persatuan Homeopati British pun mengeluarkan kenyataan yang sama.

Q9) Ada yang mengatakan vaksin penyebab autism, komen Dr.

Kesan sampingan vaksin dikaitkan dengan autism ini adalah yang selalu diperdebatkan. Sudah lebih 20 tahun golongan penentang vaksin menggunakan hujah kajian dari Andrew Wakefield (1998). Walaupun kajian tersebut adalah palsu dan sudah ditarik balik, tetapi mereka masih mengulang-ulangnya. Kerana apa? Sebab sudah tiada kajian yang sama dibuktikan bahawa vaksin penyebab kepada autism. Malah, sudah banyak kajian yang menemui sebaliknya. Kajian seluruh dunia oleh CDC dari cerapan data kes lebih dari 113000 yang diberi vaksin mendapati tiada satu pun dikaitkan mengalami autism. Terbaharu, stata terkini kajian dari Anders Hviid yang telah meneliti 650,000 bayi yang lahir antara 1999 hingga 2010, dan dijejaki mereka sehingga 13 tahun, tiada pun kaitan vaksin dengan kejadian autism.

.

Antara kandungan vaksin yang telah dikaji secara khusus adalah thimerosal, pengawet berasaskan merkuri yang digunakan untuk mencegah pencemaran botol multidose vaksin. Kajian menunjukkan bahawa thimerosal tidak menyebabkan Autism. Malah, kajian saintifik 2004 oleh IOM membuat kesimpulan bahawa “keputusan kajian yang dijalankan tidak menyokong dakwaan vaksin menyebabkan autism”. Sejak tahun 2003, terdapat sembilan lagi kajian CDC yang mendapati tiada hubungan antara vaksin berThimerosal dan autism, dan juga tiada hubungan antara campak, beguk dan rubella vaksin (MMR) dengan autism ke atas kanak-kanak.

.

Sebelum itu, antara 1999 dan 2001, vaksin berthimerosal telah ditarik balik atau dikurangkan jumlahnya dalam semua vaksin kanak-kanak kecuali sesetengah vaksin selesema (vaksin Influeza dalam bentuk multidose – vaksin pilihan bukan wajib). Ia dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga kerana dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan vaksin dengan autism pada tahun berkenaan. Pada masa ini, satu-satunya vaksin kanak-kanak yang mengandungi thimerosal vaksin selsema dibungkus dalam botol multidose vaksin pilihan influenza. Pun begitu disediakan alternatif bebas-THIMEROSAL untuk vaksin selsema.

.

Kajian di Yokohama Jepun juga membuktikan bahawa tiada kaitan vaksin MMR (yang mengandungi Thimerosal pada masa itu) dengan Autisma. Kerajaan Jepun telah memberhentikan vaksin MMR tahun 1993, namun Autism masih tetap wujud dalam populasi di Jepun

.

Q10) Ulasan Penutup.

Marilah bersama-sama kita memberikan khidmat terbaik untuk menjamin kesihatan optima kepada masyarakat.

.

Dr Suhazeli bin Abdullah

fb.com/drsuhazeli

Sri Pentas TV3

Link Video: https://youtu.be/rUL40Hisi6A