Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Bagaimana Menentukan Status Darah dan Hukum Ibadah Semasa Keguguran

Bagi wanita yang mengalami keguguran, sebelum keluar ketulan darah yang banyak berserta dengan janin, terdapat darah yang keluar. Persoalan timbul, adakah darah yang keluar sebelum keluar ‘ketulan-ketulan darah’ juga termasuk darah keguguran? Jika sekiranya ia sejenis darah penyakit atau darah keguguran, bagaimana status wanita tersebut untuk melakukan ibadah? Darah yang keluar sedikit demi sedikit itu tidak mengambil masa yang lama sementara menunggu prosedur mencuci rahim (Evacuation of Retained Product of Conception – ERPOC) yang akan dibuat oleh pihak doktor.

Darah yang keluar sebelum janin terkeluar maksudnya ialah darah yang keluar satu, dua atau tiga hari sebelum keguguran. Darah itu merupakan tanda-tanda hampir keguguran janin.

Mengikut mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’e darah tersebut bukan darah nifas, darah itu adalah darah fasad (penyakit). Ini adalah kerana definisi darah nifas adalah sebaik sahaja janin keluar, baharu dikira sebagai nifas. Justeru dalam kes ini, darah yang keluar sebelum keluar janin tidak dikira darah nifas. Wajib solat dan lakukan ibadah wajib lain.

Manakala, mazhab Hambali berpendapat darah itu ialah darah nifas.

Saya tidak mahu berbicara panjang berkaitan dengan hukum. Cuma saya mengambil posisi keluasan berhukum yang diberikan oleh para imam mazhab itu sebagai salah satu daripada kerahmatan untuk umat Islam beramal dengan lebih tenang.

Dari sudut perubatan, darah dia keluar sebelum dari keluar janin sepenuhnya itu adalah sama constituensinya dengan darah keguguran. Maknanya ia adalah darah nifas.
Dengan syarat keguguran itu benar-benar berlaku dan setelah disahkan oleh doktor yang pakar dalam membuat diagnosa. Pelbagai kaedah pengesahan dilakukan oleh doktor termasuk dengan membuat ultrasound, ujian darah dan seumpamanya.

Ianya bertepatan dengan pandangan dari Syaikh Shihabuddeen al-Qalyubi rhm bahawa darah yang keluar bagi kes keguguran tanpa mengira usia kandungan awal kehamilan adalah darah nifas.

Hal yang sedemikian adalah sesuatu yang lebih diyakini berbanding dengan syak sesorang wanita itu berlaku keguguran tanpa melalui ultrasound. Konstitusi kandungan darah sebelum keluarnya janin melalui semulajadi atau kaedah perubatan adalah sama sifat dan zatnya.

Persoalan timbul apakah status darah wanita yang tidak disahkan gugur (sebelum ujian ultrasound dilakukan). Hal yang demikian itu, wanita berkenaan masih dalam status ragu samada gugur atau darah penyakit. Justeru, jika dalam keadaan sedemikian darah tersebut dikira sebagai darah fasad (istihadhah).

Kecualilah setelah pengesahan dilakukan dan zhan yang kuat melalui dalil kepakaran doktor bahawa keguguran berlaku, maka statusnya akan berubah kepada darah nifas.

Kaedah fekah sebut:

الْيَقِنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ
Maksudnya: “Keyakinan tidak boleh terhapus dengan syak.”

Sekian

Suhazeli Abdullah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles