Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Vaksin Influenza

Vaksin influenza adalah salah satu cara untuk mencegah jangkitan virus influenza yang boleh menyebabkan penyakit jangkitan pernafasan.

Penerokaan, pembinaan, kajian-kajian saintifik dan pengeluaran vaksin influenza ini bukan perkara baharu. Bahkan Vaksin influenza pertama kali diluluskan oleh FDA (Food and Drug Administration) pada tahun 1945. Sejak itu, FDA telah meluluskan pelbagai jenis vaksin influenza, termasuk vaksin jenis virus tidak aktif, vaksin virus dilemahkan, vaksin sel rekombinan dan vaksin DNA.

CDC (Centers for Disease Control and Prevention) pula menyediakan maklumat dan garis panduan mengenai vaksin influenza yang disyorkan setiap tahun. CDC juga mengawal dan memantau kesan sampingan dan keberkesanan vaksin influenza.

NPRA (National Pharmaceutical Regulatory Agency) adalah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertanggungjawab untuk meluluskan dan mendaftarkan ubat-ubatan dan vaksin di Malaysia. NPRA telah meluluskan beberapa jenis vaksin influenza untuk digunakan di Malaysia, termasuk vaksin influenza A (H1N1) pada tahun 2009, vaksin influenza tetravalen pada tahun 2013 dan vaksin influenza trivalen pada tahun 2016.

Vaksin influenza mula diberikan kepada anggota kesihatan dan pegawai barisan hadapan di Malaysia sejak tahun 2009 lagi. Ini adalah sebagai langkah pencegahan terhadap pandemik influenza A (H1N1) yang melanda dunia pada tahun tersebut.

Vaksin ini disarankan kepada petugas kesihatan atau individu yang berada di barisan hadapan dan mereka yang berisiko tingi. Contoh mereka yang berisiko tinggi terdedah kepada virus influenza, seperti doktor, jururawat, pengawal keselamatan, pembersih dan pekerja kantin atau mereka yang terlibat secara langsung dengan orang ramai. Vaksin influenza perlu diambil setiap tahun oleh anggota kesihatan atau individu yang berisiko tinggi kerana jenis virus influenza berubah-ubah mengikut musim dan kawasan.

Vaksin influenza juga disarankan untuk golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, ibu hamil, pesakit kronik, petugas kesihatan dan orang yang bekerja di tempat sesak atau tertutup. Vaksin ini boleh mengurangkan risiko komplikasi seperti pneumonia dan kematian akibat influenza.

Apakah gejala yang dialami bagi pesakit yang dijangkiti virus influenza ini? Bagi pesakit yang mengalami gejala Influenza-like Illness (ILI) seperti demam, batuk, sakit tekak, selsema, sakit kepala dan keletihan, mereka perlu mendapatkan rawatan doktor secepat mungkin. Pesakit ILI juga perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti memakai mask, menutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin, membuang tisu ke dalam bakul sampah, mencuci tangan dengan sabun atau hand rub dan mengelakkan kontak dengan orang lain.

Diharap dengan sedikit perkongsian ini menghilang kekeliruan sesetengah pihak yang cuba untuk mengelirukan masyarakat berkaitan dengan kepentingan vaksin influenza.

Suhazeli Abdullah
29/9/2023

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles