Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

DISEASE X TENTERA DAJJAL

Disease X adalah nama sementara yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Februari 2018 dalam senarai pendek penyakit keutamaan mereka untuk mewakili patogen yang tidak diketahui yang boleh menyebabkan wabak masa depan. Ini adalah ramalan dan persiapan bagi petugas kesihatan dari seluruh dunia untuk menghadapi segala berkemungkinan boleh berlaku. Apa salahnya kita bersiap siaga dari awal?

Ramalan itu bukan dibuat atas khabar angin ataupun konspirasi tertentu tetapi merujuk kepada kejadian-kejadian lepas yang telah pun berlaku dalam dunia berkaitan dengan wabak. Dalam perubatan banyak yang kita buat berdasarkan kepada anggaran yang kita peroleh dari pengalaman serta pengetahuan berkaitan dengan sesuatu keadaan penyakit itu. Contohnya menentukan jantina bayi, mungkin kita boleh meramal bahawa janin itu lelaki atau perempuan berdasarkan kepada ultra sound yang telah dibuat. Yang menentukan sama ada lelaki atau perempuan adalah Tuhan juga. Begitu juga anggaran atau prognosis hidup seseorang yang menghidapi kanser. Dalam tempoh tertentu seperti enam bulan, setahun dan seumpamanya, ianya berdasarkan pengalaman-pengalaman yang telah dikutip dari kajian-kajian yang telah sekian lama yang digarap berkaitan dengan survivor (daya tahan hidup) seseorang pesakit kanser. Samada dia mati pada tarikh yang tepat atau sebaliknya itu adalah kuasa Allah yang menentukan, bukan manusia. Doktor bukan Tuhan mahupun malaikat maut. Tetapi apasalahnya kita menyatakan anggaran itu supaya persiapan rapi dijalankan oleh seseorang yang menghadapinya.

Begitu juga dengan Disease X ini beberapa kajian dan anggaran yang telah dikemukakan oleh beberapa pakar:

1. Seorang pakar dari United Kingdom, Kate Bingham, telah memberi amaran bahawa Disease X boleh menjadi 20 kali lebih mematikan daripada Covid-19, dan boleh menyebabkan kematian sehingga 50 juta orang di seluruh dunia. Beliau juga menekankan bahawa dunia perlu bersedia untuk persiapan penerokaan, kajian-kajian emperikal dan pembangunan vaksinasi besar-besaran. Jika berlaku sahaja wabak, kita sudah bersiap sedia dengan kaedah-kaedah pencegahan termasuk vaksin dan menghantar dos dalam masa yang singkat. Maka tak perlulah kita berbalah dengan sesetengah pihak yang skeptical dengan vaksin yang menuduh pembuatan vaksin itu dalam tempoh yang singkat dan tidak cukup kajian dijalankan.

2. Seorang ahli sains dari Bloomberg, Jason Gale, telah menerangkan apa itu Disease X dan bagaimana para saintis sedang bersedia untuk wabak seterusnya. Beliau juga menyatakan bahawa Covid-19 adalah satu contoh Disease X yang telah menyebabkan pandemik pada tahun 2019. Beliau juga menyebut bahawa terdapat 25 keluarga virus yang telah dikenalpasti oleh para saintis, yang merangkumi ribuan virus individu, tetapi masih terdapat jutaan virus yang belum ditemui dan boleh menjadi pandemik pada suatu masa nanti. Ini adalah permerhatian dan anggaran, apakah yang perlu kita ambil untuk dijadikan asas dan kayu ukur bagi bersiap siaga menghadapi apa sahaja kemungkinan. Samada ianya betul-betul berlaku atau tidak, itu adalah urusan yang kedua. Tetapi kita bersiap siaga- dalam agama Islam sendiri pun menyuruh kita mempersiapkan kuda tunggangan dan senjata yang ampuh bagi menghadapi apa saja “peperangan” yang akan menghadapi umat Islam.

3. Seorang wartawan dari National Post, Sharon Kirkey, telah melaporkan bahawa para saintis telah menganggarkan bahawa terdapat 1.67 juta virus yang belum ditemui yang wujud dalam mamalia dan burung, dan kira-kira separuh daripadanya mempunyai potensi untuk menjangkiti manusia. Disease X diberikan nama sementara kepada wabak masa depan ini sejak tahun 2018 lagi. Apabila tercetus sahaja wabak penyakit yang besar, itulah Disease X.

Tindakan yang perlu dilakukan sekarang untuk bersedia menghadapi Disease X adalah:

1. Memantau dan mengesan virus-virus yang mempunyai potensi untuk menjadi Disease X, seperti virus corona, flavivirus, paramyxovirus, dan lain-lain.

2. Menyokong penyelidikan dan pembangunan vaksin dan rawatan lain terhadap penyakit-penyakit yang boleh menjadi epidemik atau pandemik. Pejuang-pejuang perubatan “secara sunah” pun boleh ke depan untuk menjalankan kajian-kajian yang sepatutnya bagi menghadapi kemungkinan disease X tersebut.

3. Meningkatkan kerjasama dan pembiayaan global untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan tindakan pantas terhadap wabak penyakit.

4. Menggalakkan kesedaran dan pendidikan mengenai pencegahan dan pengawalan jangkitan, seperti mengamalkan kebersihan tangan, memakai pelitup muka, kuarantin jika dijangkiti dan tidak bergaul bebas dengan individu yang dijangkiti penyakit berjangkit.

5. Mendapatkan suntikan imunisasi dari senarai vaksin yang tersedia ada supaya virus atau bakteria yang boleh dicegah melalui vaksin itu terpendam dan lenyap. Agar mereka tidak besar kepala dan terus bermaharajalela ke atas manusia.

Ada juga sesetengah pihak yang berfikiran ekstrim mengatakan bahawa disease X ini adalah salah satu dari tentera Dajjal.

Kita pun tidak pasti bahawa Disease X itu agen kepada Dajjal atau tidak. Ianya diluar pemikiran kita. Sesiapa sahaja boleh buat teori dan berkonspirasi kerana kuman yang wujud melalui Disease X itu juga sejenis makhluk yang kemungkinan boleh menyerang manusia. Sesuatu kemunculan makhluk yang masa depan, yang masih lagi belum berlaku itu, kita tak boleh mengandaikan kerana di luar daripada pengetahuan kita. Kecualilah makhluk yang disahihkan dalam Al Qur’an dan hadis mengenai kewujudannya pada akhir zaman. Buat masa ini tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Disease X itu tentera Dajjal.

Dajjal adalah seorang makhluk dalam eskatologi Islam dan Kristian yang akan muncul menjelang kiamat sebagai al masih (Nabi) palsu. Disease X dan Dajjal tidak ada kaitan antara satu sama lain, kecuali sebagai kemungkinan ancaman kepada umat manusia. Disease X adalah ancaman biologi, manakala Dajjal adalah ancaman akidah ummat.

Sebagai doktor muslim, saya tidak perlu percaya sepenuhnya terdapatnya Disease X ini kerana ianya masih bersifat anggaran. Tetapi kita perlu bersedia dan berhati-hati untuk menghadapi segala kemungkinan wabak yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Ia bukanlah sesuatu yang pasti atau ditakdirkan, tetapi Jika ianya benar-benar berlaku, kita telah bersedia untuk menghadapinya dengan persiapan yang dijalankan pada masa ini. Apa salahnya?

Dari perspektif Islam, kita percaya bahawa Allah adalah pencipta segala sesuatu, dan Dia juga yang menentukan nasib dan takdir kita. Allah juga memberi kita akal, ilmu, dan kebebasan untuk memilih dan bertindak. Oleh itu, kita perlu menggunakan semua nikmat ini untuk menjaga kesihatan diri, keluarga, dan masyarakat kita. Islam mengajar kita bahawa mencari ilmu adalah wajib bagi setiap muslim, dan mencari ubat adalah sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Islam juga menggalakkan kita untuk menjaga kebersihan, pemakanan, imunisasi, dan perlindungan alam sekitar sebagai sebahagian daripada pencegahan penyakit.

Jadi, sebagai doktor muslim, kita perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kita dalam bidang perubatan, dan berusaha untuk menyediakan rawatan yang halal, selamat, dan berkesan kepada pesakit-pesakit kita. Kita juga perlu bekerjasama dengan pihak-pihak lain dalam bidang kesihatan untuk mengawal dan mengatasi sebarang wabak yang mungkin berlaku. Kita perlu sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmat kesihatan yang diberikan kepada kita, dan memohon perlindunganNya daripada segala penyakit dan bala. Kita juga perlu bersabar dan redha jika kita ditimpa dengan penyakit atau musibah, kerana Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang sabar.

Suhazeli Abdullah
30/9/2023

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles