Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Rawatan Gouty Arthritis & Septic Arthritis

Bagaimana Al Fashdu Boleh Membantu Atau Membahayakan Sendi Anda?

Oleh: Dr Mahyuddin bin Mohamed. Pakar Ortopedik
Dua orang rakan doktor saya telah men-tag nama saya pada video klip Rawatan Penyakit Gout yang dikatakan sebagai Teknik Rawatan Gout oleh Ibnu Sina (dikenali sebagai Avicenna di dunia Barat).
Video tersebut memaparkan cecair berwarna putih dan merah keluar mengalir melalui satu bukaan luka bersaiz dalam 1cm. Dalam video tersebut, perawat yang tidak bersarung tangan, telah menekan dan mengurut dari pelbagai penjuru bagi mengeluarkan cecair tersebut. Ini adalah satu kaedah yang membahayakan.
Saya perlu menjalankan kewajipan saya menerangkan perkara ini dari sudut pandangan Rawatan di hospital.
Gouty arthritis (atau lebih mudah disebut sebagai Gout sahaja oleh masyarakat kita) terjadi akibat masalah metabolism Purine dalam badan manusia yang menyebabkan pengumpulan Asid Urik. Asid urik yang berlebihan boleh membentuk Kristal Urate dan berkumpul di dalam sendi terutamanya sendi ibu jari kaki, buku lali dan kadangkala sendi lutut boleh menyebabkan kesakitan akibat keradangan & kapsul sendi yang menegang (capsule distension). Bagi pesakit Gout Kronik, ia boleh membentuk benjolan pada kulit yang kami sebut sebagai tophi. Hablur kristal ini berwarna keputihan seperti kapur.
Saya tidak ingin menafikan terdapat pelbagai teknik rawatan yang mendakwa dapat merawat Gout. Ilmu Allah SWT amat luas dan tidak terbatas. Ini termasuk ubat-ubatan, bekam, akupuntur, urut dan sebagainya. Di Malaysia ni lagi lah, ada pelbagai makanan tambahan dan ubat ajaib penyembuh segala penyakit pun ada.
Saya juga tidak malu untuk mengaku bahawa Perubatan Moden di hospital seluruh dunia masih lagi TIDAK mempunyai penyembuh total bagi Gout. Apa yang kita mampu buat ialah mengawal penyakit ini dengan mengawal penghasilan Asid Urik dan Kristal Urate dalam badan menggunakan ubat Xanthine Oxidase Inhibitor (contohnya Allupurinol) dan pada masa yang sama, mengawal & merawat keradangan semasa serangan Gout Akut (Acute Gout) menggunakan ubat anti-radang.

Rawatan Ibnu Sina

Rawatan dengan ubat anti-radang ini dipelopori oleh Ibnu Sina sendiri (lihat gambar). Perubatan moden kita sekarang dipelopori oleh cendekiawan Islam dahulu sebelum diambilalih oleh dunia barat. Ibnu Sina adalah Bapa Perubatan Moden yang menghasilkan pelbagai karya penting ilmu Perubatan.
Terdengar juga perbualan dimana perawat dalam video tersebut berkata “kalau Doktor moden dia tak akan belah macam ni, Dia akan belah panjang lah”…
Saya ingin tegaskan di sini bahawa Rawatan utama bagi Gout ialah dengan ubat-ubatan anti-radang & bukannya pembedahan. Sebab itulah di hospital, pesakit Gout dirawat oleh Jabatan Perubatan dan bukannya Jabatan Ortopedik. Saya sendiri tak pernah buat pembedahan semata-mata untuk keluarkan kristal kapur ni, ia sesuatu yang tidak perlu dan sia-sia kerana kristal ini akan kembali terbentuk. Melainkan jika kita nak pesakit datang berulang kali ke pusat Rawatan kita boleh la. Bisnes.
Pesakit Gout hanya akan dirujuk kepada Bahagian Ortopedik jika terdapat keperluan pembedahan seperti terjadi jangkitan kuman, nanah atau sekiranya benjolan-benjolan tophi ini pecah dan cecair kapur kristal ini keluar.

Kaedah Rawatan Sepatutnya

Sebarang pembedahan yang melibatkan sendi di hospital akan dilakukan di bilik bedah yang sterile, dengan menggunakan alatan pembedahan yang telah di matikuman (autoclave) & doktor bedah memakai gown pembedahan serta 2 lapis sarung tangan yang sterile bagi memastikan risiko jangkitan kuman yang paling minimum. Antibiotik pula akan diberikan dan luka pada sendi akan dibasuh dengan sekurang-kurangnya 8 liter cecair normal saline. Semua langkah ini adalah bagi mengelakkan jangkitan kuman pada sendi tersebut (Septic arthritis).
Melakukan tirisan pada sendi seperti di dalam video ini, walaupun ia akan memberi kelegaan kepada pesakit, ia hanyalah bersifat sementara. Kristal Urate ini akan berkumpul kembali dan pesakit perlu kembali mendapatkan Rawatan. Apa yang lebih merisaukan saya ialah ia meningkatkan risiko kuman masuk ke dalam sendi dan pesakit boleh mendapat Septic Arthritis (jangkitan kuman pada sendi) dan kerosakan sendi tersebut. Apatah lagi jika dilakukan di bilik rawatan biasa, di dalam sinki tanpa menggunakan sarung tangan!
Wallahu’a’Lam
Harap dapat “SHARE” bagi sebarkan maklumat ini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles