Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Bahaya Produk Timbang Kilo: Apa yang Anda Perlu Tahu

Timbang kilo ini bermakna produk dibungkus semula oleh penjual. Bahan asal produk itu dibeli oleh pengilang dari kilang berstatus Original Equipement Manufacture (OEM). Produknya melibatkan mungkin berasaskan Kosmetik, makanan dan penjagaan kesihatan. Bahan asas katanya dari sumber semulajadi dan mendapat notifikasi kelulusan KKM (NOT).

Maksudnya KKM telah meluluskan pengilangan dan pemprosesan produk asas berkenaan untuk dijual. Tetapi ianya masih lagi tertakluk kepada akta yang sedia ada dalam negara. Jika penjual ingin mendakwa bahawa produk itu menyembuh atau merawat penyakit, pendakwaan dan pengiklanan sesuatu produk itu perlu disertakan dengan bukti. Bukan semudah menyebut testimoni seorang dua pengguna produk.

Bahan produk yang dibeli dari syarikat OEM itu semua sama, cuma perbezaannya adalah:

1. Kaedah pemasaran. Di sinilah boleh berlakunya dakwaan berlebihan (overclaim) oleh jurujual mengenai keberkesanan dan keselamatan produk. Walhal kajian secara klinikal tidak pun dijalankan.

2. Bahan tambahan yang mungkin dimasukkan sebelum pembungkusan akhir. Bahan terlarang yang selalu digunakan adalah:
a] Dexamethasone (steroid) untuk cepat lega kesakitan dan sengal-sengal badan.
b] Sildenafil (viagra] untuk gagah batin lelaki.
c] Merkuri untuk kulit putih dan cantik wanita.
d] Hidrokuinon dan Tretinoin dicampur dalam kosmetik supaya kulit makin putih, cantik dan gebu.
Banyak lagi senarai bahan terlarang yang dimasukkan sama ada sengaja ataupun tidak sengaja, sama ada penjual tahu ataupun tidak tahu bahawa bahan tersebut terlarang. Kenapa ianya dinamakan terlarang? Kerana pengambilan bahan-bahan tersebut yang tidak mengikut indikasi status penggunaan dan dos berbahaya boleh mengakibatkan kesan kesihatan serius kepada pengguna.

3. Walaupun negara kita mempunyai akta khusus dan penguatkuasaan telah berjalan bagi mengekang berlakunya penyelewengan seperti di atas, tetapi kerajaan masih memerlukan sokongan orang ramai. Masyarakat kena faham dan berhati-hati dalam membeli apa sahaja produk yang membuat dakwaan berlebihan itu. Biasanya dakwaan boleh mengubat atau merawat penyakit, adalah rekaan syarikat pengeluar sahaja. Tidak pernah pun dibuktikan secara kajian saintifik.

Sekali lagi tulisan ini bukan untuk menutup penjual tempatan yang menjual produk berkenaan. Tetapi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa terdapat lagi di luar sana produk yang boleh mendatangkan bahaya tanpa kita sedari.

Suhazeli Abdullah
30.3.2021
Kuala Berang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles