Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Pil Perancang dan Kondom untuk Remaja Terlanjur: Boleh atau Tidak?

Saya kaget sekejap apabila membaca statistik ini. Menurut Laporan Tahunan KKM 2019, bilangan kes ibu hamil baru dalam kalangan remaja yang berdaftar di fasiliti kesihatan primer KKM pada tahun 2019 adalah 10,349. Daripada jumlah itu, 40.2 peratus (4,163) tidak berkahwin dan 80.2 peratus (8,298) tidak bersekolah.
Statistik lain menunjukkan bahawa sebanyak 41,083 kehamilan remaja dicatat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia antara tahun 2017 dan 2022, di mana 35% atau 14,561 kes terjadi di luar nikah. Malaysia juga menduduki tangga ke-empat daripada 10 buah negara yang mempunyai kes kehamilan luar nikah yang tertinggi khususnya yang melibatkan golongan remaja.
Saya yakin statistik remaja hamil luar nikah ini meningkat setiap tahun. Bahkan satu data laporan statistik dari tahun 2011 hingga  2016, lebih satu pertiga (35.7%) jangkitan HIV adalah dalam kalangan remaja.
Apa yang ingin saya fokuskan dalam perbincangan kali ini adalah adakah kita wajar mengesyorkan supaya memberi pil perancang atau kondom kepada golongan remaja bebas ini supaya mereka tidak hamil atau dijangkiti oleh penyakit-penyakit kelamin?
Sebagai seorang doktor perubatan apabila remaja yang  datang ke klinik memohon untuk mendapatkan pil perancang atau kondom, apakah tindakan atau reaksi yang perlu dilakukan selain daripada khidmat kaunseling? Adakah kita wajib untuk memberi pil perancangan atau kondom kepada  mereka demi menyelamatkan mereka dari hamil luar nikah, sedangkan  mereka masih lagi aktif  melakukan kerja maksiat tersebut?
Soalan-soalan ini mungkin boleh dijawab dalam pelbagai nada bergantung kepada kes yang mendatangi kita. Cuma dari sudut etikanya adakah kita dibenarkan untuk tidak memberi ubat-ubatan tersebut?
Berikut adalah beberapa ulasan dari Mesyuarat MKI ke-90, bertarikh 1 Mac 2010.
1) Pemberian ubat pencegah kehamilan kepada remaja yang mash belum berkahwin boleh membawa kepada dua keadaan iaitu sama ada remaja tersebut mengambil peluang in untuk bertaubat atau mereka merasakan bahawa kehamilan bukanlah sesuatu yang sukar untuk ditangani jika terjebak dengan hubungan luar nikah.
Walaubagaimanapun, jika ia mendatangkan mudharat yang lebil besar kepada penzina atau anak yang mungkin akan lahir, pakar perubatan Islam yang berkelayakan boleh menentukan tahap mudharat dan keperluan pemberiannya dengan syarat:
i) untuk kes kali pertama sahaja kepada penzina bukan muhsan.
ii) tiada sokongan ibu bapa, penjaga atau lain-lain;
iii) taraf ekonomi yang merungcing (kemiskinan tegar);
iv) persekitaran tidak sihat;
v) kesihatan mental dan fizikal;
vi) izin keluarga atau penjaga; dan
vii) mempastikan penzina mendapat bimbingan, kaunseling dan pemantauan sempurna.
2) Mangsa Rogol:
Pembekalannya adalah harus dengan mengambil kira maksud mangsa rogol mengikut perspektif syariah.
3) Golongan Orang Kurang Upaya (OKU):
i) Pemberian alat kontraseptif adalah diharuskan untuk menyekat kitaran haid, mengelakkan mereka yang berisiko tinggi dieksploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
ii) Sekatan kehamilan secara kekal boleh dipertimbangkan oleh pakar perubatan yang berkelayakan jika ianya mendatangkan kemudharatan yang lebih besar kepada golongan terbabit atau keluarga.
4) Bagi mencegah berpenyakit berjangkit:
i) Pemberian Bahan Kontraseptif tidak harus kepada pesakit yang dijangkiti penyakit seperti HIV atau penyakit kelamin atas perbuatan sendiri.
ii) Tetapi harus jika penyakit itu disebabkan oleh jangkitan melalui suami (melalui perkahwinan yang sah) atau akibat pemindahan darah.
Suhazeli Abdullah
Rujukan
(1) Laporan Tahunan KKM 2019. (2020). Kementerian Kesihatan Malaysia.
(2) Setiap Hari di Malaysia 28 Remaja Hamil di Luar Nikah: Cek Fakta Terbaru. (2023, April 13). Konteks.
(3) Kehamilan remaja: Siapa yang perlu dipersalahkan? (2019, Januari 8). Utusan Borneo.
(4) Isu Kehamilan Luar Nikah dalam Kalangan Remaja di Malaysia: Satu Analisis Sosio-Budaya. (2019). Jurnal Pengajian Melayu, 30(2), 1-20.
(5) Isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja di Malaysia: satu analisis sosio-budaya. (2019). UKM Journal Article Repository. Jurnal Pengajian Melayu, 30(2). (2019).
(6) Sumber dari Mesyuarat MKI ke-90, 1 Mac 2010.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles