Wednesday, May 8, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Telur Berlogo Halal Jakim

Awal pagi telah dimediasosialkan satu gambar telur berlogo halal. Kaedah promosi yang dipaparkan agak menarik dengan ayat yang mengujakan.

“Jangan sampai kita memakan telur yang dihasilkan dari ayam PEZINAH. Untuk itu kami sajikan kepada anda TELUR HALAL.”
“Kami sangat memerhatikan pergaulan ayam-ayam kami agar tidak terlibat pergaulan dan sex bebas. Kami menjamin setiap pejantan hanya boleh membuahi 4 indukan sesuai Syariah.”
Sekali imbas kami melihat iklan ini telah diubahsuai melalui aplikasi photoshop. Hanya bertujuan sesuka (troll).
Tetapi hasil perbincangan dalam kumpulan Taman llmu kelolaan Pusat Talaqqi Batu Rakit (group whatapps), ahli dihidangkan dengan perbahasan ilmiah. Berikut adalah penyelasan Ustazah Asma’ bt Harun yang menjadi salah seorang pusat rujukan kami.
1. Tiada pensijilan halal kepada telur seperti gambar di atas. Namun jika ianya isi telur samada telur putih atau telur kuning yang telah melalui proses pembungkusan, ia memerlukan pengesahan halal.
2. Apabila sesuatu kilang yang memproses telur putih dan telur kuning secara berasingan, dan dibekalkan kepada pengeluar-pengeluar seperti menghasilkan sri kaya, kek, dan seumpamanya, pensijilan halal diperlukan sebab ia akan melibatkan mesin, kebersihan, keselamatan makanan, kualiti dll.
3. Harus kita faham bahawa Halal bukan sekadar bahan ramuan sahaja, tetapi juga proses penghasilan juga perlu halal. Contohnya stevia daripada daun, tapi proses daun untuk menghasilkan cecair seperti yang ada dipasaran, pengilang mengambil bertahun-tahun untuk R&D (Kajian dan Pembangunan produk). Bagi menghasilkan dari satu bentuk pejal kepada cairan, proses kimia digunakan. Bahan kimia tersebut juga disemak satu persatu oleh pihak yang berwajib. Bahan kimia yang digunakan telah lulus FDA dan mematuhi akta makanan 1983. Alkohol yang digunakan semasa proses ekstrak stevia bukanlah arak sepertimana kefahaman sesetengah dari kita.
*Adakah ayam terlibat dalam hukum Syariah?*
1. Ayam adalah Haiwan, semua Haiwan tiada taklif (tanggungjawab hukum). Haiwan tak wajib ke atas mereka bergaul dan makan sesuatu yang halal. Yang wajib bergaul dan makanan yang halal adalah manusia.
2. Jika Timbul isu, adakah makanan haiwan memerlukan pensijilan halal? Dan kenapa tidak ada sijil halal? Memang ada permohonan untuk dapatkan sijil halal untuk makanan Haiwan. Tetapi keputusan muzakarah majlis fatwa Kebangsaan, tidak ada keperluan untuk memastikan makanan haiwan itu halal atau tidak kerana Haiwan tiada taklif untuk mereka makan makanan yang halal. Ayam itik kampung masa dahulu kita beri makan apa pada mereka? Kumuhan kita juga kan?
*Bagaimana pula dengan ikan keli yang dijamu dengan perut kinzir?*
Isu ini dibincang oleh ulama sebagai Haiwan jallalah. Ikan atau seumpamanya perlu di kuarantin dalam satu tempoh tertentu.
1) Definisi haiwan jallalah ada dua:

i) Definisi menurut Mazhab Hanafi: Haiwan yang halal dimakan yang tidak diberi makan melainkan najis sahaja.

ii) Definisi jumhur: Haiwan yang halal yang kebanyakan makanannya adalah najis.
2) Hukum memakan haiwan jallalah

i- Haram iaitu pendapat Mazhab Hambali

ii- Makruh iaitu pendapat jumhur ulama.
3) Cara menghilangkan hukum haiwan jallalah pada Haiwan tersebut ialah: diberi makan makan yang tidak bernajis sehingga hilang bau najis pada Haiwan tersebut. Apabila hilang bau najis dari dagingnya, harus dimakan (tidak makruh).
4) Tempoh untuk mengubah status haiwan jallalah kepada tidak jallalah iaitu tempoh memberi makanan yang tidak najis kepada Haiwan jallalah untuk menjadikan tidak makruh@tidak haram memakannya;

i- Fuqaha menetapkan tiga hari untuk ayam, 4 hari untuk kambing@biri-biri,10 hari untuk lembu dan unta.

ii- Apa yang jelasnya, tempoh tersebut terserah kepada pakar Haiwan untuk menentukan tempoh tersebut.
*Bagaimana pula dengan status makanan yang tidak berlogo halal?*
1) Bukan semua produk yang tidak ada sijil halal adalah tidak halal. Contohnya goreng pisang di cafe UniSZA. Apa yang perlu diberi perhatian kita sebagai pengguna adalah bertanya pengusaha cafe itu. Guna minyak ada logo halal ke tak.. Atau boleh intai-intai didapur cafe. Tetapi tidak semua kita berkemampuan buat sedemikian. Sebagai seorang yang meneliti setiap makanan yang masuk dalam badannya, selidiklah tingkahlaku pengusaha tersebut. Muslim yang thiqah atau tidak? Jika pengusaha itu Muslim, cukup bagi kita thiqah (percayai) segala sumber mentah yang di dapurnya adalah halal. Jika kita ragu, cari tempat makan lain yang lebih thiqah.
2) Produk yang tiada logo halal seperti kebanyakan produk buatan kampung pula kita kena pastikan kilang yang diproses hanya memproses produk halal. Lihat juga kebersihan dan kontaminasi (pencemaran lain). Di malaysia ni, produk yang memohon sijil halal perlu diproses di kilang yang mendapat pengilangan halal dan GMP (Good Manufacturing Product). Oleh yang demikian mereka kena isytihar bahan ramuan dan beri pengesahan kepada pihak pensijilan halal akan setiap isi kandungan. Begitu juga dalam penggunaan mesin semasa pemperosesan, pastikan ianya yang selamat dari bahan yang tidak suci.
*Perlu ke kita usul tanya. Setiap satu produk makanan hari ini. Atau cuma cukup sekadar. Tengok label halal ada. Kira halal?*
Jawapan Ustaz Ahmad Tarmizi Taha pula: Perbincangan HALAL yang menarik. Tetapi apa yang sedang diamalkan adalah terbalik dari kaedah asal. Asal makanan adalah halal. Asal daging Haiwan yang halal dimakan adalah haram KECUALI setelah disembelih dengan sembelihan syarak. Sepatutnya dalam negara yang kebanyakannya beragama Islam makanan yang perlu ditanda ialah makanan haram bukan makanan halal. Manakala daging pula yang patut ditanda ialah daging haram bukan daging halal. Mungkin disebabkan faktor tertentu berlaku sebaliknya.
Dalam isu ini, kita tidak wajib check/usul. Cukup dengan tanda zahir. Sebagaimana hukum fekah yang meletakkan kita berhukum dengan zahir sesuatu itu. Apa yang tersembunyi tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Tapi dalam bab warak, pilih penjual makanan sebelum pilih makanan.
*Pensijilan Halal*
Ustazah Asma’: Setuju dengan pendapat Ustaz, namun kerana pensijilan halal adalah sukarela, bukan diwajibkan. Kita tak boleh melabelkan sesuatu produk atau premis yang tidak memohon sijil halal sebagai haram. Persoalannya sekarang adalah dari mana sumber makanan yang kita perolehi? Jika zaman mak ayah kita dahulu, sumber makanan adalah di sekeliling. Nak ayam, itik, sayur, ikan, semuanya sekekliling rumah, belakang rumah atau orang kampung sama-sama sediakan. Maka mereka yang mencari dan mengesahkan kehalalannya.
Namun zaman sekarang sumber makanan kita semua disediakan oleh pihak kedua atau ketiga. Maka di sini kita sepertinya tiada pilihan lain melainkan meletakkan kepercayaan kepada agensi yang diberi amanah. Mustahil untuk kita pergi ke kilang atau tempat proses untuk memastikan kehalalan, malah dikawal lagi oleh pengawal keselamatan. Mereka sekat kita untuk masuk selidik. Namun pihak yang berautoriti boleh masuk sampai ke semua ruang di dalam kilang. Jika mereka disekat semasa menjalankan tugas, boleh disaman kerana menghalang kakitangan awam menjalankan tugas. Bagi kilang-kilang yang berisiko, pihak polis dijemput turut serta.
Persoalan lain pula timbul. Apakah kedudukannya, jika kita telah meletakkan kepercayaan kepada logo halal. Kita beli atau guna, makan atau pakai. Namun hakikatnya produk itu tidak halal? Contohnya mungkin syarikat licik dalam membuat pengistiharan dan buat penipuan sehingga Jakim sendiri tak boleh kesan. Bagaimana kedudukannya? Apa kita yang makan sehingga jadi darah daging.
Persoalan kedua. Kita makan di restoran melayu Islam. Kita letakkan keyakinan atas dasar dia melayu Islam. Rupanya ayam dibeli daripada orang tengah (traders) yang utamakan keuntungan bekalan daripada rumah sembelih bukan Islam. Adakah kita turut menanggung dosa? Sebab kita tak periksa betul-betul atau sebab kita ambik mudah makan je asal dia orang Islam.?
Jawapan Ustaz Ahmad Tarmizi Taha: Kalu tahu kite berdosa. Kalu tidak tahu (penipuan itu) tidak berdosa.
*Kesimpulan:*
Dalam bab makanan ini kita ingat pesanan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda baginda,
كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ.
“Setiap daging yang tumbuh dari yang haram maka Neraka lebih utama baginya.”
(Hadits riwayat Ath-Thabrani dalam Al-Kabir, 19/136; Shahihul Jami’, 3594.)
Sekian melaporkan.
Panel Pusat Talaqqi Batu Rakit

Fb.com/PTBR.Official
Disemak oleh:

Ustaz Ahmad Tarmizi Taha

Ustazah Asma’ Harun

3.2.2017

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Suhazeli Abdullah
Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Tengkawang, Hulu Terengganu, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles