Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Pindaan IHR: Mengapa Vaksin Akan Menjadi Keperluan Penting Untuk Kesihatan Awam?

Ada segelintir pihak dok canang seluruh negara  bahawa merekalah terpaling tahu bab pindaan IHR. Mereka mendakwa kononnya pindaan IHR  akan mewajibkan vaksin tak lengkap kajian dan nak jadikan  manusia sebagai tikus makmal.
Dakwaan yang menyatakan pindaan kepada International Health Regulations (IHR) akan mewajibkan vaksin yang mungkin berbahaya dan belum tamat kajian adalah TIDAK TEPAT dan segaja ditokok tambah. Kita pun tahu latar belakang kumpulan ini. Mereka yang selama ini skeptikal dengan pemberian vaksin. Sebelum ini mereka tidak pun ingin membantu negara untuk keluar dari pandemik COVID-19, tetapi membawa naratif yang tidak tepat. Kumpulan mereka selalu membawa fitnah kepada pengurusan  kesihatan negara.
Antaranya mereka tanpa segan menuduh doktor-doktor KKM itu pembunuh, menteri kesihatan itu pembunuh dan agen kepada Dajjal. Semasa pandemik COVID memuncak dan program imunisasi COVID kebangsaan, mereka menuduh Ketua Pengarah Kesihatan adalah agen kepada Freemason.  Begitu jeliknya perangai mereka.
Pindaan IHR 2005 sudah banyak dilakukun. Contohnya pindaan mewajibkan suntikan vaksin demam kuning (Yellow Fever), di mana tempoh perlindungan dari vaksinasi Yellow Fever ini akan ditetapkan seumur hidup. Syarat sebelum ini adalah tempoh sepuluh tahun. Namun setelah terdapat bukti kajian yang terkini, mendapati liputan untuk Yellow fever adalah sepanjang hayat. Jadi cukup divaksin sekali sahaja, bukannya setiap 10 tahun. Syarat ini memberi jaminan perlindungan kepada mereka yang ingin ke negara-negara yang tersenarai mempunyai penyakit Yellow Fever. Contohnya di negara-negara Afrika.
Pindaan terkini yang dikemukakan oleh negara-negara ahli setelah melihat beberapa kepincangan pengurusan kecemasan wabak COVID-19, menjadikan peraturan kesihatan dan regulasi international itu perlu diperbaiki dan ditambah-baik. Itu sahaja!
Melihat kepada pindaan terkini yang sedang dibincangkan, secara spesifik tidak menyebut tentang mewajibkan vaksinasi. Sebaliknya, pindaan tersebut bertujuan untuk memperkuat kerjasama antarabangsa dalam menghadapi ancaman kesihatan awam dan meningkatkan kesediaan serta tindak balas terhadap wabak penyakit. Instrumen yang melibatkan bentuk saringan, bagaimana saringan dan penerokaan ubat ubatan termasuk vaksin juga diselaraskan di peringkat antarabangsa. Perkara ini penting untuk ditambah baik supaya tidak timbul ketidakseragaman dalam menentukan bagaimana pengurusan wabak itu di peringkat antarabangsa.
Setiap negara masih mempunyai hak dan kedaulatan untuk membuat keputusan mengenai dasar vaksinasi dan tindakan kesihatan awam di dalam negara masing-masing. Oleh itu, pindaan kepada IHR tidak akan menghilangkan hak negara anggota untuk menentukan dasar vaksinasi mereka sendiri. Sudah tentu dan sudah pasti bahawa pakar-pakar yang bertungkus-lumus untuk menguruskan  wabak itu akan merujuk kepada kajian-kajian yang sahih (Evidence Based Medicine) sebelum menentukan sesuatu syarat atau polisi dalam negara.
Adakah kajian klinikal atas manusia itu hasil dari pindaan IHR?
Baru-baru ini KKM meluluskan kajian dalam bentuk first- in-human dalam negara kita. Bagi mereka yang jahil dalam ilmu perubatan dan metod kajian saintifik klinikal, mereka akan menuduh bahawa inilah bukti kerajaan akan menjadikan rakyat sebagai tikus makmal. Dangkal sungguh pemikiran seperti ini!
Berita yang menyatakan Malaysia meluluskan first-in-human tidak bermakna bahawa Malaysia akan menjadikan rakyatnya sebagai tikus makmal dalam membuat kajian perubatan. First-in-human adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan ujian klinikal yang pertama kali melibatkan manusia sebagai subjek. Ujian ini bertujuan untuk mengkaji keselamatan, kesesuaian dos, dan kesan sampingan sesuatu ubat atau rawatan baharu. Ia bukannya sesuatu yang baharu dalam dunia perubatan, tetapi telah lama diamalkan dalam menjalankan kajian-kajian perubatan di seluruh dunia.
Malaysia telah meluluskan beberapa ujian first-in-human sejak tahun 2009, termasuk ujian untuk vaksin malaria, vaksin denggi, dan terapi sel untuk kanser. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kemampuan dan infrastruktur untuk menjalankan ujian klinikal yang berkualiti dan berintegriti.
Ujian first-in-human di Malaysia juga melibatkan sukarelawan yang bersetuju untuk menyertai dengan rela hati dan diberi maklumat yang lengkap dan jelas mengenai tujuan, prosedur, manfaat, dan risiko ujian. Ujian ini juga memerlukan kelulusan etika dan peraturan yang ketat sebelum dilaksanakan. Ujian FIH ini sebahagian daripada proses pembangunan sains dan teknologi yang bertanggungjawab dan bermanfaat untuk kesejahteraan umat manusia.
Sumber:
(2) Malaysia sudah bersedia buat ujian klinikal perubatan … – Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1099740/malaysia-sudah-bersedia-buat-ujian-klinikal-perubatan-ke-atas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles