Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Pfizer kalah kes mahkamah dan Vaksin Covid-19 Merbahaya?

Jawapan ringkas saya: Kalau kalah sudah tentulah vaksin Pfizer ditarik balik dari pasaran. Tapi tidak, vaksin Comirnaty keluaran Pfizer tetap dalam pasaran dan masih diberikan kepada penduduk seluruh dunia sehingga kini.
Namun kenapa mesej yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu itu seolah-olah teruk benar sehingga menakutkan kita semua yang membacanya?
Seperti biasalah mesej sebegini akan ada kesalahan maklumat dan cuba seleweng fakta. Website blog picisan yang dirujuk itu mengkisahkan Pfizer kalah saman dan FDA kehilangan tuntutan kes dalam isu pemberian vaksin Covid-19.
Apa yang sebenarnya berlaku adalah FDA dan Pfizer diputuskan oleh mahkamah di Texas untuk mengemukakan dokumen laporan AEFI sebagai semakan kehakiman (Judicial Review) yang dikemukakan oleh sebuah pertubuhan bernama PHMPT (Public Health and Medical Professionals for Transparency). Kumpulan ini membuat permohonan melalui mahkamah supaya FDA dan Pfizer mengemukakan data laporan kesan sampingan Vaksin Comirnaty yang terdapat di dalam VAERS. Saman JR ini berlaku pada Januari 2022 lagi.
Tetapi FDA membantah permintaan tersebut kerana adalah tidak munasabah untuk mengemukakan semua laporan kesan sampingan itu dalam tempoh masa yang terlalu singkat (108 hari). Bayangkan kesemua laporan VAERS itu sebanyak 329,000 mukasurat, akan mengambil masa yang lama untuk dicetak. Sudah tentu data tersebut perlu di semak terlebih dahulu kerana data kesan sampingan itu bercampur baur dengan vaksin-vaksin yang lain juga. Malah data tersebut perlu diverifikasi kesahihannya dan memerlukan siasatan. FDA memberi hujah bahawa terpaksa mengambil masa sehingga 55 tahun baharu siap semua proses cetakan itu.
Akhirnya keputusan dari hakim mahkamah persekutuan di Texas itu menolak hujah FDA tersebut. Hakim mengarahkan FDA untuk memberi data tersebut tersedia kepada umum dalam tempoh lapan bulan, bukan 55 tahun seperti yang dicadangkan oleh FDA. PHMPT dikira berjaya dalam kes ini kerana mereka berhak mendapatkan data dan maklumat dalam fail produk biologi yang dikemukakan kepada FDA di bawah Akta Kebebasan Maklumat.
Dengan keputusan itu tidak bermakna FDA dan Pfizer bersalah memberikan vaksin COVID-19. Keputusan itu hanya berkaitan dengan akses kepada data dan maklumat yang dikemukakan kepada FDA oleh Pfizer, bukan dengan keselamatan atau keberkesanan vaksin Comirnaty. Vaksin Comirnaty masih selamat dan berkesan untuk mencegah COVID-19, dan manfaatnya melebihi risikonya.
Vaksin Comirnaty tidak ditarik balik dari pasaran pun, tetapi telah dikemas kini untuk melindungi lebih baik terhadap varian-varian yang beredar sekarang.
Vaksin Comirnaty mempunyai beberapa kesan sampingan yang diketahui. Semua kesan sampingan itu diisytiharkan dalam produk insert seperti reaksi tempatan di tempat suntikan dan gejala umum seperti sakit kepala, menggigil, keletihan, loya, demam, pening dan otot sakit. Kesan sampingan ini biasanya berlaku tidak lama selepas vaksinasi dan tidak berkaitan dengan penyakit yang lebih serius atau berpanjangan. Kesan sampingan yang sangat jarang tetapi serius termasuklah radang jantung (miokarditis dan perikarditis), yang lebih tinggi risikonya pada lelaki muda. Gejala boleh berbeza tetapi sering termasuk sesak nafas, degupan jantung yang kuat yang mungkin tidak teratur (palpitasi) dan sakit dada. Miokarditis dan perikarditis boleh berlaku dalam beberapa hari selepas vaksinasi dan berlaku terutamanya dalam masa 14 hari. Kita dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan segera jika anda mengalami gejala-gejala ini selepas vaksinasi. Kebanyakan kes miokarditis dan perikarditis sembuh sepenuhnya dengan rawatan yang sesuai.
Secara amnya, kesan sampingan yang dinyatakan itu adalah jarang dan tidak serius, dan manfaat vaksin melebihi risikonya.
Sumber:
(2) Key Pfizer covid-19 vaccine trial dataset still not released. https://www.bmj.com/content/378/bmj.o1731/rr-1.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles