Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Pejuang atau Penunggang? 

“Vitamin S*** ni doktor yang rekomen”. Alasan seorang pesakit kencing manis setelah ditegur bacaan gulanya mencanak naik. Beliau terus tinggalkan metformin yang patutnya makan 2 kali sehari.
“Ustaz selebriti yang selalu masuk TV ni doc jual. Dia syor kami makan produk h*** ni. Katanya masa ceramah, sudah ramai pesakit sembuh darah tinggi setelah ambik produk ni”. Helah seorang pesakit darah tinggi pertengahan umur. Ukuran darah dia setiap kali hadir klinik lebih 160/100 mmHg. Apabila ditanya, beliau hanya makan bila perlu ubat perindopril dan tiazide yang dibekalkan. Selebihnya makan pelbagai produk kesihatan yang dijual oleh Ustaz.
Sahabat saya Dr Ahmad Kadri, pakar bedah jantung pernah menyarankan agar individu berpengaruh dalam masyarakat tidak menggunakan title mereka demi menjual produk. Begitu juga Dr Zainal Adwin, sorang pakar bedah muda mengesyorkan agar diadakan satu akta khusus bagi menghalang penyalahgunaan status masyarakat ini dalam mencari keuntungan peribadi. Blogger terkenal, Dr Afiq Rahim yang mashyur kisahnya semasa banjir besar Kelantan 2014 lalu juga acapkali menulis berkaitan dengan scam kesihatan. Saya merasakan sudah tiba masanya sesuatu tindakan dikenakan oleh pihak berwajib bagi mengekang gejala penyalahgunaan status ini.
Asasnya adalah kebanyakan dari para penjual produk kesihatan yang tiada terbukti keberkesanannya itu mempergunakan nama-nama tokoh tertentu demi melariskan jualan. Masalah timbul, apabila tokoh-tokoh masyarakat berkenaan juga terpalit sama dalam menaikkan target jualan peribadi mereka. Sedangkan mereka tahu tahap keberkesanan setiap produk yang mereka iklankan itu amat rendah.
Implikasi jika penjual atau pempromosi produk terdiri dari orang yang berstatus tinggi dalam masyarakat:

1) Orang awam akan beralih dari berubat melalui kaedah arus perdana kepada produk yang tidak berkesan kerana terpengaruh dengan kehebatan tokoh.

2) Keterujaan orang awam dalam “perangai pencarian kesihatan” (health seeking behavior) melalui lorong yang betul akan semakin mengurang. Ini kerana tokoh-tokoh berkenaan menjadi penghalang, mengelabui fakta sebenar mengenai kesihatan dan penyakit.
Pemakanan tambahan atau mana-mana produk yang mendakwa berkesan tidak boleh mengiklankan kesembuhan kepada beberapa jenis penyakit. Terdapat 20 jenis penyakit yang terdapat dalam akta, larangan dibuat iklan yang dakwa mempunyai kuasa penyembuhan antaranya kencing manis, darah tinggi, kanser dan pelbagai lagi.[1]
Jika mana-mana produk ingin membuat iklan, mereka mesti mematuhi syarat-syaratnya. Iklan-iklan produk tersebut mestilah telah melalui proses penapisan, penilaian dan semakan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU) yang ditubuhkan di bawah Akta Ubat (Iklan & Penjualan)1956. Akta ini bertujuan agar maklumat yang sampai kepada pengguna adalah tidak mengelirukan, betul dan disokong dengan bukti yang sahih. Tuntutan perubatan yang dibenarkan adalah berdasarkan indikasi yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan paparannya mematuhi Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 serta Garis Panduan dan dan Polisi LIU.
Secara umumnya kawalan oleh LIU adalah seperti asas yang berikut:
1) Semua iklan produk kesihatan perlu mendapatkan kelulusan dari LIU terlebih dahulu sebelum ia disiarkan dalam mana-mana bentuk media. Nombor kelulusan tersebut mesti dipaparkan di dalam iklan.
2) Iklan produk kesihatan dan kecantikan dilarang sama sekali membuat tuntutan perubatan untuk tujuan pencegahan, rawatan atau diagnosis bagi 20 jenis penyakit yang telah disenaraikan di dalam Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, iaitu penyakit atau kecacatan buah pinggang/ginjal, penyakit atau kecacatan jantung, diabetes (kencing manis), epilepsi atau sawan, lumpuh, tuberkulosis, astma, kusta, kanser/barah, pekak, penagihan dadah, hernia, penyakit mata, hipertensi (darah tinggi), kecacatan otak , kemandulan, kaku (Frigidity), lemah fungsi seks/impoten, penyakit venerus (cth AIDS, Hepatitis) dan kelemahan urat saraf, atau aduan atau kelemahan lain timbul daripada atau berhubung dengan perhubungan seks
3) Selain itu iklan tidak dibenarkan membuat tuntutan superlative seperti, “Paling Hebat“, “Terbaik”, “Nombor 1“ dan lain-lain tuntutan yang memperbesar.
4) Iklan produk kosmetik tidak boleh membuat tuntutan melampaui skop takrifan kosmetik di mana fungsi kosmetik adalah untuk membersih, menyegar dan mewangi dan mestilah tertakhluk kepada ‘Cosmetic Advertising Code’.
5) Manakala iklan makanan/minuman kesihatan walaupun tidak di tapis oleh LIU tetapi perlulah mematuhi Akta Makanan 1983 dan iklan alat perubatan harus mematuhi Akta Peranti Perubatan 2012.[2]
Iklan-iklan ini perlu dikawal untuk memastikan bahawa maklumat yang sampai kepada pengguna tidak mengelirukan, betul dan disokong dengan bukti-bukti yang sahih.
Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli
5.3.2017

Kuala Terengganu
Pautan:

[1] Kenali Ubat Anda.https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10153987493476237&id=373560576236

[2] Waspada dengan Iklan Haram. http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/berita/04-dis-2012/berwaspada-dengan-iklan-iklan-haram.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles