​Dari fb Ayman Rasydan: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10206271267020204&id=1821685114

#MENGAPA_KOREA_TIDAK_BERSATU
Alang-alang cerita pasal Korea Utara, mesti ada yang tertanya-tanya: mengapa Korea terbahagi kepada Utara dan Selatan? Mengapa mereka tidak bersatu kembali?

Pembahagian Korea adalah tragedi yang masih menghantui bangsa Korea. Orang Korea adalah satu bangsa, satu negara, satu bahasa sejak 1,000 tahun yang lalu lagi, bermula dengan pemerintahan dinasti Goryeo/Koryo (918-1392) dan kemudian Joseon/Choson (1392-1910), sebelum dijajah oleh Jepun pada tahun 1910. 
Selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, Soviet Russia dan USA masing-masing ingin menguasai Semenanjung Korea yang begitu strategik dari segi geopolitik. Pada tahun 1948, Soviet melantik proksi yang bernama Kim Il-Sung untuk memerintah utara Korea dan mendirikan “Democratic People’s Republic of Korea” (DPRK), USA pula melantik proksi yang bernama Syngman Rhee untuk memerintah “Republic of Korea” (ROK) di selatan. Maka terbentuklah dua Korea. DPRK berideologi komunis. ROK berideologi kapitalis.   
Pada tahun 1950, DPRK menyerang ROK (ada yang kata ROK menyerang dahulu) maka tercetuslah Perang Korea selama 3 tahun. Setelah 2,500,000 nyawa anak Korea dikorbankan semata-mata untuk memuaskan nafsu kuasa Komunis dan Kapitalis, DPRK dan ROK bersetuju untuk gencatan senjata dan menjadikan selarian ke-38 utara (Parallel 38 North) sebagai garis sempadan dan DMZ (Demilitarized Zone) dibentuk sebagai zon penampan.   
Bangsa Jerman pun pernah ditimpa nasib yang sama apabila ia dibahagikan kepada Jerman Barat di bawah kuasa USA/NATO dan Jerman Timur di bawah kuasa Soviet. Cuma bangsa Jerman lebih bernasib baik kerana orang Jerman tidak bunuh-membunuh sesama sendiri. Perang Korea meninggalkan trauma psikologi yang cukup besar ke atas bangsa Korea: abang berperang dengan adik, suami berpisah dengan isteri. Nak tahu betapa tragisnya perang saudara ini, boleh tonton filem “Taegukgi” (2004). 
Mengapa Jerman dapat bersatu kembali pada tahun 1990, Korea masih berpisah? 
Punca utama ialah sikap rejim DPRK. Pada tahun 1998, ROK memperkenalkan “Sunshine Policy” untuk berbaik-baik dengan DPRK. ROK memberi bantuan ekonomi kepadanya. Kedua-dua Korea menjunjung bendera yang sama pada Olimpik 2000 dan 2004. Namun Sunshine Policy berakhir apabila Kim Jong-il melancarkan peluru berpandu pada tahun 2006. Motif perbuatan Kim Jong-il masih menjadi misteri, kemungkinan besar ia adalah untuk “blackmail” USA. Hubungan dua Korea semakin tegang selepas tahun 2010 apabila DPRK menenggelamkan kapal tentera laut ROK bernama Cheon-an dan mengebom Pulau Yeongpyeong di Korea Selatan. 
Kedua ialah peranan kuasa-kuasa besar di sekeliling dua Korea: Jepun, China, Russia, USA. Bangsa Korea bernasib malang kerana ditakdirkan menjadi tersepit di kalangan mereka. Disebabkan keadaan Korea yang berpecah lebih menguntungkan mereka, maka mereka mahu melambat-lambatkan proses penyatuan semula Korea. 

 

Jepun tidak mahu Korea bersatu kembali kerana Korea yang bersatu akan menjadi pesaing yang hebat kepada Jepun. Jepun juga risau Korea yang bersatu akan bergabung dengan China, menjadi ancaman kepadanya. 
USA tidak mahu Korea bersatu kembali kerana hubungan pakatan dengan ROK membolehkannya menempatkan tenteranya di Semenanjung Korea, posisi yang paling hampir dengan China. Kalau DPRK tidak wujud lagi, apa alasan tentera USA nak duduk di situ lagi?
China tidak mahu Korea bersatu kembali kerana ia bimbang Korea yang bersatu akan condong kepada US. Keadaan sekarang adalah lebih baik di mana DPRK menjadi penyangga (“buffer”) antaranya dan USA.  
Russia tidak mahu Korea bersatu kembali kerana ia khuatiri akan wujudnya gabungan China dan Korea yang bersatu. Gabungan ini akan menyekat pengaruh Russia di sebelah timur Siberia. 
Orang Korea pun sedar negara-negara jiran hanya ingin mengambil kesempatan ke atas mereka, dan tanggapan “jiran jahat” ini telah membentuk psikologi bangsa Korea yang unik iaitu “uri” (kekitaan) dan “han” (dendam). 
“Uri” (우리) adalah perasaan cinta, keakraban dan kepercayaan sesama orang Korea. Disebabkan pengalaman sejarah yang pahit, orang Korea ini tidak akan sesekali percaya dengan orang asing, tidak kira betapa baik pun orang asing itu. Dan sebaliknya pun juga, orang Korea boleh menerima orang Korea, tidak kira betapa jahatnya. Sebab itu, tidak kira betapa agresifnya rejim DPRK, majoriti orang ROK masih bersimpati dengan DPRK dan melihat USA sebagai pihak yang bersalah.   
“Han” (한 ; 恨) adalah perasaan dendam yang terpendam. Dendam kerana orang Korea merasa dirinya telah dizalimi oleh kuasa-kuasa besar di sekeliling (terutamanya Jepun); pendam kerana orang Korea sedar diri mereka itu lemah dan tidak mampu untuk membalas dendam di peringkat geopolitik. Jadi, orang Korea menyalurkan perasaan dendam ke perkara-perkara lain: ekonomi, pendidikan, teknologi, seni, sukan. Dalam bidang-bidang ini, mereka sentiasa menjadikan Jepun sebagai “musuh” untuk diatasi dan dikalahkan. 
Kehidupan orang Korea adalah sebuah tragedi, tragedi ini berpunca daripada keadaan geopolitik mereka. Bilakah tragedi ini akan berakhir? 
NOTA: Orang Korea jarang memanggil negara mereka sebagai Korea (berasal dari cara orang Eropah menyebut “Goryeo/Koryo”). Orang ROK menamakan negara mereka “Hanguk/Hankuk” (ringkasan Daehan Minguk yang bermaksud Republik Korea) manakala DPRK masih mengguna nama “Joseon/Choson” (nama penuh DPRK dalam Bahasa Korea ialah Joseon Minjujuui Inmin Gonghwaguk).
Bacaan terbaik tentang sejarah dan geopolitik Korea:

Bruce Cumings, Korea’s Place in the Sun (2005)

Don Oberdofer, The Two Koreas (2013)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articlePejuang atau Penunggang? 
Next articlePokok Ulam Raja Sembuh Kanser?
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com