Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Mahkamah Vaksin?

Mahkamah Vaksin?

Dalam satu rancangan Fb Live Datuk Dr Musa Nordin mempersoalkan kaedah penentuan punca kematian yang sedang dijalankan oleh KKM sekarang. Katanya KKM sedikit berat sebelah. Lalu dibandingkan dengan mahkamah vaksin di Amerika Syarikat. Bagi menampakkan keadilan, kerajaan digesa wujudkan mahkamah vaksin!

Namun saya kurang bersetuju dengan pandangan Dato Dr Musa. Ianya boleh diperbahaskan lagi. Mahkamah vaksin telah wujud sejak 1986 lagi di US. Hasil desakan daripada kumpulan yang menentang vaksin di Amerika Syarikat supaya diwujudkan mahkamah vaksin. Pada masa tersebut mereka menuduh vaksin DPT penyebab kepada kesan serius seperti vaksin penyebab autism dan kematian.

Namun hasilnya adalah tetap sama. Kumpulan mereka masih lagi tidak berganjak dari fikiran menyalahkan kerajaan dan pihak berkuasa dalam segala bentuk samada pemberian vaksin mahu pun setelah melalui proses mahkamah.

Keyakinan masyarakat terhadap pemberian vaksin bukan terletak kepada wujudnya mahkamah ataupun tidak. Tetapi maklumat yang diperolehi oleh masyarakat mestilah datangnya daripada individu yang sepatutnya dan ianya telus. Mahkamah vaksin tidak menjanjikan apa-apa kecuali meneruskan perseteruan di antara kerajaan dan kumpulan yang menentang vaksinasi dalam negara terbabit. Kita boleh lihat sendiri pemberian vaksinasi COVID-19 ini di Amerika Syarikat. Negara mereka adalah juara kepada pemberian vaksin, tetapi dalam masa yang sama jumlah penerimaan vaksin dalam Amerika Syarikat juga tidak memberangsangkan. Vaksin dos pertama mencecah kepada 77.2% sahaja. Manakala dos kedua sebanyak 65.7%, bahkan dos booster hanya mencecah 29.1% sahaja.

Maknanya penubuhan mahkamah vaksin tidak pun meningkatkan keyakinan rakyat terhadap program vaksinasi yang dijalankan oleh kerajaan. Malah ianya menimbulkan satu kesan yang negatif kepada masyarakat untuk terus menentang segala keputusan yang telah pun dibuat oleh kerajaan.

Mereka akan tetap menuduh kerajaan sengaja membuat keputusan berat sebelah jika ianya tidak sama seperti kehendak mereka. Mereka tidak berganjak dan senantiasa memutarbelitkan isu-isu kesan sampingan mahupun kematian. Kebenaran hanya dipihak mereka sahaja. Inilah selalu berlaku.

Sememangnya rakyat mempunyai hak untuk bersuara di bawah ruang lingkup undang-undang yang ada. Bahkan dalam negara kita juga peluang diberikan sama kepada rakyat untuk mengambil tindakan undang-undang jika pihak berkuasa melakukan kesilapan. Tetapi sebuah kerajaan yang berdaulat juga mempunyai hak untuk melindungi rakyat mereka dari terus di jangkiti oleh wabak penyakit berjangkit. Akta penyakit berjangkit 1988 (342) telah lama diwujudkan bagi menjamin hak kesihatan rakyat ini.

Perlu diingatkan bahawa mahkamah vaksin ianya tidak datang bersendirian. Wujudnya mahkamah vaksin apabila diwujudkan undang-undang mandatori vaksin ataupun akta yang mewajibkan pengambilan vaksin bagi setiap golongan yang diwajibkan. Malaysia masih lagi belum wujud undang-undang mandatori vaksin.

Suhazeli Abdullah

15.3.222

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles