Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Kedudukan Petua atau Adat dalam Perubatan 

Saya tiada percanggahan dengan mana-mana petua yang tidak membawa mudarat diri, mencarik adat dan syariat. Begitu juga mana-mana adat, petua, nasihat kesihatan yang mendakwa boleh menyembuhkan sesuatu penyakit, saya akan bertanya dahulu samada ianya pernah disahkan atau tidak. Jika tiada bukti, atau si pembawa berita hanya copy paste dari mana-mana sumber yang beliau sendiri tidak kenali, saya akan abaikan. Terkadang, jika ianya melibatkan nyawa, akal atau kecederaaan anggota jika mengamalkan adat atau petua tersebut, saya akan buat sedikit penyelidikan. Saya akan bertanyakan kepada orang yang ahli dalam sesuatu bidang itu dan mencari bahan-bahan bacaan yang berwibawa dalam internet.

 

Sebagai contohnya, ditularkan satu tulisan ilmu dari al marhum Tuan Guru Dr Harun Din (aTGHD) yang menyatakan penawar bisa ular dengan memakan sisik ekor ular berbisa tersebut. Disengat ikan sembilang atau keli, penawarnya otak ikan berkenaan dan beberapa lagi ilmu/petua lain. Sekali imbas baca ilmu ini mungkin diperturunkan oleh aTGHD dalam mana-mana penulisan atau ceramah di Darul Syifa (DS) yang beliau terajui. Setelah saya selidiki dari perawat DS, mereka agak terkejut dengan penyebaran tulisan yang sedemikian. Nama masyhur aTGHD telah disandarkan bagi menyebarkan ilmu/petua yang mendatangkan bahaya pada diri ini. Mana mungkin setelah kita dipatuk ular senduk, kemudian mengejar ular tersebut pulak untuk dapatkan ekornya? Sedangkan tiada lagi terbukti bahawa ekor ular tersebut sebagai penawar. Ianya hanya cakap-cakap petua perbomohan melayu sahaja di zaman dahulu yang agak sukar mendapat akses kesihatan. Apa pun, mungkin petua memakan otak ikan setelah disengat ikan sembilang atau ikan keli, boleh diterima dari segi adatnya kerana tidak melibatkan risiko nyawa atau anggota badan yang binasa. Hatta sengat ikan sembilang tidak pernah membawa maut berbanding dengan sengatan ular senduk.

Terdapat juga ilmu atau petua silam yang diamalkan oleh masyarakat sebelum kelahiran Rasulullah SAW, kemudian ianya dibenarkan oleh Nabi SAW sebagai salah satu kaedah berubat. Ianya bukan arahan wajib sebagaimana wajib melaksanakan aktiviti syarak yang lain. Sheikh Yusuf al-Qaradawi berpendapat kaedah perubatan yang pernah dipraktikkan Nabi SAW adalah budaya perubatan orang Arab dan tidak termasuk dalam sunnah yang disyariatkan Baginda SAW.[1] Begitu juga kaedah-kaedah Yunani atau dari tamadun Cina yang lain, sesetengahnya dibenarkan oleh Rasulullah dan ada juga yang dilarang. Kesemua kaedah tersebut adalah bersesuaian dengan perkiraan zaman di masa berkenaan.

Tidak salah mengamalkannya selagi tidak mendatang mudarat yang boleh bawa maut, anggota menjadi cacat atau akal menjadi bengong. Masalah timbul zaman kini, para pengamal perubatan tersebut terlalu rigid minda, sehinggakan menolak kaedah perubatan lain termasuk perubatan moden. Hal sebegini sepatutnya diperbetulkan oleh para ilmuwan yang sedar berkaitan salah guna kaedah merawat ini. Banyak insiden yang kami temui, pesakit akan berakhir dikatil hospital akibat kesan mudarat. Lihat pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh doktor pakar dan ulama.[2][3]

Terlalu amat malang jika ada golongan yang terus menyandarkan kaedah perubatan itu adalah Perubatan Islam yang datang dari Rasulullah SAW. Kecualilah ianya dinyatakan secara jelas disebut oleh Rasulullah SAW seperti berbekam, madu dan beberapa kaedah lain lagi. Itupun perlu dilihat secara tafsiran yang jelas oleh para alim ulama, bukan menafsirnya secara literal.[4]

An Nadwi ada memberikan garis panduan melalui kitabnya Al Qawaid al Fiqhiyyah berkaitan pemngambilan hukum adat atau petua ini. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

1-Tidak bercanggah dengan Quran dan Hadis.

2-Adat itu tersebut dilakukan berulang kali.

3-Adat tersebut telah diamalkan dan sedang diamalkan, bukannya akan diamalkan.

4-Tidak berlawanan dengan persetujuan antara dua pihak.

Ini kerana hukum adat ini mempunyai peranan tertentu yang boleh mendatangkan manfaat hukum tersendiri dalam menyelesaikan masalah ummah. Adat menjadi rujukan kepada ahli hukum sebagai:

1-Menafsirkan nas-nas syarak yang umum seperti kadar mas kahwin dan cara menafkah keluarga.

2-Rujukan kepada kajian semula fatwa yang bersumberkan adat yang diputuskan sebelumnya, jika adat sudah berubah, maka fatwa juga akan berubah, sebaliknya jika adat kekal seperti sebelumnya, fatwa tidak boleh dipinda.[5]

Sekian

Suhazeli Abdullah

fb.com/drsuhazeli

27.2.2017

Kuala Dungun

Rujukan

[1] Ceramah Syeikh Yusof Qordawi. https://www.youtube.com/watch?v=BILrge3HDlU

[2] Petua daun rerama. https://www.facebook.com/rafidah72/posts/10210600218174816

[3] Sakit kronik ubat ajaib. https://suhazeli.com/wp/?p=2174

[4] Hadis-hadis perubatan bercanggah dengan Perubatan moden? https://suhazeli.com/wp/?p=2046

[5] al Qawaid al Fiqhiyyah oleh al Nadwi (1994), cetakan Darul Qalam, Syiria.

-القواعد الفقهية  لعلي أحمد الندوي ( 1994م ) دار القلم دمشق.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles