Bertuah sungguh saya apabila digabungkan berforum dengan beberapa individu hebat seperti Hj Zainol Azmi, Presiden Persatuan Homeopati Malaysia.
Penegasan demi penegasan dihujahkan oleh beliau yang menyatakan homeopati bukan ubat gantian kepada vaksin. Masih terngiang-ngiang ditelinga ucapan padu beliau dalam memetik salah satu kenyataan Pertubuhan Homeopati British “Homeopathy cannot substitute vaccine”.[1] Jelas dan kuat hujahnya. Malah, tiada satu pun kilang pengeluaran ubat/globule homeopati mengeluarkan globule vaksin. Samada kilang di UK, India, US dan beberapa negara lain lagi.
Kata beliau, pengasas perubatan homeopati Dr Samuel Hahnemann (1755 – 1843) juga mengiktiraf vaksin yang telah dikemukakan oleh Dr Edward Jenner (1749 – 1823) pada masa tersebut.[2] Mereka sama-sama bergelut dengan pembasmian penyakit Cacar yang begitu menggila di era pra vaksinasi. “Sepanjang sejarah, homeopati tidak mengubat penyakit berjangkit terutamanya penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin.” Tegas Hj Zainol yang tidak mahu disebut nama awalannya dengan gelaran doktor.
Sepanjang kelas pembelajaran homeopati dari dahulu hingga sekarang, tiada silibus yang mengajar vaksin diperbuat dari globule homeopati. Bahkan badan homeopati antarabangsa keseluruhannya bersetuju dan berkerjasama dalam program suntikan vaksin di negara-negara terbabit.
Ketika sesi soal jawab, apabila ditanya apakah alasan sesetengah para pengamal homeopati yang berani mendakwa dan memberi ‘vaksin homeopati’? Hasil dari siasatan beliau bahawa pengamal homeopati berkenaan telah bertindak atas pertimbangan sendiri tanpa merujuk secara khusus kepada buku-buku rujukan homeopati yang masyhur. Terdapat antara mereka yang kononnya mengambil rujukan dari buku yang sudah lama (out-dated) dan globule yang digunakan itu pun tidak dinyatakan secara jelas sebagai bahan ganti vaksin. Inilah yang membimbangkan, kerana para pengamal berkenaan telah memberi satu harapan palsu kepada pesakit yang dahagakan kesihatan optimum. Mereka sebenarnya telah ditipu tanpa sedar.
Mohon masyarakat di luar sana berhenti menggunakan alasan yang ubat homeopati dapat menggantikan vaksin dalam mencegah penyakit berjangkit.
Rujukan
[1] Kenyataan British Homeopathy Association. http://www.britishhomeopathic.org/faqs/
[2] Sejarah Perubatan Homeopati. https://www.homeopathic.com/Articles/Introduction_to_Homeopathy/A_Condensed_History_of_Homeopathy.html
Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli
#MedTweetMY
#MedicalMythBustersMalaysia
13.10.2016
Sg Petani, Kedah
