Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Bongkar Kebohongan dan Sains Palsu yang Disebarkan oleh Doktor-Doktor Konspirasi Tentang Vaksin Covid-19

Viral pulak segelintir pihak yang tak habis-habis kerja mereka nak membongak (misinformation), menakut-nakutkan masyarakat (fear mongering) dan sebarkan sains palsu (pseudoscience). Doktor-doktor yang mereka rujuk itu sejak dari awal wujudnya Covid-19 lagi menyebarkan fakta palsu mengenai Covid-19 dan vaksin.

Saya percaya ramai yang suka forward atau kongsi ke mana-mana group yang mereka ada, tetapi tidak faham sama ada kenyataan yang dibuat itu betul atau menipu.

Adalah tidak boleh terima akal apabila mereka mendakwa vaksin COVID-19 itu mengandungi HIV. Tapi sekali lagi mak cik, pak cik kat kampung yang tengok video tu percaya kerana jurucakap itu bertopengkan agama dalam bercakap.

Vaksin COVID-19 tak mengandungi virus HIV. Percayalah keterangan pakar seluruh dunia telah menafikan bahawa vaksin itu mengandungi HIV. Celah mana virus HIV boleh dimasukkan? Pembuatan vaksin dikawal ketat dan mengikuti tatacara yang bersih dan selamat. Kalau ikut logik sekalipun, jika vaksin COVID-19 dicampur HIV, kita sekarang ni semua dah berpenyakit HIV dan menunggu mati dah kerana AIDS.

Begitu juga dengan Graphene Oxide yang selalu di momokkan oleh mereka akan menyebabkan pembekuan darah dan semua orang divaksin itu akan mati. Bahkan kenyataan rasmi dari universiti yang kononnya menjalankan ujikaji tersebut juga menafikan penglibatan mereka dalam kajian yang tidak benar itu.

Ssebenarnya begitu mudah saja untuk kita semak sama ada sesuatu dakwaan itu betul atau silap. Hanya dengan carian internet pun sudah banyak jawapan daripada pakar berwibawa.

Untuk makluman, World Doctors Alliance (WDA) adalah sebuah kumpulan doktor dan ahli akademik dari beberapa negara yang menentang langkah-langkah kawalan pandemik dan menyebarkan maklumat palsu mengenai COVID-19 dan vaksin. Antara nama-nama doktor dalam WDA adalah:

1. Kenyataan Prof. Luc Montagnier itu telah diputar belit dan ditambah perisa untuk memberi konotasi negatif terhadap vaksin. Malah artikel Prof. virologi itu pun telah ditarik balik dari journal yang telah menerbitkan tulisan beliau kerana terdapat kesalahan fakta. Jika diteliti semula tulisan itu, tidak ada pun satu patah perkataan yang beliau mengatakan bahawa manusia akan mati selepas dua tahun selepas vaksin. Atau tulisan yang mendakwa pemberian vaksin akan menyebabkan wujudnya varian baharu. Cuma ia telah diulas semula oleh antivaksin barat yang menambah putar belit bagi menakut-nakutkan lagi orang ramai.

2. Dr Peter McCullough adalah seorang kardiologis (Pakar Jantung) dari Texas yang skeptikal terhadap vaksin Covid-19 dan telah menyebarkan dakwaan palsu atau menyesatkan tentang Covid-19 dan vaksin. Sejak dari permulaan COVID-19 yang lalu lagi beliau adalah antara individu yang paling lantang menyatakan bahawa COVID itu tidak wujud dan menentang usaha untuk pemberian vaksin COVID-19 di seluruh dunia. Kenyataan Dr Peter McCullough tentang vaksin Covid-19 yang menyebabkan kematian miokarditis tidak benar. Ini adalah dakwaan yang menyesatkan dan tidak didukung oleh bukti ilmiah.
Miokarditis boleh berlaku. Namun tidaklah seteruk yang digambarkan sehingga semua orang yang divaksin akan mati dalam tempoh 2 tahun. Sebuah pernyataan yang ditandatangani oleh beberapa persatuan pakar profesional menyatakan bahwa miokarditis adalah efek samping yang sangat jarang setelah vaksinasi, dan mereka yang mendapatkan miokarditis sembuh dengan cepat.

3. Dr Sucharit Bhakdi adalah seorang mikrobiologis yang pencen dan menjadi sumber informasi salah tentang pandemik COVID-19. Dia mendakwa bahawa pandemik itu “palsu” dan bahawa vaksin COVID-19 akan memusnahkan populasi dunia. Adakah kita lihat sekarang ini semua penduduk dunia yang telah divaksinkan mati secara mendadak paling kurang 50% dari penduduk dunia? Jawapannya tidak! Beliau juga mendakwaVaksin Covid-19 penyebab kepada peningkatan penyakit Tuberkulosis. Kenyataan itu juga mengarut dan tidak berdasarkan bukti kukuh.

4. Dr Vermon Coleman pula seorang penulis dan bekas doktor yang dikenali sebagai pengkritik vaksin dan penyokong teori konspirasi. Beliau mendakwa vaksin akan mengubah DNA manusia. Dakwaan beliau adalah palsu dan penuh dengan prejudis teori konspirasi. Vaksin Covid-19 tidak sesekali mengubah DNA manusia! Jika benar dakwaannya, kita semua dah jadi Zombie dan 90% manusia sudah mati. Hanya tinggal yang tak cucuk vaksin sahaja atas dunia ni. Hospital dan klinik semua tutup dah, sebab majoriti petugas kesihatan cucuk vaksin lebih 3 dose.

Ada beberapa lagi individu yang memang menentang kuat kepada kewujudan COVID-19 dan vaksin yang boleh anda cari sendiri di dalam internet. Mereka inilah menjadi rujukan utama antivaksin Malaysia.

Saya nasihatkan agar berhati-hati dalam menyebarkan maklumat yang palsu yang boleh menyebabkan orang ramai semakin takut. Malah menyebarkan berita palsu itu sifat jelek dan dilarang dalam agama kita sendiri. Ingatlah surah al Hujurat yang menuntut kita tabayyun dahulu segala berita yang datang.

Dr Suhazeli Abdullah
20/12/2023

#Tulis panjang-panjang tak viral…Sebab tak sensasi!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles