Sunday, April 28, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

10 Mitos Buah Durian

𝗠𝘂𝘀𝗶𝗺 𝗱𝘂𝗿𝗶𝗮𝗻, ada pula kongsi artikel yang menakutkan pasal campur durian dengan makanan lain.
Antaranya:
𝗗𝘂𝗿𝗶𝗮𝗻 + 𝗖𝗼𝗸𝗲 = 𝗥𝗮𝗰𝘂𝗻
𝗗𝘂𝗿𝗶𝗮𝗻 + 𝗞𝗼𝗽𝗶 = 𝗠𝗮𝗯𝘂𝗸
𝗗𝘂𝗿𝗶𝗮𝗻 + 𝗔𝗹𝗸𝗼𝗵𝗼𝗹 (𝗮𝗿𝗮𝗸) = 𝗠𝗮𝘁𝗶
𝗗𝘂𝗿𝗶𝗮𝗻 + 𝗦𝘂𝘀𝘂 = 𝗦𝗲𝗿𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗷𝗮𝗻𝘁𝘂𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗴𝗲𝗷𝘂𝘁
𝗗𝘂𝗿𝗶𝗮𝗻 + 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗮𝗸𝗶𝘁 𝗞𝗲𝗻𝗰𝗶𝗻𝗴 𝗠𝗮𝗻𝗶𝘀 = 𝗦𝘁𝗿𝗼𝗸
𝗗𝘂𝗿𝗶𝗮𝗻 + 𝗠𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗯𝗲𝗿𝗹𝗲𝗯𝗶𝗵𝗮𝗻 = 𝗕𝗮𝗱𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗻𝗮𝘀𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗼𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗱𝗲𝗺𝗮𝗺, 𝗯𝗮𝘁𝘂𝗸 𝘀𝗲𝗹𝘀𝗲𝗺𝗮 𝗯𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗺𝗲𝗺𝗯𝗮𝗵𝗮𝘆𝗮𝗸𝗮𝗻.
𝗗𝘂𝗿𝗶𝗮𝗻 + 𝗠𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗯𝗲𝗿𝗹𝗲𝗯𝗶𝗵𝗮𝗻 = 𝗦𝗲𝗺𝗯𝗲𝗹𝗶𝘁
𝗗𝘂𝗿𝗶𝗮𝗻 + 𝗧𝗲𝗿𝘂𝗻𝗴 = 𝗧𝗼𝗸𝘀𝗶𝗸
𝗗𝘂𝗿𝗶𝗮𝗻 + 𝗩𝗮𝗸𝘀𝗶𝗻 = 𝗣𝗲𝗻𝗴𝘀𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗺𝗮𝘁𝗶.
𝗕𝗲𝘁𝘂𝗹 𝗸𝗲?
Berikut adalah 𝗽𝗲𝗻𝗷𝗲𝗹𝗮𝘀𝗮𝗻:
1. Campur durian dengan susu, alkohol (arak), buahan lain, sayuran sejuk, kopi adalah 𝗺𝗶𝘁𝗼𝘀 yang telah tersebar sejak sekian lama. Kombinasi makan durian dengan 𝗯𝗲𝗻𝗱𝗮 𝗶𝘁𝘂 sebenarnya tidak wujud mendatangkan 𝗺𝘂𝗱𝗮𝗿𝗮𝘁 pun. Begitu juga ianya tidak menjadi pencetus kepada penyakit-penyakit tertentu seperti kencing manis atau darah tinggi dan sebagainya.
2. Buktinya aiskrim durian elok saja dicampur dengan susu dan sebagainya, malah sedap dimakan. Tidak mabuk dan membawa mati pun.
3. Kejadian pengsan ataupun mati selepas makan durian adalah isu yang berbeza. Bukannya akibat secara terus durian yang dicampur dengan bahan tersebut tetapi kebanyakannya adalah mati akibat serangan jantung.
4. Nak sabitkan terus makan durian itu menyebabkan 𝗸𝗼𝗹𝗲𝘀𝘁𝗲𝗿𝗼𝗹 naik ataupun 𝗹𝗲𝗺𝗮𝗸 dalam durian yang akhirnya menyebabkan serangan jantung mengejut pun tak boleh juga. Durian tidak mengandungi Kolestrol ataupun lemak tak tepu (unsaturated fat). Takkanlah saat yang sama lepas makan durian terus serangan jantung akibat kolesterol dalam durian? Ya, Durian mengandungi lemak, tetapi jenis monounsaturated yang sebenar baik untuk mengurangkan lemak jahat di dalam darah kita (LDL). Tetapi janganlah berlebihan makan durian sehingga berbakul-bakul, bersederhanalah.
5. Serangan jantung adalah akibat daripada tersumbat saluran jantung darah bukan akibat dari kolestrol yang kononnya wujud dalam durian. Jika nak sabitkan bahan aktif di dalam durian penyebab serangan jantung pun tidak munasabah.
6. Tetapi perlu diingat bawa durian itu mengandungi tinggi potasium, tak sesuai bagi sesetengah orang yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang. Buah durian juga mengandungi potassium yang tinggi, yang boleh menjadi masalah bagi pesakit sakit buah pinggang. Ini kerana buah pinggang yang rosak tidak dapat menyingkirkan potassium yang berlebihan dari badan, yang boleh menyebabkan tahap potassium dalam darah menjadi terlalu tinggi dan membahayakan jantung. Oleh itu, pesakit sakit buah pinggang perlu membataskan pengambilan potassium dalam diet mereka untuk mengelakkan komplikasi. Sebagai panduan, pesakit sakit buah pinggang biasanya disarankan untuk mengambil kurang daripada 2000 miligram potassium sehari
7. Begitu juga dengan pengambilan vaksin tidak juga boleh dikaitkan dengan interaksi memakan buah durian. Sebenarnya tidak berkait terus pun, vaksin dicucuk bukannya dimakan. Video viral mati selepas makan durian selepas vaksin adalah tidak benar. Jangan percaya.
8. Pun begitu terdapat segelintir kecil orang yang mudah loya perut atau mual apabila makan durian bersama makanan lain, tetapi tidak spesifik kepada mana-mana jenis makanan. Ianya tidak boleh dipukul rata terjadi kepada semua orang. Makan durian berlebihan juga boleh menyebabkan kesengsaraan pada perut. Mentekedarah namanya!🤣🤣🤣
9. Durian secara naturalnya kaya dengan potassium, fiber, zat besi, vitamin C, dan vitamin B kompleks. Zat makanan itu penting bagi pembinaan otot dan sistem pertahanan badan secara umum.
10. Durian adalah sejenis buah yang “panas”. Tetapi panas badan selepas makan durian bukannya demam. Orang demam pun boleh makan durian, kepanasan durian tidak menambahkan lagi suhu badan orang demam. Terdapat dakwaan mengatakan bahawa tidak boleh makan durian bersama dengan panadol. Setakat ini tidak ada bukti saintifik yang menyokong dakwaan berkenaan. Tetapi andai kata anda bertegas juga tidak mahu makan, tidak menjadi satu perbalahan di kalangan doktor. Anda boleh jarakkan makan durian dan penadol sekitar 2 – 4 jam.
Sekian. Pesanan saya, kalau anda masih ragu untuk makan durian bersama bahan-bahan di atas, sudilah kiranya hantar durian itu barang sekilo dua untuk “food testing” ke rumah saya. Saya sudi membantu untuk dijadikan bahan ujikaji.
Suhazeli Abdullah
10.7.2021
Kuala Terengganu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles