Penjelasan Isu Forum di Pondok Pak Teh, Perak

Forum kali ini adalah program ke 5 saya menyampaikan maklumat berkaitan kepentingan vaksin di sekolah/pondok agama. Pertama di Pondok Laklok Besut, kedua Sekolah Agama Pinang Merah Paka, ketiga Madrasah An Nur Al Aslamiah Pendang Kedah, ke empat adalah Sekolah Darul Taqwa Rusila dan terakhir di Pondok Pak Teh Pengkalan Hulu.

.

Jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan pondok terutama Al Fadhil Ustaz Azhar Syirozi bin Abdul Latif. Beliau adalah Mudir Pondok Pak Teh setelah peninggalan Tuanguru Pak Teh beberapa tahun lalu.

.

Terima kasih Pejabat Kesihatan Hulu Perak yang menjadi panganjur utama forum tersebut. Atas perbincangan dengan Mudir pondok Al Fadhil Ustaz Azhar, yang juga anakanda arwah Tuanguru Pak Teh, program disusun dengan majlis ucapan aluan dan perasmian. Mudir pondok sendiri berucap semasa majlis pembukaan. Kemudian diikuti dengan forum yang saya salah seorang ahli panelnya. Manakala Ustaz Aminul Hafiz bin Idris sebagai ahli panel kedua yang mewakili Pejabat Agama Pengkalan Hulu.

.

Sebelum jam 9 pagi saya buat kunjungan hormat, bertemu dan beramah mesra dengan Tuanguru sendiri di Sekolah agama Al Yusofiah. Alhamdulillah pertemuan dengan penuh mahabbah.

.

Peluang yang diberikan kepada saya oleh moderator untuk memberikan maklumat berkaitan vaksin saya gunakan sepenuhnya, kerana itulah tajuk program yang diwar-warkan dalam surat jemputan.

.

Saya amat hormati Tuanguru yang berada dikerusi penonton, namun itulah protokol majlis yang ditetapkan. Malah Tuanguru sendiri diberi penghormatan untuk membacakan doa.

.

Ruang soal jawab juga diberikan dan kami telah menjawabnya. Kami terima teguran Tuanguru dengan hati terbuka dan perkara ini akan dibawa ke peringkat atasan. Itulah kadar kemampuan kami yang kerdil ini dalam memberikan kefahaman kepada masyarakat.

.

Selepas program, Tuan Mudir pondok berkata, ramai yang sudah jelas penerangan yang diberikan. Beliau bimbang dengan pertembungan dua pihak yang berlaku di Pondok sekarang. Seolah-olah terbahagi kepada dua kumpulan. Satu yang menyokong dan satu kumpulan menentang perubatan bukan semata-mata vaksin. Dengan alasan rawatan alternatif dari alim ulama terdahulu sudah mencukupi tanpa perubatan moden yang dikatakan agen Yahudi dan Syarikat gergasi besar farmasi. Saya juga sempat bertemu bual dengan para penghuni pondok. Antaranya saya disapa oleh seorang lebai yang membahasakan diri sebagai Pak Man, beliau kata doktor jangan ambik hati dengan ucapan Tuanguru tadi, pendirian dia itu bukan pendirian pondok. Itu adalah pendirian peribadi.

.

Patut pun semasa soal jawab forum, sebagai seorang tetamu, saya merasakan tidak selesa dituduh dengan kata-kata sedemikian. Namun bukan tujuan saya untuk menguapkan api permusuhan. Kita adalah saudara seagama. Apabila ditohmah kami yang berada dibidang perubatan ini sebagai bodoh dan agen Yahudi, saya mula tutup komputer dan matikan layar pembentangan. Saya agak terkejut dan kaget apabila beliau menuduh Jakim, Majlis Fatwa dan Mufti tak boleh pakai. Seolah-olah para mufti tak betul, mereka yang barada di institusi pondok sahaja yang betul. Diakhir forum, saya mencadangkan solusi agar pihak Tuanguru sediakan bahan pembentangan dan berbincang sendiri kepada majlis fatwa.

.

Saya kira kunjungan saya adalah penuh dengan tatasusila, sesuai dengan undangan yang dibuat oleh pihak penganjur dan mudir itu sendiri.

.

Saya menyusun 10 jari mohon maaf jika Tuanguru terasa kecil hati.

.

Semoga Allah rahmati pertemuan indah kita khamis lalu. Kami doakan agar ukhuwwah senantiasa terikat kemas. Jadikan perbezaan pandangan itu sebagai rahmah, bukannya menambah seteru dan cacian. Aameen.

Fb.Com/drsuhazeli

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...