Ada lagi geng antivaksin tak puas hati dengan program forum imunisasi di Pondok Pak Teh Pengkalan Hulu Feb 2019 lalu. Depa duk viralkan hujahan Tuan Guru Ahmad Ruzaini (Semoga Allah merahamti beliau dan juga saya). Kebanyakan sudah saya berikan penjelasan dalam seluruh sesi tersebut. Cuma mereka kerat video bahagian Tuan Guru sahaja. Biasalah kerja begitu memang kemahiran antivaksin.
.
Pengacara majlis pada hari tersebut menghubungi saya dan kami berbincang agak panjang. Sehingga akhirnya beliau menyampaikan permohonan maaf dari pihak Tuan Guru sendiri dengan apa yang berlaku. Saya pun tiada perseteruan dengan yang mulia Tuan Guru. Kehadiran saya pada majlis tersebut adalah atas jemputan dari Pejabat Kesihatan Daerah untuk menjadi salah seorang dari ahli panel. Sebagai adat bertetamu di tempat orang, saya tidak mahu berjidal lanjut. Hasrat yang dikehendaki oleh pihak penganjur sudah pun tercapai. Alhamdulillah.
.
Namun sayugia saya coretkan semula di sini beberapa cadangan saya:
.
Apa kata pihak terbsbit buat satu kertas kerja berserta dengan hujah-hujah yang menyokong dan bawakan kepada majlis Fatwa kebangsaan terutama isu yang dipertikai itu.
.
Cuma seperti yang saya sebut dalam forum itu, keputusan hukum samada mufti atau majlis fatwa bukan dibuat secara individu. Mereka keluarkan sesuatu fatwa setelah bincang lebar oleh pakar-pakar dan bukan mufti secara solo/ifradi yang buat keputusan. Hasil dari pembentangan para pakar semua bidang samada perubatan mahupun agama, ahli majlis fatwa bersidang untuk tentukan hukum. Bukan perkara mudah. Bukan juga melihat kepada satu dua kitab sahaja. Bukan juga seorang individu yang menentukannya. Mereka mengambil konsensus secara jamai.
.
Penerangan saya melalui PowerPoint yang dipaparkan itu pun saya memetik langsung dari majlis fatwa, bukan huraian dari saya sendiri pun.
.
Saya juga beri contoh tokoh agamawan dan fakih dalam ilmu mereka seperti Tuanguru Dr Harun Din, Tuanguru Hj Abdul Hadi, Dato Dr Zulkifly Muda, Mufti Terengganu, mereka semua menyokong vaksin malah mengarahkan kaum kerabat mereka cucuk vaksin. Adakah kefahaman dan ilmu mereka tidak tinggi? Adakah mereka juga boleh dituduh agen Yahudi dan bodoh kerana sokong vaksin? Astaghfirullah. Saya berlepas diri.
.
Lihat pula koleksi kenyataan tokoh-tokoh agama dan mufti yang pernah dikeluarkan. Sila baca dengan hadam.
.
Melihat balik beberapa kenyataan dari para agamawan sebelum dari ini, nada dan syor mereka adalah selari.
.
1. Kenyataan dari Mufti Perak, SS Tan Sri Harussani Zakaria, yang juga ahli Majlis fatwa Kebangsaan: “Ibu bapa yang sengaja menolak untuk bayi mereka disuntik vaksin sehingga menyebabkan anak menghadapi risiko penyakit adalah berdosa.”[3- Berita Harian 26 April 2016]
.
2. Kenyataan dari Mufti Perlis, SS Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin: “Ibu bapa yang memilih untuk tidak membenarkan anak mereka diberikan vaksin tanpa langkah pencegahan lain yang terbukti lebih efektif, juga berdosa kerana meletakkan anak mereka dalam keadaan bahaya.”[4- New Strait Times 24 Jun 2016]
.
3. Kenyataan Mufti Kelantan SS Datuk Mohamad Shukri Mohamad: “Vaksin wajib diambil demi memastikan kesihatan ummah berada dalam keadaan yang baik dan terkawal kerana penularan pe­nyakit boleh dielakkan menerusi pengambilan imunisasi sesuatu penyakit.”[5- Utusan Online 27 Jun 2016]
.
4. Kenyataan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Mufti, SS Dato’  Dr Zulkifly Muda, pada 29 Jun 2016 telah membuat keputusan bahawa: “kanak-kanak di negeri ini wajib mendapatkan suntikan vaksin untuk membendung serangan penyakit dan menyebabkan masalah kesihatan yang teruk termasuk kematian.”[6- MStar Online 5 Julai 2016]
.
Justeru siapalah kita yang kerdil ini. Saya hanya menerangkan segala ilmu yang telah pun diulas oleh para alim ulama.
.
Pandangan dan pertembungan khilaf ilmu ini perlu dimurnikan dikalangan sesama asatizah. Jika perlu, bersemuka dan duduk berbincang tanpa menambahkan perseteruan di media sosial. Jika majlis fatwa atau kerajaan telah tetapkan sesuatu, terimalah ia. Bukankah melakukan apa yang putuskan oleh kerajaan itu juga adalah salah satu dari cabang syariat?
تَصَُّفُ الإمَامِ عَلَ الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة
Maksudnya: “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahat terhadap rakyat.”
(Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 121)
.
Para ulama’ menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan pihak pemerintah wajib didasari dengan maslahat dan kebaikan untuk masyarakat umum seluruhnya iaitu rakyat yang berada di bawah tadbir urusnya. Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif yang asal, maka tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut syarak. (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/308)
.
Saya amat hormati semua pandangan Tuanguru yang pernah saya berbincang dalam bab ini. Sebab itu semasa sesi forum itu saya tidak menjawab ulasan akhir selepas Tuanguru Ahmad Ruzaini berucap.
.
Saya cuma buat kesimpulan jika para asatizah tidak setuju dengan keputusan majlis fatwa atau mana-mana mufti, sila duduk berbincang dalam majlis yang lebih tersusun sesama mereka, bukannya forum terbuka atau media sosial yang banyak fitnah kerana boleh menjatuhkan muruah. Disiplin perbincangan Ilmu para ulama harus dipegang.
.
Astaghfirullahal Azim.
.
Dari insan dhaif, suhazeli.com
Wallahuaklam
.
Pautan:
[3] Berdosa dedah anak bahaya penyakit tanpa vaksin. https://www.bharian.com.my/node/147522
Full forum : https://www.facebook.com/TGAR.ANNUURI/videos/153984812193918/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articlePenjelasan Isu Forum di Pondok Pak Teh, Perak
Next articleBahan dalam Vaksin
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com