Friday, April 26, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Minum air Sejuk Penyebab Sakit buah Pinggang?

batu-karang1.jpgHari ni banyak menerima pesanan wassap group berkenaan satu nasihat kesihatan dari Dr Hj Noorul Amin. Beliau adalah seorang doktor swasta yang turut mengusahakan pusat dialysis. Tulisan yang hampir sama dalam memberi nasihat penjagaan buah pinggang sebenarnya telah berlegar didunia maya sejak tahun lepas lagi dengan versi yang agak panjang. Boleh baca salah satu pautan yang memuatkan tulisan beliau tersebut [1]. Versi wassap kali ini mengenai bahaya air sejuk diminum selepas bangun tidur boleh merosakkan buah pinggang. Beliau juga menambah hujah agama dalam menguatkan lagi saranan beliau dalam penjagaan kesihatan buah pinggang tersebut.

Saya memuji usaha yang amat baik dilakukan oleh beliau dalam menyedarkan masyarakat bagi mengoptimumkan penjagaan kesihatan terutama kesihatan buah pinggang. Namun terdapat beberapa fakta dalam tulisan tersebut perlu diperbetulkan agar tidak menjadi salah faham dikalangan masyarakat.

Dua pertiga punca kerosakan buah pinggang adalah akibat dari tiada pengawalan darah tinggi dan kencing manis.[2, 3] Sebab utama penyakit buah pinggang  kronik di Malaysia ialah penyakit kencing manis (DM). Dilaporkan 62% peratus dari 7050 pesakit baru yang memulakan rawatan dialisis berkekalan pada tahun 2014 adalah pesakit diabetes. Manakala tiga faktor risiko tertinggi penyakit buah pinggang dari kajian 900 orang awam di Semenanjung Malaysia pada tahun 2012 ialah Kencing Manis (DM), peningkatan umur dan tekanan darah tinggi. Tidak pernah ada kajian klinikal yang dilaporkan yang menghubung kait *kerosakan buah pinggang* dengan amalan *berpuasa atau memimun air ketika perut kosong atau di awal pagi*. Malah Rasulullah pernah menganjurkan meminum air kosong semasa berbuka puasa selain dari buah kurma.
Dakwaan beliau hasil dari bertahun lamanya pengalaman di pusat dialysis bahawa ramai pesakit mengamalkan minum air selepas bangun tidur boleh dipersoalkan kesahihan faktanya.
*Pertama*; Hubung kait sesuatu tabiat dengan penyakit tidak boleh di buat satu kesimpulan mudah kecuali dijalankan kajian secara perbandingan (paling tidak buat _case control study_ ). Jika demikian, saya juga boleh mendakwa pesakit buah pinggang tersebut berpunca dari nasi dagang. Ini kerana majoriti pesakit buah pinggang seliaan saya mengamalkan tabiat makan nasi dagang di awal pagi! Bukan semudah itu dakwaan atas sesuatu kaitan penyakit.
*Kedua*; penemuan individu dalam jumlah terpencil/kecil, ia dianggap nadir dan tidak boleh dijadikan bukti untuk nasihat umum (generalisation) kecuali melalui fasa metodologi kajian yang tepat. Mungkin pengalaman peribadi beliau akibat kematian bapa mertua yang mencetuskan satu kesimpulan mudah itu dibuat.
Selanjutnya beliau memberi beberapa saranan pemakanan. Antaranya menegah memakan ayam, ikan dan daging dibawah kategori protein. Berikut adalah ulasan dari Dr Rafidah Dato Abdullah, Pakar Perunding Nefrologi Negeri Pahang.
Jika seseorang mempunyai fungsi buah pinggang yg baik, tidak ada masalah dengan pengambilan protein, satu komponen makanan seimbang. Terdapat 5 kumpulan makanan yg diperlukan setiap hari. Sumber protein adalah susu & produk tenusu (kumpulan 4 piramid makanan) dan Ikan / Ayam / telur / kekacang (kumpulan 3 piramid makanan).[4]

Untuk pesakit kronik buah pinggang, adalah disarankan supaya berjumpa Pakar pemakanan kerana keperluan setiap individu adalah berlainan. Jika terlampau kurang protein di dalam badan, seseorang boleh mengalami masalah ketidakseimbangan nutrisi (Malnutrition – protein energy wasting, PEW). Ianya boleh membahayakan diri.

Untuk pesakit kronik kegagalan buah pinggang peringkat 3, 4 & 5, disarankan mengurangkan sedikit pengambilan protein, iaitu 0.6 – 0.8g/kg/hari.[2] Sebagai contoh jumlah protein pada seketul dada ayam (berat 100 gram) adalah 18 gram Beberapa kajian saintifik yang meluas memberi kesimpulan bahawa pengambilan protein yang lebih rendah tidak ada apa-apa kebaikan untuk penyakit kronik buah pinggang.

Walaubagaimanapun, keperluan setiap individu berpenyakit adalah berbeza. Kami tidak boleh memberi nasihat secara umum. Nasihat adalah khusus secara individu semasa konsultasi klinikal yang dijalankan. Yang tidak ada masalah buah pinggang, ambil protein seperti biasa, secara seimbang. Yang ada penyakit kronik buah pinggang, perlu nasihat Pakar pemakanan kerana setiap individu adalah unik. Bukan semua sama.

Begitu juga dengan pemakanan untuk penjagaan DM. Asasnya adalah mengurangkan segala jenis bentuk gula dalam makanan atau minuman. Penukaran gula pasir ke gula manisan/melaka (coconut sugar) tidak membantu mengawal gula sebab kandungan gula tetap sama.

Dakwaan nasihat doktor… belajar dari guru mereka yahudi…. bla… bla..
Saya tak perlu ulas panjang lah atas *paranoid* sedemikian rupa.

Link Rujukan
[1] Tulisan dari Dr Hj Noorul Amin. https://bekamazzahra.wordpress.com/2016/02/17/dari-dr-hj-noorul-amin-hj-abd-rahman-penyakit-kerosakan-buah-pinggang-atau-kidney-failure-punca-arwah-pak-mertua-saya-meninggal-semalam-sudah-menjadi-tidak-asing-lagi-utk-rakyat-msia-dulu-kita/
[2] CPG On Chronic Kidney Disease 2011. http://www.acadmed.org.my/index.cfm?&menuid=67#Nephrology
[3] CKD. https://www.kidney.org/kidneydisease/aboutckd
[4] Malaysian Dietary Guidelines.

Dr Suhazeli Abdullah
_Insan yang dhaif_

Fb.com/drsuhazeli
www.suhazeli.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles