Habbatus SaudaIsu:
Kenapa Kementerian Kesihatan tidak menjalankan kesedaran supaya memilih makanan yang baik-baik dan halal?. Berapa ramai masyarakat sekarang tidak menjaga kesihatan mereka dengan mengambil perubatan dari barat! Sebenarnya terdapat kaitan pemakanan sihat dengan sistem imuniti. Apa yang mereka makan, itulah yang membentuk mereka. Secara fitrahnya Allah sudah turunkan habbatus sauda sebagai ubat yang boleh menyembuhkan segala penyakit. Inilah vaksin yang sebenar sebagaimana Rasulullah akui dalam hadis yang sahih. Kenapa para doktor berani sekali menyangkalnya atau doktor tidak tahu?

Jawapan:
Kementerian kesihatan telah lama menganjurkan dan menyarankan konsep TLC (Therapeutic Life Changes) kepada pesakit dan anggota kesihatan. Asas yang dianjurkan oleh KKM adalah penjagaan kesihatan menyeluruh setiap individu seperti pemakanan sihat, penjagaan kesihatan mental, kekal cergas dengan senaman dan keupayaan optima spiritual [1]. TLC ini bertindak secara umum, dengan membina keutuhan sistem badan. Akan tetapi ianya tidak khusus melawan serangan penyakit berjangkit berbahaya seperti polio, pertusis, difteria dan seumpamanya lagi. Tidak seperti mana yang dilakukan oleh vaksin [2].
Sebahagian dari pengamal perubatan moden juga adalah muslim, dan mengamalkan pemakanan sunnah. Semua orang berhak beramal dengan sunnah. Dalam masa yang sama Rasulullah menganjurkan kaedah perubatan terkini sebagaimana seerah Rasulullah SAW semasa hayat baginda. Ketika baginda gering, baginda menerima para doktor dari benua arab untuk mengubati Baginda.

Dalam sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah, Nabi bersabda:

عِبَادَ اللَّهِ ، تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلاَّ وَضَعَ لَهُ دَوَاءً إِلاَّ دَاءً وَاحِدًا الْهَرَمُ

“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua.” [3]

Baginda juga bersabda:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah ia dengan izin Allah.” Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim.

Hadis-hadis ini merangsang umat Islam untuk berubat ketika sakit tanpa mengehadkan kepada jenis rawatan atau ubatan tertentu sahaja. Dalam Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi berkata, “Hadis ini mengisyaratkan disunatkan berubat ketika sakit. Inilah mazhab kita (dari aliran mazhab Syafie), juga pegangan kebanyakan ulama salaf dan keseluruhan ulama khalaf. Berkata Qadi ‘Iyadh: Dalam hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu berkaitan agama dan dunia, antaranya ialah, benarnya ilmu perubatan dan diharuskan berubat secara keseluruhannya.”

Justeru merupakan satu kesilapan jika konsep Perubatan Islam disempitkan dan dikaitkan dengan kaedah atau cara pengubatan tertentu sahaja, seperti aktiviti menghalau jin, membuang saka, pengambilan makanan berpandukan al-Quran dan Sunnah, serta menolak kaedah-kaedah pengubatan yang lain. Lebih malang lagi jika kaedah yang dikatakan Perubatan Islam itu diamalkan berasaskan sumber riwayat yang tidak sahih serta palsu [4].

Bagaimana pula pemahaman kita berkaitan anjuran Rasulullah agar mengambil habbatus sauda untuk berubat? Hadith yang paling masyhur dalam masyarakat berkaitan kelebihan habbatus sauda ialah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

فِي الْحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا السَّامَ

“Pada habbatas sauda itu ada penawar/ubat bagi semua penyakit kecuali mati.” [5,6]

Jika difahami secara literal hadis tersebut seolah-olah bercanggah dengan apa yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah dan para sahabat. Ini kerana disaat gering Rasulullah SAW, Tidak pun Rasulullah menjadikan Habbatus sauda sebagai agen utama untuk berubat.

Lihat pula satu hadis riwayat Bukhari mengenai suruhan Rasulullah berubat dengan meminum air kencing dan susu unta pada kaum ‘Urayinin (‘Ukal):

أنّ نَفَرًا مِنْ عُكْلٍ ، ثَمانِيَةٍ قَدِمُوا على رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فَبَايِعُوه عَلى الإسلام ، فَاستوخَمُوا الأرضَ فَسَقِمتْ أجسَامِهِم ، فشَكَوْا ذلك الى رسول الله صلى عليه وسلم ، قال : ( أفَلاَ تَخْرُجُونَ مَعَ راعينًا في إِبِلِه فَتُصيبُونَ من البَانِهَا وأبوالها ) قالوا : بلى ، فخرجوا فشربوا من البانها وأبوالها فَصَحّوا فَقَتَلُوا رَاِعيَ رسول الله صلى الله عليه وسلم وأطردوا النّعَمَ

(رواه البخاري)

Maksudnya: _“Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah Shallallahualaihi wasallam, lalu mereka berikrar kepada Nabi untuk masuk Islam. Kemudian cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. Baginda berkata kepada mereka: “Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya, kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya.” Mereka menjawab : “baiklah”. Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu, setelah itu mereka pun sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam itu dan merampas itu dan merampas unta-untanya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)._ [7]

*Bagaimana penafsiran Hadis ‘Uraynin berkaitan minum air kencing dan susu unta?*

Rasulullah SAW sendiri tidak mengamalkan apa yang di sebut (nauzubillah- tidak menuduh Rasulullah SAW tidak amanah dengan sabdaan baginda sendiri), menunjukkan ianya adalah satu lafaz yang umum oleh Rasulullah sesuai dengan kebolehcapaian dan pengalaman kaedah berubat pada masa tersebut. Ianya tidak mengkhususkan kepada sesatu kaedah perubatan. Begitu juga apa yang dipraktikkan oleh para sahabat baginda. Sebagaimana kisah Saidina Umar Al Khattab, ketika mana beliau hendak masuk ke dalam Syam. Apabila beliau mengetahui di syam berlakunya wabak taun, dia berpatah balik dan tidak jadi masuk ke syam. Lalu Abu Ubaidah al-Jarrah berkata:

أفرارا من قدر الله؟

“Adakah engkau cuba lari dari ketentuan Allah?”

Umar menjawab:

لو غيرك قالها يا أبا عبيدة نعم نفر من قدر الله إلى قدر الله

“Alangkah baik sekiranya kata-kata ini diucapkan oleh orang lain. Ya, kami lari dari ketentuan Allah kepada ketentuan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari) [8]

Kenapa dengan tuntas Saidina Umar menjawab demikian? Adakah beliau tidak pernah dengar hadis Rasulullah berkaitan dengan Habbatus Sauda, madu dan seumpamanya? Rasulullah juga menyebut dalam banyak hadis berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan larangan tertentu bagi mengelakkan penyakit serta kaedah berubat.
Ustaz Ad-Dien dalam satu catatan beliau mengenai habbatus sauda ini seperti berikut:  Dalam hal ini, masyarakat awam tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana mereka sendiri tidak terdedah dengan syarahan ulama’ apatah lagi mengkaji perbahasan mengenainya. Tambahan pula, lafaz hadith itu sendiri menggunakan lafaz “ kullu daa’ ” (semua penyakit) maka sudah pasti bagi sesiapa yang memahami secara literal akan berpegang sedemikian rupa. Hadith ini merupakan hadith yang mengandungi lafaz umum namun maksudnya khas. Habbatus sauda sememangnya baik untuk menyembuhkan banyak penyakit namun bukanlah semua penyakit yang ada dimuka bumi ini [6].

Jika dilihat kepada pemberian vaksin, ianya adalah bagi mencegah penyakit berjangkit secara khusus seperti Polio, Pertusis, Campak, Meninggitis dan seumpamanya lagi. Ianya memberi perlindungan secara khusus [9]. Berbeza dengan perlindungan yang di perolehi dari mi pemakanan sunnah atau susu ibu, ia lebih bersifat umum dan memberi khasiat kesihatan secra tidak spesifik.

Kita selalu nasihatkan anak-anak kita makan carot untuk penjagaan mata yang sihat. Ianya adalah perlindungan yang bersifat umum. Jika penyakit katarak (selaput kanta mata), buka carot sebagai ubatnya atau pencegahannya! Sudah tentu rawatan atau pencegahan secara khusus diperlukan supaya tidak dihinggapi penyakit katarak ini. Jika yang berpenyakit kencing manis, kawallah gula dalam darah anda seutuhnya. Dalam masa sama bukan menjadi satu halangan, carot boleh dimakan sebagai makanan komplimen.

Rujukan silang
[1] Amalan Cara Hidup Sihat. http://www.myhealth.gov.my/amalkan-cara-hidup-sihat/
[2] Imunisasi penting untuk si kecil. http://www.hmetro.com.my/node/37668
[3] Benarkah perubatan Moden tidak selari dengan Perubatan Islam? http://drafiqrahim.com/benarkah-perubatan-moden-tidak-selari-dengan-perubatan-islam/
[4] Dr Danial ZA. Perubatan Islam dan Pemakanan Sunnah. http://majalah-i.karangkraf.com/alquran-dan-sains/perubatan-islam-makanan-sunnah-1.421341
[5] Riwayat Al-Bukhari dalam Sahihnya, kitab Al-Tibb no. 5687; Riwayat Muslim no. 2215
[6] Ustaz Dien. Salah faham hadis Habbatus Sauda. http://addienblog.blogspot.my/2016/03/salah-faham-hadith-habbatus-sauda-ubat.html?m=1
[7] Hukum berubat dengan Air kencing unta. http://www.ahmadzain.com/read/karya-tulis/341/hukum-berobat-dengan-air-kencing-unta/
[8] Wabak dan penyakit berjangkit menurut Islam. http://sahabatinsaf.blogspot.my/2009/08/wabak-dan-penyakit-berjangkit-menurut.html
[9] Saad Omer. Vaccine Refusal….http://www.nejm.org/doi/full/10.1056/NEJMsa0806477

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Comments

comments

SHARE
Previous articleVaksin Oral Polio Terbukti Selamat
Next articleMinum Air Secara Berdiri Boleh Rosakkan Buah Pinggang?
mm
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com