,

Gelembung Putih Pada Daging

Minggu ini tersebar secara meluas gambar daging yang mempunyai gelembung berwarna putih. Katanya daging berkenaan telah dijangkiti oleh kuman Tuberculosis Bovis, sejenis kuman yang disamakan dengan penyakit Tuberkulosis dikalangan manusia.

Setelah saya selidiki dengan rakan² doktor veterinar, maklumat berkenaan adalah tidak tepat. Tuberkulosis Bovis yang menjangkiti haiwan terlalu sukar tumbuh didaging atau tulang. Tuberkulosis Bovis dalam haiwan majoriti terdapat dalam paru-paru haiwan berkenaan. Tuberkulosis bovis tidak mudah mengjangkiti manusia kerana ianya mempunyai struktur biologi berbeza. Walaupun jangkitan boleh berlaku tetapi terlalu amat jarang. [1]

Agri-food Veterinary Authority (AVA) Singapura yang bertanggungjawab terus terhadap mutu makanan juga mengulas isu yang sama. Mereka menyatakan bahawa hasil penyelidikan makmal AVA, tiada pun daging² seumpama itu dijangkiti oleh penyakit merbahaya termasuk kuman Tb.[2] AVA menasihati orang ramai agar tidak terus menyebarkan berita tidak tepat.

Kajian yang dijalankan oleh Meats and Muscle Biology Section, Dept of Animal Science, Texas Agricultural Experiment Station, mendapati punca gelembung itu terbentuk kerana struktur daging rosak. Pendedahan kepada alam sekeliling dan suhu yang tidak sesuai boleh menyebabkan daging tersebut rosak. Ia juga bukan akibat dari bahan kimia plastik pembungkus atau pengawet yang digunakan.[3]

Pihak berkuasa negara sudah pasti akan memastikan setiap makanan atau daging yang diimport ke dalam negara senantiasa selamat dan halal untuk dimakan. Jika anda mendapati daging atau makanan tidak elok, rosak atau basi, tidak perlulah membeli makanan tersebut. Cari makanan yang bersih, berkualiti dan selamat amat penting demi menjamin kesihatan yang optimum. Jika terdapat penjual yang menjual makanan tidak berkualiti, anda boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

Sekian terima kasih dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

17.8.2018

Kuala Berang

Pautan

[1] Ricardo de la Rua-Domenech. Human Mycobacterium bovis infection in the United Kingdom: Incidence, risks, control measures and review of the zoonotic aspects of bovine tuberculosis. Tuberculosis, Volume 86, Issue 2, 2006, Pages 77-109, ISSN 1472-9792,

https://doi.org/10.1016/j.tube.2005.05.002.

(http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1472979205000478)

[2] Bubbles on meat ava assures public. https://stomp.straitstimes.com/singapore-seen/bubbles-on-meat-ava-assures-public-it-inspects-and-tests-food-products-before-they

[3] L. C. HALL Z. L. CARPENTER G. C. SMITH.WHITE‐SPOT FORMATION ON PACKAGED BEEF STEAKS. https://onlinelibrary.wiley.com/doi/abs/10.1111/j.1365-2621.1979.tb06461.x

,

Telur Ikan Beracun

Sehari dua ini viral satu gambar telur ikan yang katanya amat bahaya. Kononnya lagi, ikan-ikan tersebut memakan racun dan terjadi tumor kanser dari ikan, dari logam berat. Memakannya akan mengakibatkan bahaya dan penyebabkan ABK Tipe Autistic.

Baik, mari kita siasat lanjut adakah benar perkara ini?

Gambar viral ini mula disebarkan sejak 2017 di ruang maya Indonesia. Mereka menuduh ikan tersebut ditemui dalam tin sardin jenama tertentu dari India. Penjelasan telah dilakukan pihak berwajib Indonesia.[1]

Pun begitu, kristal putih seperti telur ikan tersebut memang wujud dalam beberapa jenis ikan tertentu. Ianya bergantung kepada makanan ikan di kawasan berkenaan. Kebanyakannya ikan-ikan sardin yang terdapat dilaut Mediterranean. Protozoa ini dimakan oleh ikan berkenaan. Nama ilmiahnya adalah Glugea Sardinellensis. Ianya boleh tumbuh membesar hingga ukuran 1-18 mm. Pertumbuhan ini dikenal dengan nama Xenoma.[2]

Protozoa ini tidak merbahaya. Dakwaan yang menyatakan Xenoma ini mengandungi logam berat dan beracun adalah tidak tepat. Begitu juga dengan istilah “tumor kanser” yang digunakan dalam tulisan viral tersebut adalah salah. Tumor itu sendiri bermaksud kanser secara umum. Tiada bukti memakan Xenoma boleh menyebabkan kanser atau penyebab penyakit autism terhadap bayi yang akan dilahirkan. Tujuan tulisan tersebut tersasar tanpa pasti niat ianya di viralkan.

Dari satu sudut yang lain pula, apakah hukum memakan ikan yang tidak dibersihkan perutnya sebelum dimasak? Perut ikan adalah kotoran. Ulama berselisih pendapat najis daripada haiwan dagingnya boleh dimakan. Imam Syafie mengatakan najis secara mutlak tetapi Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hanbali megatakan suci. Dalam kitab Al-Majmuk Syarah Muhadzab, Imam Nawawi mengatakan:

وقد سبق أن مذهبنا أن جميع الأرواث والذرق والبول نجسة من كل الحيوان ، سواء المأكول وغيره والطير وكذا روث السمك والجراد وما ليس له نفس سائلة كالذباب فروثها وبولها نجسان على المذهب ، وبه قطع العراقيون وجماعات من الخراسانيين . وحكى الخراسانيون وجها ضعيفا في طهارة روث السمك والجراد وما لا نفس له سائلة ، وقد قدمنا وجها عن حكاية صاحب البيان والرافعي أن بول ما يؤكل وروثه طاهران وهو غريب ، وهذا المذكور من نجاسة ذرق الطيور كلها هو مذهبنا

Maksudnya, “Sudah dijelaskan dalam mazhab kita (yakni mazhab Syafi’i) bahawa seluruh kotoran haiwan, tahi burung dan kencingnya itu najis. Baik haiwan yang halal dimakan atau tidak. Adapun burung, tahi/kotoran ikan dan belalang dan haiwan yang darahnya tidak mengalir seperti lalat, maka hukum kotoran/tahi-nya dan kencingnya adalah najis menurut mazhab (Syafi’i). Ini pendapat ulama Irak dan segolongan ulama Khurasan.[3]

Bagi ikan yang bersaiz kecil seperti ikan bilis, ianya dimaafkan oleh syarak untuk tidak membuang perut. Ini kerana mengikut adatnya terlalu sukar untuk membuang isi perut satu persatu ikan² kecil tersebut.

Oleh yang demikian, pastikan ikan sardin yang anda beli dari pasar itu bersih dan telah dibuang perut sebelum diproses pengetinan.

Sekian

Suhazeli.Com

Fb.Com/drsuhazeli

6.7.2018

Kuala Berang

[1] Berita palsu telur ikan berracun. https://turnbackhoax.id/2017/10/31/hoax-bila-nampak-dalam-perut-ikan-sejenis-telur-ikan-seperti-dlm-gambar-ini/

[2] New microsporidia, Glugea sardinellensis n sp. http://www.ejournals.eu/Acta-Protozoologica/2016/Issue-4/art/8478/

[3] Hukum makan ikan yang tidak dibuang perut. http://www.islamituindah.my/hukum-makan-ikan-yang-tidak-dibuang-perut/

,

7 Sebab Penyakit dibawa oleh Warga Asing?

PEKERJA ASING PUNCA PENYAKIT ?

.

Saya terbaca satu tulisan seorang doktor perubatan yang rungsing dengan lambakan pekerja asing dalam negara kita. Tambah beliau, pekerja asing yang membuat pemeriksaan kesihatan tidak melepasi tahap kesihatan sebelum masuk negara kita. Kes yang beliau temui bahawa, beliau cuba diberi rasuah untuk menutup keputusan xray yang telah dilakukan. Pemeriksaan xray tersebut dikhuatiri pesakit dijangkiti kuman tuberkulosis. Dakwa beliau lagi beribu-ribu kes yang terlepas masuk dalam negara kita. Para pekerja asing bebas diselinap tempat yang mungkin boleh membahayakan kesihatan orang lain jika mereka itu positif Tb, hepatitis B.

Gambar Hiasan dari Google.

Tidak kurang juga ramai dikalangan netizen yang menaruh kebimbangan dijangkiti penyakit berjangkit yang merbahaya seperti Tb, hepatitis, kepialu, HIV dan lain-lain lagi akibat kesangsian mereka terhadap sistem pemeriksaan kesihatan yang tidak telus. Para pekerja asing bebas bergerak di sekeliling kita terutamanya di pusat membeli belah dan restoran. Anggapan mereka lagi bahawa terdapat doktor-doktor yang sanggup menerima rasuah untuk meluluskan tahap kesihatan. Mempertaruhkan nyawa anak bangsa dek kerana kepentingan peribadi sehingga sanggup melakukan hal terkutuk sedemikian. Begitu juga dengan vaksin BCG yang mereka mengatakan bahawa para pekerja asing tidak diberi vaksin, justeru boleh menjadi punca wabak.

.

Beberapa pernyataan yang boleh kita ambil perjalanan bersama bagi mengatasi masalah ini.

1) Pencegahan jangkitan TB dikalangan dewasa bergantung kepada kaedah pergaulan, menjaga kebersihan diri dan etika ketika batuk. Selain itu, kita dianjurkan menjaga cara hidup sihat agar terhindar dari penyakit yang boleh mengurangkan sistem pertahanan badan seperti kencing manis, kegagalan buah pinggang, HIV dan seumpamanya. Ini kerana sistem pertahanan badan yang rendah akan meningkatkan risiko jangkitan kuman TB.

2) TB Paru-paru pula adalah kategori yang paling kerap berlaku. Ianya senang dijangkiti melalui pernafasan. Orang yang positif TB paru-paru berisiko menyebarkannya kepada sanak saudara, rakan taulan yang rapat semasa bergaul. Kajian mendapati tempoh efektif antara 4 hingga 8 jam seseorang yang bergaul rapat dengan pesakit TB paru-paru berisiko tinggi untuk dijangkiti. Ia juga bergantung kepada tahap sistem pertahananan badan, pengudaraan tempat pergaulan tersebut dan amalan langkah-langkah pencegahan. Risiko semakin tinggi jika seseorang itu mempunyai kencing manis dan HIV.

3) Adalah dinasihatkan juga para pesakit yang positif TB paru-paru agar mematuhi etika batuk. Di mana semasa batuk hendaklah ditekup hidung dan mulutnya, paling tidak dengan sehelai tisu muka. Paling baik, sepanjang tempoh rawatan intensif (biasanya 2 bulan pertama), pesakit dikehendaki memakai topeng muka. Elakkan berada ditengah khalayak ramai atau tempat yang terkurung bersama dengan orang ramai. Bagi pesakit yang bekerja pejabat, pihak doktor akan berikan cuti sakit dalam tempoh yang munasabah. Di pejabat biasanya sistem penghawa dingin yang berpusat memudahkan lagi pengedaran udara yang tercemar. Penyakit lain seperti hepatitis B, penyakit kelamin tidak sesekali boleh berjangkit dengan pengudaraan dan pernafasan.

4) Setakat ini tiada lagi kes yang dilaporkan jangkitan TB paru-paru diperolehi dari para pekerja Bangla, Nepal, Indonesia dan lain-lain.[1] Tidak semudah itu ingin menuduh mereka menghidapi TB dek kerana mereka tidak ambil vaksin BCG. Lagipun kedai kopi atau restoran agak terbuka. Kita makan atau membeli pun tidaklah sampai melebihi 4 jam disesatu kedai. Malah kita bukan bergeseran badan dengan mereka sehingga mendengar hela nafas dikeluarkan. Walau bagaimanpun, jumlah pengidap TB dikalangan para pekerja asing itu sendiri meningkat. Tahun lepas sahaja dicatatkan sebanyak 12% jumlah pesakit TB dalam Malaysia adalah warga asing.[2] Peningkatan ini mungkin boleh dikaitkan dengan pemeriksaan kesihatan yang agak longgar terhadap pekerja asing. Ramai juga dikalangan mereka yang masuk ke Malaysia secara haram. Keadaan ini semakin merumitkan pihak berwajib untuk memantau status pemeriksaan kesihatan mereka.

5) Langkah tuntas telah dijalankan oleh pihak berkuasa, iaitu dengan memperkenalkan sistem pengecaman biometrik. Sistem ini telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali pada bulan ogos tahun lepas. Beliau berkata sistem pengecaman biometrik itu akan menjadi lapisan kedua saringan pekerja asing yang bekerja di negara ini.[3]

Katanya lagi , sistem saringan kesihatan biometrik itu akan memastikan hanya pekerja asing yang sihat bekerja di negara ini.

“Kita dapati beberapa peratus pekerja asing yang guna orang lain untuk tujuan saringan kesihatan. Kita tidak kompromi kalau ada pemalsuan”.

Tahun 2017, seramai 407,890 pekerja asing melalui pemeriksaan saringan kesihatan dari Januari hingga Jun. Daripada jumlah itu, sebanyak 10,618 atau 2.6 peratus pekerja asing gagal saringan kesihatan dengan majoritinya mengidap tibi, hepatitis B dan STD (penyakit jangkitan seksual).

Pekerja asing dari Indonesia menduduki tangga teratas tidak lulus saringan kesihatan dengan mencatat 3,129 kes, Nepal (3,021) diikuti Bangladesh (1,643).

Pekerja asing yang gagal saringan kesihatan akan dihantar pulang ke negara masing-masing.

6) Melalui sistem itu, pekerja asing perlu melakukan pengecaman cap jari biometrik bagi melakukan saringan kesihatan di lebih 3,000 klinik yang berdaftar di bawah Agensi Pemantauan Pemeriksaan Saringan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA). /oleh kerana itu menjadi tugas penting kepada klinik-klinik swasta yang telah dilantik agar telus dalam melaksanakan Pemeriksaan Saringan Perubatan Pekerja Asing.

7) Jika para doktor mendapati seseorang pekerja asing tersebut dijangkiti penyakit berjangkit, wajib mereka membuat pelaporan (notifikasi) kepada pihak berkuasa kesihatan dalam tempoh segera. Notifikasi kes ini termaktub dalam akta di bawah seksyen 10 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Terdapat 24 penyakit yang wajib dibuat pelaporan. Selain dari Notifikasi Bertulis, penyakit berikut perlu dinotifiksi melalui telefon dalam tempoh 24 jam iaitu: Acute Poliomyelitis, Cholera, Dengue, Diptheria, Ebola, Food Poisoning, Plague, Rabies dan Yellow Fever.[4] Jika tidak berbuat demikian penalti akan dikenakan mengikut akta yang sama.

.

Kesimpulan: Masyarakat awam tidak perlu risau dan panik dengan pendedahan yang dilakukan. Sistem yang dibangunkan, kawalan yang dibuat dari masa ke semasa oleh pihak berkuasa dan akta yang boleh mengikat pihak berkenaan, seutuhnya akan menjamin penjagaan kesihatan maksimum.

.

Sekian komentar dari suhazeli.com

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

suhazeli.com

.

Pautan

[1] Negara tinggi penyakit TB. http://www.stoptb.org/countries/tbdata.asp

[2] TB dikalangan warga asing. http://today.mims.com/topic/tb-on-the-rise-in-malaysia-due-to-undocumented-migrant-workers

[3] Sistem pengecaman biometrik. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/08/307639/sistem-biometrik-saring-kesihatan-pekerja-asing

[4] Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. https://www.yumpu.com/id/document/view/29329495/akta-342-akta-pencegahan-dan-pengawalan-penyakit-berjangkit-1988

, , , ,

Kuman Bekam

Sedih dengar cerita seorang pesakit yang pernah dijangkiti virus Hepatitis C akibat berbekam. Mungkin ianya satu kes terpencil, tetapi boleh dijadikan iktibar kepada penggemar bekam seluruh dunia.

.

Kisahnya bermula beliau dihinggapi Hepatitis C. Setelah diselidik tiada sumber lain yang menyebabkan sumber jangkitan kecuali beliau pernah berbekam sebulan sebelum itu. Nasib baik beliau segera dirawat dari doktor pakar. Keputusan akhir darah dapati beliau sudah bebas dari Hepatitis C.

.

Gambar Hiasan


Beliau membayangkan kembali di saat bekam dijalankan, pengamal bekam tersebut tidak mengamalkan konsep kebersihan. Pengusaha bekam itu hanya membasuh ‘cup’ bekam dengan cincai sahaja. Walaupun gunakan sabun dan air, tetapi nampak lagi darah kemerahan melekat di dinding cawan tersebut. Kemudian lap dengan tisu tandas darah yang terkumpul. Cawan bekam itu dikongsi dengan pelanggan lain pulak. Sedangkan kini sudah ada cawan bekam jenis pakai buang. Tapi demi jimatkan kos, cawan yang satu itu dikitar semula.

.

Nasihat saya kepada para pengamal bekam agar menjaga kebersihan semasa menjalani prosedur. Perkara ini selalu patut ditekankan dalam kursus-kursus yang mereka hadiri. Paling minima ‘universal precaution’ perlu diamalkan. Membasuh tangan dengan betul, memakai topeng muka, memakai sarung getah tangan yang nyahkuman dan menyelia semua alatan sebaik sahaja prosedur wajib dilakukan demi mengelak jangkitan kuman.

.

Virus bahaya yang berisiko tinggi untuk dijangkiti seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV. Kajian mendapati peratus risiko jangkitan virus Hepatitis B sebanyak 30%, virus Hepatitis C sebanyak 2% dan virus HIV sebanyak 0.3%. Begitu juga bakteria stafilokokos, streptokokus dan pelbagai lagi boleh mengundang jangkitan yang menyeksakan jika tidak diurus dengan baik.

.


Pihak KKM melalui Unit Perubatan Tradisional & Komplimentari telah mengeluarkan garis panduan bekam. Antaranya:

1) Peralatan untuk berbekam

a. Alat bekam – cawan

Cawan bekam tanpa perlu memanaskan udara sebelum diaplikasikan kepada pelanggan.

Cawan–cawan ini perlu disterilkan selepas setiap sesi rawatan, dan cawan yang sama tidak boleh tidak boleh digunakan pada tempat yang berbeza atau pada pelanggan yang lain.

Pastikan saiz cawan adalah bersesuaian dengan tempat yang akan diaplikasikan.

b. Lanset steril pakai buang

Hanya lanset pakai buang sahaja yang digunakan untuk menoreh kulit semasa prosedur bekam basah dilakukan.

.

2) Amalan baik langkah berjaga-jaga

a. Pengamal dikehendaki memastikan standard langkah berjaga-jaga dalam penjagaan kesihatan sentiasa diikuti pada setiap masa dan semua pengurusan sisa klinikal perlulah mematuhi garis panduan pengurusan sisa klinikal (rujuk pada Garis Panduan Mengurus Sisa Klinikal di Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, 2009)

b. Bagi memastikan bahagian badan yang digunakan untuk rawatan bekam basah tidak
dijangkiti kuman, pengamal perlulah menggunakan lanset steril pakai buang.

c. Permukaan kulit di bahagian badan yang akan digunakan untuk bekam basah perlu
dibersihkan terlebih dahulu dengan 70% isopropyl alcohol dan dibiarkan kering sebelum membuat torehan.

d. Semua peralatan bekam perlu dicuci hama dan disterilkan mengikut kaedah pensterilan dan disinfeksi yang bersesuaian sebelum digunakan pada pesakit.

e. Pengamal dikehendaki menggunakan peralatan perlindungan peribadi terutamanya sarung tangan semasa prosedur rawatan dan mesti memastikan tahap kebersihan diri sentiasa dijaga.

.

Semoga nasihat ini didengari

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli

.

5.10.2017

Kuala Berang

.

Pautan

Kecederaan tusukan jarum.

https://www.ccohs.ca/oshanswers/diseases/needlestick_injuries.html

Panduan Bekam dari TCM. http://tcm.moh.gov.my/v4/pdf/guideline/TerjemahanPGBekam.pdf
[Gambar itu sebagai hiasan, bukan gambar sebenar pesakit Hep C yang dinyatakan dalam artikel]

,

Bell’s Palsy Akibat Aircond? 

Bell’s Palsy Akibat Aircond?

.

“Betul ke doktor penyakit Bell’s Palsy akibat muka terkena aircond?” Soal seorang kenalan sambil tunjukkan paparan wasap telefon Samsung beliau. Telefon tu sudah bertukar macam-macam warna dan kulit cover pun dah menggelupas dek lamanya beliau guna. Malah saya perasan terlalu kamcingnya beliau dengan telefon tu ‘ibarat aur dengan tebing’.

.

“Dalam wasap ni katanya seorang doktor Indonesia bernama Dr William memberikan sebab kenapa seorang pelakon terkenal Rano Karno dijangkiti penyakit Bell’s Palsy. Dia kata akibat disembur angin aircond.” Ulas beliau sambil tunjukkan paparan wasap dalam telefon beliau.

Bell’s Palsy atau muka herot seperti kena strok boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Nama penyakit ini diambil dari nama seorang ahli bedah Scotland, Charles Bell (1774 – 1842). Beliau yang menemui dan mengkaji berkaitan penyakit ini. Orang kampung sebut penyakit ini penyakit ‘kena-tuju’. Katanya seseorang itu terkena tuju oleh makhluk halus kerana meludah ke lubang tempat jin bertapa. Akhirnya dia kena-tuju oleh jin berkenaan. Suatu kepercayaan yang tidak benar. Saya boleh katakan teori kena sampuk jin ini sama karut faktanya dengan tulisan Dr William dari Indonesia tu. Takkan kena sembur angin aircond terus dijangkiti virus herpes? (Eh lupa, herpes tu makhluk halus).

.


Punca penyakit Bell’s Palsy ini akibat radang atau jangkitan virus pada saraf muka. Secara tepatnya saraf muka bernombor 7 (facial nerve). Otot muka akan herot, kelopak mata sukar ditutup dan pesakit tidak dapat senyum dengan sempurna. Bagi sesetengah kes yang serius, boleh berlaku pesakit akan hilang deria lidah, sukar untuk minum serta menelan, otot sekitar muka akan bergetar (twitching) dan percakapan teͤlor. Ianya bukan angin ahmar (strok), kerana angin ahmar biasanya melibatkan separuh badan akan lumpuh. Wanita hamil, pesakit Kencing Manis dan pesakit HIV mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti virus herpes ini.

.

Jika berlaku pada diri anda, sila dapatkan rawatan dengan kadar segera di premis kesihatan yang bertauliah. Jangan jumpa bomoh. Muka herot sebegini bukannya akibat balas dendam jin. Kajian mendapati 7 dari 10 pesakit akan pulih sepenuhnya dengan ubat.

.

Sekian.

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli
8.8.2017

Kuala Telemong

, ,

Virus HIV dalam Tin? 

*#HIV_dalam_Tin*

Tersebar dalam dunia maya sejak beberapa tahun lalu isu “komplot” pemimpin Thailand mencemarkan makanan dalam tin dengan darah pesakit HIV. Sebaran maya itu menjadi viral ke semua media termasuk facebook, twitter, blog, wechat, whatsapp dan lain-lain lagi. Kononnya juga tulisan itu menyandarkan Radio 1 FM terlibat dalam pengumuman kerajaan Thai tersebut.

.

Saya kira sesiapa yang membuat sebaran tulisan tersebut sebelum membuat pengesahan kesahihan berita, bertabayyun dan berhati-hati dalam manyampaikan info sebegini, tidak bertanggungjawab.

.


Pertama, Radio 1 FM di Malaysia, tidak wujud pun nama rasmi sedemikian. Yang wujud adalah Radio Klasik Nasional atau RTM1. Radio 1 FM wujud hanya di Santa Catarina Brazil. Agak tidak munasabah radio Brazil melaporkan berita itu dalam bahasa melayu.

.

Isu kedua, kaedah jangkitan HIV. Ia tidak boleh merebak melalui makanan. HIV hanya berjangkit melalui hubungan kelamin, suntikan jarum penagih dadah, pemindahan darah tercemar kuman HIV, dari ibu yang positif HIV kepada bayi dalam kandungan atau semasa menyusu badan. HIV tidak sesekali menular kepada orang melalui sentuhan kulit, ciuman, ludah, air kencing, najis atau penggunaan barang peribadi yang sama. Jauh sekali ia merebak melalui makanan. Lagipun virus HIV tidak kekal hidup lama di persekitaran lain (selain dari darah manusia atau susu).

.

Masyarakat umum perlu disedarkan bahaya jangkitan HIV melalui risiko-risiko yang saya sebutkan di atas itu berbanding dengan bahan makanan yang kononnya telah dicemari virus HIV. Saya yakin pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan, Kastam, Kementerian Kesihatan dan sebagainya mengambil tanggungjawab memastikan bahan makanan yang masuk ke negara kita melalui sempadan diperiksa dengan teliti. Operasi bersepadu yang dijalankan oleh pihak berwajib itu sudah memadai untuk merampas bahan makanan atau seumpamanya. Undang-undang negara kita sudah ada bagi memastikan tindakan tegas dikenakan jika pengimport membawa masuk makanan tanpa tapisan keselamatan yang ketat termasuk isu yang berkaitan dengan kesihatan makanan. Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 digunakan pakai bagi menahan makanan luar yang tidak memenuhi kriteria. Antara kriteria dan langkah ke arah keselamatan makanan adalah pelabelan makanan, kebersihan makanan, pengawalan bahan tambahan dalam makanan, penggunakan racun perosak, dasar tentang bioteknologi dan garis panduan dalam pengurusan import dan eksport makanan dan pensijilan untuk makanan.

.

Semoga tiada lagi sebaran jangkitan HIV dalam tin ini selepas ini.

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli
7.7.2017

Hotel TH, Telaga Batin

Kuala Terengganu

, ,

Tuberkulosis 

*#TB*

TB bukan bermaksud takut bini tetapi sejenis penyakit bernama tuberkulosis. Ia pula dikategorikan kepada 2 jenis samada TB paru-paru atau bukan paru-paru. Boleh juga dikategorikan kepada TB calit kahak (smear) positif atau calit kahak negatif. 

TB ni sejenis penyakit berjangkit. Bergerak dari seorang ke seorang lain melalui udara. Jika kita bergaul rapat dengan pengidap TB smear positif, kita mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti. Tambahan pula jika tempat pergaulan kita bersama pesakit TB itu terkurung. Pengudaraan hanya berlegar setempat seperti bilik ber’aircond’. Lagi tinggi kadar risiko jangkitan. 

Jika pesakit disahkan TB kahak positif, saya selalu nasihatkan beliau rehat di rumah. Jika dia kerja, saya akan beri MC sehingga minima 2 minggu. Jumpa semula minggu ke-2 setelah mendapat rawatan ubat TB. Sapuan kahak akan diambil. Kita mendapati seawal dua minggu pertama, majoriti kuman TB dalam kahak pesakit sudah tiada. Bermakna, risiko jangkitan kepada orang lain akan berkurang. 

Sepanjang tempoh 2 minggu pertama rawatan intensif, pesakit dinasihatkan kurangkan pergaulan secara bebas dalam masyarakat. Nak istilahkan kuarantin pun bolehlah, tetapi bukannya berkurung dalam bilik jeriji besi! Bagi mengelakkan risiko jangkitan, pesakit atau ahli keluarga digalakkan memakai pelekap muka (mask). Jika batuk, elakkan secara terbuka, tersembur air liur atas muka keluarga. Gunakan saputangan atau tutuplah mulut-hidung semasa batuk. Makan ubat TB tanpa engkar. Ikut aturan, jangan gelong. 

Dari segi makan minum,  tiada pantang larang. Makan aje ikut selera. 

Ahli keluarga atau sahabat handai terdekat pula dikehendaki datang ke klinik tanpa segan silu. Kami akan lakukan saringan TB. 

InshaAllah penyakit TB 100%sembuh. 

Sekian info-nasihat dari suhazeli.com 

Fb.com/drsuhazeli 

20.4.2017

Ketengah Jaya Dungun 

,

Machupo Virus Tidak Hidup dalam Paracetamol

Tersebar awal pagi ini satu mesej tular berkaitan sejenis virus berrnama “Machupo”. Kononnya doktor mengesahkan virus tersebut terdapat dalam ubat paracetamol P/500 mg. Mesej yang tidak bertanggungjawab itu bersandarkan nama Tuhan untuk meyakinkan lagi sebaran.

Virus Machupo memang wujud, tetapi bukan bawaan melalui *ubat tablet paracetamol*.[1] Virus berkenaan boleh merebak melalui kencing atau najis tikus yang telah dijangkiti (sebaran udara-aerosal). Jika virus ini dilepaskan dari perumah (tikus), ianya hanya boleh hidup dalam darah sekitar 2 minggu sahaja. Virus tersebut tidak sesekali boleh hidup dalam persekitaran yang kering.

Adalah tidak munasabah jika tablet paracetamol yang kering dan telah melalui proses pengilangan tercemar dengan virus ini. Malah tiada kes pun setakat ini dilaporkan. Jika sahih berlaku kes seperti yang didakwa sekalipun, sudah tentu pihak berwajib seperti KKM akan mengambil langkah segera untuk menarik balik dalam pasaran.

Diharap kita tidak mudah percaya segala maklumat yang bukan dari sumber yang sahih. Terlebih penting jangan jari jemari kita lebih laju dari otak untuk terus sebar hal yang tidak benar. Selidik dulu sebelum sebar.

Terima kasih

Dr Suhazeli Abdullah

Pakar Perubatan Keluarga

fb.com/drsuhazeli

suhazeli.com

2.2.2017

pautan:

[1] Virus Machupo. http://www.phac-aspc.gc.ca/lab-bio/res/psds-ftss/machupo-eng.php

,

Virus HIV dalam Tuala Wanita? 

Mesej yang disebarkan:

_ASTAGFIRULLAH KEJAM….!!! VIRUS AIDS disetiap pembalut wanita. Produk tersebut ditulis: “Made in Kingdom of Saudi Arabia” Namun Sebenarnya Produk Israel,! ((Sebarkan Agar Banyak Yang Tau))_

_Pakarherbalis.com-Khususnya Buat Para Wanita””Berhati-Hatilah””Dan Jika Memang Anda Pria Sejati Sampaikan Ke-Wanita Di Sekitar Anda…Agar Tak Terjadi Hal Yang Tidak Di Inginkan..!!! Tolong Di SHARE yaa Agar Banyak Orang Tau..!!!_

_Berita duka untuk kita umat Islam Nandang Burhanudin, Wartawan Palestina membocorkan kiat pemerintah zionis Israel untuk menyebar._


_VIRUS AIDS disetiap pembalut wanita. Product itu bakal ditulis : “Made in  Kingdom of Saudi Arabia, “tetapi sesungguhnya product Israel._


_Targetnya yaitu:_

_1. Membunuhi wanita-wanita Arab serta umat Islam yang begitu subur melahirkan anak-anak._

_2. Jadi memperburuk citra muslimah, lantaran ternyata terserang virus HIV/AIDS dalam keluarga yang menghormati beberapa etika Islam. Di mana lazimnya kaum wanita sekarang ini, selalu memakai pembalut waktu haid. Saat itulah virus bakal menebar serta bercampur darah saat dipakai kurun waktu yang melebihi 30 menit. Akhirnya virus HIVpun bakal menjangkiti pengguna._

_Semoga Allah melindungi kita semuanya. Amin…_
_Janganlah lupa bila beli barang dengan barcode 729 jangan dibeli, itu bikinan Israel, BOIKOT!!_
_Tolong bantu Share berita ini. Thanks._

_Untuk Para lelaki infokan pada saudara atau teman perempuan..!!!_ [1]

◾◾◾◾◾◾◾◾◾

*Ulasan saya:*

Ianya satu lagi tulisan yang tidak diketahui sumber asal kesahihannya. Pemberitaan yang hampir serupa dengan tulisan menyatakan virus merebak melalui jarum yang tertimbus dalam pasir pantai, di taman permainan, dan dalam makanan tin. Kononnya para penagih sengaja berbuat demikian untuk menyebarkan virus dan rosakkan masyarakat. Mereka meletakkan nama Dr Yasmin Anum bagi memperkuatkan lagi penulisan tersebut.[2] Sedangkan tiada penjelasan lanjut tentang siapakah Dr Yasmin yang dimaksudkan. 

Sebenarnya tulisan sedemikian adalah palsu dan tiada fakta sains perubatan pun. Cuma ia di sebarkan bagi menakutkan masyarakat. Tetapi motif akhir mungkin untuk merosakkan perniagaan orang-orang tertentu.

Jika Yahudi Israel ingin membunuh umat Islam, bukan kaedah ini digunapakai. Bukan orang Islam sahaja yang menggunapakai pembalut wanita. Sudah lama Yahudi Israel menyerang rakyat Palestin terutamanya Gaza. Mereka mempunyai ketumbukan tentera bagi membunuh umat Islam. Terlalu lemah lah kita yang terlalu skeptikal dan paranoid dengan segala hasil buatan Israel ingin membunuh umat. Hatta, jika demikian, telefon yang kita pegang ini pun adalah sedikit sebanyak hasil buatan Yahudi Israel. Rosaklah kita!

Virus HIV tidak mudah merebak melalui jarum yang tertimbus, darah dimesin ATM, darah dalam burger, darah dalam pad wanita dan seumpamanya. Virus HIV tidak dapat hidup lama dipersekitaran yang lama terdedah. Perumah utama virus HIV ini adalah dalam makhluk hidup seperti manusia. Perebakan boleh berlaku apabila berlaku perkongsian jarum orang yang positif HIV kepada penerima suntikan dadah yang lain. Ia juga merebak melalui hubungan kelamin pesakit HIV, dari ibu positif HIV kepada anak dalam kandungan. Bermakna ianya spesifik dalam kes yang terkhusus yang disebutkan itu.

Sumber:
[1] Mesej virul HIV dalam tuala wanita. http://www.giatberdakwah.com/2016/11/wanita-baca-iniastagrfirullah-virus.html

[2] Penyebaran HIV melalui mesin duit. http://larrijal.tripod.com/umum/bahayahiv.htm

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli
#drsuhazeli

#MedicalMythBustersMalaysia
#MedTweetMY

17.11.2016