*#HIV_dalam_Tin*

Tersebar dalam dunia maya sejak beberapa tahun lalu isu “komplot” pemimpin Thailand mencemarkan makanan dalam tin dengan darah pesakit HIV. Sebaran maya itu menjadi viral ke semua media termasuk facebook, twitter, blog, wechat, whatsapp dan lain-lain lagi. Kononnya juga tulisan itu menyandarkan Radio 1 FM terlibat dalam pengumuman kerajaan Thai tersebut.

.

Saya kira sesiapa yang membuat sebaran tulisan tersebut sebelum membuat pengesahan kesahihan berita, bertabayyun dan berhati-hati dalam manyampaikan info sebegini, tidak bertanggungjawab.

.


Pertama, Radio 1 FM di Malaysia, tidak wujud pun nama rasmi sedemikian. Yang wujud adalah Radio Klasik Nasional atau RTM1. Radio 1 FM wujud hanya di Santa Catarina Brazil. Agak tidak munasabah radio Brazil melaporkan berita itu dalam bahasa melayu.

.

Isu kedua, kaedah jangkitan HIV. Ia tidak boleh merebak melalui makanan. HIV hanya berjangkit melalui hubungan kelamin, suntikan jarum penagih dadah, pemindahan darah tercemar kuman HIV, dari ibu yang positif HIV kepada bayi dalam kandungan atau semasa menyusu badan. HIV tidak sesekali menular kepada orang melalui sentuhan kulit, ciuman, ludah, air kencing, najis atau penggunaan barang peribadi yang sama. Jauh sekali ia merebak melalui makanan. Lagipun virus HIV tidak kekal hidup lama di persekitaran lain (selain dari darah manusia atau susu).

.

Masyarakat umum perlu disedarkan bahaya jangkitan HIV melalui risiko-risiko yang saya sebutkan di atas itu berbanding dengan bahan makanan yang kononnya telah dicemari virus HIV. Saya yakin pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan, Kastam, Kementerian Kesihatan dan sebagainya mengambil tanggungjawab memastikan bahan makanan yang masuk ke negara kita melalui sempadan diperiksa dengan teliti. Operasi bersepadu yang dijalankan oleh pihak berwajib itu sudah memadai untuk merampas bahan makanan atau seumpamanya. Undang-undang negara kita sudah ada bagi memastikan tindakan tegas dikenakan jika pengimport membawa masuk makanan tanpa tapisan keselamatan yang ketat termasuk isu yang berkaitan dengan kesihatan makanan. Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 digunakan pakai bagi menahan makanan luar yang tidak memenuhi kriteria. Antara kriteria dan langkah ke arah keselamatan makanan adalah pelabelan makanan, kebersihan makanan, pengawalan bahan tambahan dalam makanan, penggunakan racun perosak, dasar tentang bioteknologi dan garis panduan dalam pengurusan import dan eksport makanan dan pensijilan untuk makanan.

.

Semoga tiada lagi sebaran jangkitan HIV dalam tin ini selepas ini.

.

Suhazeli Abdullah

Fb.com/drsuhazeli
7.7.2017

Hotel TH, Telaga Batin

Kuala Terengganu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleJanji Manis Jurujual, Mangsa Sengsara Pesakit Kami
Next article2 Faktor Pelaris Jualan 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com