Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Seks Bebas dan Pil Perancang: Satu Dilema Etika Bagi Pengamal Perubatan

Ada seorang gadis remaja yang telah datang ke klinik untuk minta pil perancang. Padahal beliau boleh saja beli kat klinik swasta atau di beli kat farmasi pil cegah kehamilan tersebut bagi mengelakkan beliau mengandung akibat daripada aktiviti seks bebas yang dilakukan itu.
Tetapi oleh kerana pil dekat klinik Kesihatan itu percuma dan ‘terasa selamat’ untuk mengambil pil perancang yang diakui oleh doktor perubatan di klinik Kesihatan, maka beliau datang ke klinik untuk dapatkan pil tersebut. Pembelian secara online pun makin mudah sekarang. Tetapi bukan bermakna saya menyokong penjualan pil perancang secara online, kerana ianya menyalahi dari segi undang-undang dan pemberian pil itu memerlukan indikasi khusus. Bukan wawenang sahaja boleh dibeli oleh semua orang.
Niat beliau sudah nampak bagus kerana seolah menyerah diri kepada doktor perubatan untuk menerangkan apa-apa yang sepatutnya berkaitan pil perancang tersebut. Bagi doktor mungkin ini adalah ruang yang terbaik untuk menarik beliau supaya kembali ke pangkal jalan dan hentikan aktiviti seks bebas yang masih aktif dilakukan itu.
Namun doktor mengalami satu dilema di sini. Samada ingin memberikan pil perancang ataupun tidak kerana setelah diselidiki dia bukannya orang yang miskin. Beliau bukannya orang yang terdesak daripada tekanan hidup ataupun paksaan yang mana-mana pihak. Beliau sudah lepas bersekolah dan sekarang bekerja dengan perniagaan keluarga. Cuma yang menjadi halangan sekarang ini adalah keluarga tidak membenarkan beliau berkahwin kerana masih lagi muda.
Aktiviti seks yang dilakukan oleh beliau adalah akibat ketagihan dan kerelaan beliau sendiri. Dari segi perubatan pun beliau tidak mempunyai risiko masalah perubatan. Tiada indikasi untuk diberikan pil perancang.
Apa yang perlu doktor buat sekarang?
1. Berikan pil tersebut bagi menjamin hak pesakit untuk dapatkan ubat tanpa prejudis?
2. Berikan pil tersebut dan dalam masa sama beri temujanji untuk sesi kaunseling?
3. Tidak berikan pil tersebut dan marahkan dia kerana buat maksiat?
4. Tidak berikan pil tersebut dan dalam masa sama beri kaunseling?
Kan pening jadi doktor untuk tentukan keputusannya. Di persimpangan inilah, sesorang pengamal perubatan itu akan menentukan bentuk rawatan berdasarkan kefahaman beliau mengenai sesuatu situasi.
Bagi doktor muslim, sudah pasti hukum hakam agama akan diambil kira dalam beramal. Adakah salah doktor mengambil kefahaman agama dalam menentukan keputusan pembelian ubat? Sudah tentu tidak salah. Kerana itulah yang kita amalkan sebelum ini. Di dalam amalan pemberian pelbagai bentuk ubat sekali pun kita mesti melihat balik kepada hukum halal dan haram itu. Sebab kita ini sebagai doktor Muslim. Pesakit pun muslim. Kalau pesakit bukan Islam, kita kena lihat juga dalam bentuk etika dan amalan dalam kefahaman agama yang mereka anuti itu. Samada dibenarkan ataupun tidak?
Mari kita lihat hasil dari Muzakarah Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 yang memutuskan hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:
1. Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
2. Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
3. Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus.
Rujuk: Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa  Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (ms. 138).
Persoalan sekarang ini bukan dalam bentuk prejudis ataupun diskriminasi terhadap pesakit kita. Tetapi lebih kepada pertimbangan moral dan juga menggalakkan sesuatu aktiviti berisiko itu berlaku dan boleh menimbulkan risiko yang lain kemudian hari nanti.
Walaupun memang benar dengan memberikan pil itu boleh menghalang beliau hamil (dengan rujukan bukti sains mengatakan bahawa 99% terhalang hamil – PEARL Index), tetapi adakah ianya boleh menutup mata kita dari terus menggalakkan aktiviti maksiat itu diteruskan? Beliau mungkin tidak hamil dan terselamat dari kutukan keluarga, tapi beliau mungkin boleh dijangkiti oleh HIV dan juga penyakit-penyakit kelamin yang lain akibat aktiviti seks bebas yang dilakukan itu.
Baik, timbul isu yang kedua, di saat ini adakah kita ingin memberi tawaran kepada beliau supaya mengambil ubat pencegahan HIV (PrEP)? Dari sudut syarat dan kriteria beliau sudah cukup untuk dibekalkan ubat profilaksis HIV tersebut.
Saya membawa tulisan sebegini supaya kita membawa fikir yang waras apabila kita berdepan dengan situasi sebenar dan berada di saat persimpangan kita sebagai manusia dan doktor. Ya doktor perlu merawat seseorang pesakit itu secara menyeluruh. Doktor bukan ingin mencegah sesuatu penyakit semata-mata dan kemudian berlepas tangan sambil mendabik dada statistik penyakit sudah berkurang. Tetapi tugas doktor juga bersama dengan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh semua pihak termasuk masyarakat dan keluarga bagi mengelakkan sesuatu yang lebih besar berlaku dalam seorang individu yang bernama manusia itu.
Seks bebas tetap maksiat dan tetap tiada jaminan tidak dijangkiti penyakit. Namanya pun aktiviti berisiko tinggi! Kita tak ubah lagi definisi itu.
Suhazeli Abdullah
20/1/2023
Subang
*Saya bukannya nak jadi  Holier Than Thou.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles