Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Etika Kedoktoran vs Adab Moral: Apa yang Harus Saya Lakukan Apabila Pesakit Memaksa Saya Memberi Ubat Pencegah Sifilis?

Pernah seorang pesakit ke klinik kerana mempunyai gejala pelik sekitar alat kelaminnya. Setelah diperiksa dan ujian darah dilakukan, sahih beliau dijangkiti oleh Sifilis.

Sifilis ini adalah satu penyakit kelamin yang boleh dijangkiti akibat melakukan hubungan seksual. Sedih sebab beliau belum berkahwin tetapi mengaku melakukan hubungan haram di Golok beberapa kali sehinggakan menjadi ketagih untuk berlanggan dengan pelacur.

Namun sebagai doktor saya terus merawat beliau mengikut protokol pemberian antibiotik seperti mana dalam garis panduan klinikal. Kalau dah sakit dan berpenyakit doktor tidak boleh menolak ataupun diskriminasi individu yang mungkin dari segi fitrahnya doktor tidak bersetuju dengan perbuatan itu.

Dalam masa yang sama saya sebagai doktor muslim, menasihati beliau supaya berhenti terus dari melakukan kerja-kerja maksiat tersebut kerana natijahnya bukan sahaja virus sifilis yang beliau berisiko dijangkiti, tetapi penyakit kelamin lain seperti HIV, Gonorrhea, hepatitis dan banyak lagi.

Alhamdulillah gejala pelik yang dialami beliau telah sembuh dan bacaan darah juga menurun.

Setelah beberapa ketika beliau kembali semula ke klinik bertemu dengan saya untuk mendapatkan ubat yang sama. Tetapi permintaan beliau kali ini menjadi dilema bagi saya. Jadi pertembungan di antara etika kedoktoran, nilai kemanusiaan dan adab moral. Beliau memaksa saya untuk beri ubat itu lagi. Katanya dengan cara inilah mampu mencegah dirinya terus dijangkiti semula oleh virus Sifilis. Pandai pulak dia berdalil “Mencegah lebih baik dari merawat.”

Saya tidak pasti entah dari mana beliau mendapat maklumat bahawa menggunakan ubat itu boleh mencegah daripada virus Sifilis. Rupanya beliau masih berlanggan dengan ‘mek golok’. ‘Awang sado’ pun dia kadang-kadang langgan juga. Aduh! Beliau masih lagi tak faham dan tak serik dengan penyakit yang dihidapi sebelum ini!

Saya pun tak sempat untuk membaca kajian terkini yang berkait dengan konsep pencegahan itu. Tetapi andai kata ianya berkesan dan selamat 99% sekali pun saya tidak akan sekali-kali memberi ubat itu kepada beliau lagi.

Adakah saya dikira sebagai mendiskriminasi pesakit? Tidak.

Hal ini adalah sama dengan pemberian antivirus kepada individu yang berselingkuh sesama jantina (Men Sex with Men). Walaupun mereka itu masih belum dijangkiti HIV (negatif HIV), adalah tidak bermoral dan bersalahan adat jika doktor memberi ubat. Doktor seperti bertindak menggalakkan aktiviti maksiat itu terus berlaku. Jika ubat anti-HIV (Pre-exposure prophylaxis (PrEP)) diberikan, mungkin HIV terhalang tetapi bagaimana pula dengan penyakit kelamin yang lain?

Jika sekadar memberi ubat untuk menghalang jangkitan HIV di kalangan pasangan lelaki-suka-lelaki atau kumpulan Elgibiti itu sebenarnya tidak pun boleh menyelesaikan masalah asas. Individu berkenaan masih lagi berisiko dijangkiti penyakit kelamin lain. Sifilis, Gonorrhoea. Hepatitis dan lain-lain sudah tentu mempunyai impak tersendiri ke atas kualiti dan morbiditi pesakit. Kita tidak boleh pandang rendah. Jangan hanya HIV sahaja yang distigmakan, penyakit lain tak bahaya ke? Penyebab utama (root cause) risiko jangkitan perlu dihapuskan. Berilah kaunseling, nasihat dan rujuk kepada pakar supaya seseorang individu itu berhenti dari melakukan gaya hidup tidak sihat; melalui seksual luar tabii.

Ada pihak berhujah kenapa pula boleh beri jarum dan kondom secara percuma kepada golongan itu?
Ianya sedikit berbeza dengan pemberian jarum dan kondom secara percuma kepada golongan tersebut kerana penggunaan jarum dan kondom yang bersih boleh menghalang bukan setakat HIV tetapi penyakit-penyakit kelamin yang lain.

Maknanya kalau kita hanya sekadar untuk menghalang HIV tetapi masih lagi menggalakkan mereka untuk melakukan perkara terkutuk itu, risiko mereka untuk dijangkiti oleh penyakit-penyakit kelamin masih lagi tinggi. Dari sudut agama pula terus membiarkan si pendosa melakukan dosa.

Sebab itulah kita laungkan sekali lagi bahawa pemberian ubat (PrEP) untuk menghalang jangkitan HIV dalam golongan MSM itu tidak pun menyelesaikan masalah sebenar dalam negara. Semua pihak bertanggungjawab untuk mendidik masyarakat. Bahkan pihak yang berwajib hendaklah tingkatkan lagi kesedaran masyarakat berserta dengan diwujudkan undang-undang yang khusus bagi menghalang mereka dari melakukan perbuatan yang di luar tabii itu. Hukuman yang diberi bukan semata-mata ingin menghukum tapi ingin mendatangkan rasa takut supaya mereka tidak terus bergelumang dengan maksiat.

Isu ini bukan ingin mendiskriminasikan pihak-pihak tertentu tetapi semata-mata ingin menyelamatkan mereka dari terus dirundung kecelakaan. Kita semua sayangkan mereka.

Suhazeli Abdullah
9.12.2022

– Makin ramai timbul puak yang pertahankan ElGiBiTi sejak dua menjak ini. Entah apa sebabnya?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles