Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Penyalahgunaan Pil Khayal Amphetamine

image

Oleh Dr Arif Fahmi

Masyarakat yang perihatin dan bijak mempunyai peranan yang cukup besar untuk dimainkan bagi mengatasi permasalahan salah guna dadah. Musibah yang melanda baru-baru ini seharusnya menjadi titik tolak bagi penerusan usaha menggembleng idea dan tenaga bagi memastikan anak muda hari ini bebas dadah. Perkara paling menyedihkan yang boleh berlaku adalah seandainya musibah tersebut tidak diteladani dengan berhikmah, lantas kekal sekadar coretan dalam lipatan sejarah.

Amphetamine dikelaskan di dalam kumpulan Amphetamine Type Stimulant (ATS) bersama metamphetamine serta ectasy yang mencatatkan peningkatan salah guna paling pantas di seluruh dunia menjadikan ia dadah merbahaya paling banyak disalahguna selepas ganja. Datang kepada anak muda dalam pelbagai jenama dan bentuk serta warna, amphetamine lebih mesra dengan panggilan pil kuda, buah, butir, ubat kuat, turbo, syabu/syasya, ICE dan sebagainya. Dihasilkan untuk pasaran gelap, perlu disedari bahawa kebiasaanya dadah tersebut tidak mengandungi satu bahan sahaja. Dadah yang disalahguna mungkin mengandungi unsur kimia lain menjadikan ketagihan lebih sukar untuk ditangani serta boleh membawa kemudaratan yang serius kepada kesihatan dan nyawa.

Di Amerika Syarikat, 2 daripada setiap 100 rakyatnya pernah menggunakan amphetamine sehinggakan penyalahgunaan amphetamine pernah di isytihar sebagai wabak pada tahun 2000. Di Malaysia,  ia menduduki tempat ketiga dari segi penyalahgunaan dadah selepas opiat (heroin dan morfin) dan ganja. Sejak 2010, statistik daripada Agenti Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebenarnya menunjukkan penurunan bilangan penagihan dadah. Tahun 2013 menyaksikan secara puratanya 655 penagih dikesan setiap bulan di mana 1 daripada 3 penagih tersebut adalah penagih ulangan. Pengaruh rakan sebaya merupakan faktor utama penyalahgunaan dadah di samping perasaan ingin tahu dan untuk tujuan keseronokan. Laporan AADK juga menyebut kepentingan faktor sosioekonomi apabila kebanyakan penagih dadah adalah dari kalangan buruh am dengan tahap akademik sekurang-sekurangnya menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Amphetamine dan ketagihan

Setiap penagih dadah tidak pernah memilih untuk menagih. Akan tetapi apa yang berlaku adalah ketagihan telah menewaskan mereka. Amphetamine bersifat psychoactiveyakni ia berupaya mengubah fungsi normal otak menyebabkan berlakunya perubahan tingkah laku, emosi dan tahap kesedaran. Secara mudahnya, fungsi otak yang normal melibatkan keseimbangan di antara bahagian otak hadapan (frontal cortex) dan system limbic. Bahagian otak hadapan memainkan peranan untuk membuat keputusan secara objektif dan rasional. Manakala, system limbic pula berperanan untuk memberikan motivasi dan tindak balas emosi kepada manusia.

Dalam konteks kehidupan seharian, system limbic akan sentiasa membekalkan naluri keinginan kepada manusia untuk mencapai kebahagiaan, ketenangan dan kegembiraan dalam kehidupan. Manakala, bahagian otak hadapan pula akan bekerja keras merancang dan mecari ruang dan peluang bagi mencapai matlamat tersebut. Namun, masalah timbul apabila wujud jalan pintas iaitu dengan mengambil dadah psychoactive.

Pertama kali, penyalahgunaan dadah seperti amphetamine ini akan merangsang system limbic menjadikan seseorang itu berasa tenang, bertenaga, fokus, tidak mengantuk dan seolah bersedia untuk menyertai pertandingan mendaki Gunung Kinabalu. Natijahnya adalah apabila kesan daripada dadah tersebut telah tiada dan masalah dunia kembali menghantui, system limbic akan tercari-cari rangsangan yang sama menjadikan realiti kehidupan seolah ilusi kepada mereka. Dalam erti kata lain, hubungan sesama manusia, pekerjaan, serta apa sahaja unsur yang sebelum ini membawa erti kepada kehidupan mereka, sudah tidak bermakna lagi. Oleh itu, system limbic akan mengatasi bahagian otak hadapan untuk mendapatkan pil amphetamine yang kedua dengan harapan ini merupakan kali terakhir. Akan tetapi malangnya bermulalah episod baru dalam diari seorang penagih dadah.

Ketagihan adalah penyakit kronik

Salah satu konsep yang perlu difahami adalah ketagihan adalah satu penyakit otak yang kronik di mana rawatan adalah bersifat jangka masa panjang, memerlukan penjagaan yang rapi serta lebih mementingkan sokongan sekeliling dan kawalan kendiri, kerana untuk pulih sepenuhnya adalah amat sukar. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan amphetamine di mana setakat ini belum ada ubatan yang boleh mengawalnya sebagaimana Methadone digunakan bagi mengawal ketagihan morfin atau heroin. Ketagihan yang berpanjangan merosakkan fungsi otak kerana penagih akan memerlukan kuantiti dadah yang lebih banyak untuk mencapai rangsangan ataupun dengan dos yang sama, penagih mendapat rangsangan yang berlebihan. Kajian menunjukkan setiap manusia mempunyai tahap ketagihan yang berbeza bergantung kepada faktor seperti keturunan, sosioekonomi dan pengalaman lampau. Faktor usia juga penting, semakin awal otak didedahkan kepada dadah seperti amphetamine, kesan kepada otak yang sedang berkembang semakin teruk dan sukar untuk kembali pulih.

Sebagai penyakit kronik, ketagihan akan menyebabkan kesan kepada emosi dan fizikal manusia. Dari segi fizikal, ketagihan amphetamine akan menyebabkan kurang selera makan, kurang berat badan, kerosakan otak, masalah seks dan kesan kepada jantung seperti tekanan darah tinggi dan kecelaruan denyutan jantung. Dari segi emosi pula, didapati ketagihan amphetamine akan menyebabkan kegilaan (psychosis) dan halusinasi, tekanan perasaan, masalah pergerakan tubuh badan serta keganasan. Implikasinya adalah penagih dadah sukar untuk menyesuaikan diri di dalam masyarakat dan ini seterusnya menjadi antara punca pengambilan dadah berlebihan (overdose) yang boleh membawa maut.

Kenalpasti salah guna Amphetamine untuk mencegah ketagihan

Disebabkan kesannya yang serius serta ketiadaan ubat untuk mengawalnya, pengesanan salah guna amphetamine pada peringkat awal adalah amat penting untuk mencegah ketagihan. Setiap ahli masyarakat mempunyai peranan untuk membantu ahli keluarga atau sahabat handai yang memerlukan pertolongan. Salah guna berlaku apabila seseorang itu mengambil dadah sehingga menyebabkan mereka gagal untuk melunaskan tanggungjawab harian seperti ponteng sekolah atau kerja. Seandainya mereka dapat hadir ke sekolah atau tempat kerja sekalipun, mereka tidak dapat fokus kepada tugasan yang diberikan atau wujud kelakuan yang di luar pada kebiasaannya. Seterusnya, individu yang menyalahgunakan dadah akan menggunakan dadah tersebut secara berulang-ulang termasuklah dalam keadaan yang boleh membahayakan fizikal mereka. Contohnya, menggunakan dadah sewaktu memandu kenderaan. Juga, salah guna dadah tetap akan menjadi pilihan mereka walaupun perlakuan tersebut telah mengundang pelbagai masalah dengan pihak berkuasa mahupun orang di sekeliling mereka. Dari segi fizikal pula, selain kesan kepada otak yang disebutkan di atas, salah guna amphetamine juga boleh menyebabkan masalah pada gigi, berpeluh, kegatalan pada kulit, loya, muntah dan cirit-birit.

Penutup

Sebagai kesimpulannya, konsep salah guna dan ketagihan dadah bukanlah suatu yang sukar untuk difahami tetapi cabaran utama adalah untuk menyebarkan dan memaknai kefahaman tersebut. Walaupun mereka yang terlibat sering kali dilihat sebagai pemangsa, menimbulkan pelbagai masalah pada mata masyarakat. Namun, perlu disedari bahawa penagih dadah sebenarnya adalah mangsa yang memerlukan segenap bantuan yang ada. Maka, di sinilah ahli masyarakat mempunyai peranan yang besar untuk dimainkan. Setiap kita, atas apa kapasiti sekalipun, perlu berusaha mencari jalan bagi memastikan permasalahan ketagihan dadah ini tinggal sejarah. Sebagai permulaan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bersedia untuk dihubungi pada bila-bila masa. Diharapkan masyarakat juga melalui pertubuhan bukan kerajaan dan rukun tetangga menghulurkan tangan. Ini adalah tanggungjawab semua. Kita pastinya tidak mahu menunggu sehingga darah daging kita sendiri terlibat untuk bertindak.

 

Rujukan:

1.  Brian R McAvoy. Metamphetamine- What primary care practitioners need to know? Volume 1, September 2009, Journal of Primary Health Care

2. Barr AM, Panenka WJ, MacEwan GW, et al. The need for speed: an update on methamphetamine addiction. J Psychiatry Neurosci 2006; 31:301.

3. Hart CL, Gunderson EW, Perez A, et al. Acute physiological and behavioral effects of intranasal methamphetamine in humans. Neuropsychopharmacology 2008; 33:1847.

4. Agensi AntiDadah Kebangsaan. Laporan Dadah Bulan Disember 2013.  http://www.adk.gov.my/web/guest/laporan-dadah-2013

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles