Lawan Konsert Kat Sekolah
Pernah masa sekolah dahulu kami berbalah dengan geng-geng yang nak buat konsert kat dewan sekolah. Geng mat surau back-up, turut lawan anjuran konsert tersebut.
Kami mengadu ke PK HEM yang kebetulan seorang ustaz. Dengan harapan ustaz tersebut juga akan backup kami yang tak setuju dengan konsert yang lagha serta dicampur dengan alatan musik seperti main gitar dan dram. Memang kami pantang lihat alat muzik seperti itu, sebab selalu duk baca ta’lim kat surau bahawa akhir zaman ini akan berlaku berleluasanya alat muzik yang boleh melalaikan manusia. Kami tak nak bersubahat!
Apa yang berlaku, geng konsert pun jumpa ustaz supaya support aktiviti mereka. Mereka beralasan konsert yang dibuat sama-sama mereka sahaja. Tak libatkan percampuran lelaki dan perempuan dan lagu-lagu pun dipilih supaya tidak ada lagu-lagu lagha, lebih kepada lagu-lagu yang berbentuk ketuhanan.
Okeylah, ustaz itu pun beritahulah kepada geng surau, supaya turut serta dalam program konsert tersebut untuk menormalisasikan bahawa perkara seperti ini tak perlulah terlalu ekstrim dan berpandangan negatif. Kerana konsert itu boleh membentuk jiwa pelajar-pelajar semua agar lebih sederhana.
Untuk meredakan keadaan, PKHEM tersebut minta aku yang baca doa membuka majlis konsert. Adui. Oleh kerana tak nak terlalu nampak extreme, aku pun beralah dan bersetuju untuk membaca doa.
Pada hari kejadian majlis berlangsung, pada malam hari selepas Isyak saya dengan pakaian berbaju Melayu dan berkopiah datang untuk membaca doa. Setelah bacaan doa dibuat terus mereka berkugiran, tetapi lagu-lagu yang mereka pilih semua lagu-lagu yang melibatkan cinta lagha. Dan dijemput juga perempuan untuk menyanyi bersama.
Saya kaget, terkasima dah seolah-olah tertipu dengan program yang mereka lakukan itu. Dengan senyap-senyap saya berada di barisan hadapan keluar dewan dan tidak patah kembali apa yang berlaku di dewan itu. Mereka bergembira dan seronok kerana dapat meneruskan agenda mereka untuk melakukan konsert. Dari kejauhan terdengar suara hiruk pikuk, melolong nyanyikan lagu-lagu yang telah pun diagendakan sejak daripada awal.
Pengajaran yang saya dapat adalah jangan mudah terperdaya dengan jemputan yang nama pun tidak disenangi oleh kita. Kerana jiwa kita bukan jiwa konsert yang menyanyikan lagu-lagu yang bercampur baur seperti itu.

Lain kali ambik lah pengajaran.
Suhazeli Abdullah
29/8/2023
