Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

AS sekat resolusi PBB salur bantuan kemanusiaan di Gaza

Pada 19 Oktober 2023, Amerika Syarikat (AS) telah memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menggesa “penangguhan kemanusiaan” untuk menyalurkan bantuan kepada berjuta-juta orang yang mengalami krisis di Gaza. Resolusi itu akan membolehkan bantuan dihantar kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan udara dan serbuan Israel yang telah membunuh ribuan orang dan melumpuhkan infrastruktur di Gaza.

AS adalah satu-satunya negara yang mengundi menentang resolusi itu, manakala Rusia dan United Kingdom berkecuali. Mereka yang mengundi menyokong resolusi itu ialah Albania, Brazil, China, Ecuador, Perancis, Gabon, Ghana, Jepun, Malta, Mozambique, Switzerland dan Emiriah Arab Bersatu.

Menurut agensi hak asasi manusia dan pekerja PBB di lapangan, Gaza kehabisan air, makanan dan ubat-ubatan untuk lebih sejuta orang awam. Israel dikatakan telah menggugurkan lebih 6,000 bom di Gaza sejak perang meletus selepas serangan Hamas di Israel pada 7 Okt lalu yang membunuh 1,400 orang.

Pihak berkuasa Palestin menganggarkan jumlah kematian akibat serangan udara dan serbuan Israel di Gaza sejak 7 Okt berjumlah kira-kira 3,478 orang manakala lebih 12,000 cedera. Daripada jumlah ini, 70 peratus dipercayai kanak-kanak.

Serangan Israel juga telah merosakkan hospital kendalian Kristian di Gaza, Al Ahli, lewat Selasa, yang dianggarkan pihak berkuasa Gaza membunuh kira-kira 500 orang, termasuk keluarga pelarian yang berlindung di sana. Israel menyalahkan letupan itu disebabkan roket yang gagal dilancarkan oleh kumpulan militan Jihad Islam Palestin manakala pihak berkuasa Palestin mengatakan ia serangan udara Israel.

Presiden AS Joe Biden ketika bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Tel Aviv semalam nampaknya membela sekutunya itu. “Berdasarkan apa yang saya lihat, nampaknya ia dilakukan oleh pasukan lain, bukan anda,” kata Biden kepada Netanyahu. Di Washington, Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih berkata penilaian AS adalah berdasarkan analisis imejan overhead, pintasan dan maklumat sumber terbuka.

Pemimpin Arab membatalkan rancangan untuk bertemu dengan Biden selepas serangan di hospital itu. Walaupun menyekat resolusi PBB untuk “penangguhan kemanusiaan” bagi menyalurkan bantuan ke Gaza, Biden berkata AS akan menyediakan bantuan kemanusiaan AS$100 juta untuk rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki Israel. Dia juga berkata AS akan melakukan segala yang boleh untuk melindungi Israel.

Sementara itu, Netanyahu berkata Israel tidak akan menghentikan bantuan memasuki Gaza dari Mesir tetapi bekalan tidak akan dibenarkan sampai kepada kumpulan Palestin Hamas. Mesir, satu-satunya negara lain yang berkongsi sempadan dengan Gaza, telah bersiap dengan bantuan di sebelah sempadannya tetapi tidak dapat menyeberang kerana serangan udara Israel.

PBB telah memberi amaran tentang “bencana kemanusiaan”, ketika Israel mengenakan sekatan total ke atas Gaza, memutuskan bekalan elektrik, makanan dan bahan api kepada 2.3 juta orang yang tinggal di jalur tanah yang sempit itu.

Sumber: [Malaysiakini]
AS sekat resolusi PBB salur bantuan kemanusiaan di Gaza – Malaysiakini. https://www.malaysiakini.com/news/683404

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles