Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Mulberi dan Peria Katak Untuk Kencing Manis?

“Bukan ke ada kajian yang sebut daun Mulberi ini boleh sembuhkan kencing manis? Kenapa doktor hospital tidak gunakan bahan hasil mahsul dari negara sendiri, asyik guna ubatan kimia dari barat?”

Saya kira inilah konsep yang orang awam kurang faham. Kenapa doktor tidak terus menggunakan sesuatu bahan yang dikatakan telah berjaya dibuat ujikaji makmal atau haiwan. Ataupun mungkin kajian-kajian secara hirisan lintang yang tidak menyimpulkan secara tepat ubatan itu boleh digunakan dengan selamat atau tidak.

Zaman telah berubah, dan perubatan juga berevolusi sesuai dengan perubahan zaman. Jika dahulu-kala, semasa zaman tiada teknologi yang membolehkan kajian secara menyeluruh ke atas sesuatu bahan, mungkin kita boleh menggunakan bahan-bahan yang dirasakan sesuai untuk dijadikan ubat. Ianya mungkin hasil dari pengalaman orang tua-tua dalam merawat sesuatu penyakit. Cuba-jaya dijalankan oleh ahli yang mahir pada masa tersebut sehingga menghasilkan keputusan tertentu yang menjadi rujukan kepada perubatan di zaman kini.

Contohnya pokok Galega Officinalis, adalah sejenis pokok herba yang digunakan oleh orang dahulu kala bagi merawat kencing manis. Ianya digunakan secara meluas oleh para tabib pada masa tersebut. Akhirnya dengan evolusi dan teknologi perubatan masa kini, pokok Galega Officinalis itu dikaji terperinci di peringkat makmal, ke atas haiwan, ke atas manusia secara skala yang besar, maka terbentuklah ubat kencing manis moden yang diberi nama Metformin.

Usaha mengkaji ini bukan usaha yang sia-sia. Ulama sepanjang zaman pun menganjurkan kita sebagai seorang muslim yang menjalankan kajian. Jika kita tidak mampu menjalankan kajian, kita perlu menyokong segala bentuk kajian yang telah, sedang dan akan dijalankan oleh ahlinya. Itulah keluasan ilmu dalam tamadun kita.

Atas falsafah ilmu Allah itu luas, para pengkaji telah pun membuat kajian demi kajian. Penemuan demi penemuan diperolehi hasil dari kajian tersebut. Malah majoriti dari ubatan yang wujud dalam perubatan moden sebenarnya berasal dari alam semulajadi. Setelah kajian secara terperinci dijalankan, maka ianya selamat, berkualiti dan tiada kesan yang membahayakan manusia, baharulah ianya digunakan secara meluas kepada masyarakat umum. Inilah kaedah pendisiplinan ilmu yang diajar oleh para cendekiawan kita. Kita sesekali tidak boleh menggunakan sesuatu bahan itu selagi tidak sah selamat digunakan sehingga fasa 3 dan 4 kaedah kajian perubatan.

Saya ambil contoh, pokok Mulberi. Antara bahan aktif dalam ekstrak pokok mulberi yang menunjukkan potensi merawat kencing manis di atas piring petri dan model haiwan adalah 1-deoxynorjirimycin (DNJ) yang banyak didapati dalam daun mulberi. 1-Deoxynorjirimycin mengurangkan paras gula dalam darah haiwan kajian dengan menghalang aktiviti enzim alpha-glucosidase. Enzim ini adalah sejenis enzim yang mencerna struktur disakarida kepada glukosa di dalam usus kecil.[1] Apabila penukaran glukosa tidak terbentuk, maka kuranglah glukosa diserap masuk dalam badan. Secara teori ke atas haiwan, maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa daun Mulberi ini boleh digunakan untuk merawat kencing manis. Tetapi ingat ianya kajian ke atas haiwan.

Kemudian para pengkaji melanjutkan kajian fasa 2 dan 3 iaitu ke atas manusia, terdapat lapuran dari analisa-meta pada 13 kajian klinikal ke atas manusia membabitkan 436 subjek manusia mendapati, pengambilan ekstrak daun mulberi TIDAK memberikan kesan signifikan terhadap paras gula dalam darah (FBS) dan kawalan glukosa (HbA1c) berbanding kumpulan yang tidak mengambil daun mulberi. Maksudnya apa? Sebagai seorang doktor yang merawat pesakit, saya tidak akan menggunakan daun mulberi ini kerana kajian telah pun membuktikan tidak signifikan. Malah, sanggupkah pesakit memakan 3-6 helai daun Mulberi tiga kali sehari sepanjang hayat mereka? Jika dibuat dalam bentuk pil pun pesakit tidak boleh bertahan lama kerana DNJ itu mengganggu percernaan makanan dalam usus. Pesakit akan sakit perut dan kembung. Tidak selesa mengambil daun secara berterusan terutama jika berada dikhalayak ramai– banyak kentut.

Metodologi yang sama juga kepada Peria Katak. Kajian atas peria katak untuk kencing manis hanya terhenti setakat fasa 1 dan gagal di fasa 2 dan 3.[2] Namun ianya tidak menghalang anda untuk menjadikan peria katak sebagai makanan dan ulaman. Jangan salah faham dengan penerangan yang saya berikan ini. Cuma keperihatinan saya adalah bimbang dengan promosi jurujual jus/pil Peria Katak yang membawa pelbagai testimoni. Hakikat sebenar dari kajian, mereka tidak ceriterakan.

Saya melihat perbandingan antara Mulberi/Peria Katak itu dengan ubatan yang sedia ada dalam premis perubatan, seperti ubat kencing manis bernama Acarbose. Acarbose juga bertindak balas sebagai merencat enzim alpha-glucosidase. Acarbose telah pun lulus untuk kegunaan oleh semua doktor seluruh dunia dan lebih menunjukkan kesan yang positif berbanding dengan ekstrak daun Mulberi atau Peria Katak.

Inilah beberapa sebab kenapa saya selalu menerangkan pentingnya disiplin ilmu dalam merawat pesakit. Ianya bukan diambil sewenang-wenangnya atas dasar orang zaman dahulu telah menggunakannya. Tidak bermakna orang terdahulu itu tidak salah, tetapi tahap kesahihan melalui kajian sains itu terhad pada masa itu. Apabila sudah terbukti dengan kajian yang terkini, bermakna kita akan mengambilnya sebagai bukit untuk terus beramal. Mungkin 50 tahun akan datang, kajian-kajian seperti ini boleh berubah. Itulah sains.

Ambillah Kaedah fiqh, yang yakin adalah kajian yang telah dijalankan dan yang syak adalah andaian serta testimoni. Perkara syak itu tidak pernah pun dibuktikan secara objektif, maka tinggalkan ia.

الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

“Perkara Yang Yakin Tidak Dihilangkan Oleh Keraguan (Syak)”

Sekian dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

12.2.2019

Kuala Berang

Pautan:

[1] Mulberry dan khasiatnya. https://www.drcheputeh.com/blog/siri-46-pokok-mulberi-morus-alba-merawat-diabetes-dan-kolesterol-tinggi

[2] Peria Katak Ubat Kencing Manis. https://www.drcheputeh.com/blog/siri-32-momordica-charantia-peria-katak-pengganti-ubat-diabetes

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles