Resepi Telur Goreng Mata Kerbau

Mai, saya juga nak kongsi resepi telur mata kerbau. Setengah tempat sebut mata lembu. Apa-apa saja la, asal menjadi.

Cara-cara:

1. Sebiji telur, basuhkan dulu sebab kulit luar tu bernajis. Haram makan telur jika bercampur tahi.

2. Panaskan kuali. Tak kisah kuali warna apa, hitam, putih atau merah. Tak kisah juga dapur mana nak guna, dapur gas ke letrik ke atau dapur arang. Yang pasti kuali tu panas!

3. Masukkan sedikit minyak.

4. Apabila minyak panas, masukkan telur yang sudah dipecahkan. Jangan masukkan sekali dengan kulit tau!

5. Perhatikan tahap ke adakan telur. Ikut lah selera anda samada mata kerbau lendir atau mata kerbau pejal, lihat dengan mata anda untuk keseleraan masing-masing.

6. Tadaaa, dah siap dan angkat untuk dimakan.

7. Jangan lupa, tutup api dapur tu, nanti terjadi tragedi lain pulak. Pesanan dari abang bomba.

Nasihat raya:

Persepsi telur itu bahaya. Boleh baca sedikit fakta di bawah ini. Artikel diambil dari Persatuan Jantung Australia:

a) Kefahaman yang menuduh telur banyak kolesterol sudah berubah. Kajian mendapati telur bukanlah semata-mata penyebab cholesterol tinggi dalam badan. Tetapi kebanyakan sumber makanan yang tinggi kolesterol adalah dari jenis lemak tepu dan transfat. Contoh lemak tepu adalah daging lembu, daging kambing, lemak yang diproses seperti keju dan mentega. Transfat pula adalah lemak yang telah mengalami proses pengubahsuaian bentuk seperti lemak yang terdapat pada kebanyakan makanan segera; kentang goreng, burger, pizza, donut dan lain-lain.

b) Kesederhanaan dalam mengambil telur adalah penting. Jangan keterlaluan dalam mengambil telur. Telur selamat diambil 6-7 biji seminggu atau sebiji sehari. Cuma kaedah penyediaan telur memainkan peranan. Jika digoreng, kolesterol telur tidaklah mainkan peranan untuk tingkatkan paras kolesterol darah, tetapi minyak masak yang digunakan! Telur rebus lebih elok sebab air tiada lemak tersembunyi. Pastikan juga memasak telur dicampur dengan sayuran lain seperti kapsicum, bayam, bawang dan seumpamanya.

c) Ibu selepas beranak jangan lah pantang makan telur. Telur adalah sumber protein yang baik untuk pembinaan semula tisu-tisu yang rosak akibat proses bersalin. Telur juga banyak omega 3 yang amat penting kepada badan kita. Persepsi pantang makan telur lepas bersalin/operation sebab takut luka bersalin bernanah adalah kefahaman yang salah. Bahkan ibu lepas bersalin perlukan lebih banyak protein untuk pemulihan luka bersalin. Terlalu ketat dalam berpantang sehingga hanya makan ikan kering sahaja, boleh melambatkan lagi proses pembinaan semula sel-sel badan.

Sekian resepi dari suhazeli.com

Fb.com/drsuhazeli

5.6.2019

2 Syawal 1440

Kuala Berang

Pautan

[1] Telur. Heart Foundation Australia. https://www.heartfoundation.org.au/healthy-eating/food-and-nutrition/protein-foods/eggs

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...