Doula: Peneman atau Doktor?

Doula bermaksud peneman kepada ibu hamil samada dalam tempoh mengandung, saat getir bersalin dan semasa berpantang. Boleh dikatakan ianya seolah-olah gundik suruhan si ibu untuk membantu, meringan bebanan dan mententeramkan keadaan. Atas slogan wanita memahami wanita, kehadiran doula amat membantu berbanding dengan suami.
Bidan-bidan kampung pada satu ketika dahulu telah memainkan peranan ini. Mereka sudah sebati dalam masyarakat cuma tiada istilah doula pada masa tersebut. Setelah pekeliling yang dikeluarkan oleh KKM, bidan-bidan kampung ini telah diberi pengiktirafan membantu ibu hamil dan juga pihak kesihatan bagi melicinkan lagi urusan bersalin. Sehingga kini bidan kampung memberikan kerjasama penuh kepada KKM bagi memastikan kelahiran yang selamat si ibu. Mereka tidak mengganggu perancangan yang telah diatur oleh pihak kesihatan ke atas si ibu. Malah mereka menggalakkan lagi kerjasama erat itu.
Kini, doula yang menggelarkan diri mereka sebagai “Guru Bersalin” telah mengambil alih tugasan profesional kesihatan dalam pengendalian ibu hamil. Ajaran mereka lebih kepada menghindari pihak hospital, tidak menggunakan khidmat kepakaran, tidak mengambil vaksin dan beberapa nasihat bersalin dengan cara yang membahayakan. Malah rata-rata para penyokong doula ini penjual kepada jamu dan produk kesihatan yang tidak berdaftar.
Isu bersalin di rumah tanpa pengawasan bidan terlatih sehingga menyebabkan kematian adalah sesuatu yang serius. Perkara ini perlu ditangani segera oleh pihak berwajib agar peristiwa yang sama tidak berlaku pada masa depan. Saya menggesa pihak berwajib memanggil semua pihak yang terlibat dalam pengurusan kes untuk berbincang bagi menangani peningkatan kes kelahiran yang tidak selamat ini.
Kelahiran selamat adalah proses kelahiran yang ditangani oleh ahli yang mahir dan ditempat yang kondusif. Ini kerana kita meminimumkan komplikasi-komplikasi kelahiran yang boleh membahayakan seperti perdarahan, lekat uri, koyak pangkal rahim dan sebagainya. Kita tidak mahu terjadinya kes kematian seperti beberapa kes yang berlaku akhir-akhir ini. Kononnya mereka ingin mengikut perkembangan zaman di negara maju yang sudah lama mengamalkan kelahiran sedemikian. Tetapi tangan-tangan yang mengendali kelahiran di rumah tersebut tidak pula mahu memikul tanggungjawab sepenuhnya.
Tidak dinafikan negara kita sudah semakin maju. Begitu juga dengan dunia perubatan, terus berkembang maju dengan penemuan-penemuan baru. Sistem penjagaan kesihatan juga meningkat. Jika dibandingkan dengan tahun awal kemerdekaan, jumlah kematian ibu 540/100 ribu kelahiran hidup (1957), berbanding dengan dewasa kini kurang dari 28/100 ribu kelahiran hidup (2010). Begitu juga penurunan yang signifikan bagi kematian bayi. Ini adalah hasil usaha yang berterusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dengan meningkatkan prasarana, memacu pertumbuhan modal insan dan melaksanakan pelbagai program strategik bagi mengurangkan kematian ibu dan anak. Pendek kata statistik kematian ini sentiasa dipantau secara serius oleh pihak berwajib.
Jumlah kelahiran berisiko tinggi semakin berkurangan kerana wujudnya fasiliti kesihatan yang mantap, anggota terlatih dan sistem yang kondusif. Namun menyedihkan terdapat segelintir rakyat yang sudah mula mencari alasan untuk menafikan kejayaan demi kejayaan menurunkan kadar kematian ini. Ada di antara mereka yang mahu kembali ke situasi sebelum merdeka. Ingin bersalin secara semulajadi. Tidak perlu dibantu oleh individu yang mahir dengan ilmu yang sepatutnya. Akhirnya terjadilah kelahiran tidak selamat seperti apa yang berlaku ini (saya merujuk kes kematian ibu selepas bersalin dan kes kematian bayi ketika bersalin di rumah). Kebanyakan kes tersebut berlaku akibat dari mendapat nasihat tidak tepat dari peneman yang menggelarkan diri mereka sebagai doula.
Saya berpandangan bahawa kehadiran doula sewaktu proses kelahiran di Malaysia boleh menimbulkan masalah. Doula sebenarnya peneman kepada ibu yang sedang bertarung antara hidup dan mati sewaktu proses kelahiran. Kehadiran doula diharapkan boleh membantu ibu bersalin dengan tenang. Tetapi, daripada pemerhatian, peranan doula di Malaysia ini telah melampaui batas sebagai peneman. Mereka seolah-oleh mengambil alih peranan menjadi pakar perbidanan, doktor, jururawat dan bidan yang memberi nasihat dan menguruskan proses kelahiran. Khidmat nasihat yang mereka berikan, samada berada di sisi pesakit atau melalui aplikasi WhatsApp, telah membahayakan kesihatan dan nyawa ibu dan juga anak, terutamanya dalam kes-kes yang berisiko tinggi.
Doula juga menganjurkan kelahiran di rumah tanpa kehadiran ahli yang terlatih. Ini adalah satu kaedah proses kelahiran yang tidak selamat. Sudah banyak kes yang berakhir dengan kematian dan komplikasi teruk semasa proses bersalin tidak selamat yang dianjurkan oleh mereka ini. Dengan apa sahaja nama yang mereka berikan bagi meng’halal’kan kaedah tersebut, sebenarnya mereka menafikan kaedah yang sedia ada di premis kesihatan bertauliah samada kerajaan ataupun swasta.
Di Malaysia, selain daripada doktor, hanya anggota kesihatan yang terlatih di dalam bidang perbidanan dan berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia sahaja yang boleh mengendalikan kelahiran. Ini termaktub di dalam Seksyen 14(1) Akta Perbidanan 1966 yang menyatakan:
“Any person who, not being a midwife registered under this Act, practices midwifery, shall be guilty of an offence and shall be liable on conviction to a fine not exceeding two thousand ringgit or to imprisonment for a period not exceeding one year or to both.”
Saya ingin menyeru pihak berwajib mengambil tindakan tegas kepada pihak-pihak tertentu yang dengan senghaja menghasut ibubapa untuk bersalin di rumah secara lotus atau menjalankan aktiviti pengamalan tertentu tanpa pengawasan rapi daripada anggota perbidanan bertauliah. Antara amalan yang tidak patut diamalkan oleh mereka adalah seperti melambatkan pemotongan tali pusat sehingga berjam-jam lamanya, tidak mengeluarkan uri dalam tempoh masa yang segera dan tidak memberi imunisasi kepada bayi yang baru dilahirkan.
Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak bertanggung jawab seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, agar mengambil inisiatif mempertingkatkan pendekatan dan aktiviti pendidikan kesihatan berterusan kepada masyarakat untuk memastikan tahap tinggi kesihatan ibu dan anak di Malaysia dapat terus dipertingkatkan. Satu garis panduan khusus perlu diwujudkan bagi memberi panduan kepada doula supaya tidak mengambil alih peranan profesional perubatan untuk menjalankan tugas mereka.
Saya menyokong padu usaha yang dilakukan oleh MedicalMythBustersMalaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengenengahkan isu doula ini. MedicalMythBustersMalaysia telah membuat surat terbuka kepada Sultan Johor agar mendapat naungan rahmat titah Baginda agar tidak lagi berlaku kes yang sama pada masa hadapan. Begitu juga Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang juga menbuat kenyataan yang hampir sama tahun 2016 lalu. Kesemuanya menjurus kepada menyeru masyarakat agar bersalin dengan kaedah yang selamat dan tidak menggunakan khidmat doula yang bukannya ahli berwibawa dalam menguruskan kelahiran.
#SayNoTo UnSafeBirth
Dr Suhazeli Abdullah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...