Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Khasiat Pokok Susu Nabi

Sering kali terdapat ubatan yang baharu samada ubatan tradisional mahupun ubatan moden, rakan-rakan akan merujuk kepada saya sebagai pengesahan. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kerana sudi bertanya soalan sedemikian. Ianya satu sikap yang bagus, meminta penjelasan dan kesahihan sebelum menggunakannya. Dalam kebanyakan persoalan, saya akan menjawab tidak pasti atau minta ditangguhkan jawapan sebelum saya mendapatkan kepastian dari kawan-kawan yang ahli dalam sesuatu ubat itu. Atau sekurang-kurangnya saya membuat carian jurnal yang lebih berwibawa (authentic).

.

Seorang ahli kimia produk natural, Dr Che Puteh Osman, pensyarah dari UiTM pernah menulis berkaitan dengan penemuan yang pernah beliau jalankan dan hubungkait dengan ubatan yang dikomersialkan.[1]

“Sebarang pengujian ubat-ubatan samada ubatan moden ataupun herba yang dijalankan secara in-vitro (ke atas sel dalam piring petri) dan ujian in-vivo (ke atas haiwan) tidak boleh merasionalkan penggunaan sebagai ubat secara terus. Sebagai seorang ahli kimia yang mengkaji produk natural, penggunaan ubatan tradisi atau herba akan memberikan maklumat kepada saya untuk mengkaji dan melihat potensi sesuatu ubat tersebut. Kalau betul-betul berpotensi ia akan dibawa ke peringkat penyelidikan seterusnya iaitu pra klinikal dan klinikal (kajian atas manusia).

.

Tambah beliau; “pada peringkat pencarian bahan-bahan terdapat berjuta calon bahan/pokok herba dan sebatian kimia yang boleh dikaji untuk diiktiraf sebagai ubat. Setelah masuk fasa pra klinikal jumlah ini berkurang kepada beberapa ribuan calon sahaja. Pada peringkat klinikal, hanya beberapa ratus sahaja yang layak diuji ke atas manusia. Selepas itu sekitar beberapa peratus berjaya, didaftarkan dan dikomersilkan. Jadi kenapa ia tak jadi ubat? Kerana ia telah gagal pada pengujian daripada peringkat penemuan dan klinikal.

.

Terdapat juga bahan/ubatan tidak diteruskan ke fasa klinikal ke atas manusia kerana terpaksa menggunakan banyak sumber serta prasarana bagi menghasilkan satu ubat. Ianya tidak memadai, malah tidak setanding keberkesanannya berbanding ubatan moden yang sudah lama dipasaran. Sebagai contohnya buah letup-letup, tidak terbukti untuk merawat strok. Separuh (50%) tikus makmal yang diberikan jus buah letup-letup ini (physalin minima) mati dalam tempoh 90 hari. Mereka juga mendapati jus buah letup-letup boleh mengakibatkan rentak jantung tidak teratur sehingga boleh mendatangkan risiko sakit jantung. Manakala ujian paras gula, sistem hati dan ginjal tidak berubah.[2] Manusia mana yang sanggup jadi bahan ujikaji untuk diteruskan kajian klinikal?

.

Begitu juga dakwaan mengatakan khasiat anti oksidan yang terdapat atas petai boleh mengubati kanser. Kajian in-vitro dan in-vivo tidak terbukti pun. Namun kajian atas tikus makmal mendapati ektrak petai itu anti stres. Bayangkan kesan anti stres bagi petai sahaja, sebanyak ekstrak 10 kg petai digunakan bagi menghasilkan kesan reaktiviti ke atas 5 ekor tikus (kajian melihat anti stress).[3] Berat tikus sekitar 350 mg menggunakan 10 kilogram petai! Jika ujikaji atas manusia berapa kilogram petai akan digunakan? Itupun secara ekstrak. Jika kaedah makan secara mentah, kena makan berapa lori pula?

.

Timbul masalah apabila segelintir dari kita menuduh KKM sengaja menutup peluang kepada perubatan herba dek kerana ubatan hospital dikawal oleh farmasi gergasi. Sedangkan ubatan hospital itu juga datang dari konsep kajian yang sama dalam fasa-fasa pembuktian. Isu yang sama dibahaskan ke atas tumbuhan lain seperti ketum, Pokok Susu Nabi, Jambu Batu, Betik dan banyak lagi herba botani yang kaya dalam negara kita.[4] Kesemuanya masih diperingkat kajian sel makmal dan tikus. Belum pun lagi melepasi fasa kajian klinikal ke atas manusia. Kami sebenarnya tiada masalah dan dengan senang sahaja boleh menerima ubat-ubatan tersebut jika sudah dibuktikan kesahihan keberkesanan, selamat dan berkualiti.

.

Pembuktian ujikaji ini boleh diibaratkan sama dengan penggunaan minyak sawit sebagai biodisel untuk kereta. Adakah kita sanggup menukar minyak petrol atau disel kereta kita dengan minyak sawit? Walaupun terdapat kajian yang menyatakan minyak sawit itu mempunyai kelebihan gantian kepada minyak petrol/disel, tetapi tidak semudah itu untuk beli minyak sawit di petronas dan masukkan dalam tangki minyak kereta kita! Ianya memerlukan modifikasi lanjut dan kajian mendalam sebelum digunapakai oleh masyarakat umum.

.

Adakah doktor melarang masyarakat mengambil petai, jambu batu, betik dan lain-lain itu? Jangan salah faham hujah yang kami kemukakan ini. Melarang dakwa terdapat tuntutan perubatan bukan bermakna melarang makan atau guna. Jika nak guna juga dan berkeras bahawa ubat herba itu mujarab, silakan. Andai berlaku perkara yang tidak dingini, jangan salahkan dakwaan yang mereka momokkan itu. Risikonya tanggung sendiri. Jika mampir di wad kecemasan, kita akan terus rawat tanpa prejudis.

.

Sekian pesanan dari suhazeli.com

fb.com/drsuhazeli

26.12.2017

Bukit Besi

.

Pautan

[1] Profile Dr Che Puteh Osman. https://www.researchgate.net/profile/Che_Osman

[2] Buah letup-letup, physalis peruviana. https://www.hindawi.com/journals/ecam/2013/707285/

[3] Ektrak petai untuk kajian anti stress atas tikus. http://www.academia.edu/29916542/EVALUATION_OF_ANTI_STRESS_ACTIVITY_OF_Parkia_speciosa_SEEDS_EXTRACTS_ON_STRESS_INDUCED_MICE

[4] Carica papaya, Cynodon dactylon, Euphorbia hirta, Melia azedarach and Psidium guajava leaves. https://pdfs.semanticscholar.org/d3b8/1025ca493972d0cccf370f5ca4f5187c5c45.pdf dan http://www.phcogrev.com/article.asp?issn=0973-7847;year=2010;volume=4;issue=7;spage=58;epage=61;aulast=Kumar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

330 COMMENTS

Comments are closed.

Popular Articles