Saturday, April 27, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Berwaspadalah dengan Syiah

Sumber: FB Ustaz Imran Al Malizi*

*”Berwaspadalah dengan (Syiah) di negara kamu.”*
– Al-Marhum Dr.Abdul Karim Zaidan

syiahSetelah beberapa tulisan saya sebelum ini menyentuh tentang agama dan aliran dalam agama, jika kita dah faham.. saya kira baru sesuai kita bicara tentang kewaspadaan kita dengan penularan ajaran Syiah.

Sebelum saya pulang ke tanah air pada penghujung 2009, saya sempat menziarahi guru kami Dr.Abdul Karim Zaidan -rahimahullah- di Sana’a-Yaman, untuk meminta nasihat dan wasiatnya. Ada artikel khas tentang pesanan dakwahnya itu tersiar dalam Harakah sekitar Nov atau Dis 2009.

Ada perkara yang saya tidak tulis ketika itu. Di antaranya beliau bertanya kepada saya, “Adakah terdapat kelompok Syiah di negara kamu?”

Jawab saya, “Ada. Mereka minoriti.”

Tanya beliau lagi, “Berapa ramai?”

Jawab saya, “Saya tidak tahu angka atau peratus yang tepat. Tetapi sangat minoriti dan mereka tidak begitu menonjol.”

Kata beliau, “Berwaspadalah dengan mereka. Jangan biarkan ajaran Syiah merebak di negara kamu.”

Saya sangat memahami maksud beliau, kerana sebelum itu TG Hj.Abdul Hadi Awang juga pernah menyebut perkara yang sama ketika di Yaman. Bahkan Al-Syeikh Dr.Muhammad Mahmoud Siyam juga pernah berpesan begitu. Kedua-dua tokoh ini juga antara jemputan tetap ke Al-Majma’ al-‘Alami Lil-Taqrib Bainal-Mazahib al-Islamiyyah di Tehran. Seorang mewakili PAS (Malaysia) dan seorang lagi mewakili Hamas (Palestin) dan Pertubuhan Ulama Palestin.

Mereka pergi bukan kerana meletakkan agenda penyatuan (التأليف) namun mereka melihat pendekatan (التقريب) adalah peluang untuk kita berbincang isu-isu yang disepakati bersama dan boleh menjalinkan kerjasama.

Di sinilah perbezaan istilah al-Ta’lif (Penyatuan/usaha untuk bersatu) dan al-Taqrib (Pendekatan/usaha untuk mendekatkan). Ini yang dilanggar habis oleh semua orang yang hendak berbahas tajuk ini di media sosial. Sehingga sampai kepada tuduhan pro-syiah, taqiyyah, bersubahat dengan perogol sehinggalah takfir.

Bagi Dr,Abdul Karim Zaidan, beliau melihat bahaya di mana-mana negara umat Islam, demografi Sunni-Syiah bakal membawa malapetaka. Kerana ia umpama bom jangka yang menunggu masa untuk meledak atau bom yang boleh diaktifkan dari jarak jauh oleh kuasa-kuasa besar. Pengalaman di negaranya, Iraq (2003) adalah contoh yang jelas lagi nyata. Itu kira-kira 10 tahun sebelum Perang Syria meletus.

Namun bagi PAS dan Hamas, mereka jelas bahawa Taqrib bukan medan untuk mempromosikan ajaran Sunni dan mengajak mereka menganut Ahli Sunnah, begitu juga sebaliknya. Mereka berbincang tentang isu-isu yang disepakati bersama. Sebagai contoh, kewajipan membantu perjuangan membebaskan bumi Palestin.

Ketika negara-negara Sunni tunduk kepada tekanan AS dan Israel, Hamas tidak dibenarkan bertapak (ada negara yang menutup ibu pejabat Hamas), negara manakah yang memberi ruang Hamas berpengkalan?

Ya, Syria dan Iran termasuk Sudan. Sekalian lama Hamas dan Jihad Islami beroperasi di Damsyik dan Tehran. Mengapa Syiah bagi ruang kepada pejuang-pejuang Sunni? bukankah Sunni itu musuh ketat yang ‘halal darah’ dan ‘membunuh Sunni’ mendapat pahala?

Dari segi siasah, inilah natijah ‘Taqrib’ sekian lama sehinggalah meledaknya Arab Spring (2011) dan berlakulah apa yang telah berlaku.

Maka itu, usaha di kedua-dua pihak sememang ada agar mengawal sentimen sektarian Sunni-Syiah ini di negara masing-masing. Apabila tidak dikawal penularan Syiah di negara majoriti Sunni dan sebaliknya Sunni di negara majoriti Syiah, ianya boleh menjadi menjadi ancaman kepada keharmonian amalan beragama dalam masyarakat.

Taqrib juga bagi menjaga kepentingan minoriti Sunni di Iran dan negara-negara di bawah penguasaan Syiah yang lain.

Betul ke? Siapa yang tahu? Tentulah yang tahu perkembangannya ialah mereka yang terlibat. Di kala terdapat tokoh-tokoh Sunni yang berundur daripada meneruskan Taqrib, salahkah jika ada yang masih mahu meneruskan? Adakah jika kita terus menjauh dan memutuskan usaha ini maka keadaan menjadi lebih baik dan damai?

Berwaspada dan berdiplomasi dengan hikmah

Oleh itu, saya mengulangi semula pesanan Dr.Abdul Karim Zaidan agar berwaspada. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, bolehkah kita mengkafirkan mereka yang bertaqiyyah?

Perhatikan bagaimana Allah mengajar Rasulullah SAW untuk bermuamalat dengan golongan munafik yang menyembunyikan kekufurannya dalam hati:

هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ ۚ قَاتَلَهُمُ اللَّه

“Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya.” [Al-Munafiqun: 4]

Perintah Allah agar berwaspada ini seiring dengan layanan baik Rasulullah SAW kepada mereka tanpa mengisytiharkan secara keseluruhan bahawa mereka itu kufur setelah beriman atau mengeluarkan mereka daripada kumpulan umatnya. Ini adalah perkara yang perlu kita berikan perhatian di zaman tiada penurunan wahyu lagi.

Berwaspadalah! Kita mempertahankan akidah yang benar dalam masa yang sama janganlah melampau batas dalam mengeluarkan manusia dari daerah Islam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dr Suhazeli Abdullah
Dr Suhazeli Abdullah
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com

Popular Articles