image

Terima kasih. Jawapan telah dijawab oleh pihak KKM dan saya telah masukkan dalam website bulan lepas.

Memang benar ada vaksin tidak halal wujud. Tetapi bukan semua vaksin yang terdapat dalam premis Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jawapan:

1. Sel janin digunakan untuk membuat lima jenis vaksin; iaitu rubella, cacar air*, hepatitis A*, kayap* dan penyakit anjing gila (rabies^). Ia digunakan untuk membiakkan virus-virus tersebut bagi penghasilan vaksin. Sel janin yang digunakan diperolehi dari dua pengguguran elektif yang dijalankan di Sweden dan England pada awal tahun 1960an.
Pengguguran janin baru tidak perlu dijalankan lagi kerana sel janin yang diperoleh dalam tahun 1960an tersebut masih dikekalkan dalam kultur makmal. Ahli saintis memilih untuk menggunakan sel janin atas beberapa sebab, iaitu:
i. Virus berbeza dari bakteria kerana ia memerlukan sel untuk membiak. Sel manusia adalah media yang lebih baik bagi menggalakkan pembiakan virus manusia, berbanding dengan sel haiwan.
ii. Sel janin kebal dan boleh membiak banyak kali sebelum mati, berbeza dari sel lain yang hanya membiak secara terhad sebelum mati.

2. Islam pada dasarnya menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit. Ketetapan ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram”.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan darurat di mana tiada ubat lain yang boleh digunakan secara berkesan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dicegah dan dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan nyawa, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah adalah diharuskan selama mana tiada ubat lain dari sumber yang halal ditemui dan ianya dilakukan mengikut kadar yang diperlukan sahaja.
Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat yang ditetapkan untuk memastikan keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlulah dipenuhi. Syarat-syarat tersebut ialah:
a. Berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman-pengalaman atau pengetahuan;
b. Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudaratan melainkan perkara yang ditegah;
c. Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;
d. Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan
e. Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.

Dalam hal ini Islam amat menitikberatkan keselamatan umat manusia. Perlu difahami bahawa sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan untuk maslahah ummah hanya diperakukan oleh syarak sekiranya tidak bercanggah dengan Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam.
Berdasarkan ketetapan dan panduan syarak tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak dari tahun
1988 lagi telah mengeluarkan beberapa pandangan hukum yang berkaitan langsung dengan imunisasi yang seharusnya menjadi panduan seluruh umat Islam.

*Tiada dalam jadual imunisasi anak². Tidak diwajibkan oleh KKM.
^ wajib jika setelah terkena gigitan anjing gila. Sekarang ini Rabies menular di Pulau Pinang.

Rujukan
Soalan Lazim Mengenai Vaskin dan Imunisasi. Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jakim. Julai 2015.

Download Buku Soalan lazim

Dr Hj Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Ketengah Jaya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...