,

Jawapan kepada Sedut Air dalam Hidung Bukan Rawat Strok

Saya terima teguran seorang ustaz yang membaca tulisan saya mengenai hikmah menyedut air dalam hidung semasa wudhuk. Tulisan saya menyanggah satu sebaran artikel yang menyatakan kaedah menyedut air dalam hidung itu adalah rawatan untuk pesakit angin ahmar. Artikel asal dari bahasa indonesia itu menyebut doktor Saudi angkat tangan (menyerah kalah dalam merawat) dan menyarankan kes dirujuk ke doktor Swiss. Tidak dinyatakan kejadian ini berlaku di Indonesia atau Saudi. Akhirnya Dr Swiss menempelak pesakit muslim tadi kerana tidak mengambil rawatan stroke yang sudah termaktub dalam kitab suci – Al Quran. Pesakit mendakwa bahawa beliau sembuh total dari stroke dengan hanya melakukan saranan dari doktor Swiss tadi iaitu dengan Istinsyaq-instinsyar.

“HIRUPLAH AIR DIHIDUNG SETIAP BERWUDHU’ SAMPAI TERASA DI UBUN-UBUN”, Kaedah ini adalah untuk merawat strok kononnya.

Perlu saya nyatakan di sini bahawa tulisan saya bukannya menyanggah perbuatan sunnah istinsyaq itu dan bukan menafikan hikmah tertentu dalam sunnah. Malah sama sekali ianya tidak menghina amalan sunnah yang dianjurkan oleh syariat Islam tersebut. Akan tetapi tulisan saya adalah menyanggah kaedah rawatan untuk strok. Menyedut air dalam hidung hingga terasa ke ubun-ubun bukannya rawatan strok. Jangan salah faham isi tulisan saya. Pembaca perlu membacanya baris demi baris.

Sedut air ke dalam hidung dan menghembus semula semasa wuduk adalah amalan sunnah dan baik untuk dilakukan. Saya pun berbuat sedemikian semasa angkat hadas. Kotoran dalam hidung akan dibersihkan. Saya tidak nafikan perbuatan itu mempunyai hikmahnya tersendiri samada kita ketahui atau sebaliknya.

Al fadhil ustaz berkenaan menambah melalui komen beliau bahawa terdapat saudara beliau yang semakin baik dari serangan angin ahmar setelah melazimi instinsyaq semasa berwudhuk. Katanya lagi waris beliau tersebut dari awalnya tidak dapat bercakap kerana strok, sekarang sudah boleh bercakap dan berjalan sekadar mampu. Beliau bandingkan pula dengan orang lain sekampung yang tidak melakukan intinsyaq semasa berwudhuk. Penyakit strok pesakit berkenaan tidak berubah. Kesimpulan yang beliau buat bahawa beliau yakin rongga hidung berhubung dengan rongga otak. Manakan tidak dua paparan kes testimoni itu boleh berlaku.

Saya setuju dengan beliau untuk terus memberi kuliah agar amalan sunnah itu harus dilakukan kepada semua pesakit strok. Tiada masalah besar jika pesakit yang lumpuh separuh badan mampu laksanakan istinsyaq. Tetapi janganlah memaksa.

Cuma perlu diingatkan bahawa struktur anatomi rongga hidung dan rongga otak tidak bersambung. Malah air sedutan dalam hidung tersebut tidak akan memasuki rongga otak. Jika ia boleh masuk, semakin teruk jadinya.

Pemulihan semula pesakit strok selepas terkena serangan boleh terjadi pelbagai kemungkinan. Satu pertiga pesakit akan meninggal dunia akibat strok dalam tempoh tertentu, sepetiga dari mereka pula statik keadaannya. Satu pertiga lagi akan pulih. Ianya bergantung kepada keparahan strok, kawasan otak yang terlibat dan rawatan rehabilitasi yang diikuti. Ianya juga bergantung kepada rawatan penyakit kronik lain jika ada seperti kawalan darah tinggi, kawalan kencing manis dan sebagainya.

Tidak pelik jika seseorang itu akan pulih dalam tempoh tertentu setelah serangan strok. Dan tidak pelik jika seseorang pesakit itu kekal statik lumpuh atau tidak bercakap, kerana keparahan strok berbeza-beza bagi setiap individu. Yang penting adalah ikhtiar untuk memulihkannya kepada keadaan normal sebaik mungkin.

Sekian dari suhazeli.com

Fb.Com/drsuhazeli

24.8.2018

Zamboanga City

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply