Vaksin vs Pemakanan Sunnah
Secara umum, sistem pertahanan badan terbahagi kepada dua iaitu
1️⃣ Imuniti semulajadi (innate immunity)
2️⃣ Imuniti penyesuaian (adaptive immunity).
Inilah yang dinamakan sistem imuniti
Imuniti semulajadi merupakan tindak balas pertama dalam badan sekiranya badan diserang kuman. Tindak balas ini bersifat tidak khusus kepada mana-mana kuman. Ianya juga sementara dan tidak dapat bertahan lama. Sekiranya kuman masih lagi berada di dalam badan, imuniti penyesuaian akan mengambil alih tugas menyingkirkan kuman secara khusus atau spesifik.
Strategi tindak balas imuniti penyesuaian lebih tersusun, spesifik dan dapat menghasilkan antibodi memori. Imuniti penyesuaian diperolehi apabila badan kita dijangkiti kuman. Asasnya apabila badan dijangkiti secara AKTIF oleh kuman, badan akan bertindak balas. Tindakbalas ini terdiri dari tiga keadaan:
1️⃣ Badan akan timbul tanda-tanda jangkitan kuman dan komplikasi dari kuman tersebut. Jika imuniti semulajadi kita kuat, kita akan sembuh atau mengalami kecacatan.
2️⃣ Badan tidak dapat melawan kevirulan / keganasan sesuatu kuman boleh menyebabkan kematian atau cacat. Itulah yang terjadi kepada kuman-kuman merbahaya seperti polio, difteria, pertusis, H. Influenza B dan lain-lain.
3️⃣ Dalam masa sama badan akan menghasilkan antibodi memori terhadap sesuatu kuman tetapi tanpa simptom penyakit tersebut.
.
Hasil dari kajian berabad lamanya, vaksin diterokai dan dicipta bagi menggantikan kuman yang virulen (yang berbahaya). Di mana vaksin ini diberi secara PASIF ke dalam badan kita. Walaupun kita beri samada cucuk atau titis dalam mulut, kaedah ini kita tetap beri nama Imuniti Adaptif secara pasif.
.
Sebagaimana yang kita maklumi bahawa vaksin adalah sejenis bahan yang mengandungi kuman yang telah dimatikan virulennya, dilemahkan, diambil nukleas bagi pembentukan DNA rekombinan, kelonsong kuman atau toksoid. Proses pembangunan dan pembuatan vaksin agak sophisticated dalam makmal yang terjamin sudut kualitinya. Vaksin akan mengaruh rangsangan kepada sel-sel badan bagi menghasilkan sel antibodi memori.
Jika berlaku jangkitan kuman yang bahaya seperti virus campak, Polio, Difteria dan lain-lain, badan telah pun menyediakan perlindungan terhadap kuman tersebut dan badan kita dilindungi dari penyakit berbahaya.
Apa pula kaitan susu ibu dan pemakanan dengan imuniti?
Selain penghasilan perlindungan (imuniti) melalui pendedahan kepada penyakit mahu pun melalui vaksinasi, badan juga boleh mendapat imuniti secara tidak langsung daripada ibu ketika dalam kandungan atau melalui susu ibu. Imuniti ini tidak spesifik kepada kuman-kuman tertentu. Ia adalah keimunan semulajadi (innate immunity). Imuniti secara tidak langsung ini tidak sama seperti imuniti yang dihasilkan oleh sistem imun badan secara ADAPTIF melalui vaksin.
Begitu juga pemakanan sihat samada dikategorikan sebagai pemakanan sunnah atau tidak. Makanan tetap makanan. Ianya bukan vaksin. Kemampuan makanan tidak dapat menghasilkan antibodi spesifik kepada penyakit-penyakit yang berbahaya. Bahkan pemakanan tidak dapat merangsang sistem pertahanan khusus. Walaupun pemakanan ada khasiatnya tetapi ianya sekadar pertahanan umum.
Suhazeli Abdullah
5.12.2020
Kuala Berang
