Ibadah Haji adalah ibadah yang memerlukan kekuatan tenaga dan ketahanan mental. Buktinya adalah segala rukun dan wajib haji berbentuk pergerakan fizikal, bukannya bacaan kecuali niat. Di sini beberapa panduan kesihatan untuk petugas atau jemaah haji yang ingin menunaikan haji di Mekah. Semoga anda semua memperolehi manafaat darinya.

*Vaksin / Pelalian*

Kerajaan Arab Saudi telah mensyaratkan semua jemaah yang ingin mengerjakan haji mengambil beberapa suntikan vaksin / pelalian. Vaksin yang wajib diambil oleh semua jemaah haji yang datang dari pelusuk dunia adalah Vaksin Meninggococcal. Selain dari itu beberapa vaksin lain yang digalakkan seperti, Vaksin Influenza dan Vaksin Pneumococcal.

Pihak Tabung Haji telah mewajibkan kepada bakal jemaah haji mengambil Vaksin Meninggococcal. Malah jika anda tidak mengambil vaksin ini, pihak Tabung Haji berhak untuk tidak membenarkan anda mengerjakan haji pada tahun tersebut. Vaksin lain adalah pilihan yang digalakkan oleh pihak Tabung Haji.

Vaksin Meninggococcal adalah diwajibkan bagi menghalang jangkitan kuman yang diberi nama Neisseria meningitides‎. Kuman ini mendatangkan penyakit yang boleh membawa maut kepada pengidapnya. Jangkaan kematian bagi orang yang telah dijangkiti adalah 10%. Ini adalah salah satu ikhtiar kita untuk menghindarkan diri dari terkena jangkitan kuman ini. Dalam jutaan manusia yang datang dari seluruh dunia, pelbagai virus atau kuman boleh berjangkit. Begitu juga dengan kuman Neisseria Meningitidis ini. Ia boleh merebak melalui pernafasan atau cairan tubuh badan. Orang yang dijangkiti oleh kuman ini akan mengalami demam yang tinggi, ruam seluruh badan, sakit sendi dan boleh menyebabkan koma.
Vaksin ini baik diambil dalam masa 4 hingga 6 minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci. Kekuatan perlindungan vaksin ini dijangka sehingga dua tahun setelah mendapat suntikan.

Vaksin Influenza pula bagi melindung diri kita dari Virus influenza. Virus ini boleh menyebabkan demam selsema yang teruk dan senang berjangkit sesama jemaah. Virus influenza ini juga boleh mendatangkan mudarat kepada jemaah yang berumur lebih dari 60 tahun atau mempunyai penyakit kronik seperti Kencing Manis. Ia boleh menyerang paru-paru mengakibatkan batuk dan demam yang berpanjangan.

Walaubagaimana pun demam selsema boleh diakibatkan juga oleh pelbagai kuman lain yang tidak mendatangkan mudarat yang teruk kepada jemaah. Kebiasaanya demam selsema sebegini akan berlarutan sehingga tiga atau empat hari sahaja. Bagi jemaah yang sudah menghidapi penyakit resdung, demam selsema senang terjadi kepada mereka. Ini berpunca dari perubahan cuaca di Tanah Suci yang beriklim ekstrim (panas dan kering keterlaluan, sejuk dan kering keterlaluan). Perbezaan ini amat ketara dengan negara kita yang beriklim panas dan lembab.

Vaksin Pneumokokal sesuai juga diberikan kepada jemaah yang berumur 60 tahun ke atas atau jemaah yang mempunyai masalah penyakit kronik seperti lelah, asma, kencing manis dan darah tinggi. Kuman ini senang menjangkiti jemaah yang rendah sistem pertahanan badan. Sesiapa yang dijangkiti kuman ini boleh mengakibatkan jangkitan kuman paru-paru (pneumonia), Serangan selaput otak (Meningitis) dan kuman merebak keseluruh badan (Bacteremia)‎. Dianggarkan 1 dari 20 orang yang telah dijangkiti kuman Pneumokokal akan meninggal dunia. Justeru itu amat digalakkan jemaah haji mengambil suntikan ini sebagai salah satu jalan ikhtiar kita semasa berada di Tanah Suci.

Dr Hj Suhazeli Abdullah 
Pakar Perubatan Keluarga 
Fb.com/drsuhazeli

Ahli
#MedicalMythBustersMalaysia 
#MedTweetMY 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleTapak Semaian Vaksin dari Janin dan Ginjal Monyet…..Betul ke?
Next articleTuliskan Niat Kami 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com