Kita agak skeptikal dengan pandangan sesetengah pihak bahawa tidak perlu guna vaksin pun untuk menyekat wabak penyakit berjangkit seperti demam campak yang menular sekarang. Mereka asyik pertahankan rawatan alternatif boleh menyekat gejala wabak yang berlaku tanpa menyebut secara spesifik apakah rawatan tersebut. Antara alasan yang mereka selalu jawab adalah penyakit itu Allah yang turunkan, maka Allahlah akan mendatangkan penawarnya. Tetapi apabila ditanya, apakah penawar itu? Mereka mula meraba-raba mencari jawapan.

Andai mereka menamakan rawatan Homeopati sebagai gantian vaksin, adalah tidak benar kerana presiden Homeopati sendiri Tuan Hj Zainol Azmi menyangkal bahawa Homeopati tidak pernah wujud vaksin. Malah Sir Samuel Hahnemann, pengasas kepada perubatan Homeopati itu pun mengiktiraf vaksin dan bersama-sama Sir Edward Jenner membasmi penyakit menggunakan vaksin pada ketika itu.

Jika mereka menyebut ubatan herba atau makanan sunnah boleh bertindak sebagai vaksin untuk mencegah penyakit berbahaya, di mana buktinya? Lantas mereka salin-tampal (copy paste) artikel carian google yang mereka sendiri pun tidak faham bentuk tulisan itu ditulis.

Kita cukup hargai pandangan dan kesungguhan mencari maklumat melalui internet. Tetapi fakta yang disalin-tampal itu ada kesalahan yang perlu diperbetulkan. Menjadi hak saya pula sebagai seorang yang meneladani disiplin ilmu menyatakan pembetulannya. Kami yang berada dibidang ini sudah banyak berbincang dan khulasahkan isu-isu yang dikemukan berkaitan kontroversi vaksin itu. Saya sendiri sudah banyak kali membuat pertemuan dan sepentas bersama agamawan, mufti dan ahli perubatan yang mahir dalam bidang mereka. Nada kami adalah serupa. Samada dengan ahli akademi dan juga agamawan semuanya bersetuju vaksin itu wajib diberikan kepada anak-anak kita. Adakah mereka yang menolak vaksin itu lebih hebat keilmuan dari para mufti?

Jika hanya meletakkan hujah yang disalin-tampal dari google dan tidak tahu letak duduk sesuatu itu, bermakna masyarakat umum harus menerima hakikat bahawa serahkan kepada ahli yang mahir membicarakan bab ini. Semuanya sudah terbentang. Hanya perlu teliti dan hadam betul-betul. Jangan pula kita terlebih pandai dari para mufti mahupun ahli perubatan.

Nasihat kami kepada golongan yang menolak vaksin itu agar jangan hanya untuk merasa seronok diri sendiri sedangkan negara dan ummat menderita. Lihatlah dengan fikiran terbuka bahawa usaha anda yang menakutkan orang lain terhadap vaksin akan membuka ruang kerosakan manusia yang lebih besar. Saya hairan, adakah mereka tahu sekarang ini berlaku wabak campak dan kerajaan berusaha keras untuk mengawalnya dari terus merebak?

Kita tidak mahu peristiwa yang berlaku wabak teruk seperti Thailand, Amerika Syarikat, Eropah akibat dari segelintir rakyat mereka yang juga menentang vaksin! Wabak yang berlaku di sana sudahpun melihatkan kematian demi kematian.[1,2,3]

UNICEF melaporkan penularan penyakit yang berlaku di beberapa lokaliti dunia itu boleh merencatkan usaha badan kesihatan sedunia untuk menjadikan sifar penyakit seperti demam campak. Pelan tindakan eliminasi (penghapusan penyakit) demam campak yang bermula tahun 2001 menegaskan usaha optimum perlu dilakukan sehingga seluruh penduduk dunia terutama bayi diberikan vaksin MMR tercapai melebihi 95% liputan. Jika liputan kurang dari itu, atau mencecah kurang dari 85%, usaha untuk menjadikan dunia sifar campak gagal menjelang tahun 2020.[4]

Fenomena penularan inilah merisaukan para professional perubatan seluruh dunia. Sedangkan para penentang vaksin berseronok hanya untuk diri mereka sendiri dan mendakwa mereka akan selamat tanpa suntikan. Sedangkan risiko wabak akan semakin tinggi jika kawalan tidak dijalankan secara tuntas.

Selagi belum dijangkiti mereka terus mendabik dada. Lihat! Kami belum kena pun penyakit kerana kami mengamalkan itu dan ini selain vaksin. Bahkan mereka pula memerli bahawa ubatan sendiri yang mereka ciptakan itu lebih mujarab dari vaksin. Itulah hakikatnya golongan itu berhujah. Apabila kita minta bukti untuk dibawa ke pihak berkuasa ubat mengenai ramuan sendiri yang mereka gahkan itu, tak ada pun. Hanya dakwaan kosong semata-mata.

Jika benar ada penawar yang boleh menghalang berlaku penularan wabak sekarang ini silalah tampil ke depan dan syorkan kepada kerajaan untuk digunakan dalam premis kerajaan yang sah. Jika sekadar hanya mendakwa bagai, jurujual ubat kaki lima pun boleh.

Dr Suhazeli Abdullah

Fb.Com/drsuhazeli

1.12.2018

Kuching, Sarawak

Pautan

[1] Outbreak Measles in US. https://bbc.in/2QWhVqK

[2] Outbreak Measles in Israel. https://www.timesofisrael.com/toddler-dies-of-measles-in-jerusalem-in-first-such-incident-in-15-years/

[3] Outbreak Measles in Europe. https://www.express.co.uk/life-style/health/1005826/measles-outbreak-europe-rash-symptoms

[4] Punca Outbereak adalah peningkatan penolakan vaksin. https://www.unicef.org/press-releases/measles-cases-spike-globally-due-gaps-vaccination-coverage-new-report?fbclid=IwAR1yplg4pe3tnoXsdruDcuXtBEUvJ9bybsyySD75zzaQGtD-EyrbhL0dYZc

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articleUbat Ajaib Rawat Segala Penyakit
Next articleTrauma Healing di Palu Beri Kesan Mendalam
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com