Pengajaran dari Surah Al Kahf oleh Dr Hana Hadzrami 

Kisah Nabi Musa dan Khidr (AS)

Di antara kisah yang diceritakan dalam Al Kahf ialah peristiwa Nabi Musa bertemu dan belajar dengan Nabi Khidr (AS).
Diantara 3 pelajaran penting yang dipelajari oleh Nabi Musa ketika itu ialah:
1. Hikmah perahu milik nelayan miskin dibocorkan bagi menyelamatkan perahu itu dari dirampas oleh penguasa yang zalim.

Pengajaran: Kadangkala Allah memberi musibah kecil bagi mencegah musibah yang lebih besar.
2. Hikmah kematian seorang kanak-kanak yang bakal menjadi jahat apabila dewasa. Anak tersebut ditarik nyawanya ketika kecil kerana dia bakal memberi impak buruk kepada kedua ibubapanya dengan menyesatkan mereka apabila dia dewasa. Ia juga kerana Allah mahu menggantikan ibubapa itu dengan anak yang lebih baik kemudiannya.

Pengajaran: Anak yang jahat mampu menyesat dan membawa ibubapanya ke arah kejahatan disebabkan kuatnya kasihsayang ibubapa terhadap mereka. Jika Allah menarik sesuatu dari tangan kita, percayalah yang Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik.
3. Hikmah membaiki dinding yang senget di sebuah kampung walaupun orang-orang kampung amat kedekut dan tak mahu membantu mereka. Perbuatan itu ialah demi menyembunyikan harta karun milik anak-anak yatim yang hidup dikalangan manusia yang tamak. Pemilik asal harta itu ialah bapa yang soleh. Disebabkan kesolehannya, maka Allah simpankan harta tersebut untuk kegunaan anak-anak itu apabila mereka dewasa dan mampu melindungi harta mereka.

Pengajaran: Jika mahukan keturunanmu dijaga oleh Allah, maka kitalah yang perlu membaiki diri sendiri terlebih dahulu. Ini kerana Allah telah menjamin akan menjaga keturunan orang-orang yang soleh.  
________________
Namun ada hikmah tersembunyi mengapa Nabi Musa yang dipilih untuk melalui peristiwa tersebut.
Apakah signifikan peristiwa tersebut kepada Nabi Musa?
1. Peristiwa perahu:

Nabi Musa sendiri pernah dihanyutkan di sungai oleh ibunya sendiri demi menyelamatkannya. Perahu yang dinaiki Nabi Musa pula dipecahkan demi menyelamatkan tuannya.
2. Peristiwa anak kecil dibunuh:

Nabi Musa sendiri pernah membunuh seorang lelaki tanpa sengaja. Anak kecil iti dibunuh untuk kebaikannya sendiri dan ibubapanya. Lelaki yang dibunuh oleh Nabi Musa itu menjadi titik tolak perjalanan Nabi Musa memulakan perjalanan menemui kenabian.
3. Peristiwa membaiki dinding di perkampungan orang kedekut:

Selepas dibaiki dinding, barulah dia mengetahui yang dia telah menolong anak-anak yatim dengan melindungi harta milik mereka yang ditinggalkan oleh bapa yang soleh. Nabi Musa sendiri pernah membantu dua gadis muda yang mengalami kesusahan mendapatkan air di sebuah perkampungan dimana kaumnya tak suka membantu insan yang lemah. Selepas dibantu, barulah Nabi Musa mengetahui yang gadis-gadis tersebut adalah anak seorang lelaki yang soleh.
_______________
Peristiwa tersebut adalah untuk mengingatkan Nabi Musa akan permulaan hidupnya sendiri.
Pengajaran terbesar ialah setiap apa yang terjadi pada kita, tak kira qadar buruk atau baik, yakinlah akan rahmat Allah disebalik semua peristiwa itu. Kita takkan nampak kebaikan apabila dilanda musibah. Namun kita hanya akan mengetahuinya selepas itu. 
Allah maha mengetahui akan sesuatu. Hanya Dia yang tahu apa akan terjadi dimasa hadapan; jika sesuatu perkara terjadi atau tak terjadi. Kita memang tak tahu, oleh itu haruslah sentiasa bersangka baik padaNya.
Jika Allah boleh menyusun sebegitu untuk Nabi Musa, maka Dia pun boleh menyusun peristiwa sama untuk kita. Hanya kita sedar ataupun tidak. Mahu ambil pengajaran ataupun tidak.
Dan alangkah halusnya perancangan dan pengajaran Allah untuk insan yang dikasihiNya!!
Hana Hadzrami

#SalamJumaat

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articlePendapat Minoriti
Next articleUmat Gemuk di Akhir Zaman 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com