TAKSUB

.

Yang saya Hormati Ustaz. Saya cukup tertarik dengan ayat “Taksub” itu. Seolah-olah kami di bahagian perubatan moden ini tidak menerima rawatan herba, dan menolaknya. Sesuatu penerimaan dan penolakannya perlu ada asas.

.

Taksub bermaksud keyakinan yang keterlaluan kepada sesuatu atau seseorang, juga membawa maksud fanatik. Taksub mampu membuatkan kita menjadi sangat bodoh (walau kita pandai) dan mampu membawa kita ke mana saja arah yang diarahkan oleh mereka yang kita taksub itu, sebabnya akal dan fikiran kita sudah dipandu arahkan. Ringkasnya taksub itu adalah pegangan seseorang yang tidak berdasarkan nilai ilmu.

.

Dalam bab petua dan herba ini saya pernah menulis berkaitan dengannya. Boleh baca lanjut di https://suhazeli.com/wp/?p=2246.  Saya tiada percanggahan dengan mana-mana petua yang tidak membawa mudarat diri, mencarik adat dan syariat. Begitu juga mana-mana adat, petua, nasihat kesihatan yang mendakwa boleh menyembuhkan sesuatu penyakit, saya akan bertanya dahulu samada ianya pernah disahkan atau tidak. Jika tiada bukti, atau si pembawa berita hanya copy paste dari mana-mana sumber yang beliau sendiri tidak kenali, saya akan abaikan. Terkadang, jika ianya melibatkan nyawa, akal atau kecederaaan anggota jika mengamalkan adat atau petua tersebut, saya akan buat sedikit penyelidikan.

.

Memakan ubatan yang bersumberkan dari periwayatan yang tidak muktmad ini boleh menimbulkan beberapa kecelaruan perubatan.  Tidak salah mengamalkannya selagi tidak mendatang mudarat yang boleh bawa maut, anggota menjadi cacat atau akal menjadi bengong. Masalah timbul zaman kini, para pengamal perubatan tersebut terlalu rigid minda, sehinggakan menolak kaedah perubatan lain termasuk perubatan moden. Hal sebegini sepatutnya diperbetulkan oleh para ilmuwan yang sedar berkaitan salah guna kaedah merawat ini. Banyak insiden yang kami temui, pesakit akan berakhir dikatil hospital akibat kesan mudarat.

.

An Nadwi ada memberikan garis panduan melalui kitabnya Al Qawaid al Fiqhiyyah berkaitan pengambilan hukum adat atau petua ini. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

1-Tidak bercanggah dengan Quran dan Hadis.

2-Adat itu tersebut dilakukan berulang kali.

3-Adat tersebut telah diamalkan dan sedang diamalkan, bukannya akan diamalkan.

4-Tidak berlawanan dengan persetujuan antara dua pihak.

.

Fahmi Hasan seorang ahli farmasi negara pernah menulis, asal perubatan moden juga dari tanaman. Para pengkaji terus membuat kajian ke atas tanaman herba tersebut. Contohnya;

Digoxin – Foxglove (Ubat kegagalan jantung)

Morphine – Opium (Ubat tahan sakit)
Vincristine – Vinca Rosea (Ubat anti kanser -kemoterapi)
Aspirin – Pokok Willow (Ubat anti radang)
Paclitaxel – Pokok Pacific Yew (Ubat anti kanser -kemoterapi)

Papain – Betik (Ubat anti radang)

.

Semua ubat-ubatan di atas dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan. Sebenarnya hampir 25% dari ubat-ubatan ‘moden’ adalah berasal dari sumber semulajadi. Kalau orang kata lepas ni asalkan tumbuhan itu selamat, cuba tengok ubat anti kanser yang berasal dari tumbuhan. Yakin tak untuk rebus sendiri pokok Vinca Rosea dan minum air rebusan? Yang membezakan sesuatu bahan itu selamat atau

tidak adalah DOS. Jadi sebelum sesuatu bahan diiktiraf untuk digunakan sebagai rawatan penyakit, perlu ada kajian tentang DOS yang berkesan untuk merawat penyakit, dan DOS yang selamat untuk manusia.

.

Berbalik kepada Pokok Ekor Ular ini, adakah ianya salah satu herba masyhur yang dipetuakan dalam masyarakat kita? Atau hanya satu kes cerita seorang gurila tentera Nepal tersebut sahaja? Bagi saya, ianya sejenis pokok yang tidak kita ketahui secara sahih khasiatnya ini dibimbangi racun kepada badan kita. Mungkin ianya sesuai bagi sesetengah orang tetapi mabuk (racun) bagi sesetengah orang lain. Berhati-hatilah mengamalkan ‘petua’ atau ‘cerita’ yang tidak diketahui asalnya. Apa yang penting di saat kecemasan adalah dapatkan pertolongan segera. Hidup mati ditentukan Allah jua.

.

Semoga al fadhil Ustaz yang saya hormati agar memahami konsep penulisan saya ini. Jangan tuduh saya taksub.

.

Dari sahabatmu

Suhazeli Abdullah

.

Jom makan Sup Herba Kedah kat Pantai Tok Jembal 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Words Format E Book
Previous articlePenawar Pokok Ekor Ular 
Next articleBekam 
Dilahirkan di Kota Bharu Kelantan. Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Perol dan Sultan Ismail College (SIC), Kelantan. Melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah perubatan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan. Kemudian, melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini berkhidmat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu sebagai Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Banyak terlibat dalam menyampaikan ceramah mengenai fikah perubatan. Menulis secara aktif dalam laman web peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa termasuk vaksin dan sebagainya. Motto utama hidup beliau adalah Hidup Bermanfaat. Maklumat lanjut mengenai beliau dan hasil penulisan lain boleh diperolehi dari laman web www.suhazeli.com